Top Ad 728x90

Bagaimana kiamat berlaku?

by
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

FIRMAN Allah SWT: Maka apabila sangkakala ditiup sekali tiup. Dan diangkatlah bumi dan gunung-gunung, lalu dibenturkan keduanya sekali bentur.

Maka pada hari itu terjadilah hari kiamat, Dan terbelahlah langit, kerena pada hari itu langit menjadi lemah. Dan malaikat-malaikat berada di penjuru-penjuru langit. Dan pada hari itu delapan orang malaikat menjunjung arasy Tuhanmu di atas (kepala) mereka. Pada hari itu kamu dihadapkan (kepada Tuhanmu), tiada sesuatupun dari keadaanmu yang tersembunyi (bagi Allah). Adapun orang-orang yang diberikan kepadanya kitabnya dari sebelah kanannya, Maka dia berkata: "Ambillah, Bacalah kitabku (ini)". Sesungguhnya Aku yakin, bahwa Sesungguhnya Aku akan menemui hisab terhadap diriku. Maka orang itu berada dalam kehidupan yang diredai. Dalam syurga yang tinggi. Buah-buahannya dekat. (kepada mereka dikatakan): "Makan dan minumlah dengan sedap disebabkan amal yang telah kamu kerjakan pada hari-hari yang telah lalu". (al-Haqqah: 13-24)

Selepas menceritakan perihal ketiga-tiga kisah itu dan menyatakan tentang kekuasaan dan hikmah-Nya serta kemungkinan berlakunya hari kiamat, Allah SWT mula menyebutkan secara terperinci keadaan hari kiamat dan kengeriannya.

Firman Allah SWT: Maka apabila sangkakala ditiup sekali tiup. Dan diangkatlah bumi dan gunung-gunung, lalu dilenturkan keduanya sekali lentur.

Ibn Jauzi berkata: Berkenaan dengan tiupan ini ada dua pendapat:

* Ia sangkakala pertama. Inilah

pendapat Ata'.

* Ia sangkakala yang akhir. Inilah

pendapat Ibn al-Saib.

Ibn Kathir berkata: "Allah menguatkan dengan tiupan ini sekali sahaja kerana perintah Allah tidak mungkin dapat disanggah dan dihalang. Justeru, ia tidak perlu untuk pengulangan dan penguat."

Al-Magahri berkata: "Bumi dan gunung-ganang diangkat dari tempatnya. Pun begitu kita tidak mengetahui bagaimana keadaan bumi dan gunung-ganang itu diangkat kerana keadaan ini dikategorikan dalam berita-berita ghaib."

Perkara itu mungkin berlaku melalui angin yang kuat mampu menerbangkan bumi dan gunung-ganang tersebut.

Mungkin juga kedua-duanya dibawa oleh malaikat atau melalui kekuasaan Allah SWT yang (bukan menjadi sebab lahiriah) atau melalui proses pelanggaran beberapa planet di angkasa seperti bintang-bintang berekor.

Justeru, gunung-ganang itu akan terpisah dan terangkat disebabkan perlanggaran yang kuat, begitu juga bumi yang berubah dari kedudukannya.

Firman Allah SWT: Maka pada hari itu terjadilah hari kiamat. Dan terbelahlah langit, kerana pada hari itu langit menjadi lemah. Dan malaikat-malaikat berada di penjuru-penjuru langit. Dan pada hari itu delapan orang malaikat menjunjung arasy Tuhanmu di atas (kepala) mereka.

Al-Sobuni berkata: "Pada hari tersebut berlakunya kiamat yang besar."

Berkenaan dengan para malaikat yang berada di sisi langit dan penjurunya adalah melaksanakan perintah Allah. Mereka turun ke bumi dan berkawan di penjurunya. Inilah pendapat al-Dahak.

Adapun yang memikul arasy tuhan atas mereka ditafsirkan dengan tiga pendapat:

* Atas kepala mereka. Inilah pendapat Muqatil.

* Di atas mereka yang berada di penjuru bumi.

* Mereka berada di atas ahli kiamat.

Kedua-dua pendapat di atas dinyatakan oleh al-Mawardi.

Adapun perkataan lapan ada tiga pendapat:

* Lapan malaikat. Seperti disebut dalam hadis mereka pada hari ini empat dan apabila berlakunya

kiamat ditambahkan lagi oleh Allah dengan empat yang lain. Inilah pendapat jumhur.

* Lapan saf dan barisan daripada kalangan malaikat yang tidak diketahui jumlah mereka kecuali Allah sahaja. Inilah pendapat Ibn Abbas, Ibn Jubair dan Ikrimah.

* Mereka adalah lapan malaikat yang lain dari kalangan Karubiyin yang tidak diketahui bilangan mereka kecuali Allah. Inilah pendapat Muqatil.

Syed Qutub berkata: "Kita tidak mengetahui secara pasti apakah hakikat langit yang dimaksudkan dengan kata-kata al-Sama' ini dalam al-Quran.

"Namun, ayat-ayat yang seperti ini semuanya menunjukkan bahawa undang-undang yang selama ini mengikat alam buana yang terbentang di hadapan mata akan terlucut, terombak dan terhurai menyebabkan segala-galanya menjadi kacau bilau dan pecah bertaburan."

- UTUSAN

Teks Ucapan Penggulungan Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2011

by
ALHAMDULILLAH, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT yang memberi taufik dan inayah-Nya kepada kita semua sehingga perhimpunan agung kali ke-62 ini sudah sampai ke penghujung. Bukan saja kita akan berdepan dengan detik-detik terakhir perhimpunan ini, tetapi yang paling penting persidangan pada kali ini telah dapat disempurnakan dengan begitu baik dan jaya sekali.

Bagi saya elok saya mengucapkan terima kasih terlebih dulu sebelum saya melanjutkan ucapan saya kepada semua yang telah menyumbang kepada kejayaan perhimpunan kita ini. Tentu sekali ucapan terima kasih kepada Datuk Pengerusi Tetap yang telah mempengerusikan persidangan ini dengan baik, berselang lawak yang sungguh lucu hingga perwakilan tidak kering gusi dibuatnya.

Saya juga mengucapkan tahniah kepada Timbalan Pengerusi Tetap yang membantu dengan cekap. Saya juga ingin melahirkan penghargaan kepada ibu pejabat, kepada Setiausaha Agung kita, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Setiausaha Kerja. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada kakitangan ibu pejabat, pihak media, pihak keselamatan dan semua yang telah membantu agar persidangan UMNO kita berjalan dengan licin.
Saya memanjat rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana ucapan dasar saya sebagai Presiden UMNO telah mendapat sambutan yang begitu positif. Saya amat menghargai Yang Amat Berhormat, Timbalan Presiden yang memberi sokongan padu kepada ucapan saya.

Saya juga berasa amat terharu bahawa setelah saya mengikuti ucapan-ucapan dalam sepanjang persidangan UMNO kali ini, semua perwakilan memberi sokongan kepada ucapan dasar saya.

Malah dua mantan Presiden UMNO kita, Tun Dr Mahathir Mohamad menyokong dan memberi pandangan bahawa kronologi yang saya bentangkan dalam ucapan itu berjaya membetulkan persepsi kononnya UMNO adalah parti rasis.

Saya juga hendak merakamkan penghargaan kepada Yang Amat Bahagia, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menyeru orang UMNO supaya terus memberi sokongan kepada saya dan terharu beliau sanggup hadir sebagai Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas.
Kelmarin saya telah menyenarai beberapa tokoh tersohor yang banyak berjasa kepada parti. Sudah tentu saya tidak mungkin dapat menyebut semua nama yang telah memberi sumbangan besar kepada parti. Saya telah menghentikan sebutan nama kepada jawatan Timbalan Presiden parti.

Namun saya telah menerima beberapa SMS yang meminta saya memberi pengiktirafan kepada Tun (Datu) Mustafa (Datu Harun) kerana beliau telah membubarkan USNO dan menjadi pengasas kepada UMNO di Sabah.

Saya telah berfikir apakah agaknya harapan saya kepada persidangan agung UMNO kali ke-62 ini. Tentu kalau kita buat sesuatu kerja, sama ada kerja amal, kerja ilmu, kerja politik, kita mesti meletakkan beberapa sasaran sama ada sasaran itu tersurat atau tersirat.

Saya hendak berkongsi pada sidang perwakilan bahawa saya telah menetapkan empat sasaran yang kalau tercapai maka persidangan ini boleh dianggap sebagai amat berjaya.

Sasaran pertama saya agar persidangan ini menggambarkan UMNO adalah parti bersatu dan ampuh barisannya, supaya bukan saja orang di dalam dewan ini mempunyai gambaran itu tetapi juga berjuta-juta di luar yang melihat melalui peti televisyen dan yang ada di dalam ruang luar PWTC.

Pemerhati-pemerhati mestilah melihat bahawa UMNO sebagai satu keluarga. UMNO sebagai satu organisasi politik, sebagai teras kepada politik tanah air kita ini berada dalam keadaan kukuh dan padu.

Yang kedua, saya hendak melalui persidangan ini sebab ramai menyebut kemungkinan persidangan ini terakhir sebelum pilihan raya. Orang yang menyebutnya - menggambarkan bahawa kita berada dalam keadaan kesiapsiagaan yang amat baik, bersedia untuk turun ke medan bakti berjuang habis-habisan agar UMNO kembali sebagai parti bermaruah dan bermartabat.

Yang ketiga saya ingin supaya melalui persidangan ini kerajaan mendapat sokongan untuk membawa perubahan yang besar kepada negara yang kita telah menggagaskan sebagai pelan transformasi nasional, mendapat mandat yang sepenuhnya daripada sidang perwakilan pada kali ini.

Dan yang keempat saya inginkan segala-gala yang menjadi perisian pada persidangan ini memberi isyarat dan mesej yang amat jelas bahawa rakyat Malaysia seramai 12.4 juta pengundi dan 28 juta rakyat keseluruhannya meletakkan keyakinan bahawa UMNO akan membawa negara kita dan rakyat Malaysia ke arah masa depan yang lebih cemerlang. Mereka tidak akan kecewa kalau diletakkan pengharapan di atas bahu dan jemala UMNO.

Bila rakan-rakan saya telah berucap tadi saya cuba membuat penilaian, zaman sekarang ini zaman KPI (Indeks Prestasi Utama). Wakil Sabah telah memberi KPI kepada saya tetapi saya nak sebut KPI dalam konteks keempat-empat ini. Mungkin orang kata saya bias, saya presiden kepada parti, tentulah saya akan memberi markah yang tinggi. Tetapi saya percaya sidang perwakilan akan bersetuju dengan saya bahawa keempat-empat objektif itu telah dicapai melalui persidangan kita pada kali ini.

Persidangan ini juga adalah persidangan yang amat-amat bersejarah kerana kita tak terfikir lebih awal lagi supaya di saat akhir persidangan ini ada satu ikrar atau pun baiah (sesuatu yang) lebih kuat daripada ikrar dari perwakilan.

Timbalan Presiden telah mengetuai ikrar dan baiah tadi. Terima kasih saya ucapkan kepada Timbalan Presiden dan pada saudara sekalian, ikrar itu mencatat satu sejarah baru dalam perjuangan parti kita.

Mari kita tinggalkan soal politik sebentar. Saya bertanya kepada diri saya sebagai ketua kerajaan bersama-sama dengan rakan-rakan saya, apakah agaknya objektif utama kalau orang bertanya ke arah mana kita nak membawa negara kita.

Kalau orang bertanya dalam tahun-tahun mendatang apakah di bawah kepemimpinan yang sedia ada ini apakah yang boleh mereka harapkan. Sebab jangan lupa yang di luar itu sentiasa menilai kita. Secara senyap mahupun secara terbuka tetap kita akan dinilai.

