Top Ad 728x90

Tip Sihat semasa musim banjir

by
Banjir mula melanda beberapa negeri terutama di Kelantan dan Terengganu. Selain kerugian harta benda, penduduk di kawasan yang terlibat atau berisiko banjir dinasihat mengambil langkah berjaga-jaga untuk memelihara kesihatan dan mengelak kecederaan semasa banjir .

Selain penyakit berjangkit seperti kencing tikus dan campak, orang ramai perlu bersedia berhadapan dengan kes ringan seperti batuk, selesema, demam dan jangkitan penyakit kulit.

Mereka yang mengalami tanda-tanda penyakit berkenaan perlu mendapatkan rawatan segera.

Ibu hamil dan pesakit

Bagi ibu hamil yang hampir bersalin, lengkapkan segala persiapan termasuk bayi yang bakal lahir dan simpan di tempat yang mudah dicapai. Adalah lebih baik jika tempat tinggal semasa banjir berdekatan dengan hospital atau di luar kawasan banjir.

Dokumen penting seperti kad pengenalan dan kad antenatal mesti disimpan rapi. Bagi mengelak masalah ketika bersalin, simpan nombor telefon klinik, hospital dan orang yang boleh dihubungi ketika kecemasan.

Pesakit kronik

Banjir juga menganggu jadual rawatan bagi pesakit kronik yang sedang mendapatkan rawatan. Justeru mereka perlu mendapatkan bekalan ubat mencukupi dan juga pastikan kad rawatan serta dokumen penting lain tidak hilang.

Jika berada di pusat penempatan sementara banjir , hubungi mana-mana pegawai kesihatan atau perubatan untuk bantuan jika bekalan ubat habis atau hilang, dan jika mempunyai tanda-tanda penyakit tertentu.

Selain itu, mereka yang memerlukan rawatan penyakit berkala seperti hemodialisis perlu memaklumkan kepada pegawai berkenaan untuk bantuan atau dipindahkan ke pusat yang mempunyai peralatan bersesuaian.

Ahli keluarga pesakit yang terlantar juga dinasihat mendapatkan bekalan ubat secukupnya lebih awal untuk pesakit. Kenderaan yang sesuai perlu untuk memindahkan pesakit jika keadaan banjir semakin teruk atau diarahkan oleh pihak berkuasa.

Elak kecederaan dan jangkitan penyakit

Jangkitan penyakit, terutamanya bawaan air adalah suatu kebiasaan semasa dan selepas musim banjir. Air banjir mengandungi banyak jenis kuman (virus, bakteria, fungus) dan parasit (seperti cacing) akibat bercampur dengan air kotor dan air kumbahan.

Dalam pada itu, serpihan berbahaya seperti kayu, kaca dan bahan kimia di dalam air banjir boleh menyebabkan kecederaan.

Oleh itu, mangsa banjir perlu mengelak kecederaan kerana bantuan mungkin sukar diperoleh sementara kuman pula mudah memasuki luka kecederaan, walaupun kecil.

Bagi mengelak jangkitan penyakit kronik, orang ramai yang berisiko atau terlibat dengan banjir perlu mengutamakan kebersihan. Golongan paling berisiko adalah kanak-kanak, warga emas, ibu mengandung dan juga pesakit yang lebih terancam jika dijangkiti kuman melalui makanan (dan air) tercemar atau akibat luka kecederaan.

Amalan penjagaan kebersihan dengan membasuh tangan menggunakan sabun dan air yang bersih amat perlu:

- Sebelum menyediakan makanan dan sebelum makan.

- Selepas ke tandas.

- Selepas aktiviti pembersihan.

- Selepas menyentuh barang-barang yang dicemari air banjir atau air kumbahan.

Selepas banjir

Walaupun banjir telah surut, jangan terus memasuki rumah kerana anda belum pasti keadaan kebersihan dalam rumah anda. Sebaiknya, periksa dahulu kerosakan dinding, lantai, siling, pintu dan tingkap dan perhatikan tanda-tanda rekahan atau mendapan yang mungkin melemahkan struktur rumah.

