Top Ad 728x90

Jawatan Kosong di Majlis Perbandaran Klang - April 2012

by
JAWATAN:
1. PEGAWAI PENILAIAN GRED W41
2. JURUUKUR BANGUNAN GRED J41
3. PENOLONG JURUTERA GRED J29

IKLAN JAWATAN:
http://www.mpklang.gov.my/c/document_library/get_file?uuid=61bee464-1c63-49e8-9ded-90b87fe99cff&groupId=283929

BORANG PERMOHONAN:
http://www.mpklang.gov.my/c/document_library/get_file?uuid=a231f9b6-84cf-479e-a5ff-c2eb1e4c586f&groupId=283929

TARIKH TUTUP : 6 Mei 2012

Pelajar Tingkatan 6 Dan Matrikulasi Boleh Mohon Tangguh PLKN

by
Bakal pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang akan meneruskan pengajian di tingkatan enam atau program matrikulasi bermula Mei ini boleh memohon penangguhan bagi mengikuti PLKN Kumpulan 2 Siri 9/2012.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil hari ini berkata bakal pelatih berkenaan bagaimanapun perlu mengisi borang permohonan yang boleh diperolehi di kaunter khidmat pelanggan JLKN atau dimuat turun dari laman web rasmi JKLN www.khidmatnegara.gov.my

Beliau berkata setelah borang tersebut dilengkapkan, ia hendaklah dikepilkan bersama surat tawaran kemasukan ke tingkatan enam atau program matrikulasi sebelum dihantar ke Cawangan Pengecualian dan Penangguhan, Bahagian Pengurusan Pelatih, JLKN.

"Penangguhan sehingga tamat tempoh pengajian akan diberikan kepada pemohon. Bagi mereka yang akan menyambung pengajian selepas tamat tempoh penangguhan tersebut, mereka perlulah mengisi Borang Permohonan Pembaharuan Penangguhan melalui proses yang sama," katanya dalam kenyataan.

- BERNAMA

2.27 Juta Pengundi Baru Didaftar Antara 2008 & 2011

by
Persidangan Dewan Negara pada Rabu diberitahu bahawa seramai 2,270,002 pengundi baru didaftarkan dari 2008 hingga 2011 dengan kaum Melayu merupakan pemilih baru tertinggi.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata daripada jumlah itu, 155,420 pemilih didaftarkan pada 2008, 279,270 pemilih (2009), 826,462 pemilih (2010) dan 1,008,850 pemilih (2011).

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Senator Datuk Ng Fook Heng yang meminta Perdana Menteri menyatakan pecahan pengundi baru berdaftar mengikut kaum sejak 2008.

Mengenai pecahan jumlah pendaftaran pemilih mengikut kaum, Liew berkata Melayu merupakan kaum tertinggi mendaftar pada 2008 iaitu seramai 82,309 pemilih (53 peratus) diikuti kaum Cina (29.4 peratus) dan India (8.1 peratus).

Pada 2009, seramai 187,828 pemilih (67.3 peratus) ialah Melayu diikuti Cina (19.8 peratus) dan Bumiputera Sarawak (4.8 peratus) manakala pada 2010, seramai 466,137 pemilih (56.4 peratus) adalah orang Melayu diikuti Cina (27.0 peratus)dan India (6.6 peratus), katanya.

Bagi 2011, seramai 611,498 pemilih (60.6 peratus) ialah Melayu diikuti Cina (22.0 peratus) dan India (6.7 peratus).

Liew berkata statistik Suruhanjaya Pilihan Raya menunjukkan Selangor mencatatkan pendaftaran jumlah pengundi baru tertinggi iaitu seramai 165,222 orang diiikuti Johor (124,240 orang), Perak (96,710 orang), Sabah (86,927 orang) dan Kedah (84,704 orang).

Ini diikuti dengan Kelantan seramai 69,344 orang, Pulau Pinang (64,029 orang), Sarawak (63,305 orang), Kuala Lumpur (61,040 orang), Pahang (59,639 orang), Terengganu (45,190 orang), Negeri Sembilan (42,009 orang), Melaka (31,827 orang), Perlis (9,881 orang), Labuan (2,863 orang) dan Putrajaya (1,920 orang).

