Top Ad 728x90

JDT Bakal Miliki Kapal Terbang Sendiri

by


Pasukan bola sepak Johor Darul Ta'zim melakar sejarah baharu apabila menjadi kelab pertama memiliki kemudahan pengangkutan udara sendiri.

Berita gembira itu hadir apabila Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan mengurniakan sebuah kapal terbang Gulfstream 550 kepada kelab tersebut pada Selasa.

Kapal terbang itu akan digunakan oleh pegawai kelab dan pemain JDT.

Menurut kenyataan dalam laman web rasmi Johor Southern Tigers itu, kapal terbang tersebut akan siap dan diserahkan kepada JDT pada pertengahan tahun 2017.

"Dengan kurniaan tersebut, JDT turut melakar satu lagi sejarah baharu sebagai kelab pertama tanah air yang mempunyai kemudahan pengangkutan udara sendiri. Allah Peliharakan Sultan," demikian menurut kenyataan itu.

- mSTAR

Fara Fauzana Bakal Berkahwin 17 September 2016

by


Personaliti radio dan pengacara, Fara Fauzana mengesahkan bakal menamatkan zaman solonya dengan usahawan yang dikenali sebagai Hafiz pada 17 September depan.

Fara atau nama sebenarnya Fara Fauzana Mohd Fadzli, 36, berkata, majlis pernikahan dan resepsi mereka akan diadakan di Dewan Mustapha Kamal, Neo Damansara di sini pada pukul 9 pagi.

"Alhamdulillah dengan doa dan restu daripada kedua ibu bapa serta doa rakan-rakan dan peminat, saya ingin mengumumkan saya bakal berkahwin dengan lelaki pilihan hati saya pada 17 September depan.

"Setakat ini biarlah saya kenalkan dia sebagai Hafiz sahaja dan dia seorang usahawan dan masih bujang," katanya pada sidang media khas berhubung perkahwinannya pada Isnin.

Terdahulu, keluarga Hafiz datang menghantar rombongan merisik Fara dalam satu majlis ringkas yang diadakan pada Februari lalu.

Dalam pada itu Fara berkata, dia berkenalan dengan Hafiz menerusi kenalannya kira-kira dua tahun lalu selepas dipertemukan dalam sebuah majlis.

Katanya lagi, dia terpaut hati dengan jejaka berusia 30-an itu kerana pegangan agama dan sifat penyabarnya selain dia seorang yang pendiam.

"Saya jika orang kenal memang suka bercakap dan personaliti kami yang berbeza membuatkan kami serasi.

"Bagaimanapun saya tertarik dengannya kerana sikap penyabar dan pegangan agama yang ada pada dirinya," jelasnya.

Bercakap mengenai majlis perkahwinannya, Fara berkata, dia dan Hafiz sepakat untuk mengadakan majlis sederhana yang dihadiri oleh keluarga dan teman terdekat sahaja.

Malah kata Fara, persiapan perkahwinannya sudah pun berjalan dan kini sudah 60 peratus siap.

"Majlis akad nikah dan resepsi hanya akan diadakan secara sederhana sahaja dan itu memang pilihan kami.

"Kami juga memilih untuk tidak bertunang dan terus bernikah," katanya.

Dalam perkembangan sama, ibu Fara iaitu Faridah Abdul Jalil, 58, yang turut hadir pada sidang media berkenaan berkata, beliau bersyukur anaknya itu akhirnya bakal menamatkan zaman solonya.

"Ibu mana yang tidak gembira dengan berita anak bakal berkahwin dan berharap semuanya akan berjalan lancar," katanya.

