Top Ad 728x90

Harga purata emas naik 27 peratus setahun

by
Peluang melabur dalam bentuk simpanan emas tidak harus dilepaskan memandangkan ia mencatat kenaikan harga purata sebanyak 27 peratus setahun dan bakal menggandakan nilai harta pelabur.

Penasihat korporat Serambi Emas Sdn. Bhd. (Serambi Emas), Datuk Salleh Majid berkata, ini merupakan salah salah portfolio pelaburan yang menguntungkan khususnya bagi masyarakat Melayu yang masih ketinggalan daripada aspek memiliki aset kekayaan.

Bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini dikenali sebagai Bursa Malaysia) itu menjelaskan, cara belian emas yang menguntungkan ialah dengan menggunakan kemudahan Ar-Rahnu.

Menurutnya, kaedah itu dapat mengelakkan daripada sebarang kecurian atau unsur-unsur penipuan memandangkan ketulenan emas itu disahkan oleh pihak ketiga.

- KOSMO!

Harimau Muda tewas kepada Syria 0 - 2 Kelayakan Olimpik 2012

by

KATA ORANG, robot pun boleh kehabisan bateri sekiranya ‘dilenjan’ habis-habisan.

Namun, lain pula ceritanya dengan skuad Olimpik Malaysia yang tampil dengan persembahan bertenaga meskipun gagal menjinakkan Syria apabila tewas 0-2 pada perlawanan kedua aksi kelayakan Olimpik pusingan akhir Zon Asia Kumpulan C di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam tadi.

Kudrat anak-anak buah Ong Kim Swee yang masih keletihan selepas mempertahankan pingat emas Sukan SEA ternyata dipuji apabila mendapat ‘tonik semangat’ daripada lebih 20,000 penyokong yang memberikan tepukan bergemuruh sebaik perlawanan tamat.

Malah sebelum sepak mula, pasukan Syria yang tiba di Kuala Lumpur sejak Sabtu lepas berbanding Harimau Muda yang hanya tiba dari Jakarta kelmarin dilihat seolah-olah beraksi di tempat sendiri apabila turut menerima sambutan hangat penyokong tuan rumah, situasi yang cukup berbeza yang diterima pasukan negara ketika di Stadium Gelora Bung Karno pada temasya Sukan SEA sebelum ini.

Kim Swee juga dilihat melakukan sedikit perubahan dalam kesebelasan utamanya apabila meletakkan Wan Zack Haikal Wan Nor yang digugurkan daripada skuad emas sebelum ini untuk bergandingan bersama Fandi Othman, K. Gurusamy dan Nazmi Faiz Mansor di bahagian tengah sementara Mohammad Zubir Azmi, Amer Saidin, Mohamad Muslim Ahmad dan Mahali Jasuli menerajui benteng pertahanan negara.

Pasukan Harimau Muda yang mengasak seawal minit pertama kempunan menjaringkan gol pendahuluan apabila percubaan penyerang kontroversi, Ahmad Fakri Saaraini melambung tinggi meskipun kesilapan penjaga gol Syria, Ibrahim Alma gagal mengeluarkan bola dengan kemas dari kawasan penalti.

Syria yang dikendalikan jurulatih Immad Khankan kembali bangkit mengasak sebelum memperoleh peluang terbaik lima minit kemudian namun percubaan terus M. Zakaria Al Omari terus ke dakapan kapten Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat.

Khairul Fahmi sekali lagi bertindak cemerlang apabila berjaya menangkap kemas percubaan penyerang kelab Al-Iltihad, Mohammad Fares pada minit ke-10 sebelum menepis percubaan Mardek Mardkian enam minit kemudian.

Peluang terbaik Malaysia untuk mendahului hadir selepas itu apabila Wan Zack dilihat beberapa kali gagal memanfaatkan hantaran cantik Nazmi Faiz dari tengah padang, sementara tandukan Thamil Arasu sedikit sipi pada masa kecederaan bagi menyaksikan kedua-dua pasukan kekal terikat tanpa jaringan ketika tamat separuh masa pertama.

Malaysia yang cuba meneruskan penguasaan sebaik babak kedua bersambung dikejutkan dengan gol pendahuluan pelawat menerusi tandukan S. Solaiman pada minit ke-51.

Gol itu ternyata menyuntik semangat Syria yang kembali menggandakan asakan, namun kecemerlangan Khairul Fahmi menjaga gawang wajar dipuji termasuk menggagalkan percubaan Mohammad Zbida dan Mohammed Fares beberapa minit selepas itu.