- BERNAMA

Pemilihan calon ke UPNM telus

by
Pemilihan calon untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dilakukan secara telus oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tanpa mengira kaum dan agama.

Pegawai Kanan Pemilihan Anggota, Cawangan Tenaga Kerja Markas ATM, Mejar Abd. Hamid Maarus berkata, faktor utama yang diberikan perhatian dalam proses pemilihan calon pegawai kadet adalah pencapaian akademik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Selain itu, katanya, setiap pemohon juga perlu lulus beberapa siri ujian termasuk pemeriksaan perubatan, latihan fizikal dan bertulis yang dijalankan serentak di lima lokasi seluruh negara pada 14 April dan berakhir hari ini.

"Tiada diskriminasi dalam pemilihan calon, siapa yang layak dan menepati syarat yang ditetapkan dan lulus ujian pasti akan dipilih untuk mengikuti pengajian di UPNM," katanya selepas perbarisan pelantikan kadet UPNM sesi pengajian 2012/2013 di Kem Terendak, di Melaka.

Sementara itu, calon yang terpilih melanjutkan pengajian ke UPNM, Chan Jun Kwan, 18, menyifatkan ATM adalah kerjaya yang tidak mengamalkan pilih kasih dan setiap calon yang layak pasti mendapat tempat.

"Saya tidak menghadapi sebarang masalah ketika menjalani latihan pengambilan, hubungan antara kaum juga erat dan saling bantu-membantu antara satu sama lain," katanya.

Beliau yang berasal dari Alor Setar, Kedah itu merupakan satu-satunya calon yang bakal dihantar melanjutkan pengajian dalam jurusan Kejuruteraan Pertahanan di United State Naval Academy (USNA), Amerika Syarikat melalui UPNM.

P. Kugaanesan, 18, yang berasal dari Sitiawan, Perak pula berkata, dia sangat gembira kerana menjadi salah seorang calon yang terpilih untuk melanjutkan pengajian di UPNM dalam jurusan Kejuruteraan Pertahanan.

"Sudah pastinya saya gembira kerana daripada ribuan calon yang memohon, saya merupakan sebilangan kecil yang terpilih dan berjanji akan menjadi seorang pegawai tentera yang terbaik," katanya.

Calon tunggal Orang Asli, Nurul Sazrina Nawir, 18, pula melahirkan rasa syukur kerana dipilih melanjutkan ke UPNM dan ia membuktikan masyarakat Orang Asli tidak dipinggirkan dalam apa juga bidang.

Dia yang berasal dari Kampung Peta, Johor menyimpan hasrat untuk menjadi seorang pegawai tentera yang disegani suatu hari ini.

- UTUSAN

Semak kesahihan gelaran menerusi atas talian

by
Orang ramai boleh merujuk laman sesawang Bahagian Istiadat di Jabatan Perdana Menteri www.istiadat.gov.my jika mereka mahu menyemak sama ada gelaran kebesaran yang digunakan oleh seseorang individu itu adalah sahih dan diiktiraf kerajaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata laman sesawang itu mempunyai senarai lengkap yang dikemas kini mengenai semua penerima anugerah, sama ada yang dikurniakan Yang di-Pertuan Agong ataupun sumber-sumber yang diiktiraf.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Senator Datuk Syed Ibrahim Kader yang meminta Perdana Menteri menjelaskan apakah usaha yang diambil untuk menangani masalah penyalahgunaan gelaran kebesaran seperti Datuk dan Datuk Seri yang diragui kesahihan sumbernya pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Vui Keong berkata mengikut dasar dan peraturan semasa, hanya penganugerahan yang dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan dan Raja bagi negeri-negeri bersultan atau beraja serta Yang Dipertua Negeri akan diiktiraf.

Bagi darjah dari negara asing, hanya yang dikurniakan oleh ketua negara ataupun ketua kerajaan sesebuah negara asing yang berdaulat akan diiktiraf.

"Dalam hubungan ini, anugerah yang diberikan oleh pertubuhan, persatuan atau mana-mana institusi dalam dan luar negara yang tidak mempunyai kekuasaan politik dan wujud hanya sebagai pusat kebudayaan dan pemuliharaan adat budaya dan tradisi sahaja adalah tidak termasuk dalam kategori penganugerahan yang diiktiraf," katanya.