Saya tetapkan bahawa kita ini ada dua objektif dan ini ada sangkut paut dengan UMNO, dengan keinginan UMNO dengan perjuangan roh yang kita bawa ini. Yang pertama ialah kita mesti membuat perancangan yang cukup rapi, cukup teliti cukup kemas supaya dalam masa 10 tahun lagi, insya-Allah, Malaysia akan muncul sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi di bawah kepemimpinan UMNO dan Barisan Nasional.

Itu pertama. Yang kedua dalam konteks negara maju itu kita mesti pastikan agenda Melayu terlaksana dan orang Melayu juga berjaya dan dianggap sebagai bangsa yang mencecah taraf bangsa yang maju.

Jadi siapa kata kita tak ada agenda Melayu? Atau pun agenda Bumiputera memang kita ada. Apabila saya melaksanakan Gagasan 1Malaysia, saya tak menyatakan ketepikan agenda Melayu Bumiputera. Apabila saya turun ke bawah, ke ladang estet ke Kampung Baru Cina, bukan bererti bahawa saya kurang komitmen untuk memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera. Saya melakukan perkara ini sebab kita mesti menentukan bahawa negara Malaysia kita ini mendapat sokongan daripada semua kumpulan etnik kerana masa depan UMNO juga bergantung kepada sokongan orang lain.

Sebab itulah saudara sekalian kita melaksanakan bermacam-macam perkara untuk mencapai status negara maju. Kita ada pelan transformasi ekonomi. Kita mengunjurkan kira-kira RM1.3 trilion pelaburan dalam
masa 10 tahun dan kita akan memastikan pertumbuhan ekonomi 5-6 peratus setahun.

Kita sudah tentukan projek-projek, apa jenis projek untuk mencapai taraf negara maju dan Alhamdulillah dengan adanya pelancaran dan pelaksanaan sedemikian apabila ekonomi Eropah merudum, apabila Amerika Syarikat berada dalam keadaan tidak menentu, kita di Malaysia ini, Alhamdulillah ekonomi kita ini mapan dan
stabil dan menunjuk pertumbuhan yang baik.

Di Amerika Syarikat, apabila saya berjumpa dengan Presiden Barack Obama, dalam pemikiran beliau paras pengangguran di negaranya sudah melebihi 9 peratus.
Saya boleh memaklumkan kepada beliau, kita ada full employment di Malaysia Mr President.

Kalau Amerika pertumbuhannya 1-2 peratus, saya boleh cakap, Mr President kita ada pertumbuhan 5.8 percent last quarter.

Saya bangga sebab ini kejayaan siapa? Kejayaan kepimpinan UMNO dalam negara ini. Ini bukan kejayaan saya secara peribadi tetapi UMNO. Sekali lagi ia membuktikan bahawa ke atas UMNO dalam apa juga keadaan rakyat boleh meletakkan harapan mereka. Saya setuju dengan apa yang dikatakan Datuk Shafie, rakyat boleh trust in us to lead this nation sebab kita tidak pernah mengecewakan rakyat, tidak pernah membohongi rakyat.

Apa yang menjadi masalah ialah puak di sana (pembangkang). Mereka ini bukan kuat sangat, tetapi pandai berkokok, dia berkokok kuat macam ayam, tetapi telurnya satu saja, kadang-kadang tak bertelur pun.

Berkokok sana, berkokok sini, bohong sana, bohong sini, tipu sini, tipu sana, fitnah sini, fitnah sana, bohong tak berhenti bohong.

Lepas itu dia kata kamilah juara sedangkan parti mereka sendiri kucar-kacir. Pembohongan yang terbesar dalam sejarah Malaysia iaitu apa dia perwakilan sebut, kuat sikit 16 September, dia nak berarak ke Putrajaya.

Dia boleh kata Yang di-Pertuan Agong menunggu mengangkat sumpah dia sebagai Perdana Menteri. Saya bersama Pak Lah (Tun Abdullah) masa itu, kita pun geleng kepala daripada mana dia bercakap ini.

Saya tanya Yang di-Pertuan Agong, Yang di-Pertuan Agong pun geleng kepala, lepas itu dia kata 30 orang kita bersedia menyeberang sebelah sana, kita pun seperti kata orang nak play safe. Kepung dia (wakil rakyat), jaga dia. Tawaran ada tetapi tiada seorang pun Ahli Parlimen kita yang menyeberang belah sana.

Dia janji bermacam-macam jawatan, tetapi dia pandai, dia gunakan orang ketiga, orang kata third party untuk menyampaikan berita, satu proses yang tidak demokratik, lepas itu dia berkata tentera Malaysia berada di belakang dia.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ketika itu), (Jeneral) Tan Sri Aziz Zainal menyokong dia, saya kawan baik dia. Saya tahu dia setia dan taat kepada kerajaan. Ini pembohongan terbesar dalam sejarah. Lagi apa, banyak lagi, dia serang saya, fitnah saya tiga tahun tak habis-habis. Tak cukup saya, isteri saya pun dia serang, isteri saya yang duduk diam-diam itu pun kena serang juga.

Saya sudah bersumpah di atas nama Allah di masjid. Sebanyak empat kali saya bersumpah. Saya nak tanya dia, berapa kali dia bersumpah? Ada dia bersumpah dalam masjid, ada dia bersumpah di luar masjid, ada dia junjung al-Quran, di mahkamah pun dia tak berani bersumpah, masuk dalam kandang orang bersalah tak berani bersumpah, buat kenyataan politik tapi ini bukan soal politik.

Ini bukan kes kita lawan dia, ini kes (Ahmad) Saiful (Bukhari Azlan) lawan dia, itu saja. Tidak ada kena-mengena dengan UMNO. Siapa pilih Saiful? Lain itu dot..., dot..., dot..., banyak lagi cerita sebenarnya, Datuk Pengerusi banyak lagi.

Ini saya kata, macam ini ke orang nak jadi Perdana Menteri, banyak lagi bab lain boleh cerita. Kita tengok parti itu, dahlah parti anak-beranak yang sudah saya sentuh perkara itu.

Lepas itu, parti ini dia mencatat sejarah dunia saya rasa, sebab parti yang ramai sekali keluar daripada parti. Saya sudah buat semakan enam Ahli Parlimen, lima ADUN, timbalan presiden, naib presiden, setiausaha agung, ahli majlis tertinggi, tak cukup dengan itu peguam peribadi pun sudah keluar jadi Bebas.

Pengerusi DAP jadi peguam dia sekarang, segala rahsia dia pada DAP sekarang ini, betul tak? Peguam tentu tahu segala-galanya. Rahsia dia dengan DAP, DAP ada segala-galanya, sebab itu dia yang berkepak, sebab semua dalam tangan dia.

Dia sebut demokrasi. Ada demokrasi ke dalam parti dia? Saya tahu baling kerusi ada, kalau ada demokrasi takkan Datuk Zaid Ibrahim nak bertanding kata tak boleh. Dia tidak tak tahan lagi sebab apabila bilang undi, undi itu lebih daripada perwakilan.

Selepas itu tak tebal muka ini, dia apa nama, pilihan raya kita pun dia kata tak betul. Bila masa mengundi itu, pembangkang ada dalam tempat mengundi. Dia ada kita pun ada. Kalau kita boleh manipulasi peti undi (sudah tentu keputusannya) seperti zaman Hosni Mubarak di Mesir yang boleh mendapat 95 peratus.

Kalau kita boleh manipulasi peti undi ini, tuan-tuan dan puan-puan, adakah kita nak melepaskan Selangor di tangan mereka? Ingat kita nak biarkan negeri-negeri lain lepas ke tangan mereka, ingat kita nak biarkan Kelantan 21 tahun di bawah PAS? Tentu tidak.

Kita bukan penipu, kita buat cara yang jujur tetapi mereka menganjurkan BERSIH 2, berarak. Kita bagi stadium, tak nak stadium sebab apa, sebab skrip dah ada dah. Skrip sudah ada, skrip Mat Sabu (Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu) sudah ada, skrip dia masuk apa nama hospital sudah ada.

Ada orang kata ini boleh menang Oscar Hollywood, sudah siap skrip itu, siap diatur masuk ke dalam hospital terlentang dengan memakai baju kuning. Kalau masuk hospital gantilah baju tetapi tidak. Ini semua penipuan. Sebenarnya dia tidak kena apa-apa pun.

Saya memberitahu Datuk Seri Hishamuddin Hussein (Menteri Dalam Negeri) jangan usik dia. Polis tak usik dia pun, tapi dia buat macam sudah kena belasah. Tak kena pun, orang tak jentik dia pun, tapi skripnya sudah siap. Dimasukkan dalam Youtube nak tayang kepada seluruh dunia kononnya kita mempunyai polis state (pemerintahan polis) di Malaysia.

Selepas itu Mat Sabu berlakon lagi, terlanggar curb (pembendung jalan), kata polis langgar. Saya bersetuju dengan apa yang dikatakan perwakilan iaitu lagi banyak Mat Sabu bercakap. lagi untung kita.

Ini parti PAS ini. Saya nak berkata parti PAS ini apa perkataannya, tahun sudah saya kata bangang. Saya nak kata perkataan kedolai. Kedolai ini bahasa orang Pekan dia tahulah, sebab dia tahu dia diperkudakan oleh DAP. Betul tak? Diperalatkan oleh DAP.

Kalau perjuangannya atas nama Islam, tinggalkan daripada menjadi rakan kepada parti DAP. Tetapi kerana nak kerusi (dia sanggup) berpakat. Ini sebabnya saudara sekalian, 12 juta lebih pengundi yakinlah kalau ada pakatan yang rapuh seperti ini yang tidak ikhlas sebenarnya, yang ada pendirian bertentangan antara satu sama lain, kita tidak boleh menyerahkan negara yang tercinta kepada mereka.

Saya nak menyentuh mengenai parti yang kita kasih ini. Transformasi yang paling besar adalah transformasi pada diri kita. Peristiwa Hijrah sudah berakhir, tetapi perubahan besar yang perlu kita lakukan sekarang adalah pada diri kita sendiri.

Ujian terbesarnya adalah sejauh mana apa yang kita perkatakan (pada perhimpunan ini), kita bawa ke kawasan. Kita sudah berikrar. Kita balik ke kawasan, janganlah pula kita bersengketa. Kita lihat muka ketua bahagian itu, janganlah ada rasa menyampah terhadapnya. Kalau kita tengok ketua, tengok pada timbalan, jangan pula kata dia ini nak jawatan saya.

Berilah kerjasama, berilah kasih sayang yang sejati kepada parti. Kita mesti mempunyai semangat seperti Timbalan Presiden sebutkan tadi. Semangat sepasukan! Sebab apabila kita buat seperti yang dulu, kita kalah kerana ada orang UMNO yang mengkhianati perjuangan parti.

Kalau semuanya taat dan setia insya-Allah kita boleh menang pada bila-bila masa.
Jadi selepas ini, apabila kita pulang, kita pastikan barisan kita ini kukuh kerana tuan-tuan dan puan-puan sekalian, kita berdepan dengan ujian yang paling getir.

Beringatlah bahawa pilihan akan datang raya ini adalah paling getir dalam sejarah tanah air.

Pilihan yang dihadapkan pada rakyat adalah pilihan titik penentuan sama ada kita mahu melihat masa depan yang cerah, benderang. Menyaksikan sebuah Malaysia yang maju dengan memilih UMNO dan Barisan Nasional ataupun menempa jalan tragik, penuh kehancuran dengan memilih pakatan pembangkang.