Penyerang gantian Syria, Nassouh Nakkdahli yang masuk menggantikan Mardkian akhirnya menamatkan mimpi ngeri tuan rumah apabila mudah menolak masuk gol kedua kira-kira tiga minit sebelum perlawanan tamat.

Malaysia kini menghuni tangga kedua tercorot kumpulan sementara Jepun kekal menerajui Kumpulan C setelah menjinakkan Bahrain 2-0 dalam satu lagi perlawanan semalam.

Malaysia akan melayan kunjungan Bahrain di stadium sama Ahad ini.

- KOSMO!

Jaga pemakanan ketika peperiksaan

by
Menyiapkan diri anak-anak dari segi fizikal dan emosi amat penting terutama ketika mereka sedang menghadapi peperiksaan penting seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang sedang berlangsung sekarang.

Namun, aspek pemakanan juga tidak harus dipandang ringan kerana dengan menjaga gaya hidup yang sihat dan makanan seimbang, seseorang pelajar itu boleh menghadapi tekanan semasa peperiksaan.

Jika peperiksaan tersebut diadakan pada sebelah pagi, maka janganlah lupa bersarapan.

Sarapan yang diambil hendaklah disertakan makanan yang mengandungi protein dan buah-buahan.

Ambil makanan yang kaya dengan protein seperti telur, kacang dan yogurt semasa sarapan dan makan tengahari.

Begitupun, ambil sarapan yang ringan kerana jika makan secara berlebihan atau mengambil makanan yang berat, dikhuatiri akan mengantuk.

Sebelum waktu peperiksaan, tidurlah dengan cukup kerana kurang tidur akan menyebabkan kelesuan, lekas marah dan mental yang tidak mantap.

Amalan pemakanan sihat ketika peperiksaan.

- Untuk mendapatkan tidur yang cukup, ambil makanan karbohidrat (roti, mi atau pasta) dan juga sedikit makanan protein kurang lemak (ikan, ayam atau daging) untuk makan malam.

- Ketika waktu peperiksaan, cuba kurangkan mengambil bahan yang ada kafein dan coklat.

- Walaupun ia membantu untuk kecerdasan otak, jumlah yang berlebihan boleh menyebabkan getaran dan debaran, menaikkan tahap kebimbangan dan memberi kesan pada tumpuan.

- Sebaliknya sediakan snek yang berkhasiat seperti protein bar atau fruit bar di antara waktu rehat.

- Minum air secukupnya kerana badan akan menjadi lesu sekiranya kekurangan air dan ini boleh menyebabkan hilang fokus semasa peperiksaan

- Minumlah segelas susu panas sebelum masuk tidur.

- Mengambil makanan yang mengandungi vitamin B dan Omega 3 boleh meningkatkan daya ingatan.

- Kalau ada masa, lakukan senaman. Senaman fizikal meningkatkan pembekalan oksigen dalam darah dan nutrien ke dalam otak supaya ia dapat berfungsi dengan efisien.

Hijrah membina penghayatan Islam

by
Oleh DR. BURHANUDDIN ABDUL JALAL

Ahad ini, 1 Muharram umat Islam seluruh dunia menyambut tahun baru hijrah 1433. Di negara kita sambutan tahun baru hijrah atau sambutan Maal Hijrah adalah salah satu kebesaran Islam rasmi peringkat negara. Tema sambutan pada tahun ini adalah 'Persefahaman Asas Perpaduan Ummah'.

Tarikh 1 Muharam atau sambutan tahun baru hijrah adalah perkara yang telah sedia maklum dan difahami oleh kebanyakan orang. Telah banyak perkara berkaitan dengan sejarah hijrah dan juga sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW diperbincang setiap kali sambutan Maal Hijrah.

Namun demikian tidak dinafikan juga kemungkinan kita terlepas pandang atau tidak menyedari tentang peristiwa sejarah yang berlaku itu mempunyai pengajaran dan iktibar yang amat bermakna.

Perlu kita sedari bahawa Allah SWT tidak menjadikan sesuatu peristiwa itu dengan sia-sia bahkan ada pengajaran atau ibrah di sebalik peristiwa tersebut dengan tujuan dijadikan pengajaran dan iktibar serta panduan kepada umat yang berikutnya.