Selain itu, periksa paip saluran gas, wayar elektrik, peralatan elektrik dan bahan-bahan mudah terbakar di samping kerosakan pada tangki septik bagi memastikan jika berlaku pencemaran bahan kumbahan atau bahan kimia, serta kebocoran gas, air dan elektrik sekitar kediaman.

Bagi mengelakkan serpihan tajam dan ancaman binatang berbisa, gunakan kayu jika anda ingin mengalihkan sebarang halangan di sekitar kawasan rumah.

Kerja-kerja pembersihan perlu dimulakan secepat mungkin di dalam dan luar rumah. Bersihkan juga semua peralatan yang bersentuh dengan air banjir menggunakan air bersih, sabun dan klorin. Ini dapat mengelakkan penularan penyakit dari takungan air banjir atau bawaan nyamuk yang membiak dalam air banjir.

- UTUSAN

Zakaria, Hazran selesa bekerja sendiri

by

BUKAN sahaja Muhammad Zakaria Md. Nor, 25, tidak memiliki segulung ijazah, bahkan dia juga tidak mempunyai sijil Penilaian Menengah Rendah (PMR). Tahap pendidikan lelaki bertubuh kurus dan sawo matang itu terhenti setakat di tingkatan dua.

Biarpun dibedil kata-kata yang kurang enak gara-gara tidak mempunyai kelulusan akademik seperti orang lain, Zakaria hanya memekakkan telinga. Dia mengajar dirinya supaya kebal pada kata-kata yang boleh menjatuhkan semangatnya dalam mengejar impian hidup.

Percaya dengan kata hati dan ketentuan Allah, anak kelahiran Masjid Tanah, Melaka itu nekad ke Kuala Lumpur pada usia 14 tahun untuk mencari pekerjaan. Takdir menemukan dirinya dengan seorang sahabat yang membawanya bekerja di sebuah kilang motosikal berkuasa tinggi BMW.

Dalam usia yang masih mentah, anak kelapan daripada sembilan beradik itu mengerah kudrat remajanya mempelajari selok-belok tugas sebagai mekanik kenderaan mewah itu.

"Tiga tahun saya bekerja di kilang tersebut dan banyak input saya dapat sepanjang tempoh itu. Berbekalkan kemahiran yang ada, saya kemudiannya bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel motosikal berkuasa tinggi di Kuchai Lama, Kuala Lumpur.

"Di bengkel itu, saya mengasah kemahiran mekanikal ke atas motosikal berkuasa tinggi buatan Jepun pula. Saya juga belajar sendiri cara mereka menguruskan perniagaan tersebut," singkap Zakaria.

Setelah hampir tujuh tahun menabur bakti di bengkel tersebut, Zakaria nekad melepaskan jawatannya hanya kerana dia gagal menyiapkan sebuah motosikal seorang pelanggan.

"Waktu itu majikan saya bertugas di luar kawasan, tetapi barangan dan peralatan untuk motosikal yang perlu diperbaiki itu tidak ada, jadi saya perlu tunggu dia pulang ke Kuala Lumpur.

"Namun, apa yang mengejutkan, saya pula yang dimarahi dan diherdik seperti orang baru kerja. Selama ini saya tahan dan telan sahaja segala pahit maung bekerja dengan orang semata-mata semangat untuk belajar.

"Bagaimanapun, kejadian itu membuatkan saya sedar dan saya mengambil keputusan berhenti kerja," cerita Zakaria yang mendedahkan gajinya sebagai mekanik untuk tiga tahun pertama hanya RM600.

Jual kereta

Namun, Zakaria tidak menafikan tindakannya itu sedikit sebanyak membelenggu dirinya, kerana dia tidak tahu apa perlu dilakukan. Apatah lagi untuk bekerja di pejabat sudah tentu mustahil dengan kelulusannya yang tidak seberapa.

Ketika teraba-raba mencari arah tujuan, dia terlihat sebuah lot kedai untuk disewa di Bandar Tasik Selatan, Cheras, Kuala Lumpur. Tanpa berfikir panjang, Zakaria menghubungi pemilik premis tersebut untuk menyatakan hasratnya membuka bengkel motosikal berkuasa tinggi di situ.