- BERNAMA

Semakan Kemasukan ke Tingkatan 6 Bawah 2012

by
Semakan Tawaran Ke Tingkatan 6 Bawah Sekolah Bantuan Kerajaan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) Tahun 2012 boleh dibuat di : http://apps.moe.gov.my/sst6/cheF6_12/

KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA (KPM)
http://www.moe.gov.my/


Canon Pixma E600

by

Menguruskan pejabat bukan kerja mudah ditambah dengan persekitaran untuk mengendalikan pencetak terlalu kerap menambah bebanan sedia ada.

Penggunaan pencetak di sesebuah pejabat dilihat amat penting, malah boleh dianggap sebagai penggerak yang mana tanpanya pasti segala urusan pejabat akan tergendala.

Menyedari pentingnya sesebuah pencetak, Canon yang juga peneraju dalam teknologi pencetakan menawarkan pencetak versi baru yang lebih berkesan dalam melaksanakan pelbagai tugasan.

Dikenali sebagai Pixma E600, ia merupakan antara versi terbaru bagi pencetak terkenal Canon iaitu Pixma E500 semua dalam satu.

Menurut Pengarah Jabatan Sistem Produk Pelanggan, Canon Marketing (Malaysia) Sdn. Bhd., Donny Ling, model terbaru itu memiliki lebih banyak kelebihan berbanding siri sebelumnya.

"Selain mencetak, Pixma E600 juga mampu menghantar faks, dengan sedikit kelebihan padanya iaitu pencetak berkenaan mampu melindungi dokumen sulit sekiranya tersalah faks melalui aplikasi khas yang dibina.

"Untuk menghantar maklumat melalui faks, pengguna perlu memasukkan nombor faks tersebut sebanyak dua kali. Sekiranya nombor berkenaan tidak sama , maka Pixma E600 akan membatalkan penghantaran secara automatik," katanya.

Selain dilengkapi bersama kelebihan tersebut, keselamatan faksimile dan aplikasi Auto Document Feeder (ADF) secara berintegrasi.

ADF merupakan aplikasi utama yang menjadi perhatian bagi pencetak ini di mana ia mampu menampung sehingga 30 helai dokumen pada satu-satu masa membolehkan penggunanya melakukan lebih banyak kerja yang lain pada masa yang sama.

Antaranya, seperti melakukan salinan dan imbasan pada peringkat yang tinggi dan pada masa yang sama mampu menjimatkan masa.

Dalam pada itu, kehabisan dakwat ketika sedang mencetak dalam kuantiti yang banyak pasti mengecewakan.

Untuk mengatasi permasalahan tersebut, Pixma E600 dilengkapi dakwat hitam berkapasiti tinggi yang mampu mencetak sehingga 800 helai untuk satu-satu masa pengisian.

Malah, dengan konsep rekaan Fast Front, pengguna juga mampu menukar katrij dakwat dengan lebih pantas dan ringkas sekali gus mampu menjimatkan masa.

Sama seperti Pixma E500, siri terbaru itu masih menggunakan teknologi FINE (Full-photolithography Inkjet Nozzle Engineering) untuk menghasilkan titisan dakwat yang lebih halus (mikroskopik) biar pun untuk mencetak imej berkualiti tinggi.

Teknologi FINE merupakan sistem hibrid yang telah diperbaharui dengan mengintegrasikan pencelup yang mampu menghasilkan gred warna yang cantik serta pikmen dakwat hitam yang halus menghasilkan cetakan yang lebih jelas dan tajam.

Melalui teknologi tersebut, pencetak PIXMA E600 mampu mencetak gambar dan dokument pada kualiti yang tertinggi.

Selain itu, sistem ChromaLife 100 yang digabungkan bersama kepala pencetak FINE dan pencelup dakwat Canon serta kertas gambar Canon asli menghasilkan cetakan gambar yang mampu bertahan sehingga 100 tahun lamanya!

Gambar yang dicetak menggunakan sistem tersebut adalah lebih berdaya tahan kepada dedahan cahaya, gas, kelembapan dan keadaan suhu yang tinggi.