Ini seperti yang telah difirmankan oleh Allah SWT dalam yang bermaksud, Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman. (Yusuf: 111)

Begitu juga dengan apa yang terjadi kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, sebagai pemimpin dan pembawa kebenaran kepada seluruh umat. Banyak peristiwa sejarah atau sirah yang telah berlaku kepada Nabi Muhammad dan salah satu sejarah penting dalam perjalanan Nabi Muhammad sebagai nabi utusan Allah untuk membimbing dan membawa jalan kebenaran kepada umat manusia ialah peristiwa hijrah dari kota Mekah ke kota Madinah.

Peristiwa hijrah nabi dari kota Mekah ke Madinah sarat dengan perjuangan, pertentangan serta cabaran. Ketika hendak meninggalkan kota Mekah, baginda ada menyatakan, "Aku cinta padamu wahai kota Mekah, tempat aku dilahirkan, namun aku yang dapat aku katakan, aku diusir oleh penduduk kota Mekah sendiri".

Penghijrahan yang dilakukan secara diam-diam dan bersembunyi itu dilakukan agar tidak dapat diketahui dan dihidu oleh para musuh yang terdiri dari pelbagai puak dan bangsa yang mungkin boleh katakan sebagai pasukan musuh dari pelbagai pihak (multinasional). Ini menyebabkan Nabi dan Abu Bakar terpaksa bermalam di Gua Thur sebagai tempat persinggahan yang pertama.

Ketika di Gua Thur, Nabi SAW sempat memberi nasihat dan kata-kata rangsangan kepada sahabatnya Abu Bakar dengan kata-kata, la takhaf wa la tahzan innallaha maana (jangan takut dan jangan bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita).

Berdasarkan peristiwa yang penuh tragis, cabaran dan penuh bermakna itu, Khalifah Umar al-Khattab memilih bulan Muharam sebagai bulan permulaan tahun Islam setelah menerima pandangan dari Ali Ibn Talib.

Berdasarkan itu juga bulan muharam merupakan salah satu dari empat bulan (Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) yang dimuliakan dalam Islam iaitu bulan-bulan yang diharamkan berperang dan melakukan kekerasan.

Perkataan 'hijrah' adalah daripada perkataan Bahasa Arab. Ia bermaksud berpisah atau berpindah dari satu tempat ke tempat lain, atau dalam konteks yang lain hijrah juga boleh dikaitkan dengan perubahan sikap atau tingkah laku.

Dalam hal ini Allah SWT berfirman menyarankan umat Islam berhijrah ke arah iman yang lebih kukuh dan mantap dan hijrah juga sebagai satu ujian dalam hidup.

Ini kerana setiap manusia yang hidup pasti akan menerima ujian, lebih-lebih lagi orang-orang yang beriman. Semakin tinggi darjat keimanan seseorang itu, maka semakin tinggilah ujian keimanan yang akan dihadapinya.

- UTUSAN

ABPBH 25 - 2012 Perkenal Anugerah Seri Perak Sempena 25 Tahun

by

Sempena 25 tahun ulangtahun penganjuran Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH), mengumumkan satu anugerah khas iatu Anugerah Seri Perak pada ABPBH 25 yang bakal diadakan pada 8 April 2012.

Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pengelola ABPBH 2011, Zainuri Misfar, berkata anugerah khas tersebut adalah bagi meraikan ulangtahun ke 25 ABP.

"ABPBH 25 kali ini mempunyai kelainan, keunikan dan keistimewaan tersendiri sempena sambutan Jubli Perak iaitu tempoh 25 kali penganjurannya sejak mula diperkenalkan Berita Harian pada 1987.

"Satu kategori khas, Anugerah Seri Perak akan dipertandingan antara 12 pemenang Bintang Paling Popular sepanjang 25 tahun ABPBH," katanya ketika ditemui pada sidang media Bintang Popular.

Dalam pada itu, borang pencalonan pusingan awal akan dikeluarkan di Berita Harian dan Berita Minggu bermula 25 November hingga 29 Disember 2011 depan kepada pembaca memilih calon lima teratas.

Selain itu, beberapa kategori sampingan secara online turut diadakan bermula pada Januari 2012 iaitu Anugerah Muat Turun Mobile, Artis Paling Popular Wanita Online, Artis Paling Popular Lelaki Online, Pakaian Selebriti Terbaik Sepanjang ABPBH 25 Tahun, dan Artis Asia Popular Online.

Antara tetamu yang hadir pada majlis tersebut ialah Datuk Mior Kamarul Sahahid, Pengarang Kumpulan Berita Harian, Mahfar Ali, dam Pengarang Bersekutu Edisi Mingguan Berita Harian, Hanizam Abdullah.