Beringatlah juga, pilihan bakal dibuat kali ini bukan saja tentang UMNO dan Barisan Nasional tetapi kemuncak pada semua itu adalah untung nasib umat Melayu serta rakyat Malaysia keseluruhannya.

Sama ada kita melukut di tepi gantang atau kita terus mencipta kejayaan lagi. Kesimpulannya UMNO kini telah kembali berada landasan yang betul.

Buktinya, kebangkitan kita telah bermula dengan kemenangan di Bagan Pinang, diikuti Hulu Selangor, Batu Sapi, Galas, Tenang, Merlimau dan Kerdau. Inilah petanda bahawa transformasi parti secara besar-besaran telah pun bermula.

Lalu, pada detik, saat dan ketika yang bersejarah ini, di dalam Dewan Merdeka penuh berkeramat ini, kita mengambil seruan dan pengajaran dari firman Allah SWT bahawa hendaklah kita bersiap dan bersedia dengan segala kekuatan yang ada.

Perlengkapkanlah diri masing-masing. Kita akan turun dan berangkat ke medan juang sebagai satu saf yang padu. Sebagai satu pasukan kukuh. Sebagai satu barisan kuat dan semangat yang ampuh.

Sejak berdekad-dekad lamanya, berpuluh-puluh tahun tempohnya, kitalah parti yang membina nasib dan maruah umat Melayu, mendorong denai kebangkitannya, menjadi tiang seri kekuatan bangsa sebagai juragan intai penyelamat dunia.

Setelah mendaki, setelah baiah dipertautkan, setelah ikrar dilafazkan, marilah bersama saya, marilah bersama saya.

Pada saat dan detik ini, insaflah saudara saudari. Kalau kita leka, kalau kita alpa, kalau kita lalai, kalau kita masih bersengketa, kehinaan bakal tiba di muka pintu, tunggulah kehancuran. Maka terpampanglah Melayu merempat di tanah sendiri.

Sejarah menyebut bahawa fitnah dan nista telah berupaya melumpuhkan bangsa-bangsa.

Sekiranya perjalanan kita menempuh rintangan, kita akan pasti mencari jalan. Sekiranya perjuangan ini digempur sejuta halangan, kita pasti merempuh dengan penuh kecekalan.

Wahai orang UMNO, dengan Allah kita berlindung, kepada Allah kita memohon, semoga bala dan musibah ini tidak menimpa, semoga kita terus terpelihara, selagi UMNO terus di persada, selagi semangat terus marak dan menyala.

Wahai orang UMNO, benteng parti ini tetap perkukuh perjuangan ini, walau apa aral yang melintang, sekali-kali kamu tinggalkan Bukit Uhud-Uhud ini, panji-panji mari kita kibarkan.

Alah undur berpantang ajal, pertahankanlah ia, kendonglah ia, hingga kudrat yang terakhir.

Ayuh! ayuh! ayuh!.. semua ke medan tarung. Insya-Allah kemenangan pasti milik kita. Demi Islam! Demi Melayu! Demi Malaysia! Hidup UMNO! Hidup UMNO! Hidup UMNO!

- BERITA HARIAN

Teks Ucapan Pembukaan
http://myadha.blogspot.com/2011/12/teks-ucapan-presiden-umno-pada.html

Goldman Sachs Ramal Malaysia Bakal Catat Prestasi Baik Dalam Suku Pertama 2012

by
Malaysia dijangka mencatatkan prestasi baik dalam suku pertama yang sukar tahun depan berikutan jangkaan penurunan di rantau ini, kata Goldman Sachs.

Firma penyelidikan antarabangsa itu berkata Malaysia dilihat sebagai tempat yang selamat memandangkan persekitaran ekonomi global yang tidak menentu.

Bagaimanapun, keseluruhannya, ia menjangka negara mencatatkan ekonomi kurang memberangsangkan tahun depan.

"Kami mendapati pasaran Malaysia kurang sensitif kepada faktor pertumbuhan di seluruh Asia," kata firma itu dalam Tinjauan 2012 bagi Ekonomi, Komoditi dan Penyelidikan Strategi Global Goldman Sachs.

Ia berkata, inisiatif kerajaan untuk meningkatkan pelaburan menerusi Program Transformasi Ekonomi (EYP) terus meraih momentum seperti yang dicerminkan dalam peningkatan pelaburan swasta dan awam.

"Kami percaya pelabur masih belum menyedari sepenuhnya potensi ekonomi daripada usaha-usaha ini dan "jurang boleh labur" ini menyediakan peluang yang menarik," kata firma itu lagi.

Goldman Sachs juga berkata, industri perbankan akan menjadi wakil yang baik bagi permintaan domestik defensif Malaysia dan menjangka ETP akan mengurangkan sedikit potensi risiko menurun kepada sektor itu tahun depan dengan lebih banyak pembabitan sektor swasta.

Firma penyelidikan itu berkata ia telah mengklasifikasikan tinjauan pasaran Malaysia kepada beli lebih.

Pertumbuhan pendapatan dan sumbangan kepada pertumbuhan dirangsang terutamanya daripada sektor permintaan domestik, daripada bahan asas pengguna, stok perladangan hinggalah kepada perjudian dan pengendali hotel, kata firma itu.

- BERNAMA

Dana RM2 Juta Untuk Penulis Buku

by
Kerajaan memperuntukkan RM2 juta dalam bentuk dana untuk penulis buku tempatan sebagai sebahagian daripada inisiatif membudayakan penulisan dan penerbitan buku bagi memudahkan rakyat membuat rujukan ilmiah.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum berkata, mereka yang layak membuat permohonan bagi dana itu termasuk golongan penulis, guru dan para sarjana.

"Dana itu bertujuan khusus untuk membantu penulis menerbitkan buku yang masih berada di peringkat manuskrip dan membeli buku secara terus daripada penulis," katanya ketika menjawab soalan Mohsin Fadzli Samsuri (Bebas-Bagan Serai) pada persidangan Dewan Rakyat, Khamis.

Mohsin Fadzli ingin tahu apakah langkah-langkah untuk membudayakan penulisan dan penerbitan buku-buku ilmiah, separa ilmiah mahu pun penulisan komersil yang masih kurang di kalangan guru dan ilmuan.

Salang berkata Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) turut mengadakan program untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai tanggungjawab penulis dan penerbit bagi mendapatkan International Standard Book Number (ISBN) dan International Standard Serial Number (ISSN).

Beliau berkata, bagi penulisan buku ilmiah oleh para sarjana tempatan lazimnya diterbitkan oleh koperasi penerbitan insitusi pengajian tinggi masing-masing.

- MSTAR

Teks Ucapan Presiden UMNO pada Pembukaan Perhimpunan Agung UMNO 2011

by
TEKS UCAPAN PENUH PRESIDEN UMNO PADA PEMBUKAAN PERHIMPUNAN AGUNG 2011

MUKADDIMAH

Saudara dan Saudari sekalian,

Alhamdulillah, dizahirkan sejuta kalimah syukur ke hadrat Allah SWT, Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani yang telah memberi izin dan inayah-Nya supaya kita dapat sekali lagi berkumpul dalam dewan penuh bermakna ini. Ucapan selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW yang senantiasa dipersadakan kepimpinannya.

Berbekal rasa tawadhu' dan kerendahan hati, Perhimpunan Agung Umno kali ini ditandai masuknya Tahun Baru Hijrah 1433. Ini bererti, hampir 1380 tahun wafatnya Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW pada 11 Hijrah bersamaan tahun 632 Masihi.

Baginda telah kembali ke pangkuan Ilahi. Pergi selamanya meninggalkan kita dengan dua pegangan utama yakni Al-Quran dan Sunnah sebagai suluh sepanjang zaman agar tidak tersasar dalam perjalanan hidup di dunia ini.

Menyisir sirah Nabawi, dengan beriktibar daripada rentetannya, Rasul yang agung itu, telah mewariskan kepada tamadun kemanusiaan suatu riwayat kepimpinan penuh berteladan.

Baginda telah didokong dan didamping, penuh kemuliaan oleh Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Khalifah Pertama selaku teman setia yang arif berpengalaman, Saidina Umar Al-Khattab, Khalifah Kedua, Al-Faruq yang menjadi perlambangan ketegasan prinsip beragama.

Seterusnya, Saidina Uthman Al-Affan, Khalifah Ketiga, hartawan amanah dengan kewarakan dan keperibadian tiada tolok bandingnya, manakala Saidina Ali, Khalifah Keempat, simbol ketokohan golongan muda yang sanggup berkorban apa saja. Dimuliakan wajahnya serta turut digelar sebagai Singa Allah sepertimana Saidina Hamzah.

Sayugialah, para cendekiawan dan para pengkaji menyifatkan tali temali perjuangan suci Baginda dalam menegakkan syiar Islam, sebagai penuh berstrategi.

Semuanya dipintal dan diikat oleh sifat-sifat mahmudah yang terpuji seperti cinta dan kasih kepada perjuangan, ketaatan, kesetiaan, pengorbanan, keikhlasan, kejujuran, amanah, kuat kerja, tidak putus asa, tabah dan pastinya bertawakal kepada Allah.

Saudara dan Saudari,

Menjejaki laluan tersebut, kita mahu terus mencontohi dan mengambil pengajarannya, bagi memperelok dan memperbaiki perjuangan Umno, yang selama ini turut dipersaksikan oleh perjalanan suka duka, pahit dan manis, selaku sebuah parti penuh berjasa.

Tahun ini, Umno menyambut kelahirannya yang ke-65. Hampir tujuh dekad berjuang sebagai organisasi politik yang menyejarah, mendaging dan mendarah dalam ikhtiar memartabatkan maruah serta mengangkat tinggi kedudukan orang-orang Melayu.

Sungguh jauh kita berjalan. Sungguh banyak hitungan masa. Walau dihadap segenap cabaran, walau dilempar segala fitnah, walau diterjah sedemikian banyak taktik jahat lagi kotor, digodam dan dihentam oleh pihak lawan, terbukti kita tidak pernah pudar semangat, tidak akan mengalah, dan, tidak akan mungkin padam cita-cita.

Bahkan, derap demi derap, terus menyusun strategi, mengatur langkah demi langkah, mara ke hadapan, menjulang panji-panji bangsa, agama dan Negara.

Saudara dan Saudari,

Bersesekali dengan itu jua, saya pohon, marilah kita sama-sama bangun dan berdiri..., bangkit, untuk beri satu penghormatan kepada para pendahulu, kesatria-kesatria Umno, warga parti yang tidak didendang serta barisan negarawan unggul lagi terbilang yang dilahirkan oleh perjuangan mulia ini.

Marilah..., marilah, kita angkat tinggi penghargaan kepada semuanya. Bermula dengan gemulah tokoh-tokoh tersanjung yang telah pulang menyahut panggilan Ilahi seperti Allahyarham Datuk Onn, Almarhum Tunku Abdul Rahman, Allahyarham Tun Razak, Allahyarham Tun Hussein, Allahyarham Tun Dr Ismail dan Allahyarham Tun Ghaffar Baba.

Begitulah juga tokoh-tokoh yang masih teguh berbakti hingga ke detik ini.

Saudara dan Saudari,

Khususnya, kalungkanlah penghormatan kita kepada parti bertuah ini, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yakni Umno yang telah memungkinkan sebuah negara merdeka terbina gagah, ilmu pengetahuan digembur dan disebar luas pada anak-anak, belantara dipugar, sawah ladang diusahakan, hingga laba yang lumayan melimpah-limpah ke kaki halaman.