Pixma E600 telah berada di pasaran sejak bulan lepas dan dijual pada kadar harga RM598 setiap unit, Untuk maklumat lanjut anda boleh melayari laman web www.canon.com.my

- UTUSAN
 

Semakan Tawaran Matrikulasi KPM 2012/2013

by
Semakan dan tawaran serta penempatan PELAJAR PROGRAM MATRIKULASI KPM SESI 2012/2013 bagi calon-calon yang telah memohon pada tahun lepas (1 Julai hingga 10 Oktober 2011) boleh dibuat di: http://apps.moe.gov.my/matrikulasi/tawaran/

Pemohon yang BERJAYA diminta untuk menghubungi Kolej penempatan atau layari laman sesawang kolej penempatan untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan pendaftaran dan sebagainya. Pemohon yang ditawarkan perlu mencetak semua dokumen sebelum mendaftar.

Bagi pemohon yang tidak berjaya, rayuan boleh dibuat terus melalui laman sesawang yang sama mulai 25 April hingga 13 Mei 2012. Sebarang rayauan selepas 13 Mei 2012 tidak akan dipertimbangkan. Talian bantuan yang boleh dihubungi sekiranya terdapat sebarang masalah 03-88844040/4036/4083.

KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA (KPM)
http://www.moe.gov.my/



Burger saiz super

by

TATKALA melihat hidangan burger sebesar pemeluk, sudah pasti melahirkan perasaan teruja kepada sesiapa sahaja.

Apatah lagi, burger merupakan salah satu hidangan yang menjadi pilihan penggemar makanan segera di negara ini.

Lazimnya, burger gergasi yang mencecah lebih tiga kilogram (kg) sebelum ini hanya dapat ditonton melalui kaca televisyen berdasarkan cerita dari luar negara ataupun Internet.

Ternyata, idea hidangan seumpama itu telah mencetus kreativiti beberapa pengusaha burger di negara ini.

Kini, penggemar makanan tempatan boleh menikmati burger gergasi di gerai burger YB yang terletak di Kompleks Perniagaan Anjung 7, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.

Burger gergasi buatan sendiri Abu Yazid Abdul Kadir, 32, itu menawarkan tiga pilihan saiz dan pelbagai jenis roti kepada penggemar burger yang inginkan sesuatu yang baharu.

Berbekalkan pengalaman selama hampir 14 tahun dalam bidang perniagaan burger, Abu Yazid berkata, pengenalan burger YB, iaitu singkatan untuk 'yang besar' adalah untuk mencipta kelainan kepada penggemar burger di negara ini.

"Sungguhpun pengenalan burger YB baru mencecah usia sebulan, permintaan terhadap burger berkenaan berjaya mencuri tumpuan orang ramai.

"Ia sesuatu yang di luar dugaan kerana saya tidak menjangka sama sekali burger besar ini akan mendapat permintaan tinggi," ujarnya ketika ditemui Kosmo!.

Pada mulanya, perasaan ragu-ragu menyelubungi pemilik burger YB itu memandangkan pembuatannya disasarkan untuk para tetamu jamuan hari jadi ataupun majlis korporat sahaja.

Lebih melucukan, terdapat segelintir pihak yang meragui kesahihan saiz burger berkenaan apabila gambarnya dimuat turun di laman blog. Bahkan, ada yang mengatakan ia adalah hasil kesan penyuntingan imej.

Bagaimanapun, anak jati Perak itu tidak pernah mengenal erti putus asa, sebaliknya terus berupaya menarik nafas lega apabila burger gergasi mula mendapat permintaan tinggi selepas beberapa minggu beroperasi.

"Saya perlu memastikan tempahan awal dilakukan terlebih dahulu oleh para pelanggan agar permintaan mereka dapat dipenuhi.

"Kualiti dan kesegaran dalam penyediaan burger YB amat dititikberatkan. Ia perlu dilakukan demi memberi kepuasan kepada pelanggan-pelanggan," katanya.

Aneka sos, roti dan patti

Abu Yazid menjelaskan, pelanggan-pelanggan boleh memilih tiga variasi berat patti daging. Mereka boleh memilih patti daging burger seberat satu kilogram (kg), 500 gram (g) atau 250g.

"Patti daging burger yang seberat sekilogram sesuai dimakan sehingga lapan orang, 500g pula untuk empat orang manakala 250g sesuai bagi pasangan.