- MSTAR

Kerajaan melancarkan enam program berimpak tinggi

by
PUTRAJAYA 23 Nov. - Kerajaan hari ini mengumumkan enam program berimpak tinggi sebagai satu langkah untuk memastikan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mampu berkembang sebanyak 8.7 peratus setahun menjelang tahun 2020 berbanding pada masa ini sekitar 6.5 peratus setahun.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, enam program tersebut adalah integrasi pendaftaran dan pelesenan penubuhan perniagaan, platform pengkomersilan teknologi, program pelaburan PKS, program going export (GoEx), program pemangkin dan inovasi keterangkuman.

Menurut Perdana Menteri, langkah itu selaras dengan usaha kerajaan bagi membolehkan paras produktiviti PKS tempatan ditingkatkan daripada RM47,000 pada tahun lalu kepada RM91,000 menjelang tahun 2020.

‘‘Kalau tanpa campur tangan kerajaan, PKS tempatan hanya dijangka berkembang sebanyak 6.5 peratus setahun tetapi kita nak lonjakkannya pada 8.7 peratus setahun.

‘‘Dari segi sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada masa sekarang ini pula adalah 32 peratus tetapi kita mahu lonjakkan kepada 41 peratus, aspek guna tenaga sebanyak 59 kepada 62 peratus dan eksport pula daripada 19 kepada 25 peratus menjelang 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan (MPPK) kali ke-12 di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.

Najib memberitahu, mesyuarat itu turut menetapkan Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp) sebagai nadi dan agensi utama untuk pembangunan, menyelaras dan mengambil tindakan mengenai pembangunan PKS.

Justeru, beliau menambah, satu kajian semula akan dilakukan bagi membolehkan peranan SME Corp dapat diperkukuh dan dinaiktarafkan dengan diberi kuasa yang lebih.

‘‘Majlis itu membincangkan sekiranya perancangan dalam pelan induk fasa kedua (2012-2020) itu nak dijayakan, maka cabaran yang paling besar adalah untuk menyelaraskan segala tindakan yang dlakukan oleh pelbagai kementerian dan agensi.

‘‘Pada masa ini terdapat 56 buah kementerian dan agensi yang ada kaitan dengan pembangunan PKS,” katanya.

Beliau berkata, berikutan keputusan tersebut, segala program yang dilakukan oleh 56 agensi dan kementerian itu akan dikaji semula untuk mengelak pertindihan dan menentukan bahawa peranan mereka lebih terselaras dan terfokus lagi.

- UTUSAN

Penyampai Hot FM Kelate & T’ganu diperkenalkan

by
Penyampai Hot FM Kelate

Penyampai Hot FM Kelate dan Hot FM T’ganu akui menyertai stesen radio tersebut kerana minat dan bukan kerana mahu mengejar populariti semata-mata.

Kebanyakannya mempunyai pengalaman mengendalikan stesen radio dan ada yang masih menuntut di universiti.

Menurut Syed Mohd Farid Mohd Nor (Farid), 24, dan Mohamad Hafizie Roslan (Fizie) yang akan bertugas di Hot FM Kelate, 23, walaupun mereka pernah bekerja di stesen radio lain, namun mereka tidak melihat ‘perubahan angin’ itu sebagai langkah mudah untuk cepat dikenali dan popular.

“Saya pernah bekerja di Kelantan FM selama dua tahun dan Fizie di Manis FM selama empat tahun.

“Bagaimanapun, niat kami lebih kepada untuk mengembangkan bakat dalam bidang penyiaran. Kami yakin populariti akan datang sendiri kelak dengan hasil tunjuk ajar insan-insan yang berkualiti di Hot FM,” ujar Farid yang akan bergandingan dengan Fizie.

Mereka akan mengendalikan segmen Hot FM Kelate Gu Kito pada pukul 3 petang hingga 7 malam, setiap Isnin hingga Jumaat.

Semasa bertugas di Kelantan sebelum ini, Farid dan Fizie merupakan teman serumah dan tidak mempunyai masalah dari segi mencari keserasian kerana saling mengenali antara satu sama lain.

“Kami sama-sama menyertai ujibakat dan tidak sangka berjaya terpilih serta bakal ke udara bersama-sama. Alhamdulillah, kami bersyukur dengan rezeki ini.

