Top Ad 728x90

Tarif elektrik di Semenanjung kekal hingga Jun 2015

by
Kerajaan memutuskan untuk mengekalkan kadar tarif elektrik di Semenanjung sehingga Jun tahun 2015.

Untuk tujuan itu, kerajaan menampung kos RM1.683 billion bagi bahan api dan penjanaan menggunakan hasil penjimatan daripada rundingan semula Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA), Penjana Tenaga Bebas (IPP) Generasi Pertama dan mengekalkan harga gas berpaip yang dibekalkan oleh PETRONAS kepada Sektor Elektrik.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata tarif elektrik di Semenanjung ditetapkan melalui sistem Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) iaitu satu komponennya adalah mekanisme ketidakseimbangan pelepasan kos bahan api (ICPT) yang dilaksanakan sejak Januari lalu.

Mekanisme itu, katanya, membolehkan kerajaan menyemak kadar tarif setiap enam bulan berdasarkan perubahan dalam harga bahan api dan penjanaan.

"Mekanisme ICPT mengambil kira perubahan harga gas berpaip, gas asli cecair (LNG), arang batu, minyak jenis 'medium fuel oil' (MFO) dan kos penjanaan lain berkaitan PPA, kos pembekalan daripada Tenaga Boleh Baharu (TBB) dan pembelian tenaga elektrik dari negara luar.

"Sistem sama diamalkan di kebanyakan negara maju dan membangun seperti Australia dan United Kingdom selain negara anggota ASEAN termasuk Singapura, Thailand dan Filipina.

"Mekanisme ini membenarkan kadar tarif yang mencerminkan kos pembekalan elektrik yang lebih telus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ongkili berkata, jumlah kos ICPT bagi tempoh Januari hingga Jun 2014 ialah RM465.93 juta, manakala Julai hingga Disember 2014 sebanyak RM382.03 juta.

"Jumlah keseluruhan adalah RM847.96 juta, bersamaan kenaikan kadar tarif elektrik 1.62 sen/kWj, akan ditampung melalui penjimatan hasil rundingan semula PPA, IPP Generasi Pertama," katanya.

Beliau berkata, selepas mengambil kira kos ICPT bagi mengekalkan kadar tarif, baki penjimatan hasil rundingan semula PPA, IPP Generasi Pertama adalah RM170 juta dan tidak mencukupi menampung kos ICPT akan datang.

Katanya, susulan penangguhan kenaikan harga gas berpaip, PETRONAS akan menanggung pendapatan terdahulu bagi tempoh Julai 2014 hingga Jun 2015 sebanyak RM836 juta.

"Sebagai kerajaan bertanggungjawab dan prihatin terhadap kebajikan rakyat, keputusan dibuat adalah untuk mengurangkan impak rasionalisasi subsidi dan ketidaktentuan harga di peringkat global. Namun, ini tidak dapat menjamin kelestarian pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.

"Oleh yang demikian, kementerian menggesa rakyat memainkan peranan menggunakan tenaga elektrik secara berhemah dan mengurangkan pembaziran.

"Antara langkah yang boleh diambil ialah menggunakan peralatan elektrik cekap tenaga, memadamkan peralatan elektrik yang tidak digunakan dan menetapkan suhu termostat alat penghawa dingin pada 24 darjah Celsius," katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga mahu pihak utiliti sentiasa berusaha menyediakan bekalan elektrik yang efisien, mencukupi, berdaya harap dan kos efektif demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Sumber : BERITA HARIAN

Pengasuh kanak-kanak di rumah wajib daftar dengan JKM

by
Pengasuh atau suri rumah yang menerima upah menjaga antara empat dan sembilan orang kanak-kanak di kediaman sendiri, wajib mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pengarah Bahagian Kanak-kanak JKM, Arfan Sulaiman berkata, kategori yang dikenali sebagai taman asuhan kanak-kanak (taska) di rumah ini perlu didaftarkan supaya JKM boleh mengawal selia perjalanan taska dan keselamatan kanak-kanak.

"Menurut Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984 (Akta 308), pengasuh kanak-kanak terutama suri rumah yang menjaga antara empat dan sembilan anak-anak jiran mereka misalnya, perlu berdaftar dengan JKM.

"Jika pengasuh berdaftar dengan kita, JKM akan memberi latihan yang sewajarnya kepada mereka seperti Kursus Asas Permata Taska," katanya kepada Bernama.

Menurut beliau, permohonan pendaftaran taska di rumah boleh dibuat melalui Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah dengan bayaran sebanyak RM50 untuk tempoh lima tahun.