"Kalau larat, boleh habiskan burger seberat sekilogram tersebut seorang diri," katanya berseloroh.

Selain daripada itu, pelanggan juga boleh memilih salah satu daripada tiga perisa daging patti iaitu lada hitam, cendawan, tom yam dan BBQ (barbeku).

"Pelanggan boleh memilih roti oregano, bawang putih, oat madu ataupun roti mil penuh mengikut selera masing-masing.

"Mengikut selera masing-masing, kami memberi pilihan sayur-sayuran untuk disertakan dalam burger YB iaitu salad, bawang, tomato, timun, kobis dan lobak merah," ujarnya yang sedang mengikuti kursus Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) di Universiti Sains dan Pengurusan (MSU), Shah Alam.

Semua pilihan itu disempurnakan dengan aneka jenis sos tambahan dan buah-buahan termasuk lada hitam, cendawan, jalapeno, epal, nanas, serta zaitun.

Proses

Abu Yazid memberitahu, demi memastikan kesegaran, bahan-bahan yang digunakan dalam pembuatan patti daging, roti dan sayur-sayuran akan dibeli setiap hari mengikut tempahan.

"Pada awal pagi, saya akan ke pasar untuk membeli bahan-bahan mentah. Sekitar pukul 9 pagi, rutin harian mengisar patti daging dan mengadun bahan-bahan membuat roti akan dimulakan sebelum membuka perniagaan pada pukul 5 petang," ujarnya.

Mengimbas kembali tujuan dia membikin patti daging dan roti buatan sendiri, dia memberitahu, ia lebih segar malah enak apabila dimakan.

"Bahkan, saya telah melakukan kerja penyelidikan dan pembangunan terhadap pembikinan roti selama hampir empat bulan untuk memastikan ia lembut dan segar.

"Tidak ramai yang membuat roti burger sendiri apatah lagi apabila menghidangkan burger bersaiz besar kepada pelanggan-pelanggan," ujarnya.

Selain patti daging dan roti yang dibuat sendiri, Abu Yazid menambah, sos seperti lada hitam dan cendawannya merupakan resipi sendiri.

Terangnya, dia banyak menggunakan kaedah cuba-cuba dalam mengecapi kesempurnaan pembikinan produk buatan sendiri.

Tempahan dalam talian

Abu Yazid yang pernah mengikuti kursus pemprosesan daging Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) pada tahun 2011, memberitahu, dia menggalakkan para pelanggannya membuat tempahan sehari lebih awal sebelum datang ke gerainya.

Untuk tujuan itu, pelanggan boleh membuat tempahan melalui laman blog yazidburger.blogspot.com.

"Ini bagi memudahkan saya membuat persiapan bahan-bahan patti daging dan roti dengan kuantiti yang mencukupi.

"Ia juga dapat memastikan penggemar makanan segera ini tidak berasa hampa apabila mengunjungi kedai untuk menikmati burger YB," ujarnya.

Walaupun masih baru diperkenalkan, dia memberitahu, burger YB sudah menerima kunjungan pelanggan dari segenap negeri di Malaysia.

Justeru itu, dia berasa amat bertuah kerana dapat berkongsi resipi buatan sendiri untuk membawa keceriaan kepada pelanggan-pelanggannya.

Teruja

Sementara itu, seorang pelanggan burger YB, Mohd. Izham Mukhari, 27, mengakui, dia sangat teruja apabila kali pertama melihat burger besar tersebut.

"Kali pertama melihatnya, perasaan membuak-buak untuk merasainya. Ia sama sekali tidak menghampakan kerana apabila mengunyah, kita boleh merasai campuran rempah ratus yang sebati dalam burger berkenaan," katanya yang mencuba burger seberat 500g.

Izyani Zahari, 29, pula memberitahu, keenakan burger berkenaan bukan sahaja terletak pada patti malah rotinya.

"Tekstur roti sangat gebu dan lembut apatah lagi apabila kita menikmati bersama dengan daging burger serta sayur-sayuran.

"Dalam pada itu, ia amat sesuai untuk dinikmati secara beramai-ramai bersama keluarga dan kawan-kawan," kata pekerja swasta itu lagi.

Bagi seorang lagi penggemar burger YB, Norly Azman, 23, dia dapat merasai kelainan pada daging burger dan roti apabila menikmati burger YB.