“Semasa mengendalikan segmen tersebut, saya akan menggunakan bahasa Malaysia seperti biasa manakala Farid akan bertutur dalam loghat Kelantan,” ujar Fizie yang berasal dari Taiping, Perak.

Penyampai Hot FM T’ganu

Sementara itu, Shazwani Mohamad Shakeri (Shaz), 26, dari Hot FM Kelate dan Mohd Hermansani Aminudin (Bell), 28, dari Hot FM T’ganu sanggup meninggalkan kerjaya lama mereka yang berlainan bidang daripada penyiaran untuk bekerja sebagai penyampai radio.

“Sebelum ini, saya bekerja sebagai pentadbir laman sesawang di syarikat mesin jahit. Tetapi sebelum ini saya pernah menjadi juruhebah sambilan semasa belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM),” kata Shaz yang meminati penyiaran sejak di bangku sekolah lagi.

Bagi Bell pula, biarpun sudah lima tahun menjawat jawatan penolong pegawai perubatan di Hospital Melaka, pemuda ini sudah biasa terdedah dalam pengacaraan.

“Saya sudah fikir masak-masak untuk berhenti dari kerja lama kerana minat saya untuk menjadi penyampai radio.

“Berbekalkan pengalaman sebagai pengacara majlis sambilan, saya akan memanfaatkan pengalaman itu untuk mengendalikan Hot FM T’ganu,” ujarnya yang berasal dari Kemaman, Terengganu.

Dalam pada itu, Nurul Ain Omar (Ain), 22, yang bakal bertugas di Hot FM T’ganu bakal menamatkan pengajiannya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang Komunikasi Media.

Dia yang bakal menamatkan pengajiannya pada Januari tahun depan akan menggunakan peluang itu sebaik mungkin sekaligus menjalani praktikal di stesen radio itu.

Selain daripada Bell dan Ain, Hot FM T’ganu turut diterajui oleh Mohd Rafly Rahamat (Rafly), 25, dan Muhammad Azri Ismail (Azri), 23, sebagai penyampai manakala Ahmad Zulhilmie Zainal (Zul), 25, sebagai eksekutif muzik.

Sementara seorang lagi penyampai Hot FM Kelate adalah Wan Zuraini Wan Hasan (Renny), 23, dan eksekutif muziknya adalah Mohd Izzul Nazmi Mazri (Izzul), 23.

Mereka akan mula bertugas 2 Januari depan dan konti kedua-dua saluran itu akan berpengkalan di Kota Bahru dan Kuala Terengganu.

Biarpun begitu, Hot FM masih mengekalkan segmen Hot FM AM Krew pada pukul 6 pagi hingga 11 pagi melibatkan penyampai Fara Fauzana, AG, Usop dan Faizal Ismail.

Bermula pukul 11 pagi hingga 12 tengah malam, segmen bagi setiap negeri bakal berkumandang pada frekuensi 105.1 di Kelantan dan 105.0 di Terengganu di mana ia hanya boleh didengar di negeri-negeri itu sahaja.

- MSTAR

Guru Sekolah Agama Rakyat - SAR berpeluang ikuti kursus perguruan

by
Guru-guru di sekolah agama rakyat (SAR) berpeluang mengikuti kursus perguruan lepasan ijazah dan diploma di bawah Kementerian Pelajaran bermula awal tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia bagi membantu golongan tersebut untuk menambah pendapatan serta meningkatkan kemahiran dalam pengajaran.

Beliau berkata, bagaimanapun kurikulum untuk kursus tersebut perlu disusun terlebih dahulu oleh pihak kementerian agar ia selari dengan kehendak sistem pendidikan.

“Saya fikir kalau bersetuju awal tahun depan boleh mula, kita ada banyak tempat dan juga di Kelantan ada empat sekolah kita tempatkan pensyarah, tetapi yang penting kurikulum untuk kursus ini.

“Sekiranya pentadbir SAR bersetuju, kementerian akan turut memberi latihan kemahiran kepada guru-guru untuk meningkatkan kualiti pengajaran,” katanya pada sesi dialog bersama pendidik pada Majlis Perjumpaan Khas Bersama Timbalan Perdana Menteri di Pusat Dagangan Kelantan di Kota Bharu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang diajukan oleh salah seorang pendidik yang meminta Kementerian Pelajaran memberi peluang kepada guru-guru SAR menyertai kursus lepasan ijazah dan diploma bagi meningkatkan gaji golongan tersebut yang kini di bawah RM2,000 sebulan.