Sehingga September lepas, sebanyak 460 taska di rumah seluruh negara berdaftar dengan JKM dan ia dikendalikan 598 pengasuh melibatkan 2,701 kanak-kanak berusia bawah enam tahun.

Sumber : KOSMO!


AirAsia rancang lengkapi 20 pesawatnya dengan Wi-Fi

by


AirAsia Bhd akan melengkapi 20 pesawatnya dengan kemudahan wi-fi menjelang hujung tahun ini, daripada empat sekarang.
 
Ketua Kumpulan Pendapatan Sampingan AirAsia, Kenny Wong berkata, syarikat itu merancang melengkapi semua 80 pesawatnya dengan perkhidmatan wi-fi menjelang suku kedua 2015.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada pelancaran perkhidmatan wi-fi dalam pesawat yang dilakukan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek serta Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Aireen Omar.

AirAsia juga mencipta sejarah apabila dicatatkan dalam Malaysia Book of Records sebagai 'Syarikat Penerbangan Pertama Menyediakan Wi-Fi Dalam Pesawat' di Malaysia dan sijil disampaikan oleh Pengasas dan Pengarah Urusan Malaysia Book of Records, Tan Sri Danny Ooi.

Perkhidmatan wi-fi dikenali 'roKKi Chats' itu disediakan dalam penerbangan AirAsia terpilih membolehkan penumpang menggunakan aplikasi pesanan teks semasa dalam penerbangan.

Setiap token roKKi Chats berharga RM8 untuk penggunaan data 3MB bagi aplikasi WeChat, WhatsApp dan LINE. Bersempena pelancaran itu, AirAsia menawarkan promosi masa terhad iaitu RM5 untuk setiap token. Token terbabit serasi dengan kebanyakan peranti tablet dan telefon pintar.

Sumber : mSTAR


Kos sambungan internet Malaysia masih rendah - TM

by


Penembusan jalur lebar Malaysia sebanyak 67.2 peratus pada suku pertama tahun ini secara relatifnya adalah tinggi manakala kos sambungan internet masih rendah berbanding negara jiran.

Oleh itu, kaji selidik dalam talian yang meletakkan Malaysia di tangga ke-126 daripada 192 negara daripada segi purata kelajuan muat turun, adalah tidak tepat dan boleh dipertikai kerana ia mengetepikan faktor penting seperti kadar penembusan jalur lebar, pelan jalur lebar pengguna serta dinamik pasaran.

Kaji selidik oleh Ookla, ujian kelajuan jalur lebar berasaskan laman sesawang dan aplikasi diagnostik rangkaian itu turut meletakkan Malaysia di belakang Kemboja dan Vietnam dalam senarai berkenaan.

Telekom Malaysia Bhd, dalam satu kenyataan kepada BERNAMA berkata, walaupun Malaysia dilapor mempunyai purata kelajuan 5.4Mbps, penembusan dan liputan jalur lebarnya mengatasi kebanyakan negara jirannya.

 Oleh itu, kelajuan purata mungkin lebih rendah jika kita mengambil kira capaian di seluruh negara dan jenis pakej kelajuan jalur lebar yang diambil, kata TM.

Contohnya, kelajuan purata di sebuah bandar yang mempunyai sambungan baik tetapi tiada akses di kawasan luar bandar mungkin memberi gambaran berbeza, berbanding gambaran di Malaysia yang mempunyai liputan di seluruh negara.

Sementara itu, mengenai dakwaan kos sambungan internet yang tinggi di Malaysia, TM berkata, ia tidak boleh dilihat sebagai perbandingan yang tepat kerana kos penempatan kemudahan asas rangkaian dipengaruhi pelbagai faktor, termasuk geografi dan saiz negara.

Malaysia, dengan kawasan pedalaman yang jauh dan keadaan topografi di mana banjaran gunung meliputi sebahagian besar negara, menjadikan aspirasi mewujudkan negara yang disambung sepenuhnya, adalah tugas yang sangat mencabar.

Bagaimanapun, kaji selidik oleh BT Teleconsult membuktikan perbelanjaan modal TM adalah antara yang paling kos efektif di dunia berdasarkan ciri-ciri utama jalur lebar berkelajuan tinggi yang diguna dan tempoh pelancaran paling cepat dengan skop paling besar.

Indeks Kemampuan 2013 yang diterbitkan Perikatan Untuk Internet Mampu Milik pada Disember 2013 meletakkan Malaysia di tempat teratas keseluruhan dalam kalangan negara berstatus pendapatan dan pembangunan sederhana, berdasarkan penilaian merangkumi komposit kemudahan asas komunikasi, akses dan kemampuan.