"Daging yang dimakan terasa lebih segar dan tidak berminyak. Lebih utama, rupa dan rasanya membangkitkan selera," katanya.

- KOSMO!
 

Awas jerat hutang

by
Oleh Imam Muda Mohd Hassan

DALAM kehidupan dunia yang semakin canggih pada hari ini, segala urusan nampak seperti dipermudahkan. Segalanya berada di depan mata, apa saja yang dihajatkan boleh direalisasikan asalkan berkemampuan.

Namun yang menjadi masalah segelintir anggota masyarakat kita pada hari ini apabila dibebani hutang. Terlalu banyak 'fasiliti' disediakan oleh pihak tertentu untuk ‘memudahkan’ kita berhutang.

Tidak kira kereta, rumah, perabot hatta bajet untuk melangsungkan perkahwinan, tentu ada pihak yang ‘sedia’ memberikan perkhidmatan meminjamkan wang. Kerana hutang juga, realiti yang berlaku hari ini apabila kadar kemuflisan semakin meningkat setiap tahun.

Lebih menyedihkan apabila melihat ramai kalangan mereka diisytiharkan muflis adalah golongan muda-mudi. Jika tidak percaya, pergilah ke mahkamah tinggi dan lihat, setiap hari ada kes bankrap didaftarkan.


Jika diukur pada tahap umur, mereka sepatutnya sedang membina asas tapak yang kukuh untuk kehidupan masa hadapan tetapi malangnya, hutang ini memusnahkan sebahagian perancangan masa depan mereka.


Namun, siapa harus dipersalahkan kalau bukan diri sendiri. Ini kerana, faktor yang membawa kepada gejala ‘berhutang’ atas kehendak serta pilihan sendiri.

Paling utama, ia kerana desakan hawa nafsu serta keinginan untuk memiliki sesuatu di luar kemampuan diri. Pantang melihat orang lain ada, hati juga berkobar- kobar untuk turut memiliki benda yang sama.

Orang ada kereta baru, dia juga tidak mahu kalah untuk memiliki kereta baru. Jiran rumah membeli gelang emas baru, dia juga membeli barang kemas hingga ke siku.

Keduanya, pengaruh daripada sahabat atau jiran tetangga sering memberi galakan untuk berhutang. Lebih sukar lagi jika jiran atau sahabat handai itu sendiri adalah ejen kepada sesebuah produk dan setiap hari mempengaruhi kita untuk memiliki sesuatu yang sebenarnya kita tidak perlukan.

Ketiganya, rasa tidak puas dan bersyukur dengan apa yang ada. Kononnya mahu memperbaiki kehidupan dari semasa ke semasa, tetapi terlupa kesan dan akibat daripada berhutang tersebut.

Antara faktor lain yang dilihat turut menyumbang kepada masalah hutang ini ialah keinginan memiliki sesuatu benda dengan cepat walaupun pada hakikatnya, ia di luar kemampuan individu tersebut.

Kerana itu, sebelum merancang untuk memiliki sesuatu yang berada di luar kemampuan, fikirkan dulu adakah barang itu satu keperluan atau kehendak. Jika ia satu keperluan (dharuriyat), maka Islam mengharuskan untuk berhutang.

Sepertimana dinyatakan dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah; berkata seseorang: “Ya Rasulullah, pekerjaan apakah yang paling baik? Baginda bersabda, Memasukkan kepada saudara kamu kegembiraan atau melunaskan hutangnya atau memberi roti (makanan) kepadanya.”

Maka berhati-hatilah dan sentiasa berfikir secara bijak sebelum mengambil keputusan untuk ‘berhutang’, terutamanya apabila berhutang dengan pihak yang kini mengamalkan sistem hutang ‘ala Islam’ sedangkan mengamalkan konsep riba.

Menggunakan pelbagai istilah dan konsep Islam hanya untuk mengabui mata masyarakat, padahal hakikatnya, ia tidak lebih daripada sekadar ‘helah’ untuk menarik masyarakat supaya terjebak dalam hutang.

Selain daripada kemungkinan berhadapan dengan tindakan muflis, antara kesan kegagalan untuk melunaskan hutang adalah merasa tidak tenteram. Sentiasa dikunjungi rasa tidak aman, takut dan terancam.