- UTUSAN

Kementerian Kesihatan Sahkan Susu KR1M Selamat

by
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan kandungan vitamin A dalam produk susu tumbesaran yang dijual di rangkaian Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) tidak melebihi had maksimum yang ditetapkan di bawah Peraturan Makanan 1985.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, hasil pemeriksaan KKM di kilang yang mengeluarkan produk berkenaan mendapati kandungan vitamin A dalam produk tersebut tidak melebihi had 5,000 I.U (unit antarabangsa) dalam setiap hidangan harian.

"Sebagai langkah tambahan, KKM juga telah menjalankan verifikasi ke atas produk akhir tersebut dengan mengambil dan menganalisis produk tersebut untuk vitamin A dan keputusan menunjukkan bahawa kandungan vitamin A adalah 3,240 I.U. bagi setiap 100 gram.

"Oleh itu dakwaan pihak tertentu bahawa susu tersebut mengandungi vitamin A berlebihan adalah tidak benar," katanya di lobi Parlimen di sini, Rabu.

Pengesahan tersebut sekaligus menafikan dakwaan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua sebelum ini bahawa susu tumbesaran yang di jual di KR1M berbahaya kerana mengandungi lapan kali lebih banyak vitamin A daripada had yang dibenarkan.

Dakwa Pua, pengambilan vitamin A secara berlebihan boleh menyebabkan 'Hypervitaminosis A' yang antara lain boleh menyumbang kepada masalah hati, mengurangkan ketumpatan mineral tulang dan perubahan warna kulit.

Menjelas lanjut Liow berkata, susu tersebut digolongkan di bawah Peraturan 395 manakala susu rumusan bayi (infant formula) dan susu rumusan susulan (follow-up formula) mempunyai standard yang tersendiri di bawah Paeraturan Makanan 1985.

Dalam pada itu menurut Liow, pemeriksaan KKM di kilang pengeluar produk sos tiram yang dijual di KR1M mendapati bahawa kandungan protein dalam produk tersebut tidak mematuhi standard yang ditetapkan di bawah Peraturan 166A.

"Sebagai langkah tambahan, KKM juga telah menjalankan verifikasi ke atas produk akhir sos tiram dengan mengambil dan menganalisis dua sampel produk tersebut.

"Hasilnya mendapati kedua-duanya tidak mematuhi standard iaitu mengandungi 0.8 peratus protein dan 1.0 peratus protein berbanding standard untuk sos tiram iaitu tidak kurang daripada 2.5 peratus protein," katanya.

Jelas beliau pihaknya telah memaklumkan perkara tersebut kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk tindakan menarik balik produk tersebut di pasaran.

- MSTAR

Siapa lelaki mata keranjang?

by
Oleh Mariatul Qatiah Zakaria

LELAKI mata keranjang merupakan takrifan kepada mereka yang pantang melihat wanita-wanita cantik. Ia membuatkan hati mereka bergejolak untuk menegur dan berbual-bual dengan lebih dekat atau paling kurang memandang dengan sorotan mata ingin menggoda.

Lelaki mata kerajang lazimnya sinonim dengan gelaran kaki perempuan. Tetapi tidak semua lelaki mata keranjang begitu.

Menurut Pakar Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Hazli Zakaria, mata keranjang merupakan sifat dan perbuatan seseorang itu dan lazimnya ia kerap digunakan kepada lelaki.

Katanya, ia sudah menjadi sebahagian daripada personaliti sesetengah lelaki kerana kelakuan itu sudah lama terbentuk dan menjadi sebahagian daripada diri mereka.

Oleh itu sebahagian daripada mereka yang bermata keranjang tidak sedar akan kelakuan mereka.

Ini kerana, menurut Dr. Hazli, sekiranya mereka sedar mereka tidak dapat mendalami kesan-kesan yang berlaku berpunca daripada kelakuan mereka sendiri.

"Kebanyakan lelaki mata keranjang percaya perbuatan mereka tidak membawa keburukan. Ia hanya sekadar untuk suka-suka dan tidak memberi apa-apa makna.

"Di sebabkan itu mereka tidak dapat memahami kenapa perbuatan ini (mata keranjang) menjadi isu utama kepada pasangan mereka.

"Selalunya lelaki bermata keranjang ini mempunyai sifat-sifat lain seperti peramah, pandai mengambil hati, periang, pandai membuat orang ketawa, pandai memikat hati dan tahu bagaimana memujuk dengan kata-kata manis," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah beliau, lelaki mata keranjang juga selalunya sering menjadi perhatian dalam apa jua majlis.