Sememangnya termaktub, ceritera kejayaan Malaysia adalah cerita kejayaan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, yakni Umno, bersama dengan rakan-rakannya. Parti Perikatan, yang kemudiannya bergelar Barisan Nasional, adalah satu jelmaan dan terjemahan hasil pakatan ikhlas kaum Melayu/Bumiputera beserta kaum-kaum lain di Malaysia.

Berkat pengurusan negara yang begitu cekap, terutamanya di lapangan ekonomi, wajah Malaysia telah berubah daripada sebuah negara pertanian berpendapatan rendah, diawali dengan lebih separuh warganya hidup di bawah paras kemiskinan, kepada sebuah negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi, di mana, kurang daripada empat peratus penduduknya berada bawah paras kemiskinan relatif manakala kemiskinan tegar pula hampir berjaya dibasmi.

Jika dihalusi, susur galur kejayaan ini, mempunyai bibit-bibitnya dalam prakarsa, perancangan rapi, penggubalan dasar dan pelaksanaan oleh kerajaan yang diterajui Umno. Dalam kata lain, ia tidak terjadi secara sendiri mahupun dalam vakum atau kelompongan.

Lantas, usahlah kita berasa bimbang dan ragu. Malaysia, nyatanya, bukanlah sebuah kisah ditulis parti pemerintah yang gagal. Ia dinukil oleh sebuah parti yang berhak untuk berbesar hati, bahawa, mandat dan kepercayaan diberikan oleh rakyat Malaysia, telah digunakan sebaik-baiknya, demi kebajikan dan kegemilangan pertiwi.

Menghayati ehwal demikian, secara sedar atau tidak, bukan semua parti politik jika membentuk kerajaan akan menghasilkan kejayaan yang sama seperti kita. Lihat saja kepada sejumlah besar negara di dunia, waima, mempunyai pelbagai potensi termasuk sumber asli yang kaya, namun dek sebab kerajaan tidak berkebolehan, sia-sialah segala faktor dimiliki, malah akhirnya mereka menjadi negara yang gagal.

Saudara dan Saudari,

Pada perhimpunan tahun lepas, saya telah bercakap dan membicarakan dari sudut falsafah dan asal usulnya, siapakah itu Melayu. Kita dah dengar bahawa antara terhitung dalam kelompok Melayu adalah Bugis, Minang, Arab, Muallaf, serta berpuluh suku kaum di Sabah dan Sarawak.

Hatta Mamak dan Malbari pun dah serap jadi Melayu. Celah-celah itu, ketiga-tiga Naib Presiden kita tampaknya terdiri daripada Jawa, Turki dan Bajau Laut atau lanun. Saya kata takpalah, yang penting semua kira Melayu.

Jadinya, pada perhimpunan kali ini, setelah saya belek-belek dan saya kaji-kaji pengalaman secara aktif selama 35 tahun dalam parti, bersempena pula Umno sudah menjangkau satu umur yang sangat dewasa, berpengalaman dan matang yakni 65 tahun, elok rasanya kalau dikupas pula siapakah dan apakah ertinya menjadi orang Umno. Maksud saya, bilamana memperkatakan tentang parti, kita semua, sebenarnya, tidak cukup sekadar didefinisikan sebagai ahli Umno.

Sebaliknya, kita perlu menjadi orang Umno. Makna kata, orang Umno yang tergambar dan terpamer perwatakannya melalui tindak tanduk serta sistem nilai yang dipegang.

TAAT DAN SETIA

Pertama sekali, orang Umno itu adalah, orang yang taat dan setia kepada parti. Orang Umno tidak akan sekali-sekali mengkhianati parti. Kita faham, adalah lumrah dalam sesebuah parti, mesti timbul perbezaan pendapat. Apa yang penting, kelainan pandangan itu, seharusnya membawa rahmat dan bukannya mengundang mudarat.

Dalam berijtihad pula, orang Umno harus mencipta kebaikan untuk parti. Mengambil mufaham pengertian setia dan taat melalui syura dan musyawarah seperti difirmankan dengan indahnya pada helaian Surah An-Nisa', apabila sesuatu keputusan telah dibuat, jika tidak menyalahi syariat, maka wajiblah ditaati.

Contohnya, kita mahu pengikut seperti Khalid al-Walid yang taat mengundur diri sebagai Panglima perang apabila diarahkan oleh Khalifah dan hanya ikut serta sebagai soldadu biasa. Sekalipun sedang berada dikemuncak karier, menurut sejarahnya tidak pernah kalah perang.

Seterusnya, Usamah bin Zaid, seorang anak muda belasan tahun yang setia menurut arahan mengepalai pasukan tentera Islam walaupun bukanlah seorang panglima yang berpengalaman di medan perang.

Inilah dia, watak, dan keperibadian pejuang sejati yang kita inginkan dalam susuk diri orang-orang Umno.

Bercakap tentang taat setia juga, kita tak mau, bila depan kita disuruh angguk, dia angguk, disuruh geleng, dia geleng. Tapi di belakang lain pulak halnya.

Jangan tikam dari belakang dan jangan pulak main belakang. Bak kata pepatah, janganlah telunjuk saja lurus tetapi kelingking berkait.

Saudara dan Saudari,

CINTA DAN KASIH

Adapun nilai kedua orang Umno itu adalah, orang yang cinta dan kasih kepada perjuangan parti. Seperti dimadah oleh Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, dalam lagunya; itulah kasih mesra, sejati dan mulia.

Dalam hal ini, apabila ada rasa cinta dan kasih kepada parti, orang Umno itu juga adalah, orang yang tidak takut dan tidak gentar menyuarakan pendapat serta mendengar pula pendapat orang lain demi kebaikan parti.

Ajaran agama dan pujangga melorongkan pedoman, perkatakanlah yang benar kerana kebenaran itu isi dan makanannya sejarah, tidak akan patah dipukul zaman.

Bersesuaian dengan nilai kesetiaan, bila kuat hawa kasihnya kepada parti, orang Umno wajib membela dan mempertahankan parti, selagi hayat dikandung badan.

Seperkara utama lagi adalah, cerdik pandai berfatwa, tak kenal maka tak cinta. Lantaran, untuk mencintai parti, orang Umno wajar kenal sejarah parti, samada yang tersurat, mahupun yang tersirat. Begitulah, seharusnya menjiwai prinsip serta falsafah perjuangannya.

Pendek kata, orang Umno harus melihat parti sebagai satu-satunya wadah yang mampu membela untung nasib orang Melayu. Dalam berusaha pula, sebagai tanda kasih, orang Umno sewajibnya bersemangat dan tidak sesekali mengecewakan parti yang dicintai.

Meluncur topik cinta dalam berorganisasi, orang Umno wajib ada cinta yang satu sahaja kepada parti, tidak boleh cinta poligami, tidak boleh cinta berbelah bagi atau kata orang Indonesia berbagi cinta…tak mungkin Pak...enggak bisa Pak.

Saudara dan Saudari,

BERKHIDMAT TANPA JEMU DAN BERKORBAN

Orang Umno itu adalah orang yang sanggup berkhidmat tanpa jemu dan sanggup berkorban. Pengorbanan adalah satu sifat yang harus bersebati dalam diri orang Umno. Bersandarkan prinsip persalingan, orang Umno harus menunjukkan keikhlasan berkhidmat kepada rakyat. Beringatlah bahawa, rakyat sedang memerhati kita. Kata orang, rakyat itu sentiasa merasa, mendengar dan mengadili, biar betapapun senyap suara mereka, biar betapapun jua diam gerak geri mereka.

Disudut lain, sambil menghadam peradaban Melayu, orang Umno perlu bermuhasabah ke dalam diri masing-masing. Masih wujudkah semangat Tun Tuah di sanubari? Masih bergemakah kekentalan jiwa Tun Fatimah? Mahu tidak mahu, orang Umno harus berusaha tanpa jemu. Biar berdepan apa pun cabaran, pastikan Umno menang, biar dilintang apapun dugaan, orang Umno mesti terus berdamping dengan rakyat.

Sedarlah kita bahawa, dalam sistem demokrasi, tidak ada tempat kedua. Kita wajib jadi juara.

Kesimpulannya, kemuncak pengorbanan adalah menjunjung kepentingan dan maruah parti, bukannya kepentingan dan maruah peribadi.

Saudara dan Saudari,

1946

Terpanggu atas segalanya, kejayaan terbesar Umno adalah menyatupadukan orang-orang Melayu melalui penubuhannya pada 11 Mei 1946. Lantaran itu, perlu ditegaskan bahawa, kejayaan ini bukannya kecil, jauh sekali daripada bersifat enteng kerana bangsa Melayu sebelum Perang Dunia Kedua, masih belum endah politik, disamping terbelenggu semangat kenegerian.

Jangan dilupa juga, termusta'id dalam lembaran sejarah bahawa, Umnolah yang telah berjaya menguburkan penubuhan Malayan Union dan menggantikannya dengan sistem Persekutuan Tanah Melayu.

Sekaligus, ditanda dengan episod itu, Umno telah berbakti menyelamatkan kedudukan Raja-Raja Melayu, bangsa Melayu dan kesucian agama Islam.

Saudara dan Saudari

1951

Kemudiannya, satu episod getir telah dilalui oleh Umno apabila Datuk Onn Jaafar seorang tokoh bangsa, selaku Presiden Pengasas, meletakkan jawatan, sebagai Yang DiPertua dan keluar dari parti.

Pada masa tersebut, banyak pihak telah menitipkan belasungkawa dan membacakan talqin terhadap Umno kerana hilangnya kepimpinan. Sekalipun begitu, pemilihan parti telah menyaksikan Tunku Abdul Rahman mengambil tempat sebagai Yang DiPertua dengan Tun Razak sebagai Timbalannya yang setia.

Ternyata, telahan kelam oleh pelbagai pihak bahawa, Umno akan karam, amat meleset, malah, penggantian kepimpinan ini telah merancakkan lagi usaha bagi mendapat kemerdekaan negara. Serentak dengan itu, slogan "Hidup Melayu" telah diubah kepada "Merdeka".

Kendatipun para ahli tidak menerima cadangan Datuk Onn untuk membuka pintu Umno kepada orang-orang bukan Melayu, kepimpinan parti waktu itu, memahami realiti yang ada dan berfikir panjang, malah berilham jauh ke hadapan dengan mencipta prinsip atau konsep perkongsian kuasa unik, melalui Parti Perikatan dengan menggabungkan Umno, MCA dan MIC.

Yang termustahak adalah, taat setia semua kaum kepada Persekutuan Tanah Melayu. Saudara dan Saudari,

1955

Menyentuh usaha tersebut, iltizam Umno bagi menjayakan prinsip yang dipelopori jelas terpamer sejak dari awal lagi. Sebagai contoh, dalam pilihanraya tahun 1955, untuk memilih 51 daripada 52 ahli Majlis Perundangan Persekutuan, prinsip perkongsian kuasa telah dipraktikkan Umno apabila kita meletakkan calon di hanya 35 kawasan, berbanding MCA, 15, dan MIC, 2.

Walhal, daripada 52 kerusi yang dipertandingkan, 50 adalah kawasan majoriti Melayu, dan hanya 2, kawasan majoriti Cina.Perlu diketahui juga, pecahan pengundi semasa pilihan raya tersebut, mencatatkan majoriti kira-kira 84 peratus atau lebih 1 juta pengundi Melayu. 11 peratus atau seramai 143 ribu pula, adalah pengundi Cina, manakala 50 ribu, atau, hampir 4 peratus sahaja, di kalangan pengundi India.

Hakikat tersebut nyatanya, tidak menghalang semua calon parti MCA dan parti MIC untuk menang. Bagi pemimpin dan orang-orang Umno, demi mencapai perpaduan antara parti-parti komponen Perikatan, mereka harus menunjukkan keikhlasan berkongsi kuasa.