Begitupun, memulakan bisnes tidak semudah yang disangka. Menyingkap detik awal merealisasikan hasratnya itu, Zakaria terpaksa menjual kereta, perabot dan segala barangan yang boleh menjadi modal buat perniagaan sulungnya itu.

"Telefon bimbit pun saya jual bagi menampung pembelian mesin untuk bengkel dan untuk berurusan dengan pelanggan. Untuk tujuan perhubungan, saya terpaksa menggunakan telefon awam.

Biar apapun yang terjadi, ternyata tekad Zakaria sudah bulat untuk mengusahakan sendiri sebuah bengkel motosikal berkuasa tinggi. Nama Aboy Motorshop akhirnya dipilih menjadi pengenalan kepada perniagaannya itu.

"Sebelum dapat merasai kesenangan atas kejayaan pada hari ini, banyak yang telah ditempuh. Saya pernah berlapar sepanjang hari dan mengalas perut dengan sebungkus roti yang saya simpan sampai waktu malam," imbas Zakaria.

Berkat pengalaman

Meskipun tidak mempunyai pengetahuan asas dalam bidang perniagaan, Zakaria tetap mahu membuktikan bahawa pengalaman dan kemahiran mampu memacu seseorang itu berjaya dalam bidang yang diminati.

Kini, setelah hampir setahun Aboy Motorshop dibuka, perkembangan positif dapat dilihat berdasarkan jumlah pelanggan yang kian meningkat dan kepuasan mereka terhadap servis yang ditawarkan Zakaria.

Para pelanggan Zakaria juga bukan calang-calang orang. Ramai pelanggannya terdiri daripada orang kenamaan dari serata negeri dan majoritinya merupakan pelanggan tetap.

Memilih prinsip meredah cabaran tanpa terlalu banyak berfikir, Zakaria kini mempunyai dua pekerja tetap dan dua lagi pekerja separuh masa yang terdiri daripada ahli keluarganya sendiri.

Dibuka setiap hari, bengkel Zakaria yang masih belum menjalani pengubahsuaian sejak dibuka mampu memuatkan 28 buah motosikal berkuasa tinggi pelbagai jenama.

Tubuh konsultan

Jika Zakaria melunaskan tuntutan hijrahnya dengan cara begitu, berbeza pula dengan perjalanan yang ditempuhi seorang lagi lelaki muda yang kini merasakan sebahagian sasaran kehidupannya telah berjaya dicapai.

Pemenang tempat ketiga program Imam Muda musim pertama, Ahmad Hazran Ahmad Kamal, 27, menyifatkan rancangan itu telah membuka jalan dan ruang yang luas bagi menggapai cita-citanya.

Bermula dengan tawaran selaku hos rancangan Khabar Haji yang bersiaran di Astro Oasis tahun lalu, Hazran atau mesra disapa Aran kini mengorak langkah dengan menubuhkan syarikat konsultan yang dikongsi bersama dua sahabat baiknya.

Menggunakan nama Aran Management Consultancy (AMC), syarikat yang baru sahaja berusia sembilan bulan itu menyediakan perkhidmatan kaunseling dan motivasi buat pelajar-pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Berbekalkan secebis pengalaman dan ilmu selama menuntut di Mesir untuk tempoh empat tahun, Aran selesa menyalurkan kemahirannya dengan menjadi pakar motivasi muda sama ada secara berkumpulan ataupun individu.

"Bagi saya menuntut ilmu tidak akan pernah habis dan bagi mereka yang mempunyai ilmu berguna, kongsilah ilmu tersebut dengan orang ramai agar kita sama-sama menerima faedah daripadanya," jelasnya yang kini sedang menyambung pengajiannya dalam peringkat Ijazah Sarjana al-Quran dan Sunnah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Bergelar pelajar sepenuh masa, menguruskan perniagaan dan memenuhi undangan motivasi serentak membuatkan kehidupan Aran sentiasa diisi dengan aktiviti berfaedah dan semuanya dijalankan lelaki itu dengan penuh tanggungjawab.

Berhenti kerja

Sebelum memasuki program Imam Muda, Aran baru sahaja memulakan kerjayanya di Bank Islam. Sejurus selesai program tersebut, dia dipanggil kembali berkhidmat tetapi demi mengejar cita-citanya, Aran menolak tawaran tersebut.