Lebih-lebih lagi bagi mereka yang meminjam dengan ‘along’ atau ‘ceti haram’ kerana bukan mereka saja yang diperhatikan, malah ahli keluarga lain serta harta benda turut menjadi mangsa ketidakperikemanusiaan mereka.

Antara kesan negatif akibat hutang adalah punca ke arah gejala hidup tidak sihat seperti mencuri, menipu dan sebagainya.

Tentunya orang yang tersepit akan melakukan apa saja untuk melepaskan diri tanpa memikirkan halal dan haram. Apa yang lebih ditakuti adalah fakta ada sesetengah orang sanggup menjual diri, isteri atau anak gadis kepada pemberi pinjaman sebagai langkah penyelesaian kepada hutang yang tidak tertanggung.

Saya juga pernah terdengar tazkirah disampaikan seorang ustaz di dalam radio yang memetik sebuah hadis daripada Rasulullah bermaksud: “Jiwa orang mukmin akan tergantung dengan hutangnya (iaitu tidak dihukum selamat atau celaka) hinggalah dia menjelaskan hutangnya.”

Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah bersabda bermaksud: “Semua orang yang mati syahid diampuni dosanya kecuali hutangnya.” (Hadis Riwayat Bukhari, Tarmizi, An-Nasa’I dan Ibn Majjah)

Dalam sebuah kisah, pernah dinyatakan bahawa Rasulullah sendiri tidak akan menyolatkan jenazah orang yang masih dibelenggu hutang. Hadis diriwayatkan Saidina Ali RA bahawasanya apabila didatangkan kepada baginda satu jenazah, baginda tidak bertanya mengenai amalan si mati, tetapi bertanya apakah si mati mempunyai hutang atau tidak.

Jika si mati mempunyai hutang, Rasulullah meminta sahabatnya agar menyembahyangkan jenazah itu atau baginda sendiri yang akan menanggung hutang si mati. Jika tiada, maka hutang jenazah akan diserahkan atau ditanggung oleh Baitulmal.

Begitu berat tanggungjawab apabila berhutang dengan manusia. Apabila tidak dilunaskan, ia akan menjadi dosa yang tidak terampun sehinggalah si pemberi hutang itu meredakannya. Tidak seperti dosa yang dilakukan kepada Allah terhapus sekiranya seorang hamba itu bertaubat atas dosa dilakukan kepada-Nya.

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya sebesar-besar dosa di sisi Allah ketika seorang hamba itu menghadap Allah nanti selepas dosa-dosa besar yang lain ialah, seorang lelaki yang berjumpa dengan Allah pada hari hisab dengan mempunyai hutang masih belum diselesaikan.”

Maka beringat-ingatlah sebelum menurut desakan hawa nafsu yang sentiasa merasa tidak cukup dengan apa yang telah kita ada.

- HARIAN METRO

Ragu wang gaji

by
Bersama Dr Salam

SOALAN:

SAYA berumur 25 tahun dan bekerja di sebuah hotel terkemuka di Melaka. Saya ragu-ragu adakah gaji saya terima halal kerana hotel ada menyediakan minuman keras kepada pelanggan bukan Islam.

Bagaimanapun, saya tidak pernah terbabit langsung dengan penyediaan arak di sini. Apakah pendapat Dr kerana wang gaji yang saya terima ini turut diberikan kepada ibu bapa.

JAWAPAN:

GAJI yang anda terima itu tetap halal untuk digunakan serta boleh diberikan kepada ibu bapa serta menanggung perbelanjaan keluarga.


Bagaimanapun, memandangkan arak haram di sisi Islam, minuman arak hanya dibenarkan kepada bukan Islam.

Kaunter jualan perlu dipantau supaya orang Islam tidak dibenarkan membeli jauh sekali meminumnya. Pihak pengurusan hotel perlu sedaya upaya memastikan orang Islam tidak mengambil minuman keras itu.

Contohnya, pihak hotel jangan meletak minuman keras di dalam peti sejuk di bilik penginapan.

- HARIAN METRO

JPN perjelas isu 'MyKad' bertarikh luput

by

Gambar 'Mykad' dengan perkataan "Pemastautin Sementara" dan mempunyai tarikh luput bersebar luas di Internet sejak termuat di Facebook minggu lepas.