Keikhlasan ini dimanifestasikan dalam bentuk kerelaan memberi kerusi majoriti Melayu kepada parti-parti komponen untuk ditandingi.

Tidak terhenti setakat itu sahaja, ia diikuti pula dengan kesanggupan orang-orang Umno untuk mengundi calon bukan daripada bangsa mereka sendiri, demi matlamat lebih besar, yakni memenangi pilihanraya, kemudiannya, membentuk kerajaan, seterusnya mencapai kemerdekaan.

Terbukti, sejak dari dulu lagi, Umno bukanlah sebuah pertubuhan rasis. Umno sebenar dan sebetulnya adalah pencetus serta perintis kepada semangat tolak ansur antara kaum, yang akhirnya, telah mencipta kestabilan sosial, membawa kepada kemakmuran nasional.

Saudara dan Saudari sekalian,

1957

Umno juga melalui Parti Perikatan telah mengemudi pelayaran bahtera merdeka, tanpa pertumpahan darah, mahupun revolusi. Ia dimeterai atas meja rundingan. Syukur, tiada kemusnahan, sekalipun terhadap sumber kekayaan negara, samada dalam bentuk ladang mahupun lombong.

Ini, membolehkan kerajaan yang baru merdeka, membina sebuah watan aman berjaya, di atas asas-asas pemerintahan sedia ada.

Setepatnya, kisah kejayaan kita bermula sebelum negara mencapai kemerdekaan, 54 tahun yang lalu. Ia bertitik tolak apabila Kerajaan Perikatan dengan kuasa terhad, di bawah kepimpinan Tunku Abdul Rahman dibentuk pada tahun 1955.

Sebaik sahaja mencapai taraf berkerajaan sendiri, Perikatan mula mengorak langkah, bagi membaiki nasib rakyat, dengan penggubalan Rancangan Malaya Pertama, antara tahun 1956 hingga 1960. Dalam ketika itu, pada 1956, Felda ditubuhkan, disusuli pula langkah-langkah lebih konkrit pasca merdeka.

Penubuhan Felda menjadi satu langkah yang amat mendahului waktunya. Ia telah memberi peluang kepada mereka yang tidak bertanah, ia telah membawa sinar kepada mereka yang tidak mempunyai harapan, dan ia telah menawarkan permulaan baru untuk warga Malaysia keluar daripada kemelut kemiskinan.

Segala tahmid ke hadrat Yang Esa, hari ini terdapat lebih 100 ribu peneroka di seluruh negara yang telah menikmati hasil rancangan penuh berwawasan ini, bersama-sama ratusan ribu generasi kedua.

Saudara dan Saudari,

Berbalik kepada salasilah, apabila negara memperoleh kemerdekaan, maka cabaran pertama dihadapi Umno dan Parti Perikatan ialah, bagaimana hendak menangani pengaruh dan ancaman Parti Komunis Malaya serta menamatkan darurat yang telah diisytiharkan pada tahun 1948.

Alhamdulillah, matlamat ini telah berjaya dicapai, kurang daripada tempoh tiga tahun selepas 1957.

Kejayaan yang dicapai bukanlah sedikit, sebaliknya ia begitu signifikan dan tersergam kepada negara. Kita harus melihat kejayaan ini dari perspektif apa yang berlaku dirantau ini.

Kalau diamati, walau ada penglibatan kuasa besar dunia dengan kekuatan militer tanpa tolok banding, masih tidak mampu menghalang pengaruh komunisme. Sebaliknya, sebuah kerajaan baru merdeka, dengan sokongan padu rakyat, berjaya menyanggah teori domino.

Oleh yang demikian, Umno mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak tertentu yang cuba menulis dan meriwayat semula sejarah, dengan memperlekehkan sumbangan para pahlawan negara. Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan mengenang budi, kerajaan Barisan Nasional tidak akan sekali-kali membiarkan wirawan serta wirawati kita, tanpa pembelaan sewajarnya.

Sesungguhnya, jasa dan bakti mereka akan terus malar serta segar dalam sanubari dan ingatan setiap rakyat Malaysia. Selepas memenangi keamanan, telah diisytiharkan pula perang terhadap kemiskinan dan kemunduran.

Seperti disebut tadi, ini wajar dilakukan kerana, seawal merdeka, lebih 89 peratus rakyat Malaya hidup di kawasan luar bandar dan pedalaman, dengan kadar buta huruf yang tinggi, akses kepada pendidikan yang rendah, ditambah pula kemudahan asas yang terkebelakang.

Lucunya, kita kini mendengar pihak-pihak tertentu tanpa segan silu menguar-uarkan konsep negara berkebajikan. Kita ucapkan syabas dan tahniah kepada mereka, kerana, baru sedar terhadap konsep negara kebajikan ini. Sesungguhnya, mereka sudah 60 tahun terlewat.

Soalnya, kenapakah kini, baru prihatin terhadap kebajikan rakyat? Kita ingin bertanya, sebelum ini apa matlamat perjuangan mereka? Adakah matlamatnya semata-mata untuk memecahbelahkan ukhuwah umat? Hakikatnya, dengan segala inisiatif dan perlaksanaan demi rakyat, kerajaan Barisan Nasional sudah sejak melebihi enam dekad, mengamalkan konsep negara berkebajikan.

Saudara dan Saudari,

1969

Apabila tragedi hitam rusuhan kaum 1969 terjadi, prognosis pemerhati antarabangsa terhadap Malaysia amat buruk. Mereka meramalkan kita akan gagal manakala rakyat seolah-olah telah hilang harapan. Sementelahan pun begitu, Umno dan rakan-rakannya jauh dari menyerah kalah atau hilang pedoman.

Sehubungan peristiwa ini juga, jangan sekali-kali kita alpa bahawa, terdapat di kalangan pemimpin pembangkang, turut terlibat mengapi-apikan slogan untuk menghina orang Melayu sehingga berlakunya tragedi 13 Mei.

Saudara dan Saudari sekalian,

1970

Tarikh 22 September 1970 menyaksikan Tunku Abdul Rahman melepaskan kepimpinan negara diikuti kepimpinan parti. Tun Razak telah mengambil alih kedua-dua jawatan tersebut, maka bermulalah era pelaksanaan DEB. Fokus masih lagi kepada kawasan luar bandar dan pedalaman.

Ini dicerminkan menerusi penubuhan agensi, antara lainnya, Risda, untuk pekebun kecil getah, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Lembaga Pertubuhan Peladang dan Lembaga Kemajuan Ternakan Negara, masing-masing untuk petani, peladang dan penternak. Bagi merancakkan pembangunan wilayah pula, kerajaan telah menubuhkan Kejora, Ketengah, Perda, Keda, Kesedar, Dara dan Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka.

Bagi mencipta masyarakat perdagangan dan perindustrian serta kemasukan kaum Melayu/Bumiputera ke dalam sektor moden pula, kerajaan telah menubuhkan agensi seperti Bank Bumiputra, Uda, Pernas dan Perusahaan Awam Bukan Kewangan atau PABK.

Kesan utama pelaksanaan dasar ini, dan pewujudan Barisan Nasional adalah terciptanya kestabilan sosial yang membolehkan pertumbuhan ekonomi mapan dengan kadar pukul rata hampir 7 peratus untuk dua dekad berturut-turut. Ini secara langsung telah meningkatkan kemakmuran serta taraf hidup semua rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum.

Saudara dan Saudari,

1988

Umno menghadapi saat paling dahsyat apabila parti keramat ini diharamkan pada tahun 1988. Ini kerana keputusan pemilihan parti 1987 tidak dapat diterima dan kes telah dibawa ke mahkamah. Walaupun Umno berpecah dua, seraya menyaksikan satu percubaan untuk meniru konsep Barisan Nasional melalui Gagasan Rakyat dan Angkatan Perpaduan Ummah, hal ini tidak berjaya, kerana tidak ada keikhlasan.

Sungguh apapun, segala cabaran telah berjaya diharungi. Bangkit dari runtuhan Umno lama, Umno baru telah wujud bagi terus membela umat Melayu dalam satu proses pemulihan parti dengan tidak mengambil masa yang lama.

Saudara dan Saudari,

1990

Berlawanan dengan tafsiran cetek oleh sesetengah pihak, DEB sejelasnya tidak pernah merugikan orang-orang bukan Melayu. Buktinya, setelah dua dekad pelaksanaan, pada tahun 1990, orang bukan Melayu masih lagi memiliki ekuiti terbesar dalam kekayaan negara manakala pendapatan pukul rata isi rumah mereka, masih yang tertinggi antara kaum di Malaysia.

Diperakui, walaupun matlamat pemilikan ekuiti tidak tercapai sepenuhnya, paling terkesan ialah penciptaan kelas menengah Melayu yang besar, menjelang berakhirnya dasar ini. Saiz kelas menengah ini meningkat tinggi dengan pelaksanaan Dasar Pembangunan Nasional antara 1991 hingga 2000.

DEB, sebenarnya telah mengasaskan kestabilan sosial kebangsaan yang membolehkan penciptaan kekayaan dan kemakmuran dinikmati oleh semua pihak.

Salah satu kisah kejayaan lagi, ialah bertambahnya jumlah profesional Melayu/Bumiputera. Jika dikaji, ketika bermula pelaksanaannya pada awal 70an, hanya terdapat kurang 5 peratus profesional daripada kaum Melayu dan Bumiputera.

Jumlah ini telah bertambah kepada 45 peratus dari keseluruhan profesional hasil DEB dan dasar-dasar seangkatan dengannya.

Prakarsa kerajaan melalui penubuhan sekolah berasarama penuh atau SBP dalam bentuk Sekolah Menengah Sains, Maktab Rendah Sains MARA, pusat asasi sains, matrikulasi untuk IPTA tempatan dan penghantaran pelajar ijazah pertama ke luar negara menjadi pemangkin yang telah membawa kepada kemunculan kelas pertengahan Melayu.

Dasar ini juga telah menunjang pergerakan menegak mobiliti sosial, maka tidak pelik melihat anak seorang buruh kasar hari ini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan. Anak pesawah, penoreh getah, nelayan dan peladang pula menjadi anggota pentadbiran tertinggi, penjawat awam dan korporat, usahawan, hartawan dan cendekiawan.

Saudara dan Saudari,

Sebagai dimaklumi, asalnya kita adalah sebuah negara pertanian yang eksport utamanya adalah komoditi seperti getah, kelapa sawit dan bijih timah. Pada pertengahan tahun 80an, apabila pulih daripada menghadapi kemelesetan ekonomi akibat kejatuhan harga komoditi utama negara, kerajaan telah memulakan proses industrialisasi.

Tumpuan juga mula diberikan bagi menjadikan Malaysia pusat tarikan pelancongan global disamping pembinaan projek infrastruktur yang besar. Misalnya, Lebuhraya Utara-Selatan yang telah berjaya merangsang pertumbuhan dan proses urbanisasi.

Pucuk pangkalnya, semua inisiatif, dasar dan program ini telah membawa kepada perubahan struktural bukan sahaja kepada lanskap sosioekonomi rakyat Malaysia tetapi juga kepada sistem nilai, taraf hidup dan pendidikan lebih tinggi serta akses kepada maklumat yang lebih luas.

Saudara dan Saudari,

1999

Direnung-renung dan ditinjau-tinjau semula, dalam Pilihanraya 1999, sungguhpun penggunaan telefon bimbit makin meningkat, disebabkan keupayaan teknologi masih terbatas ketika itu, ia belum mampu menyalurkan data.