- mSTAR

Buku Rahsia Membina Senjata Jualan

by


Kandungan Buku: Rahsia Membina Senjata Jualan

Bahagian Satu - Pengenalan

Bab 1 Asas Penyampaian Mesej Jualan Melalui Surat
1.1 Bagaimana surat boleh membantu usaha jualan
1.2 Persoalannya sekarang, kenapa anda perlukan surat jualan?
1.3 Mesej jualan melalui surat
1.4 Jualan lwn emosi pembaca

Bahagian Dua - Bagaimana Merancang Sistem Pembinaan Senjata Jualan Anda


Bab 2 : 10 Langkah Bagi Merancang Sistem Pembinaan Senjata Jualan Anda

2.1 Kenal pasti pelanggan anda
2.2 Gunakan imiginasi dan fahami pelanggan anda
2.3 Kenali produk atau perkhidmatan anda
2.4 Tentukan tawaran anda
2.5 Tarik perhatian dengan menjanjikan sesuatu yang besar
2.6 Cipta keunikan bagi menarik pembeli
2.7 Senaraikan kelebihan serta faedah-faedah produk atau servis anda
2.8 Buktikan apa yang anda janjikan dan tawarkan adalah benar
2.9 Ramal dan hadapi bantahan pelanggan
2.10 Tutup mesej jualan anda dan tukarkannya kepada belian oleh bakal pembeli anda

Bahagian Tiga - Bagaimana Memulakan Pembinaan Senjata Jualan Anda


Bab 3 Mulalah Menulis Mesej Jualan Anda
Bab 4 14 Langkah Mudah Bagi Menulis Surat Jualan
Bab 5 Bagaimana Membina ‘Headline’ Atau Tajuk Utama Yang Berkesan
Bab 6 Bagaimana Memulakan Surat Jualan
Bab 7 Bagaimana Menulis P/S Atau Pesanan Terakhir Anda
Bab 8 Hukum 24 Jam

Bahagian Empat - Bagaimana Menyiapkan Pembinaan Senjata Jualan Anda


Bab 9 Baca Dan Periksa Semula Tulisan Anda
9.1 Periksa semula teknik dan taktik penulisan anda
9.2 Periksa gaya penulisan anda
9.3 Gunakan perkataan-perkataan serta ayat-ayat yang berkuasa tinggi
9.4 Gunakan bantuan gambar/grafik
9.5 Beri perhatian kepada 13 perkara kecil yang memberi pengaruh besar dalam surat jualan
9.6 Tulis semula
9.7 Lihat senarai periksa anda (checklist)

Bahagian Lima - Contoh-contoh surat jualan


Contoh-contoh surat jualan

Bahagian Enam - Penutup
Tahniah!

Bahagian Bonus #1
Analisa penulisan surat jualan oleh Zamri Nanyan

Bahagian Bonus #2
Analisa penulisan surat jualan oleh Amirul Faisyal

Jourdan Toh Manusia Kalkulator

by


Kira dengan pantas! Hanya menggunakan kuasa minda, tanpa bantuan kalkulator atau pen, apakah jawapan kepada 7098 x 879?

Jaguh Matematik, Jourdan Toh dapat memberikan jawapan yang tepat dengan pantas!

Pelajar berkaca mata berusia 17 tahun ini adalah juara Pertandingan Matematik, Abakus dan Mental Arithmetic, Piala World City tahun lepas, sebuah pertandingan yang didominasi olehnya sejak berusia lapan tahun.

Pada Ahad, beliau sekali lagi mengambil bahagian dalam pertandingan edisi tahun ini bersama 700 ahli matematik muda terbaik dari lapan negara.

Mereka diberi 100 soalan matematik yang perlu diselesaikan dengan penaakulan minda atau menggunakan sempoa dalam masa di bawah tiga minit.

Bagi pelajar Sekolah Tinggi Han Chiang ini, semua jawapan akan terus berada di kepalanya, sepantas matanya membaca soalan-soalan yang diberikan.

Katanya, satu-satunya perkara yang membuatkan beliau lambat adalah masa yang diambil oleh tangannya untuk menulis jawapan.

"Apabila saya melihat soalan, saya sudah tahu jawapannya. Saya hanya perlu menulis dengan cepat.

"Bagi saya, pertandingan ini lebih kepada pertandingan menulis. Kawan-kawan saya biasanya akan berlumba dengan saya menggunakan kalkulator mereka.

"Mereka memanggil saya 'manusia kalkulator'," kata Toh.