Dikatakan dikeluarkan kepada warganegara Burma, perkara itu menimbulkan persoalan sama ada warga asing diberi kerakyatan dan sama ada ia boleh digunakan dalam pilihan raya umum akan datang.

Semakan dengan pangkalan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan pemegang MyKad itu bukan pengundi berdaftar.

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagaimanapun menjelaskan hari ini bahawa MyKad ini sebagai versi kad lama pemastautin sementara yang dikeluarkan pada 2001.

"Pada masa itu, kerajaan tidak mempunyai pelbagai jenis kad untuk warganegara, permautautin tetap dan pemastautin sementara," kata JPN dalam kenyataannya kepada Malaysiakini.

- MALAYSIAKINI

 

Habbatus Sauda ubat pelbagai penyakit

by

Habbatus sauda ialah sejenis tumbuhan yang banyak didapati di kawasan Mediterranean dan di kawasan yang beriklim gurun. Banyak kajian telah dijalankan, bagaimanapun kebanyakkannya ditulis di dalam Bahasa Arab. Oleh itu pendedahan terhadap dunia antarabangsa tidak banyak dibuat.

Habbatus sauda digunakan secara tradisional untuk beberapa keadaan seperti untuk menghasilkan kulit muka yang cerah, membantu merawat batuk dan asma, kencing manis, selsema, keguguran rambut, tekanan darah tinggi, masalah untuk tidur, sakit-sakit otot dan sendi, rasa loya dan muntah, mengurangkan kolesterol, merawat batu karang dan sebagainya.

Nabi Muhammad S.A.W. bersabda dalam Haditsnya yang dikutip dari kitab Ash Shahihain “‘Gunakanlah Habbatus Sauda’ kerana di dalamnya terdapat sejenis ubat dari segala jenis macam penyakit kecuali As Sam (maut)” (HR.Bukhari, Muslim)

Ibnu Sina di dalam bukunya Canon of Medicine menyatakan Habbatus Sauda merangsang tenaga dan membantu pemulihan kepenatan dan semangat. Ibnu Qayyim di dalam bukunya Medicine of the Prophet menyatakan Habbatus Sauda berupaya memulihkan penyakit-penyakit seperti batuk, bronchitits, masalah perut, kecacingan, masalah kulit seperti jerawat, sakit senggugut dan haid yang lain, menambah susu badan, menambah pengaliran air liur dan sebagainya.

Dr. Ahmad Elkadi pula membuat kajian dan mendapati Habbatus Sauda mempertingkatkan daya tahan sakit (immune system). Antara bahan-bahan kandungan Habbatus Sauda ialah Fixed Oil (saturated dan unsaturated), Minyak-minyak Asas (sterol, thymohydroquinone, carvone, limonine, cymene), Alkaloids, Saponin dan Asid Amino.

Dalam kitab Al Tibb An-Nabawi (Pengobatan Cara Nabi) yang ditulis Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah, Habbatus Sauda’ dikenal juga sebagai Al Habbah Al Barokah. Dalam kitab tersebut disebutkan bahwa Habbatus Sauda’ dapat mengubati 50 macam penyakit tanpa kesan.

Suatu ulasan ilmu kedoktoran menampilkan bahawa kandungan Habbatus Sauda’ antara lain :-
  1. Antiinflamasi, mengubati perih/radang tenggorokan.
  2. Antiarthritis, mengubati reumatik.
  3. Analgesik, mengubati sakit gigi dan sakit kepala (migrain).
  4. Aktivitas hormon, mengatur haid dan meningkatkan aliran susu.
  5. Antiseptik, mengubati bau mulut.
  6. Antivirus, mengubati demam dan flu.
  7. Dermatologi, mengubati jerawat dan eksim.
  8. Urinary tract, mengubati saluran kemih dan batu ginjal.
  9. Sistem kekebalan, meningkatkan daya tahan tubuh untuk menangkal penyakit.
  10. Gastrointestinal tract, mengubati mabuk, diare, kejang konstipasi, dan hempedu.
  11. Sistem sirkulasi, meningkatkan kinerja jantung.
  12. Nematocidal, mengubati cacing pita.
  13. Respiratory tract, mengubati sesak nafas (asma).
Sumber : HPA Online


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90