Maka, e-mel, faks dan laman sesawang yang tidak interaktif, menjadi medium popular sebagai penyampai berita alternatif. Meneropong kembali, waktu itu, belum ada Google, belum ada Facebook, belum ada Twitter hatta telefon pintar.

Berbanding sekarang ini, menurut data dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia kita mencatat 36 juta pelanggan telefon selular, iaitu kadar penembusan 124%, atau, 124 set bagi 100 penduduk. Penembusan jalurlebar sekarang pula telah meningkat kepada 62% langganan isi rumah. Dengan kata lain, 4 juta isi rumah dari sejumlah 6.5 juta isi rumah, atau, lebih 16 juta penduduk Malaysia mempunyai kemudahan jalurlebar.

Selain itu, lebih 40 peratus yang melanggani TV satelit berbayar, mendedahkan mereka kepada saluran berita seperti CNN, BBC dan Al-Jazeera, bagi mengikuti perkembangan dunia secara langsung.

Saudara dan Saudari,

2011

Bertapak jauh selepas satu dekad, pengenalan SMS, MMS, BlackBerry Messenger, telefon pintar, media sosial, tablet eletronik pintar dan Wi-Fi percuma telah mejadikan akses kepada idea, pendapat dan berita melaluinya menjadi lebih mudah.

Umpamanya, ucapan perayaan Aidil Adha, yang disiarkan semasa saya dan rombongan mengerjakan Haji baru-baru ini, telah dirakam semasa di Padang Arafah, dengan menggunakan iPhone, sebelum diedarkan kepada media tempatan.

Saudara dan Saudari,

Berkalam tentang kecanggihan sebegini, demikian kita menyaksikan saat-saat akhir Saddam Hussein di tali gantung, serta juga nasib yang menimpa Muammar Gaddafi. Perubahan yang berlaku di Tunisia, Mesir, Libya dan Yemen serta protes di Syria seperti kita lihat, adalah juga, genesis kepada medium media sosial.

Kita dapati, walaupun pemerintah negara-negara berkenaan cuba untuk membuat putaran cerita, namun dengan hanya telefon pintar, jalurlebar dan YouTube, mampu menceritakan apa yang sebenarnya berlaku, di negara-negara tersebut.

Berpacu dari sini, kerajaan, melalui SKMM telah mewujudkan lebih kurang 560 pusat jalurlebar masyarakat, iaitu hampir satu di setiap mukim di negara ini. Kita mantapkan lagi usaha penubuhan lebih 1,300 kampung tanpa wayar di merata negara, agar, rakyat keseluruhan, berkemampuan melayari internet manakala 1,700 lagi masih dalam proses.

Malaysia sekarang sudah terletak antara tangga teratas di kalangan negara Asean dari segi kemampuan ICTnya. Kita juga mempunyai 17.5 juta pengguna Internet, dan menurut kajian, orang Malaysialah, yang paling ramai mempunyai rakan Facebook, yakni, secara puratanya, 234 bagi setiap seorang.

Saudara dan Saudari,

Begitu juga bermula tahun 90-an, bagi menangani perasaan tidak puas hati terhadap akses pendidikan tinggi, maka, bermula tahun 1995, kerajaan telah mengorak langkah untuk meliberalkan sektor pengajian tinggi tempatan.

Kesannya, dari hanya 9 buah universiti awam, hari ini telah bertambah menjadi 20. Disamping itu, 25 universiti, 22 kolej universiti dan lebih 400 kolej swasta serta 5 kampus tempatan universiti asing kini telah wujud. Saudara dan Saudari sekalian,

Hasil peningkatan taraf sosioekonomi dan akses lebih meluas kepada pendidikan pasca menengah, telah mewujudkan generasi rakyat Malaysia baru lebih kritikal dan meningkat ekspektasinya terhadap kerajaan.

Generasi ini adalah anak-anak kepada generasi pertama DEB. Mereka dilahirkan bermula tahun 70an. Generasi ini, tidak suka dibentak-bentak, tidak suka diarah-arah apa yang perlu dilakukan, tidak gemar diberitahu apa yang benar dan salah, serta paling tidak disenangi mereka apabila kita mengungkit-ungkit jasa-jasa kita yang lalu.

Kita dapati bahawa, mereka ini mahu terus dirundingi, mahu kebebasan untuk menilai, berhujah dan membuat keputusan berdasarkan kepada pasaran maklumat dan idea yang ada. Jadinya, untuk terus kekal, Umno perlu berkomunikasi mengikut langgam dan laras bahasa anak-anak muda, supaya parti kita difahami.

Lalu, dalam persekitaran inilah kerajaan mengumumkan untuk meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti atau AUKU bagi membenarkan mahasiswa dan mahasiswi universiti awam untuk menjadi ahli parti politik apabila mencapai umur baligh undang-undang atau 18 tahun. Saudara dan Saudari,

Umno sentiasa mendengar suara dan menghargai peranan serta sumbangan orang muda. Kita mengiktiraf mereka bukan sahaja apabila menghadapi pilihan raya, sebaliknya pada setiap masa dan ketika.

Dalam sejarahnya, Umno adalah parti politik pertama di negara ini, yang mempunyai sayap untuk orang muda, lelaki, wanita dan diikuti dengan sayap puteri. Bagi meningkatkan peranannya, dalam pindaan Perlembagaan Umno yang terbaru, kita telah menambah jumlah perwakilan di peringkat Bahagian dan Perhimpunan ini.

Malah, jumlah mereka juga ditokok dalam proses memilih pucuk pimpinan parti.

PENUTUP

Saudara dan Saudari,

Kejayaan membentuk wajah Malaysia seperti yang ada, telah menghadapkan kita dengan cabaran terbesar kepada survival parti dan Barisan Nasional itu sendiri. Sama ada kita akan kekal sebagai parti yang dipercayai rakyat dan mendapat mandat bagi terus menjadi kerajaan, bergantung kepada kesedaran, kefahaman dan tindakan kita selanjutnya.

Sepanjang ucapan saya tadi, dirakamkan kronologi 10 detik yang telah menjadi "game changer" kepada Umno menyusuri sejarah parti.

Sehubungan itu, suka saya simpulkan, 5 kekuatan teras, yang membolehkan kita menghadapi apa pun badai dan mehnah yang merempuh parti, samada bersifat dalaman, mahupun luaran. Pertamanya ialah, keupayaan menggagas semula parti bagi memanfaatkan persekitaran yang baru.

Kedua, pengamalan prinsip wasatiyyah dalam semua bidang, samada urus tadbir, perkongsian kuasa, iktisad yakni ekonomi, perhubungan kaum mahupun perhubungan antarabangsa.

Ketiganya, Umno sentiasa mengulungi idea atau "supremacy of ideas" dalam era pertarungan minda dan persaingan sengit pasaran idea serta maklumat.

Keempat, Umno perlu terus meletakkan kebajikan rakyat di atas segalanya-galanya. Segala dasar yang digubal, prakarsa yang dirancang dan program yang dilaksana mengutamakan kebajikan rakyat.

Kelimanya, kebolehan Umno untuk mengotakan apa yang dikata dan menunaikan janji. Pucuk pangkalnya, kita bukan seperti sesetengah pihak yang hanya menjadi tukang karut.

Saudara dan Saudari,

Oleh sebab itulah, apabila saya mengambil alih tampuk kepimpinan parti dan kerajaan tiga puluh bulan yang lalu, saya dan rakan-rakan sama ada dalam Majlis Tertinggi Umno, Dewan Tertinggi Barisan Nasional mahupun Kabinet, telah mengambil keputusan untuk melaksanakan proses islah dan pembaharuan.

Dalam parti, mula-mula sekali kita telah membesarkan francais pemilih bagi ahli-ahli Majlis Tertinggi. Kita mahu lebih ramai orang Umno diberi hak untuk memilih pemimpin mereka. Umno bukan parti yang gentar terhadap demokrasi seperti tuduhan seteru politik kita, malah Umno adalah parti yang mendakap demokrasi.

Kata pepatah Inggeris "the proof of the pudding is in the eating".

Kita bukan seperti pihak lawan. Contoh pertama, Parti A, jawatan Ketua Umum, sudahlah tidak dipilih secara demokratik, lebih berkuasa pulak dari presiden parti.

Contoh kedua, Parti B sebuah parti yang memakai gelar demokrasi, namun, langsung tidak demokratik. Apakah demokratik namanya kalau perwakilan cawangan memilih 20 orang ahli jawatankuasa pusat dan kemudian ahli jawatankuasa pusat tersebut pula, memilih kepimpinan tertinggi parti? Ini jelasnya, tidak sama sekali mencerminkan kehendak ahli terbanyak.

Manakala contoh ketiga, adalah Parti C, yang kononnya memperjuangkan negara kebajikan. Lahawlawala...., jawatan Mursyidul Am pun, tampaknya tidak diundi secara demokratik, tetapi ternyata lebih berkuasa dari presiden.

Sama jugak dengan Parti A. Tambahan lagi Parti A itu, suami, Ketua Umum, isteri, Presiden, anak perempuan sulung, Naib Presiden, Timbalan Presiden pulak.....hrmm...tak payah lah kita cerita.

Saudara dan Saudari,

Menelaah perkara-perkara itu, kita mesti insaf, jika Umno masih gagal memahami dan menghayati faktor-faktor yang menjadi "game changer" atau peneraju cara gaya baru kepada lanskap politik nasional, serta tidak pula mengambil langkah merangka semula "game plan" yakni gerakan terancang, maka kita namanya menempah tragedi untuk parti.

Apakah yang dimaksudkan dengan game changer ini? Pertamanya ialah realiti baru. Jika Umno tidak memahami realiti baru lanskap politik nasional, bagaimana Umno dan BN mahu berjaya? Keduanya, media baru. Mahu tidak mahu, suka tidak suka, Umno harus menguasai media baru kerana hari ini, detik ini, ia mampu menentukan kemenangan atau kekalahan.

Ia berupaya mendatarkan "the playing field" atau ia turut boleh menjadikan satu pertarungan itu, tidak setara. Dari yang demikian, orang Umno wajib mengetahui cara-cara untuk memanfaatkan media baru demi survival parti.

Memenuhi maksud dan menjiwai realiti baru juga, Umno selaku sebuah parti siasah yang dinamik, tidak boleh hanya sekadar hebat bertempur dalam pertarungan lalu, kita semestinya juga menjadi juara dalam berperang di medan laga terkini.

Ketiga, Umno juga harus menghayati pemikiran baru yang ada di kalangan semua segmen pengundi, bagi menarik sokongan mereka. Umno tidak boleh bersikap atau sekalipun dilihat sebagai bersikap angkuh lagi sombong. Jika tidak, para pengundi dan rakyat akan benci dan menjauhi kita.

Saudara dan Saudari,

Selama hampir enam dekad, Umno telah menjadi parti teras yang menonggak kejayaan. Selama ini, rekod-rekod membuktikan bahawa, kita tidak pernah mendominasi atau sekalipun berniat untuk mendominasi parti-parti komponen seperti yang difitnah oleh pembangkang.

Jauh sekali dari kemelut gabungan parti pembangkang yang tidak mampu berijma' dan bersatu hati walaupun dalam soal-soal dasar. Misalnya, dalam perihal negara Islam, Parti A kata, setuju secara peribadi, Parti B kata, tidak sekali-kali, langkah mayat mereka dulu, Parti C pulak kata "kita tukar jadi negara kebajikan". Pening dan keliru rakyat dibuatnya.

Berbeza dengan Umno, sebagai parti teras, kita mengambil langkah berganding dan bekerjasama dengan parti-parti komponen. Kerjasama kita bersifat pragmatik, realistik dan ikhlas. Kita menerima seadanya rakan-rakan dalam Barisan Nasional.