"Tidak pernah terlintas di fikiran bahawa saya akan berada pada kedudukan seperti ini sekarang dan jika tidak kerana Imam Muda, saya mungkin masih bekerja di tempat lama.

"Jika saya masih berkhidmat di bank, mungkin kehidupan saya tidak seimbang kerana pergaulan sedikit terbatas. Berbeza dengan apa yang saya alami hari ini kerana saya bebas membuat keputusan dan dalam masa yang sama melakukan apa yang saya cintai," ujar jejaka yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu.

Berhasrat menubuhkan sebuah pusat tahfiz sebelum menjangkau usia 40 tahun, Aran menyatakan bahawa semakin berjaya seseorang itu semakin banyak cabaran yang perlu didepani terutamanya yang melibatkan hal-hal material.

Mengupas konsep hijrah anak muda, Aran lebih suka pendekatan dakwah terhadap golongan muda dilakukan menerusi laman-laman sosial seperti Facebook dan Twitter kerana ia selari dengan gaya hidup semasa golongan itu.

"Untuk membimbing seseorang itu berhijrah ke arah kebaikan bukan mudah, jadi pendakwah dan ahli agama perlu bijak memilih pendekatan.

"Kita tidak boleh menggunakan cara ekstrem dan menghukum seseorang itu berdasarkan persepsi yang diciptakan oleh kita sendiri.

"Itulah masalahnya apabila terdapat sesetengah golongan cerdik pandai agama bersifat riak dan memilih cara dakwah yang dirasakan berkesan untuk semua orang," jujur pandangan yang dikongsi Aran yang bakal mendirikan rumah tangga Januari depan.

- KOSMO!

Muhasabah diri capai kehidupan lebih cemerlang

by
Oleh Hasliza Hassan

JIKA sambutan tahun baru masihi sering dikaitkan dengan azam atau perancangan ingin dilakukan sepanjang tahun mendatang, kedatangan 1 Muharam sebagai permulaan tahun baru hijrah pula ialah menilai pencapaian tahun sebelumnya untuk tindakan penambahbaikan pada masa depan.

Proses dinamakan muhasabah itu menjadi titik memulakan langkah meningkatkan pencapaian diraih tahun sebelumnya dan bagaimana untuk berdepan tahun selepas ini ke arah membina kehidupan lebih baik.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM), Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj, berkata muhasabah memerlukan umat Islam merenung, berfikir, seterusnya melakukan perubahan yang memberi kebaikan bukan saja pada diri sendiri tetapi juga pihak lain.
Katanya, apabila melihat keperluan diri, manusia selalu bersikap meminta-minta dan bertanyakan apa orang lain perlu lakukan untuk mereka bukan menyoal diri apakah yang boleh dilakukan dalam bidang kuasa kita.

“Selalunya apabila kita menilai, kita selalu melihat apa orang lain perlu buat untuk kita tetapi muhasabah ialah menilai apa yang boleh kita lakukan demi kebaikan semua. Ini semangat hijrah atau perpindahan yang sepatutnya ada pada umat Islam.

“Kita sepatutnya melihat sama ada kita sudah memainkan peranan sebaiknya. Jika sudah lakukan dengan baik, maknanya tahun depan kena tambah supaya jadi lebih baik lagi. Jika tahun ini kurang melakukan perkara baik, maka tahun depan kena banyakkan perkara kebaikan,” katanya.

Justeru katanya, muhasabah bukan melihat kepada aspek spiritual saja sebaliknya ia menjadikan umat Islam tergolong dalam kumpulan profesional yang mampu melakukan peranan serta fungsi dengan sendirinya.
Dr Harlina berkata, sifat profesionalisme akan melahirkan insan berdikari, tidak memerlukan pihak lain mengawasi atau memantau untuk memastikan mereka boleh melakukan sesuatu dengan baik seperti berlaku sekarang ini.

Katanya, umat Islam yang dikategorikan profesional ialah mereka yang melakukan muhasabah, membuat pengawalan diri dan apabila menyedari kesilapan, mampu pula membuat pembetulan sendiri.