Pada tahun 2007, Toh mendapat skor penuh dalam pertandingan Mental Arithmetic kebangsaan dan kemudiannya memenangi kejohanan di bawah kategorinya di Tokyo, Jepun.

Beliau turut mewakili Malaysia di San Francisco pada tahun 2008, di Taiwan pada tahun 2011 dan 2014, di Jepun pada tahun yang sama dan di Los Angeles pada tahun lalu.

Minatnya dalam bidang matematik bermula seawal usia tiga tahun apabila beliau menghadiri kelas tuisyen di Pulau Pinang di mana beliau telah diajar tentang pengiraan abakus. Selepas itu, beliau mula 'ketagih' dalam bidang ini.

"Setiap hari, saya akan menjawab soalan-soalan untuk dua hingga tiga jam. Saya boleh menghabiskan dakwat dua batang pen setiap hari untuk mencari jawapan," katanya.

Sejak kebelakangan ini, Toh berkata beliau menjadikan matematik sebagai 'pembunuh tekanan'.

"Saya menyelesaikan soalan dalam 30 keping kertas dalam masa satu jam. Saya menonton YouTube semasa melakukannya. Dan kemudian semua tekanan hilang," katanya.

Toh memegang jawatan ketua pengawas sekolah dan bermain skuasy dan bola keranjang. Beliau berharap untuk meneruskan kerjaya dalam bidang statistik gunaan atau sains aktuari.

Pertandingan Piala World City pada Ahad telah diadakan di Wisma MCA dan dilancarkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Chong Sin Woon.

- mSTAR

Pengasas Mydin Meninggal Dunia

by


Pengasas rangkaian pasar raya Mydin, Mydin Mohamed Ghulam Hussein meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur pada Isnin, 1 Ogos 2016 kerana sakit tua.

Anak Allahyarham yang juga Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin, 60, berkata bapanya yang berusia 88 tahun itu meninggal dunia pada 5.06 petang.

"Bapa saya dibawa ke hospital kerana muntah-muntah selepas pulang dari kedai (Mydin) di Masjid India selepas waktu Zohor tadi," katanya.

Beliau berkata jenazah dijangka dikebumikan di Mont Kiara selepas solat Zohor pada Rabu, setelah kepulangan anak bongsu Allahyarham yang menetap di Amerika Syarikat.

Lahir di Pulau Pinang pada 1928, Allahyarham meninggalkan isteri Rowshan Bai, 80, serta tujuh anak.

Ameer Ali berkata syarikat Mydin diasaskan arwah bapanya di Kota Bharu, Kelantan pada 1957.

"Arwah merupakan seorang yang sangat berdisiplin dan menepati waktu semasa berurusan dengan orang lain terutama dalam urusan perniagaan.

"Arwah juga sering mengingatkan anak-anaknya supaya makan duit yang halal dengan menjalankan perniagaan yang jujur," kata Ameer Ali yang merupakan anak ketiga Allahyarham. 

- BERNAMA

Biskut Cap Ping Pong Hup Seng Tidak Mengandungi Plastik

by


Pengilang dan syarikat pembuat biskut Hup Seng menafikan dakwaan bahawa produk keluarannya, termasuk Krim Kraker Istimewa Ping Pong tidak selamat untuk dimakan.

Mengenai kes biskut terbakar, kami ingin mengumumkan bahawa ia adalah ciri-ciri produk yang mengandungi tepung gandum dan minyak di mana ia boleh terbakar.

Namun begitu, keupayaan untuk terbakar tiada kait-mengait ataupun mempunyai kesan pada keselamatan makanan tersebut. Krim Kraker Istimewa Ping Pong Hup Seng adalah selamat untuk dimakan, kata syarikat ini dalam satu kenyataan.

Syarikat ini mengeluarkan kenyataan berikutan video yang mendakwa biskut atau produk keluaran syarikat ini disalut dengan plastik.

Video ini telah dimuat naik oleh pengguna Facebook Emo-ji pada 29 Julai di mana telah membakar biskut itu dan mendakwa ia mungkin mengandungi bahan sintetik dan tidak selamat untuk dimakan.