Kita saling percaya mempercayai, saling bergantungan dan saling bersefahaman sejak sebelum merdeka lagi. Inilah yang membuatkan kita berjaya sebagai teraju dalam memakmurkan negara ini.

Saudara dan Saudari,

Sebagai game changer yang kesebelas, kita mulakan dengan Program Transformasi Kerajaan bagi membaiki penyampaian sektor awam. Seterusnya, Program Transformasi Ekonomi dan Model Baru Ekonomi sebagai peta halatuju pusingan akhir ke arah wawasan negara maju berpendapatan tinggi.

Kemudiannya, Program Transformasi Politik bagi menyeimbangkan antara Keselamatan Kebangsaan dan Kebebasan Individu.

Program Transformasi Luar Bandar dilancar, bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar dan pedalaman, serta, Program Transformasi Sosial yang berpandukan falsafah pemandu 1Malaysia.

Kita lanjutkan pula dengan inisiatif-inisiatif yang dapat mengurangkan kos sara hidup rakyat seperti Klinik 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Menu 1Malaysia dan Perumahan Rakyat 1Malaysia atau PRIMA.

Saudara dan Saudari,

Sebetulnya, apa yang ada hari ini seperti dapat disaksikan oleh semua, bukan dibina dalam masa yang singkat. Ia terbina dengan penuh tatih, pengorbanan dan jerih payah. Ia dibangunkan oleh bapa-bapa kita orang-orang Melayu, orang-orang Cina, orang-orang India, Iban, Kadazan dan lain-lain lagi termasuklah orang asli dan orang Siam.

Cita-cita mereka, impian mereka, tidak lain tidak bukan demi kehidupan lebih baik untuk kita. Ia diteruskan lagi oleh generasi kini yang mendambakan masa depan lebih cerah untuk anak-anak cucu kita.

Ingatlah...ingatlah bahawa, semua ini dimungkinkan oleh kita orang-orang Umno, sebuah parti yang amat berjasa kepada kita semua, bukan sahaja anak-anak Melayu tetapi rakyat Malaysia keseluruhannya. Namun, alangkah pedih dan alangkah lukanya hati kita, pabila hari ini, Umno, parti yang sarat jasa dan baktinya, sedang dimomok, dinista dan dicerca semahunya. Malah, jasa kita seolah hendak dipadam terus dari helaian sejarah.

Mereka tanpa malu dan segan, gah mendakwa bahawa, Umno langsung tiada budi atas kehidupan mereka. Kalau benarlah begitu, siapakah yang mengubur Malayan Union? Siapa yang memenangi kemerdekaan secara aman? Kalau bukan parti bertuah ini.

Saudara dan Saudari,

Mengatasi semua persoalan ini, kata orang, kalau mandi air dikali, jangan lupa pada siapa yang menggalinya. Kerana bukankah UMNO yang menjadi induk, mencipta kemakmuran?

Ini tidak, belum lagi berkuasa, sudah ibarat kaduk naik junjung. Ibarat lidah tidak bertulang, katanya mahu membuang separuh dari penjawat awam kalau sudah berkuasa. Apa maksud mereka mahu membuang lebih 200 ribu orang guru? Siapa yang mahu mengajar anak-anak kita? Bukan semua yang mampu menghantar anak ke sekolah-sekolah swasta.

Tidak cukup dengan itu, mahu ditamatkan khidmat separuh doktor dan jururawat sedangkan tidak semua rakyat Malaysia yang mampu mendapatkan rawatan di hospital-hospital swasta. Mahu diberhentikan separuh tentera dan polis? Lalu, pada siapa hendak diharap untuk membenteng keselamatan kita dan keluarga?

Saudara dan Saudari,

Inilah nasib yang akan melanda, jika Umno sudah hilang kuasa. Siapa yang akan membela syiar Islam? Siapa yang mampu membela hak umat dan agenda orang Melayu? Siapa pula yang dapat terus memuliakan Raja-Raja kita? Tepuklah dada, tanyalah jawapan.

Saudara dan Saudari,

500 tahun yang lalu, jatuhlah empayar Melaka. Ia jatuh bukan kerana Melayu kurang hulubalang atau kependekarannya, ia rebah bukan kerana kemiskinan atau kefakiran, ia tersungkur menyembah bumi kerana terlerainya perpaduan dan berlakunya pengkhianatan.

Begitu juga nasib tamadun-tamadun besar di dunia yang hancur, mereput dan runtuh. China, terhina akibat siri perang candu, Empayar Rom, dirobek perpecahan dari dalam dan Khilafah Othmanniyah, punah dek kerana kehalusan strategi pecah belah dan perintah. Bertolak dari situ, marilah kita jadikan kisah-kisah ini sebagai teladan dan sempadan. Jangan sekali-kali kita terperangkap olehnya. Saudara dan Saudari,

Akhir kalam, selaku presiden Umno, saya bersyukur kerana mempunyai timbalan presiden yang setia, barisan naib presiden yang taat, Pergerakan Wanita yang tidak jemu-jemu mendokong perjuangan parti, ketumbukan Pemuda yang lantang dan berani, para Puteri yang cekal dan bersemangat, Majlis Tertinggi yang sentiasa bersiaga, khususnya, orang-orang Umno sekalian, yang menunggu-nunggu panggilan bertempur.

Ayuh, rapatkan saf, nyalakan jamung, gigitlah kuat-kuat perjuangan ini dengan geraham kita. Palulah genderang perang, palulah ia tabuh-tabuhan dan tiupkanlah semboyan. Masanya sudah hampir, waktunya sudah tiba.

Bingkaslah orang-orang Umno, kita turun ke medan bakti. Mudah-mudahan Allah memberkati. Hidup Umno! Hidup Umno! Hidup Umno! Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.

- MSTAR

IPTA Ambil 41,267 Calon Untuk Sesi Kemasukan 2011/12

by
Universiti awam negara telah menerima kemasukan 41,267 orang calon bagi sesi kemasukan 2011/2012 daripada 64,700 permohonan lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau yang setaraf dengannya.

Menurut Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dr Hou Kok Chung berkata, tahun lalu, jumlah kemasukan ke institusi pengajian tinggi swasta pula berjumlah 132,554 orang.

Kata Dr Hou, semua kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam telah dilakukan menerusi sistem pengambilan pusat kecuali Universiti Sains Malaysia (USM)selaku universiti apex dibenar membuat pengambilan sendiri.

USM sahaja telah mengambil 4,405 orang pelajar daripada 29,091 orang yang memohon.

Beliau berkata demikian pada persidangan Dewan Rakyat, Selasa.

- MSTAR

Buku : 77 Tip Melembutkan Hati Lelaki - Zamri Mohamad

by

Penulis : Zamri Mohamad
Penerbit : PTS

Sinopsis

Hati lelaki seperti besi.Betul kuncinya, terbukalah hati dan nampaklah segala isi. Kuncinya ada di sini. Di dalam buku ini.

Melembutkan hati lelaki adalah seperti melembutkan warna-warna garang kepada warna-warna harmoni yang mendamaikan hidup kepada pasangan. Apakah tip-tip melembutkan hati lelaki? Kebanyakan pasangan yang
ditemui, mempunyai pendekatan-pendekatan praktikal
bagi melembutkan hati pasangan mereka yang tersendiri.

Siapa menyangka segelas air suam mampu mempertahankan perkahwinan melebihi 30 tahun. Ini perkara hebat bagi wanita mengetahui rahsia di sebalik segelas air yang mampu melembutkan hati lelaki yang dikasihi.
Isi Kandungan

Bahagian 1
Dari Dalam ke Luar
Tip 1 Sesuaikan Rasa Cinta Kita dengan Dirinya
Tip 2 Timbulkan Dorongan Kebersamaan
Tip 3 Wujudkan Keakraban
Tip 4 Bina Komitmen Kita untuk Dirinya
Tip 5 Rasa Percaya adalah Pengikat Jiwa
Tip 6 Rasai Apa yang Dia Rasa
Tip 7 Kacang Panjang Menjalar dari Tanah
Tip 8 Jadi Seperti Pohon Buluh Jepun
Tip 9 Elakkan daripada Perangkap Jantina
Tip 10 Ketahui Alunan Emosi Kita
Tip 11 Ketahui Personaliti Bersama
Tip 12 Cemburu Entah Betul Entah Tidak
Tip 13 Cinderella Melayu Cinderella yang Bertindak
Tip 14 Jaga Sarang Jangan Sampai Dirosakkan
Tip 15 Sahabat Bercinta, Simpan Rahsia
Tip 16 Bertukar-tukar Pinggan Hidangan
Tip 17 Kukuhkan Talian Kasih Sayang Jarak Jauh
Tip 18 Hati-hati dengan Guruh Kecil
Tip 19 Jarum Saat Tepat pada Waktunya
Tip 20 Marah Tanpa Melukakan Hati Sesiapa
Tip 21 Atmosfera Persahabatan Sebelum dan Selepas Bercinta
Tip 22 Jadi Peminat Paling Setia
Tip 23 Gaduh-gaduh Sayang
Tip 24 Buang Cerita Kekasih Lama Jauh-jauh
Tip 25 Gred Percintaan
Tip 26 Kekalkan Kecantikan Dalaman
Tip 27 Urus Akal dalam Percintaan
Tip 28 Pengatur Urusan Hati
Tip 29 Hati yang Dekat Diserasikan
Tip 30 Perkara yang Melembutkan Hatinya
adalah Petanda Ceria
Tip 31 Tabiat Buruk Semakin Dibiar Semakin Menjadi
Tip 32 Dadu Cinta
Tip 33 Selimut Kecil Fatimah

Bahagian 2
Berhadapan dengan yang Tersayang
Tip 34 Sedarlah Kewujudannya Saban Hari
Tip 35 Bertenang, Selesaikan Kemudian
Tip 36 Hormat Diri, Hormat Pasangan
Tip 37 Zon Waktu Romantik
Tip 38 Bersedia dengan Keadaan Luar Jangka
Tip 39 Kembangkan Minat Baru Bersama
Tip 40 Usah Cepat Melatah
Tip 41 Ikut Rentak Bahasa Badannya
Tip 42 Hidupkan Suasana Rumah
Tip 43 Amboi, Marah Ya!
Tip 44 Atmosfera Cinta, Atmosfera Takut
Tip 45 Tanam Pinang Rapat-rapat
Tip 46 Alunan Emosi Pasangan
Tip 47 Tanpa Sepuluh Sen Tiada Sejuta Ringgit
Tip 48 Beri dan Terima Penghormatan
Tip 49 Lelaki Juga Perlukan Sentuhan Emosi
Tip 50 Berhadapan Pasangan yang Rendah Diri
Tip 51 Elakkan Kritikan Membunuh
Tip 52 Keratan Resipi Suami
Tip 53 Permintaan Lampu Hijau
Tip 54 Pamerkan Minat Kita pada Kesukaannya
Tip 55 Galakan Berbual-bual Berkaitan Angan-angan Bersama
Tip 56 Apabila Dia Ingin Berjalan,
Katakan untuk Berlari Bersama
Tip 57 Bina Batu Bata Keyakinan kepada Pasangan
Tip 58 Cinta Pisang Goreng
Tip 59 Bukan Mudah Berkomunikasi dengan Lelaki
Tip 60 Tahukah Kita Hobi Si Dia
Tip 61 Bajai dengan Kata-kata Manis
Tip 62 Satu Bahasa Dua Makna
Tip 63 Kisah Cemburu Lelaki
Tip 64 Lelaki dan Personaliti Fizikal
Tip 65 Pondok Kawalan Harta 24 Jam
Tip 66 Jangan Terjatuh ke Lubang Sunyi
Tip 67 Satu Suara Empat Corong
Tip 68 Jadilah Orang Pertama Di sisi yang Tersayang

Bahagian 3
Luaskan Lingkaran Pengaruh
Tip 69 Ikat Hati Pasangan dengan Ahli Keluarga Kita
Tip 70 Ikat Hati Keluarga Si Dia
Tip 71 Bina Reputasi Baik Pasangan di Kalangan Sahabatnya
Tip 72 Jadikan Anak-anak Pelembut Hatinya
Tip 73 Lembut Hati Anak, Lembut Hati Bapa
Tip 74 Jangan Diselubungi Selimut Hitam
Tip 75 Ibu, Fahamilah Saya
Tip 76 Apabila Mertua di Hadapan Mata
Tip 77 Positifkan Labelmu

Buku ini boleh dibeli secara online di: http://www.bookcafe.com.my/en/cinta-and-perkahwinan/77-tip-melembutkan-hati-lelaki.html

Hanya 46 peratus wanita Malaysia yang bekerja

by
Penyertaan golongan wanita dalam sektor pekerjaan di negara ini adalah hanya 46 peratus, satu kadar paling rendah di rantau ini berbanding negara jiran pada 70 peratus, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan.