“Profesional bukan bermakna dia bekerja dalam bidang dikategorikan sebagai profesional. Dia mungkin kerja sebagai tukang cuci saja tetapi masih boleh memiliki profesionalisme kerana mampu melakukan tugas dengan baik.

“Walaupun tiada ketua atau penyelia, dia masih tetap melakukan kerja penuh tanggungjawab. Bukan apabila ada bos baru buat kerja. Apabila bos tidak ada, dia bedal semua. Profesional ialah yang boleh lakukan kerja tanpa perlu dipantau dan jika ada kesilapan, boleh betulkan sendiri,” katanya.

Beliau berkata, dunia akan menjadi lebih baik jika semua orang mengamalkan sifat profesionalisme dalam hidup dan itu sepatutnya menjadi agenda umat Islam sempena kedatangan 1 Muharam 1433 Hijrah yang diraikan esok.

Mengambil contoh amalan rasuah, beliau tidak bersetuju dengan tanggapan jika tiada pemberi rasuah maka tidak berlaku jenayah rasuah kerana soalnya ialah sama ada seseorang itu hendak menerima atau tidak rasuah kerana ada yang tidak diberi tetapi dia meminta rasuah.

Bagi suami pula katanya, hidup berkeluarga tidak sama seperti hidup orang bujang dan jika masih hendak mengekalkan gaya hidup seperti orang bujang, maka mereka akan gagal mencapai profesionalisme diharapkan daripada seorang suami atau bapa.

Oleh itu, tidak kira apa peranan atau fungsi seseorang itu, hendaklah mencapai harapan diharapkan daripada mereka, baru hijrah memberi makna sebenar iaitu berpindah daripada tahap sekarang yang baik kepada lebih baik.

Dr Harlina berkata, bagi umat Islam, kayu pengukur untuk menentukan apakah azam ditanam bagi menghadapi tahun baru itu lebih baik ialah adanya makruf dan mungkar ditetapkan Allah berpandukan kepada al-Quran serta sunnah Rasulullah SAW.

Makruf amalan sesuai dengan fitrah manusia yang diciptakan Allah dan sesiapa melakukan makruf diberi ganjaran pahala. Manakala mungkar tidak selari fitrah manusia dan mereka yang melakukan perbuatan mungkar akan menerima balasannya.

“Allah yang menciptakan kita dan Allah tahu apa yang selari dengan fitrah manusia. Makruf akan jadikan manusia baik dan sebab itu mereka yang melakukan makruf mendapat pahala. Bagi yang melakukan mungkar, mereka merosakkan diri sendiri,” katanya.

Beliau berkata, umat Islam perlu ada kemampuan melakukan muhasabah diri dan meningkatkan amalan makruf kerana jika semua manusia mengambil sikap seperti itu, dunia akan menjadi lebih baik.

Bagaimanapun katanya, tidak dinafikan untuk mencapai kehidupan masa depan yang lebih baik, manusia sentiasa berdepan cabaran besar iaitu bagaimana hendak menundukkan nafsu yang mendorong melakukan perkara mungkar.

Cara terbaik kembali kepada apa diperintahkan Allah kerana manusia mempunyai kuasa memilih sama ada melakukan perkara makruf demi kebaikan diri sendiri atau mengikut telunjuk nafsu yang akan menjadikan kita sebahagian daripada bahan bakar api neraka.

- BERITA HARIAN

NASA hantar kenderaan penjelajah ke Marikh

by

CAPE CANAVERAL, Amerika Syarikat (AS) - Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika (NASA) bersedia untuk melancarkan kenderaan robotik paling canggih dan berkuasa pernah dibina ke planet Marikh semalam.

Pelancaran tersebut adalah untuk meneroka sekali gus mencari tanda-tanda wujudnya kehidupan di planet merah itu.

Kenderaan enam roda berkenaan yang dinamakan Makmal Sains Marikh (MSL), dijana bahan api nuklear. Ia dijadual dilancarkan pukul 10.02 pagi waktu AS dari Stesen Tentera Udara Cape Canaveral di negeri Florida dengan menggunakan roket Atlas V.

"Inilah mesin idaman saintis-saintis yang mengkaji Planet Marikh," kata timbalan projek MSL, Ashwin Vasavada.