Tetapi menurut Dr. Hazli, ada juga orang jenis pendiam yang bermata keranjang. Tetapi mereka ini mempunyai sifat-sifat lain yang menyenangkan di samping sifat-sifat mata keranjang yang dinyatakan.

Mengulas lanjut, Dr. Hazli yang juga pensyarah di Jabatan Psikitari, Pusat Perubatan UKM, memberitahu, mata keranjang bukanlah sejenis penyakit psikiatri. Tetapi ia lebih kepada sifat watak individu tersebut.

Tidak susah untuk mengenali lelaki bermata keranjang kerana pasangan mereka pasti mengetahuinya.

Yang menjadi persoalannya kini apa tindakan seterusnya sekiranya didapati pasangan bermata keranjang. Patutkah bertanya secara bersemuka ataupun buat tidak kisah?

Adakah akan memutuskan hubungan atau terus bersama?

Yang pasti menurut Dr. Hazli, jawapannya ada pada pasangan tersebut.

Cuma terserah, sejauh mana seseorang itu sanggup menerima kekurangan diri pasangan masing-masing.

Ia juga sebenarnya bergantung kepada tahap self esteem pasangan masing-masing.

Ini kerana sekiranya pasangan berasa selamat dengan keadaan diri sendiri dan juga pada hubungan mereka, pasangan itu tidak akan mengambil kisah tentang sifat mata keranjang pasangannya.

Pada mereka asalkan hati dan cinta tetap pada mereka, sama ada suami memandang orang lain, mereka tak kisah.

"Setakat mana pasangan itu dapat menerima kesan daripada perbuatan pasangan yang bermata keranjang akan menentukan tindakan seterusnya.

"Lazimnya pelaku akan menafikan yang mereka memandang wanita lain kerana sekiranya mengaku, mereka akan mengatakan perbuatan mereka itu adalah 'tidak berdosa' dan tidak membawa apa-apa makna," ulas Dr. Hazli lagi.

Apabila ditanya apakah cara serta bagaimana sekiranya ingin melepaskan diri daripada lelaki mata keranjang itu, Dr. Hazli berkata, memutuskan hubungan adalah jalan terbaik sekiranya masih di peringkat awal hubungan.

Itupun setelah perbincangan dibuat untuk masing-masing cuba memahami pandangan masing-masing.

Sekiranya pasangan lelaki tidak mengaku dan tidak sanggup untuk berubah, keputusan terletak pada pasangan perempuan.

Menurut Dr. Hazli lagi, mata keranjang bukanlah sifat yang diingini, sama ada normal atau tidak.

Kebanyakannya ia ditentukan oleh pandangan masyarakat dan budaya setempat dan selalunya ia merupakan kombinasi pelbagai faktor.

Contohnya ada ahli keluarga yang mempunyai sifat yang sama, kelakuan amat mudah untuk ditiru dan selalunya kanak-kanak akan meniru apa yang orang dewasa lakukan melalui proses pemerhatian.

Selain itu, faktor self esteem juga merupakan salah satu faktor yang menjadikan seorang lelaki itu mata keranjang.

Ini kerana mereka merasakan diri mereka hebat apabila berada di khalayak dan perasaan menjadi teruja apabila mendapat maklum balas sama ada baik atau tidak dan ini menyebabkan mereka terus melakukan aktiviti tersebut.

Menurut Dr. Hazli, apa sebenarnya yang mereka inginkan adalah sukar untuk ditentukan kerana tiada sebab-sebab yang khusus mendorong mereka untuk meneruskan aktiviti tersebut.

Jawapan akan diperoleh sehingga individu terbabit di temu bual untuk mencari punca sebenar yang menyebabkan sifat mata keranjang ini menjadi sebahagian daripada personaliti mereka.

"Sekiranya ini adalah cara mereka untuk merasakan baik untuk diri sendiri, kita perlu mencari cara lain yang lebih produktif untuk mereka berasa bagus tentang diri mereka.

"Sekiranya aktiviti tersebut merupakan cara untuk mereka berasa seronok dan teruja, perbincangan akan di buat untuk mencari aktiviti-aktiviti lain," katanya lagi.

Secara ringkasnya kalau ada perasaan hormat dan selamat di antara pasangan, masalah pasangan mata keranjang ini boleh diatasi.