Hup Seng berkata klip video itu bertujuan untuk menjatuhkan imej serta nama baik syarikat.

Menurut kenyataan itu, ujian makmal pada tahun 2011 menunjukkan bahawa tidak ada plastik yang dikesan dalam Kraker Istimewa.

Baru-baru ini, kami telah menghantar Krim Kraker Istimewa untuk ujian makmal bagi mengesan 'plasticizers' sekali lagi dan akan mengumumkan keputusan sebaik sahaja ianya diterima.

- mSTAR

Peraturan Pendaftaran Nama oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)

by


Nama pelik

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengeluarkan garis panduan yang menetapkan 16 senarai kumpulan nama disifatkan ‘nama pelik’ yang tidak boleh didaftar kerana tidak sesuai digunakan sama ada dari sebutan atau makna.

Tindakan ini dibuat bagi mengelak ‘nama pelik’ berulang sebagaimana yang berlaku pada masa lalu. Antara nama pelik yang masih digunakan oleh individu tertentu hingga hari ini ialah Pungut, Abd Patah, Mohd Hitler, Kopek, Punat, Bongek, Tumpang, Rentimun, Awan, Samudra dan banyak lagi yang masih ada dalam simpanan JPN.

Ketua Pengarah JPN, Datuk Wan Ibrahim Wan Ahmad berkata, sembilan daripada jumlah berkenaan adalah tertakluk di bawah Garis Panduan Nama Yang Tidak Sesuai 1988, manakala bakinya termasuk dalam senarai nama ditegah atau dilarang mengikut buku panduan JPN yang diguna pakai di seluruh negara.

Antara senarai nama ditegah atau dilarang adalah kumpulan nama gelaran yang dianugerahkan kerajaan seperti Tun, Tan Sri, Datuk, Datin, Puan Sri, Datuk Patinggi, Datuk Wira, Datuk Bentara Dalam atau Datuk Bentara Luar.

Ini diikuti nama pangkat atau jawatan contohnya haji, imam, nabi, mufti, ketua menteri, gabenor, sarjan, laksamana, hakim atau permaisuri.

“Nama gelaran keturunan seperti Tunku, Tengku, Raja, Syed dan Syarifah tidak boleh digunakan orang lain iaitu bukan daripada empat keturunan ini kecuali mereka yang lahir dalam keluarga berkenaan saja.

“Nama profesional dan kepahlawanan sama ada doktor (Dr), jurutera (Ir), Mahaguru, Pendekar atau Satria; tidak kira setinggi mana pun kelayakan mereka tidak dibenarkan sama sekali selain nama yang berbunyi lucah dan buruk,” katanya.

Larangan lain di bawah kategori nama tidak sesuai termasuklah nama binatang, serangga, tumbuh-tumbuhan, makanan, lucu, kejadian alam, alat perkakas, warna, nama daripada huruf atau angka atau gabungan kedua-duanya, pakaian dan perkataan Arab, Cina dan India yang tidak elok maknanya.

Kata Wan Ibrahim, JPN juga pernah menerima permohonan menamakan anak dengan nama dewa tetapi terpaksa ditolak kerana ia jelas tidak sesuai.

“Mereka yang berkeras hendak menggunakan nama yang tersenarai dalam kumpulan tidak sesuai boleh membuat permohonan tetapi perlu memberi penjelasan munasabah dan kukuh kepada JPN. Bagaimana pun keputusan menerima atau menolak tertakluk kepada budi bicara pendaftar besar (ketua pengarah).

“Semua bangsa perlu berhati-hati ketika memilih nama anak kerana ada perkataan dalam bahasa kita sedap bunyinya tetapi mempunyai makna yang tidak elok dalam bahasa lain,” katanya.

Antara perkataan Arab yang mempunyai maksud tidak elok termasuklah Narul yang bererti neraka, Zaniah (penzina wanita), Zani (penzina lelaki), Khinzir (*sensored*), Zakar dan Woti (persetubuhan).

Garis panduan itu turut dilengkapi nama yang tidak dibenarkan bagi masyarakat Cina dan India hasil kerjasama dan rujukan daripada Persatuan Mubaligh Buddha Malaysia, Persatuan Hindu Sangam dan Persatuan Bahasa Tamil Universiti Malaya.