"Ini ialah kenderaan penjelajah yang paling berkeupayaan pernah dihantar, kami amat teruja," tambahnya.

Berharga AS$2.5 bilion (RM7.9 bilion), kenderaan itu mampu menghantar maklumat terperinci mengenai batu-batan di permukaan Marikh dan petanda sama ada kehidupan pernah wujud di planet berkenaan.

- AFP

Kenderaan baru ke Marikh
http://myadha.blogspot.com/2011/11/kenderaan-baharu-teroka-marikh.html

Tugas UPP Diperluas, Jaga Pintu Masuk Di Seluruh Negara

by
Skop kawalan Unit Pencegahan Penyeludupan (UUP) akan diperluas ke pintu sempadan negara di bahagian selatan Semenanjung, Sabah serta Sabah dan tidak lagi semata-mata bertumpu di pintu masuk di Kedah, Perlis dan Kelantan.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Mahmood Adam berkata, ini dilakukan ekoran landskap atau senario jenayah khususnya yang membabitkan penyeludupan kini sudah berubah berbanding di awal penubuhan UPP pada 1976.

"Kalau dahulu hanya barangan asas seperti beras sahaja yang diseludup. Kini sudah ada penyeludupan manusia, dadah dan penggubahan wang haram berlaku di sempadan negara. "Peranan UPP pada masa kini hanyalah di pintu sempadan di Kedah, Perlis dan Kelantan. Selepas ini kita akan perluaskan peranannya ke pintu masuk lain di bahagian selatan, Sabah dan Sarawak," katanya kepada pemberita selepas berdialog dengan angggota Ikatan Relawan (Rela) di Bukit Kayu Hitam, Sabtu.

Mahmood menjelaskan cadangan untuk memperluaskan peranan UPP sudah berada diperingkat akhir kajian oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau berkata, jika peranan UPP diperluaskan, kekuatan anggotanya mungkin ditambah ke dua hingga tiga kali ganda daripada jumlah sekarang.

Katanya, Strategi Lautan Biru yang diterapkan dalam menambah kekuatan UPP juga adalah langkah terbaik kerana ia tidak melibatkan pengambilan baru di samping tidak membabitkan kos yang tinggi.

Anggota tambahan boleh dipinjam dari pasukan polis, kastam dan imigresen, katanya.

Selain itu Mahmood berkata, wakil dari Bank Negara Malaysia mungkin diperlukan bagi menangani kes penggubahan wang haram, manakala bagi kes penyeludupan bintang, wakil dari Jabatan Perhilitan diperlukan.

- BERNAMA

2,400 Guru KAFA Pahang dapat pencen

by
KUANTAN: Lebih 2,400 guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di negeri ini bakal menikmati skim persaraan khas yang dijangka diperkenalkan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), awal Februari depan.

Timbalan Pengarahnya, Datuk Ghazali Abdul Aziz, berkata skim persaraan khas itu adalah hadiah tahun baru kepada guru KAFA yang bersungguh-sungguh membantu meningkatkan pendidikan agama di negeri ini.

“JAIP akan melantik Barakah Consultancy Services sebagai penyelaras bagi merangka plan skim terbaik bagi memastikan nasib guru terbela pada masa depan.

“Skim persaraan ini memastikan semua guru KAFA mendapat jaminan selepas mereka bersara,” katanya selepas sesi Kursus Pidato dan Perucapan Awam bagi Pegawai JAIP di Pusat Pengajian Berterusan dan Pembangunan Profesional (CENFED) Universiti Malaysia Pahang (UMP), di sini, semalam.

Ghazali berkata, skim persaraan khas itu mengutamakan tiga aspek penting iaitu simpanan, kebajikan dan perlindungan.

Sehubungan itu, beliau meminta semua penyelia dan guru KAFA memberi sokongan dalam pelaksanaan skim itu bagi membolehkan tenaga pengajar mendapat manfaat.

Sementara itu, Pegawai KAFA JAIP, Radziyuddin Sulaiman menyokong skim persaraan khas itu kerana ia melindungi kepentingan masa depan guru berkenaan.

“Skim itu yang akan mengambil kira khidmat perubatan, khairat kematian dan simpanan masa depan juga menggalakkan guru KAFA memberi perkhidmatan lebih cemerlang,” katanya.