TM berkata, usaha berterusan bagi meningkatkan kelajuan, liputan dan penembusan di Malaysia serta komitmen kerajaan adalah jelas dengan sokongan berterusan untuk melancar fasa kedua jalur lebar berkelajuan tinggi dan evolusi jangka panjang.

TM menyumbang lebih 40 peratus ke arah mencapai kadar penembusan jalur lebar negara.

Sumber : BERITA HARIAN


Ahmad Rafikin ditemui meninggal dunia di Sekayu

by


HULU TERENGGANU - “Ketika berada di kawasan sekitar batu itu, saya laungkan azan lalu menyeru nama Ahmad Rafikin beberapa kali. Dengan izin ALLAH SWT,  saya terlihat satu objek di celah batu dan rupanya ia adalah tangan mangsa,” kata Mohd Johari Abu Bakar.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Umno Terengganu merupakan individu pertama menemui Ahmad Rafikin Azman, 16, kira-kira jam 3.30 petang semalam ketika menyertai operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu.

Menurut Mohd Johari, dia bersama sekumpulan pasukan pencari memulakan operasi hari keempat itu kira-kira jam 10.30 pagi dan nalurinya kuat mengatakan Ahmad Rafikin berada di sekitar kawasan batu yang terletak tidak berapa jauh dari kasut mangsa ditemui, petang kelmarin.

“Sebelum berjaya menemui mangsa, saya berada di kawasan itu bersama tiga individu lain. Hati saya kuat mengandaikan Ahmad Rafikin ada di situ dan ternyata ia tepat apabila ternampak satu objek seolah-olah tangan seseorang di celah batu.

“Saya kemudiannya memaklumkan kepada anggota bomba dan penyelamat yang berada berdekatan untuk tindakan selanjutnya. Ternyata tangan yang dilihat celah batu itu adalah tangan Ahmad Rafikin yang dilaporkan hilang Sabtu lalu,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asisten Superintendan Mohd Rosli Mohd Amir berkata, mayat dibawa keluar pasukan keselamatan dan tiba berhampiran bilik gerakan operasi jam 6.40 petang.

“Punca sebenar kejadian masih belum disahkan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Sementara itu, suasana hiba menyelubungi ahli keluarga dan kenalan Ahmad Rafikin apabila saling berpelukan dan mengalirkan air mata selepas mengetahui tragedi menimpa mangsa yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik.

Ahmad Rafikin hilang Sabtu lalu ketika menyertai perlumbaan maraton di Gunung Gajah Terom.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan operasi mencari dan menyelamat pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (Sesma) Kuala Terengganu itu melibatkan carian dalam skala besar.

Mohd Rosli berkata, seramai 143 anggota keselamatan termasuk NGO, orang kampung dan juga 35 anggota tentera dari Batalion 18 RAMD Kem Seberang Takir, Kuala Terengganu terlibat dalam operasi berkenaan.

Sumber : SINAR HARIAN

 

CONTOH SOALAN & FORMAT EXAM ONLINE PEGAWAI TADBIR DIPLOMATIK (PTD)

by

CONTOH & FORMAT SOALAN EXAM ONLINE PTD 

Seksyen A – Pengetahuan Am mengenai Malaysia dan alam sekeliling. (40 Minit)

Soalan-soalan yang diajukan dalam seksyen ini adalah berkenaan pengetahuan am anda terhadap perkara yang berlaku di dalam Malaysia dan luar negara.

Seksyen B – Daya menyelesaikan masalah. (45 Minit)

Soalan-soalan yang diajukan dalam seksyen ini adalah berkenaan kemahiran logik,  interpretasi dan analisis data serta konsep Matematik yang hanya merangkumi silibus SPM.

Untuk mendapatkan Panduan Lengkap Peperiksaan Online SPA bagi Jawatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik - PTD Gred M41, sila dapatkan di: https://semakan.info/tim/ujian-psikometrik/myadha





10,000 tiket Piala Malaysia 2014 dijual online

by
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hanya memperuntukkan 10,000 tiket untuk dijual secara online bagi perlawanan akhir Piala Malaysia 2014 di Stadium Bukit Jalil, Sabtu ini dengan baki 80,000 akan diagihkan sama rata kepada Pahang dan Johor Darul Ta'zim (JDT).