Contoh nama Cina yang tidak dibenarkan ialah Ah Chwar yang bermaksud ular dalam dialek Hokkien atau Ah Kwai (hantu) dalam dialek Kantonis. Manakala bagi nama India yang dilarang termasuklah Ammakannu, Andyapan dan Karupusamy yang semua membawa makna tidak elok.

Justeru, Wan Ibrahim menasihatkan supaya ibu bapa membuat ‘sedikit kerja rumah’ menyemak makna nama yang hendak diberikan kepada anak supaya tidak timbul masalah aib atau perlu menukar nama apabila dewasa.

NAMA YANG DITEGAH ATAU DILARANG
Nama gelaran yang dianugerahkan kerajaan

Tun, Tan Sri, Datuk, Datin, Puan Seri, Dato Seri, Datuk Paduka, Datuk Patinggi, Datuk Wira Jaya, Datuk Bentara Dalam, Datuk Bentara Luar.

Nama pangkat atau jawatan

Haji, Nabi, Imam, Rasul, Mufti, Ketua Menteri, Kadi, Perdana Menteri, Gabenor, Sarjan, King, Hakim, Permaisuri, Guru, Ustaz, Shahbandar, Ustazah.

Gelaran keturunan

Syarifah, Syed, Tunku, Tengku, Raja

Nama-nama profesional

Doktor (Dr), Ir (Engineer), Professor, Akauntan, Audit, Diplomat

Nama-nama kepahlawanan

Mahaguru, Pahlawan, Pendikar, Panglima, Bomoh, Pawang, Dukun, Satria

Nama lucah atau yang lucah bunyinya

N*n*k, B*nt*t, Bola Besar, Kot*, F*r*j, Shahwat, Zina, K*pek, Pun**k, Pun*t, Khalwat, Z*k*r, K*l*p, Coli, Liwat

Nama-nama buruk

Buruk, Malang, Sial, Derita, Haram, Pungut, Hapak, Baruah, Bunting

NAMA YANG TIDAK SESUAI
Nama binatang atau serangga

*sensored*, Monyet, Keldai, Rimau, Lipan, Buaya, Belalang, Semut, Ular

Nama buah-buahan, sayur-sayuran, tumbuhan, makanan

Ciku, Pisang, Keladi, Kucai, Terung, Karet, Serai, Jintan, Kunyit, Halia, Bawang Merah, Kelapa, Santan, Lidi, Nasi, Bubur, Ketupat, Laksa, Sirap, Cendol, Lempeng, Daun.

Nama-nama lucu

Kecut, Kutai, Kuyok, Boyak, Kudung, Pendek, Panjang, Tinjau, Apek, Lonjong, Kuding, Tunggal, Sinon, Ketiak, Leper, Kemek, Janggut, Tanduk, Kerepot

Nama-nama kejadian alam

Gunung, Salji, Suria, Pelangi, Awan, Bintang, Bulan, Guruh, Petir, Panas, Hujan, Bumi, Langit, Gelombang, Laut, Batu, Angkasa

Nama-nama alat perkakas

Senduk, Piring, Mangkuk, Cawan, Katil, Tilam, Garpu, Tingkap, Pagar, Lesong, Berus, Parang, Tajak, Golok

Nama-nama warna

Hitam, Putih, Jingga, Merah, Coklat, Kuning

Nama-nama huruf atau angka atau gabungan kedua-duanya

D, K, P, Z, 001, 007, K 7, K 4, Zero-zero Seven

Nama perhiasan atau pakaian

Cincin, Subang, Anting-anting, Mutiara, Benang, Kain, Baju, Rantai, Seluar, Kasut

Perkataan Arab yang maknanya tidak elok

Narul (neraka), Zaniah (penzina perempuan), Zani (penzina lelaki), Khinzir (*sensored*), Zakar (kemaluan lelaki), F*r*j (kemaluan perempuan), Wati (persetubuhan).