- BERITA HARIAN

Portal MPPP Terima Status 5 Bintang

by
GEORGE TOWN: Portal Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) - www.mppp.gov.my - telah menerima anugerah lima bintang yang berstatus cemerlang dan berada di kedudukan kedua di kalangan 58 portal pihak berkuasa tempatan dari seluruh negara.

Pencapaian status lima bintang tersebut telah dikeluarkan oleh Badan Penilaian Laman Web dan Portal Kerajaan Malaysia tahun ini.

Tahun lepas MPPP memperolehi pencapaian empat bintang.

Penilaian ke atas laman portal jabatan dan agensi kerajaan termasuk pihak berkuasa tempatan ini telah dimulakan pada tahun 2005 dengan matlamat untuk membantu mempromosikan maklumat dan perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan.

Tahun ini sahaja badan ini menilai dan memberi status ranking kepada 1,155 buah jabatan, agensi dan pihak berkuasa tempatan di seluruh negara.

Di kalangan portal jabatan dan agensi kerajaan dari seluruh negara, MPPP telah menduduki tangga ke-5.

Penilaian tersebut dilakukan berasaskan kepada lima keutamaan iaitu penggunaan, kandungan, keselamatan, penyertaaan dan perkhidmatan yang ditawarkan.

MPPP mencapai 99 mata dalam kesemua kategori tersebut.

Yang Dipertua MPPP, Patahiyah Ismail berkata, ini adalah satu pencapaian yang membangggakan khususnya kepada pengendali portal berkenaan dan juga mereka yang bekerja untuk menguruskannya.

- MSTAR

Gaji wajib dizakat

by
Oleh Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan

RAMAI tidak tahu menyebabkan bilangan pembayar setiap tahun tidak sampai 100 peratus (%).

Bagaimana tahap kesedaran orang ramai terhadap amalan membayar zakat?

Jika dibandingkan dengan 10 tahun lalu, orang ramai semakin sedar mengenai kepentingan membayar zakat dan jumlahnya semakin bertambah sepanjang tahun.

Namun jumlah pembayar zakat belum mencapai tahap 100 peratus di mana ada segelintir individu yang layak membayar zakat, tetapi gagal berbuat demikian atau mungkin tidak tahu bahawa pendapatan yang mereka perolehi wajib dikenakan zakat.

Perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana banyak saluran pembayaran sudah disediakan bagi memudahkan pembayar melaksanakan tanggungjawab mereka termasuk melalui potongan gaji, pembayaran secara dalam talian atau melalui kaunter Pusat Pungutan Zakat (PPZ).

Bagaimana untuk mengetahui sama ada pendapatan dimiliki itu wajib dikenakan zakat kerana mungkin ada individu berpendapatan kecil dan banyak tanggungan berpendapat mereka tidak perlu membayar zakat pendapatan.

Perkara utama yang harus dilakukan adalah membuat pengiraan untuk menentukan sama ada pendapatan dimiliki itu layak atau tidak perlu dikenakan zakat.

Pengiraan yang dikenakan agak mudah, malah kami menyediakan pelbagai saluran untuk membantu orang ramai membuat pengiraan sendiri. Mereka juga boleh mengunjungi PPZ untuk membuat pengiraan dengan bantuan kakitangan kami atau layari laman web PPZ yang mana kami turut menyediakan panduan pengiraan.

Sekiranya seseorang individu mempunyai banyak tanggungan, pengiraan turut membabitkan jumlah tanggungan dan ia akan ditolak daripada jumlah pendapatan tahunan. Tanggungan yang dimaksudkan termasuk ibu bapa, anak serta isteri.

Malah, beberapa perbelanjaan juga akan ditolak daripada pendapatan tahunan termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Selepas membuat pengiraan, mungkin ada pendapatan individu yang tidak diwajibkan zakat, namun adalah digalakkan untuk membuat potongan gaji walaupun serendah RM10 kerana sekurang-kurangnya ia dapat membantu kerajaan membasmi kemiskinan dan pada masa sama menyucikan pendapatan kita.