Penjualan tiket secara online mula dijual menerusi laman web www.tickethotline.com.my bermula pada Rabu ini dengan pembeli boleh menebus tiket bermula pada Khamis di Stadium Putra, Bukit Jalil.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perlawanan Final Piala Malaysia, Datuk Afandi Hamzah dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Perlawanan akhir hari ini penjualan tiket di kedua-dua negeri akan mula dijual pada Khamis ini dengan cara jualan akan diagihkan di setiap daerah.

Dari sudut keselamatan, seramai 2,500 anggota polis akan ditempatkan pada perlawanan itu nanti.

"Tidak akan ada penjualan tiket di kaunter di perkarangan Stadium Nasional, Bukit Jalil menjelang dan pada hari perlawanan Sabtu ini," kata Afandi.

Stadium Bukit Jalil dijangka sesak kerana bukan saja final Piala Malaysia akan dijalankan, namun satu majlis iaitu Perhimpunan Anak-Anak Sarawak turut akan dijalankan pada hari terbabit.

Sumber : HARIAN METRO


Subsidi petrol mulai 2015

by
Golongan berpendapat­an tinggi iaitu melebihi RM10,000 sebulan tidak akan menerima subsidi petrol dan perlu membayarnya mengikut harga pasaran.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadz­lah (gambar) berkata, ini kerana nilai pemberian subsidi petrol yang akan diumumkan kerajaan adalah berdasarkan kumpulan pendapatan yang akan ditentukan nanti.

Katanya, kumpulan akan dipe­cahkan kepada tiga kelompok dengan golongan berpendapatan rendah dan menengah sahaja yang akan diberikan subsidi, manakala berpendapatan tinggi tidak me­nerima subsidi.

“Secara kasarnya individu yang berpendapatan rendah kurang di bawah RM5,000 sebulan akan diberi subsidi sepenuhnya, manakala berpendapatan menengah bermula RM5,000 hingga RM10,000 sebulan menerima subsidi pada kadar lebih rendah. Keutamaan adalah untuk membantu kumpulan sasar yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perbankan Islam Antarabangsa Bank Rakyat di sini hari ini. Turut hadir Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mat Noor Nawi.

Semasa pembentangan Bajet 2015, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan akan membangunkan satu mekanisme baharu pemberian subsidi petroleum, agar pemberiannya lebih tersasar kepada golongan yang memerlukan.

Mengikut laporan sebelum ini, rasionalisasi subsidi diesel dan petrol untuk menjaga kepentingan golongan disasar mungkin akan dilaksanakan pada Januari tahun depan bagi diesel dan Jun bagi petrol RON95.

Mekanisme pelaksanaan rasionalisasi subsidi itu akan diumumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang masih menunggu cadangan daripada syarikat-syarikat tempatan.

Kata Ahmad Husni, pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diagihkan mengikut pendapatan isi rumah, sementara subsidi petrol adalah berdasarkan pendapatan individu.

Peruntukan subsidi telah me­ningkat 14 kali ganda daripada RM1.65 bilion pada 2002 kepada RM23.5 bilion pada 2013. Hal itu disebabkan peningkatan jumlah kenderaan daripada 13.6 juta pada 2008 kepada 23.7 juta buah pada 2013.

Najib akan mengumumkan mekanisme pemberian subsidi itu dalam masa terdekat, bagi menggantikan kaedah ketika ini yang mana subsidi dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, termasuk golongan berpendapatan tinggi.

Sumber : UTUSAN

60 peratus wanita hidap kanser payudara tahap bahaya

by
Kurangnya kesedaran mengenai kanser dan kecenderungan mendapatkan rawatan alternatif menyebabkan kanser payudara dalam kalangan 60 peratus wanita mencapai tahap berbahaya.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, pesakit berkenaan memilih rawatan alternatif berbanding rawatan di hospital tanpa menyedari kanser mereka sudah merebak ke seluruh badan.

"Faktor lain adalah pesakit kurang kesedaran mengenai pentingnya menjalani ujian saringan dan pengesanan awal kanser payudara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen dan Seminar Kesedaran Kanser Payudara 2014 di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah HKL Datuk Dr Zaininah Mohd Zain dan Ketua Jabatan Pengimejan Diagnostik HKL Dr Zaleha Abdul Manaf.

Dr Hilmi berkata, wanita perlu melakukan pemeriksaan payudara sendiri dan menjalani ujian mammografi di hospital-hospital kerajaan dan swasta bagi mengurangkan kadar kematian akibat penyakit itu, yang semakin meningkat kini.

Sehubungan itu, beliau berharap lebih banyak hospital kerajaan dan swasta mengadakan kempen kesedaran kanser payudara bagi membantu golongan wanita mengesan penyakit itu di peringkat awal.