Hak tukar nama anak

Datuk Tigabelas, Pungut, Buang, Tumpang, Bulat, Itam, Puteh, Khamis atau Jumaat adalah antara contoh ‘nama pelik’ yang tidak asing di kalangan masyarakat dahulu.

Walaupun kedengaran agak lucu dan sedikit memalukan tetapi bagi masyarakat dahulu, ia perkara biasa.

Jarang sekali orang dahulu teliti memilih nama anak, yang penting setiap anak perlu ada nama. Sebaik anak lahir, lazimnya apa yang terlintas dalam kepala itulah yang disebut kepada pendaftar kelahiran hingga timbulnya pelbagai ‘nama pelik’.

Salah faham, sikap tidak acuh dan menyerahkan sepenuhnya ejaan nama anak kepada budi bicara pendaftar akibat buta huruf, adalah antara punca utama nama yang kadangkala boleh memalukan pemiliknya apabila meningkat dewasa.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Wan Ibrahim Wan Ahmad berkata, fenomena itu timbul daripada sistem pendaftaran secara lisan dan hanya berdasarkan kepada ‘apa yang disebut’ bapa kepada pendaftar.

Malah ejaan nama juga kebanyakannya diserahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan pendaftar ketika itu (lazimnya pendaftaran dibuat di balai polis berdekatan) kerana ramai ibu bapa ketika itu buta huruf.

“Sebutan nama anak yang kurang jelas boleh menimbulkan salah faham pendaftar. Contohnya ada yang mahu memberikan nama anaknya ‘Ahmad’ tetapi ketika di hadapan pendaftar dia menyebut ‘Ahmad Kamal saja’ dan ini menyebabkan nama anaknya ditulis sebagai ‘Ahmad Kamal Saja’.

“Sama juga halnya dengan nama Yaakob yang dieja sebagai Yaacob atau Mohamad ditulis Mohd. Jika mengikut ejaan rumi, Mohd berbunyi mo-hed; yang tidak ada makna langsung.

“Ramai orang keliru mengenai nama Mohd. JPN kini menetapkan ejaan Mohd tidak boleh digunakan sebagai nama pemberian kepada anak. Ia hanya dibenarkan sekiranya mempunyai sejarah nama keluarga yang bermula dengan M-o-h-d contohnya Mohd Ridzuwan bin Mohd Ismail. Jika Mohd itu perkataan tunggal untuk nama anak, ia tidak dibenarkan sebaliknya perlu dieja sebagai Mohamad.

“Bagaimanapun, masalah nama kini jarang berlaku kerana JPN sudah mengubah sistem pendaftaran daripada secara lisan kepada bertulis. Lagi pula, ibu bapa kini sudah sedar musibah ‘nama pelik’, malah kebanyakannya berpelajaran dan amat teliti ketika memilih nama anak,” katanya.

Menurutnya, pemilihan nama yang baik kini lebih mudah dibuat kerana ada banyak sumber untuk dirujuk sama ada daripada penerbitan buku senarai nama berasaskan perkataan Arab mahupun kepada pegawai agama.

Ibu bapa disaran memilih nama yang elok, mudah dipanggil, tidak terlalu panjang atau menyentuh sensitiviti dan hak sesetengah pihak.

Contohnya gelaran keturunan seperti Raja, Tunku, Tengku, Syed dan Syarifah tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya dan ia hanya dibenarkan kepada mereka yang lahir dalam keturunan berkenaan sahaja.

Had nama

“JPN hanya membenarkan nama yang panjangnya sehingga 94 aksara sahaja. Ini termasuklah nama bapa, perkataan bin, binti, a/l, a/p atau anak, koma, sengkang atau sebarang tanda bacaan lain dan paling penting; pastikan ejaan nama anak ditulis dengan betul,” katanya.

Ini kerana mengikut Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957, sijil kelahiran seseorang itu cuma boleh diubah jika berlaku kesilapan perkeranian, seperti ejaan nama salah dan kesalahan fakta seperti kekeliruan jantina. Contohnya, jantina bayi perempuan dicatat sebagai bayi lelaki.