- UTUSAN

RM300 Juta Jangkaan Kos Kendalikan Pilihan Raya Ke-13

by
Kos mengendali pilihan raya umum ke-13 nanti dijangka mencecah RM300 juta berbanding RM200 juta bagi pilihan raya umum yang lepas, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Abdul Aziz Yusof.

Beliau berkata anggaran itu adalah sekiranya pilihan raya itu dijalankan secara serentak di semua negeri termasuk Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan yang kini dikuasai pembangkang.

"Antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan perbelanjaan untuk proses pilihan raya umum akan datang ialah pertambahan bilangan pemilih serta peralatan-peralatan bantuan seperti kotak undi, penindik dan kenderaan," katanya kepada pemberita selepas Taklimat Pegawai Pengurus dan Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya Umum ke-13 di Melaka Rabu.

Abdul Aziz berkata langkah melaksanakan undi pos di luar negara juga menyebabkan peningkatan dalam perbelanjaan proses pilihan raya akan datang kerana ia melibatkan kos yang tinggi.

Beliau berkata SPR perlu membelanjakan sekurang-kurangnya US$10 bagi kos penghantaran untuk seorang pengundi pos di luar negara.

Abdul Aziz berkata setakat ini, semua perancangan yang dilakukan termasuk Taklimat Pegawai dan Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya adalah di peringkat awal dan proses berkenaan memerlukan perancangan rapi dan teratur.

"Saya ingin menyatakan bahawa persediaan ini merupakan persediaan yang sangat awal di mana daripada segi peratusan perkembangan penyediaan ke arah proses pilihan raya adalah sangat kecil.

"Maknanya kita masih dalam proses penyediaan belanjawan dan penambahbaikan," katanya.

Beliau berkata SPR juga telah merancang beberapa pembaharuan berhubung proses pilihan raya di negara ini tetapi ia masih di bawah penelitian dan perbincangan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berhubung penambah baikan proses pilihan raya.

Pembaharuan itu melibatkan penamaan calon, undi awal, undi pos, pindaan Akta Kesalahan Pilihan Raya, penggunaan dakwat kekal dan bahan kempen.

- BERNAMA

'Fahaman Wahabi tak sesuai diamal di Malaysia'

by
Kerajaan berpendirian bahawa fahaman Muhammad Abdul Wahab (Wahabi) tidak sesat namun ia tidak sesuai diamalkan di negara ini kerana dikhuatiri boleh membawa kepada perpecahan umat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata kerajaan memandang berat terhadap kekeliruan dan perselisihan faham yang timbul berhubung isu ini tetapi setakat ini ia masih terkawal.

"Kumpulan yang menyokong pegangan Muhammad Abdul Wahab ini tidak terkeluar daripada Ahli Sunnah Wal-Jamaah, namun apa yang mesti diatasi dan ditangani adalah isu-isu kontroversi yang bersangkut dengan masalah furu'iyyah (cabang) yang cuba dibangkitkan mereka," katanya ketika menjawab soalan Mohd Nor Othman (BN-Hulu Terengganu) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Mohd Nor ingin tahu sejauh manakah fahaman Wahabi meresap dalam kalangan masyarakat.

Jamil Khir berkata keputusan itu berdasarkan hasil beberapa perbincangan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan iaitu pada kali ke-12 (1985), kali ke-14 (1985), kali ke-16 (1986), kali ke-40 (1996), kali ke-42 (1997) dan kali ke-44 (1998).

Ia juga turut dibincangkan dalam mesyuarat Panel Kajian Aqidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kali ke-14 tahun 2000 dan kali ke-20 pada tahun 2002 serta kali ke-23 pada 2003, katanya.

Beliau berkata kesemua keputusan itu adalah untuk menyekat penularan isu atas alasan isu-isu khilafiyyah fiqhiyyah yang dibangkitkan dan boleh menggugat perpaduan umat islam di Malaysia.

Kepada soalan tambahan Nasharudin Mat Isa (Pas-Bachok) tentang aspek ancaman yang boleh dilihat dari gerakan Wahabi, Jamil Khir berkata situasi yang berlaku hari ini adalah khilaf yang diperbesarkan sehingga menimbulkan sensitiviti umat.

"Keadaan ini sekali gus menimbulkan pandangan berbeza kepada kelompok masyarakat. Justeru, demi menjaga kesejahteraan rakyat, kerajaan memberi pendekatan bahawa Sunnah Wal Jamaah merupakan pegangan akidah dalam konteks negara Malaysia dan Mazhab Syafie menjadi pegangan," katanya.

- BERNAMA

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90