Sementara itu, Pakar Bedah Payudara dan Endokrin di Jabatan Pembedahan Am HKL

Dr Nor Azham Hakim berkata, kebanyakan wanita yang didiagnosis dengan kanser payudara tahap kritikal adalah mereka yang berumur dalam lingkungan 40 hingga 60 tahun.

Bagaimanapun, katanya ada juga pesakit yang diserang penyakit itu pada usia lebih muda di Malaysia.

"Ini berbeza jika dibanding dengan negara-negara barat...ia menjadi kebimbangan kami semua," katanya.

Menurutnya kes baharu bagi kanser payudara juga meningkat secara konsisten di seluruh negara.

Sumber : BERNAMA

Kedah Dilanda Puting Beliung

by

Sekurang-kurangnya 10 buah rumah di Pendang dan Kuala Kedah di sini, rosak akibat dilanda puting beliung, petang Selasa.

Kejadian kira-kira pukul 4 petang itu turut menyebabkan sebuah sekolah di Kampung Alor Besar di Pendang, terjejas teruk apabila bumbung bangunan diterbangkan dan makmal komputer dikatakan mengalami kerosakan.

Berdasarkan maklumat, angin berpusar setinggi bangunan empat tingkat itu dilihat terbentuk sejurus hujan lebat melanda.

Ia turut menerbangkan bumbung dan dinding beberapa rumah di Kampung Alor Besar.

Turut mengalami kerosakan, tiga buah rumah di Taman Seri Kota di Kuala Kedah akibat insiden sama.

Jurucakap Polis Daerah Pendang ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

"Jumlah kerosakan masih dalam siasatan," katanya.

Seorang anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Pendang, Ishak Omar, berkata kejadian itu melibatkan kerosakan harta benda yang teruk.

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Alor Besar berkata pusaran angin itu yang tiba-tiba datang dari arah utara menyebabkan penduduk kampung bertempiaran lari menyelamatkan diri.

Mohd Hafiz Abu Bakar, 31, berkata beliau sedang bekerja di sawah di belakang rumahnya ketika ternampak puting beliung menghala ke arah rumahnya.

Sejurus itu, beliau nampak bumbung rumah berterbangan di udara dan terus bergegas pulang ke rumahnya bagi menyelamatkan isteri, Noor Rusila Aziz, 24, dan dua anaknya Mohamad Irfan, 2, dan Nur Aisyah Dayana yang berusia empat bulan.

"Bila sampai rumah saya tengok bumbung rumah dan dinding rosak teruk dipukul puting beliung. Saya syukur sebab isteri dan dua anak selamat," katanya kepada Bernama ketika ditemui di tempat kejadian.

Mohd Hafiz berkata akibat kejadian itu, hampir 90 peratus rumah dua tingkatnya, yang sebahagian batu dan sebahagian papan, rosak teruk selain kesemua barangan dalam rumahnya termasuk perabut dan barangan elektrik rosak dihempap serpihan kayu.

Beliau menganggarkan kerugian kira-kira RM50,000.

Noor Rusila pula berkata ketika kejadian, beliau dan dua anaknya berada di dalam bilik sebelum terdengar bunyi deruman angin kuat.

"Saya tak berani nak keluar rumah sebab takut. Saya duduk dalam bilik dengan dua anak dan berserah kepada Allah swt dengan apa yang berlaku," katanya.

Mohd Hafiz dan keluarganya kini menetap di rumah ibu bapanya yang terletak berhampiran rumah mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Alor Besar Norzizan Jaafar berkata kejadian itu berlaku kira-kira 20 minit menyebabkan orang ramai lari lari menyelamat diri.

"Ini merupakan kali pertama puting beliung berlaku di sini. Sekolah Kebangsaan Alor Besar rosak. Banyak rumah yang mengalami kerosakan teruk dengan hampir kesemua bumbung diterbangkan angin selain ada rumah dihempap pokok tumbang," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sumber : mSTAR


 

453,413 duduki PT3 sulung

by
Seramai 453,413 pelajar menduduki Ujian Bertulis Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang julung-julung kali diadakan menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di 2,608 pusat peperiksaan seluruh negara pada 13 Oktober 2014.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof berkata, PT3 yang diadakan sehingga 16 Oktober ini melibatkan calon-calon daripada sekolah kerajaan, sekolah swasta dan calon persendirian.

Menurutnya, semua set soalan ujian bertulis PT3 disediakan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia dan diuruskan oleh pengurusan sekolah.

Sumber : KOSMO!



Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90