Pun begitu, undang-undang pendaftaran nama anak tidaklah bersifat kejam. Sebenarnya ramai tidak sedar mereka berhak dan dibenarkan mengubah atau menukar nama anak keseluruhannya dalam tempoh setahun selepas kelahiran.

Pendaftaran nama anak perlu dilakukan dalam tempoh 14 hari dan akan dikenakan denda RM5 bagi pendaftaran lewat iaitu antara 15 hingga 42 hari selepas kelahiran dan denda maksimum bagi pendaftaran pada hari ke 43 dan seterusnya.

“Tempoh setahun ini dirasakan cukup lama untuk ibu bapa memikirkan nama yang sesuai bagi anak mereka. Ada juga kes di mana ketika pendaftaran, ibu bapa tidak dapat mencari nama yang bertuah mengikut feng shui seperti diamalkan masyarakat Cina, mereka boleh daftarkan nama sementara.

“Harus diingat, pertukaran nama ini hanya boleh dilakukan dalam tempoh setahun saja. Selepas setahun nama yang tercatat pada sijil kelahiran tidak boleh diubah sampai bila-bila kerana sudah dimasukkan ke dalam fail data kekal di JPN,” katanya.

Namun bagi kes istimewa seperti bayi yang tidak mempunyai nama yang lazimnya berlaku ke atas anak tidak sah taraf, pertukaran nama boleh dilakukan pada bila-bila masa saja.

Kata Wan Ibrahim, JPN turut menerima kes anak tidak sah taraf yang tidak diberikan nama ketika didaftarkan dan ruangan nama bayi pada sijil kelahiran ditulis ‘Tiada Nama’.

“Saya menyeru mana-mana pihak yang menghadapi masalah begini, berhubunglah dengan pegawai di ibu pejabat JPN. Jangan tangguhkan pendaftaran anak atau menyerahkannya kepada orang tengah kerana ia boleh mendatangkan banyak masalah. JPN menyediakan pegawai dan bilik khas untuk golongan ini menyelesaikan masalah mereka.

“Penukaran nama anak tanpa nama di bawah umur 21 tahun perlu dilakukan ibu, bapa atau penjaga dan permohonan ini boleh dilakukan individu berkenaan sendiri selepas melepasi 21 tahun,” katanya.

Bagi mereka yang mempunyai nama tidak elok atau memalukan juga dibenarkan membuat pindaan atau pertukaran nama ketika memohon kad pengenalan kedua dengan syarat membawa surat sokongan seperti dari Jabatan Agama atau ahli bahasa dan perlu membuat akuan bersumpah di Pesuruhjaya Sumpah ketika permohonan.

Paling popular

Penukaran nama kerana bertukar agama contohnya daripada Islam kepada agama lain juga dibenarkan dengan syarat individu berkenaan membawa surat pengesahan daripada Jabatan Agama Islam atau mahkamah syariah.

Peraturan sama digunakan dalam isu menggugur atau meletakkan bin pada kad pengenalan. Orang ramai boleh memilih untuk mengekalkan perkataan bin pada Mykad atau digugurkan terus daripada nama mereka. Bagaimanapun nama ini hanya ditukar pada kad pengenalan saja dan nama asal yang tercatat dalam sijil kelahiran tetap kekal.

Wan Ibrahim mengingatkan bagi mereka yang menukar nama supaya berhati-hati dan mengambil kira semua aspek supaya pertukaran atau perubahan nama itu tidak akan mendatangkan masalah dalam urusan rasmi dan dokumentasi lain terutama apabila membabitkan hak seperti harta, pembahagian tanah dan tuntutan insurans.

Katanya, sukar untuk memberikan nama paling popular di kalangan masyarakat Melayu kerana ia berubah mengikut musim seperti awalan nama Nurul dan Iman yang diklasifikasi sebagai nama moden.

Beliau menambah, tidak salah jika ada pihak yang mahu mengekalkan nama klasik Melayu atau nama keluarga yang unik kerana ia bukan saja boleh membentuk salasilah menarik bahkan mampu mendidik ahli keluarga berkenaan supaya sentiasa menjaga nama baik seluruh keturunan mereka.