Setiap tahun, bilangan pembayar zakat tidak mencapai jumlah 100% dan ini bermakna masih ada yang enggan berbuat demikian. Apakah tidak ada tindakan boleh diambil untuk memastikan mereka melunaskan bayaran?

Setakat ini tidak ada akta khusus untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang gagal membayar zakat, malah kami menggunakan kaedah mendidik bagi memastikan jumlah pembayar zakat meningkat setiap tahun.

Walaupun tidak ada akta untuk menghukum, namun kerajaan menyediakan pelbagai insentif untuk pembayar zakat antaranya rebat cukai pendapatan individu serta tolakan cukai daripada pendapatan agregat maksimum sebanyak 2.5% peratus bagi syarikat yang membayar zakat perniagaan mereka.

Apa harapan dan nasihat PPZ terhadap orang ramai yang mungkin masih keliru dan tidak tahu mengenai pembayar zakat pendapatan dan perniagaan.

Zakat adalah satu daripada rukun Islam dan zakat adalah proses pemulangan hak orang lain dalam harta kita. Dengan berzakat ia dapat membersihkan diri daripada bersifat bakhil.

Tidak timbul isu kita jatuh miskin sekiranya mengeluarkan sedikit duit untuk membayar zakat kerana Allah menjanjikan pulangan 700 kali ganda daripada jumlah dikeluarkan. Dengan pelbagai kemudahan, tiada alasan untuk kita tidak membayar zakat.

Ahli lembaga syarikat juga perlu memainkan peranan menyemak akaun syarikat sama ada wajib zakat atau tidak kerana ia akan dipersoalkan di akhirat.

Sumber: Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan
http://www.zakat.com.my/

Dewan Rakyat Lulus Belanjawan 2012 Berjumlah RM232.8 Bilion

by
Persidangan Dewan Rakyat pada Rabu, meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2012 (Belanjawan 2012) berjumlah RM232.8 bilion.

Belanjawan 2012 itu diluluskan kira-kira 10.40 malam apabila bacaan kali ketiga oleh Menteri Kewangan Kedua Datuk Ahmad Husni Hanadzlah menyaksikan lebih suara menyokong.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut hadir di Dewan Rakyat malam Rabu.

Pada 7 Oktober lepas, Najib membentangkan Belanjawan 2012 yang merangkumi RM181.6 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM51.2 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

Terdahulu, Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Wira Abu Seman Yusop yang menggulung perbahasan Kementerian Dalam Negeri berkata beliau akan menyemak semula sistem pengreddan jawatan dan gaji pegawai-pegawai kanan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata langkah itu wajar memandangkan gred gaji dan jawatan PDRM tidak disemak selama 30 tahun walaupun sistem penjawatan kakitangan kerajaan yang lain telah ditambah baik beberapa kali.

Justeru, katanya kementerian akan mengarahkan PDRM agar menyediakan kertas cadangan berkenaan penambahbaikan gred secara menyeluruh untuk dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"KDN setuju dikaji semula pengredan PDRM selaras dengan tanggungjawab berat yang dipikul. KDN akan memberi keutamaan dalam hal ini," katanya.

Abu Seman juga berkata kementerian dan JPA turut menyemak semula skim gaji dan elaun-elaun khas bagi pegawai-pegawai rendah Jabatan Penjara.

- BERNAMA

Harga purata emas naik 27 peratus setahun

by
Peluang melabur dalam bentuk simpanan emas tidak harus dilepaskan memandangkan ia mencatat kenaikan harga purata sebanyak 27 peratus setahun dan bakal menggandakan nilai harta pelabur.

Penasihat korporat Serambi Emas Sdn. Bhd. (Serambi Emas), Datuk Salleh Majid berkata, ini merupakan salah salah portfolio pelaburan yang menguntungkan khususnya bagi masyarakat Melayu yang masih ketinggalan daripada aspek memiliki aset kekayaan.

Bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini dikenali sebagai Bursa Malaysia) itu menjelaskan, cara belian emas yang menguntungkan ialah dengan menggunakan kemudahan Ar-Rahnu.

Menurutnya, kaedah itu dapat mengelakkan daripada sebarang kecurian atau unsur-unsur penipuan memandangkan ketulenan emas itu disahkan oleh pihak ketiga.

- KOSMO!

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90