Beliau berkata kerajaan menggalakkan golongan wanita tempatan terutamanya suri rumah untuk memasuki pasaran pekerjaan sebagai usaha agar bilangan tenaga kerja asing di negara ini dapat dikawal.

"Kementerian sedang memikirkan strategi meningkatkan kadar penyertaan tenaga kerja tempatan kerana negara memang ada tenaga tempatan yang masih boleh digunakan tetapi memerlukan pelbagai sokongan dan insentif.

"Kita turut menggalakkan rakyat yang boleh bekerja tetapi tidak bekerja contohnya suri rumah, pesara, OKU dan pelajar ke pasaran pekerjaan dengan mewujudkan peraturan kerja separa waktu iaitu kerja kurang dari lapan jam tetapi masih mendapat hak sebagai pekerja antaranya kelebihan KWSP, SOCSO dan cuti," katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri (BN-Kuala Nerus) yang ingin tahu kadar kebergantungan negara kepada tenaga buruh asing berbanding dengan kesediaan dan kesanggupan rakyat tempatan dalam sektor-sektor pekerjaan bagi menangani masalah pengangguran.

Maznah berkata kebergantungan negara terhadap tenaga buruh asing bersifat sementara dan berdasarkan statistik terkini pekerja asing yang berkhidmat di negara ini yang menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) berjumlah 1.8 juta orang.

"Walaupun Malaysia menjadi pilihan warga asing sebagai lubuk mencari rezeki, kerajaan tidak mengamalkan dasar terlalu terbuka kerana ia dikhuatiri menjejaskan peluang rakyat tempatan untuk meneroka pasaran pekerjaan," katanya.

Jumlah guna tenaga yang bekerja di Malaysia pada masa ini ialah 11.7 juta manakala kadar pengangguran ialah sekitar 3.4 peratus.

Sektor seperti pembinaan, pembuatan, perladangan dan pertanian adalah yang banyak menggajikan pekerja asing.

Maznah berkata mereka yang hendak mendapatkan golongan berkenaan sebagai tenaga kerja hendaklah berdaftar dengan portal JobsMalaysia dan melalui proses Jobs Clearing System.

- BERNAMA

Daftar mohon bantuan RM500 dibuka 10 Disember 2011

by
Pendaftaran permohonan bantuan tunai RM500 akan dibuat mulai 10 Dis ini untuk tempoh satu bulan, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Sehubungan itu, pembayaran bantuan RM500 hanya akan dibuat kepada ketua isi rumah yang layak mulai pertengahan Januari tahun depan, kata Ahmad Husni dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, borang pendaftaran boleh didapati secara percuma mulai tarikh tersebut, di Jabatan Pembangunan Persekutuan, Pejabat Cawangan dan Pusat Khidmat Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), serta agensi-agensi kerajaan.

Borang yang lengkap diisi berserta salinan kad pengenalan, hendaklah diserah untuk proses pendaftaran di Jabatan Pembangunan Persekutuan/Negeri, sekolah-sekolah terpilih serta pejabat-pejabat cawangan LHDNM, katanya.

Menurut Ahmad Husni, bantuan ini dijangka dapat memberi manfaat kepada seramai 5.2 juta isi rumah atau 79.5 peratus daripada keseluruhan isi rumah di negara ini.

"Pemberian ini melibatkan anggaran peruntukan sebanyak RM2.6 bilion.

"Bantuan ini adalah tanda keprihatinan kerajaan dalam usaha untuk membantu meringankan kenaikan kos sara hidup rakyat,” kata Ahmad Husni.

Isi rumah yang layak memohon, merujuk kepada seorang lelaki atau wanita yang menjadi ketua kepada ahli yang tinggal serumah atau ketua keluarga.

Ia merangkumi individu berkahwin, termasuk anak yang berkahwin dan tinggal bersama ibu bapa; ibu atau bapa tunggal yang mempunyai tanggungan; individu (bujang, duda, ibu tunggal) bujang yang mempunyai tanggungan; dan warga emas sebatang kara.

Ketua isi rumah yang berkerja sendiri juga layak untuk memohon, katanya.

- BERNAMA

Proton Perkenal Saga Baru - Saga FLX SE

by

Dalam usaha mengembangkan rangkaian model Saga, Proton Holdings Bhd pada Rabu memperkenalkan kemasukan baharu variasi Saga yang dinamakan Saga FLX SE.

Variasi baru ini bersedia untuk menarik generasi muda di kalangan pembeli kereta.

Berharga RM49,449 dan digerakkan oleh enjin 1.6 liter Campro Intake Air-Fuel Module (IAFM), Saga FLX SE bertujuan memberikan pemilik kereta dengan prestasi yang lebih dan penjimatan dari segi pengunaan bahan bakar.

"Ia mengesahkan lagi Saga sebagai kereta pilihan ramai kerana kemampuan yang luar biasa dan nilai wang yang termasuklah penjimatan bahan bakar yang lebih baik, prestasi yang hebat dan pemanduan dan pengemudian yang cemerlang," kata Pengarah Urusan Kumpulan Proton, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, kombinasi enjin 1.6-liter Campro IAFM dengan transmisi automatik transmisi boleh laras berterusan (CVT) memberikan antaranya pengurangan penggunaan bahan bakar dengan tambahan empat peratus berbanding dengan Saga 1.6 liter pada masa ini.

Berharga RM2,900 lebih tinggi daripada Saga FL automatik 1.6 liter pada masa ini, Saga FLX SE mengetengahkan perubahan lapan hiasan luaran dan tiga hiasan dalaman.

Syarikat itu berkata, sejak Saga dilancarkan pada Januari 2008, kini terdapat 274,469 unit Saga di jalan raya dengan Proton menerima kira-kira 331,768 tempahan.

Saga terus kekal sebagai model jualan terbaik Proton setakat ini dengan purata 6,500 unit dijual setiap bulan.

Proton juga meletakkan sasaran menjual kira-kira 78,752 unit Saga dalam tahun kewangan semasanya yang berakhir 31 Mac, 2012, di mana ia menjangkakan Saga FLX SE yang baharu ini dijual di rantau ini sebanyak 500 unit sebulan.

Boleh diperolehi dalam dua warna pilihan - Putih dan Merah - Saga FLX SE didatangkan dengan jaminan tiga tahun atau 100,000km, yang mana terdahulu.

Proton juga berkata pengguna yang menempah Saga dan masih menantikan penghantaran boleh memilih untuk menukar tempahan mereka untuk mendapatkan Saga FLX SE di bilik pameran yang mereka buat tempahan.

Para pembeli boleh melihat model baharu ini di semua bilik pameran Proton mulai 1 Disember 2011.

- BERNAMA

Linkedin Kini Dalam Bahasa Malaysia

by
Laman rangkaian profesional terbesar dunia, LinkedIn, kini boleh didapati dalam Bahasa Malaysia untuk memudahkan kegunaan kalangan profesional Malaysia yang mahu menjadi lebih produktif dan berjaya.

Termasuk dalam tambahan baharu itu, ahli-ahli pada masa ini dan bakal ahli kini mempunyai 12 bahasa untuk dipilih daripada laman sesawang.

"Penyediaan Linkedin dalam bahasa tempatan akan mempercepatkan keseluruhan generasi baharu pengguna LinkedIn di dalam negara tersebut, sekali gus meningkatkan pengalaman keseluruhan komuniti," kata Cliff Rosenberg, Pengarah Urusan LinkedIn Australia, New Zealand dan Asia Tenggara.

Beliau berkata, idea untuk menambah Bahasa Malaysia ke dalam senarai ialah untuk menyampaikan nilai kepada golongan profesional dan dalam berbuat demikian, perlunya lebih bersifat tempatan dan relevan.

"Hampir 700,000 profesional di Malaysia telahpun memperkenalkan identiti profesional mereka, membina rangkaian masing-masing dan mendapatkan akses dan peluang ke atas LinkedIn," kata Rosenburg kepada pemberita pada majlis pelancaran Linkedin Bahasa Malaysia, Rabu.

Ditanya mengapa mereka memilih Malaysia, beliau berkata, ia adalah berikutan kadar penembusan Internet yang tinggi di sini, dilihat daripada lebih daripada 17.5 juta pengguna Internet di dalam negara.

Setakat 3 November, LinkedIn mempunyai lebih 135 juta ahli seluruh dunia dari 200 negara. http://www.linkedin.com/

- BERNAMA

Baucer Buku RM200 Boleh Digunakan Dalam Pengajian Tahun 2012

by
Baucer buku bernilai RM200 untuk penuntut institusi Pengajian tinggi, yang diumumkan dalam Belanjawan 2012, boleh mula digunakan pada awal pengajian tahun depan, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi Datuk Ab Rahim Md Noor.

Beliau berkata mekanisme untuk menentukan kaedah menukarkan baucer dengan buku untuk dimanfaatkan penuntut akan diumumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin tidak lama lagi.

Kira-kira 1.2 juta pelajar akan menikmati kemudahan itu, katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Program Kita Cakna Kerjaya Kolej Komuniti Malaysia 2011 di sini, malam Sabtu.

Turut hadir Ketua Pengarah Kolej Jabatan Pengajian Kolej Komuniti Malaysia, Prof Madya Kamarudin Kasim.

Ab Rahim berkata langkah kerajaan memberi peruntukan tambahan kepada penuntut membuktikan kerajaan prihatin terhadap masa depan bidang pendidikan negara untuk melahirkan modal insan yang berkualiti.

Dalam Belanjawan 2012, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemberian baucer buku RM200 kepada semua penuntut warganegara Malaysia di institusi pengajian tinggi awam dan swasta, matrikulasi dan pelajar Tingkatan Enam.

Terdahulu, dalam ucapannya Abd Rahim berkata Dasar Pembangunan Keusahawanan Institusi Pengajian Tinggi adalah bertujuan untuk menggalak dan memantapkan pembangunan keusahawanan yang lebih terancang dan holistik di kalangan IPT.

"Ini selaras dalam usaha melahirkan modal insan yang berkualiti dan mempunyai pemikiran, atribut dan nilai keusahawanan.

"Dasar ini juga adalah usaha kementerian bagi melahirkan lebih ramai lagi usahawan siswazah yang akan bertindak sebagai pemangkin kepada transformasi ekonomi negara kepada ekonomi berpendapatan tinggi dan berpaksikan inovasi ke arah pencapaian negara maju menjelang tahun 2020," katanya.

- BERNAMA

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90