Honda Beri Pampasan RM50 Sehari Kepada Pengguna Terlibat Penggantian Airbag Takata

by

Pemilik kereta Honda yang terlibat dengan panggilan semula untuk penukaran airbag Takata akan diberi pampasan RM50 sehari sepanjang tempoh menunggu ketibaan alat ganti mereka.

Menurut satu kenyataan oleh Honda Malaysia di Facebook, pampasan itu diberi sebagai pampasan untuk "kehilangan penggunaan kereta" sepanjang proses penggantian itu.

Menurut Honda, pelanggan yang terlibat boleh mendaftarkan diri mereka dengan Honda Malaysia di https://productrecall.honda.com.my/ untuk pampasan itu. Tempoh pampasan bermula pada 28 Julai 2016 dan berakhir pada 31 Ogos 2016.

Honda menerusi kenyataan itu juga berkata, sejurus alat ganti beg udara Takata tiba, pelanggan yang berdaftar akan dimaklumkan mengenainya dan dikehendaki menggantikan dalam tempoh dua hari.

Untuk maklumat lanjut boleh layari Facebook Honda Malaysia : https://www.facebook.com/hondamalaysia

Suhaimi Saad Diugut Gara-gara Status Jadi Viral

by

Penyanyi nasyid Suhaimi Saad mengakui menerima beberapa ugutan daripada individu tidak dikenali menerusi mesej peribadi di laman sosial.

Suhaimi, 36, berkata, perkara itu timbul selepas beberapa status berkaitan cara hidup yang diamalkan keluarganya menjadi viral dan tidak diterima segelintir masyarakat.

"Saya terima banyak ugutan daripada beberapa individu tidak dikenali kerana mereka tidak bersetuju dengan pendapat yang saya utarakan di facebook.

"Ramai yang ugut nak pukul, pijak dan macam-macam lagi jika jumpa saya.

"Saya sendiri tidak faham kerana pada saya apa yang saya tulis adalah pendapat dan cara hidup saya itu tidak menganggu kehidupan mereka," ujarnya kepada mStar Online.

Bagaimanapun, Suhaimi berkata, perkara itu masih belum sampai ke tahap serius hingga perlu di laporkan ke pihak polis.

Bekas ahli kumpulan InTeam ini mula hangat diperkatakan selepas memuat naik pendapat peribadinya tentang pemberian vaksin pada empat cahaya matanya.

Suami kepada Nordiana Naim atau Ina Naim ini juga sekali lagi menjadi viral dengan kisah rumah tangga yang dikatakan terlalu zuhud dengan tidak memiliki peralatan elektrik, serta tidak memberikan anak mereka kehidupan seperti kanak-kanak lain termasuk mengikuti sisitem pendidikan di negara ini.

Pada awal bulan lalu, dia juga dikecam pengguna laman sosial apabila gambar anak-anaknya didakwa sedang meminta sedekah di bazar Ramadan tersebar.

Dalam pada itu, Suhaimi berkata, kesan viral tersebut, kehidupannya berubah apabila sering dipandang serong masyarakat.

Malah, katanya, kerjaya nyanyian juga menerima kesan apabila lebih tiga persembahannya telah dibatalkan oleh penganjur dengan alasan tidak mahu mencetuskan kemarahan penonton.

"Saya tahu ramai yang tidak suka, malah ada yang kata ingin ludah saya jika jumpa di luar. Perkara itu membuatkan saya jarang keluar rumah sehinggakan ingin ke masjid pun saya kena fikir dua kali.

"Sejak viral itu juga lebih tiga persembahan saya dibatalkan kerana tidak mahu kejadian tidak diingin berlaku. Sejujurnya memang sedih tetapi saya percaya ada hikmah di sebalik perkara yang terjadi," ujarnya.

Selain itu, menjelaskan dakwaan kononya melatih anak-anak minta sedekah, Suhaimi berkata, ia adalah aktiviti bagi mengutip tabung sebuah persatuan kebajikan di Sabah.

"Saya dan isteri menjadi duta untuk sebuah persatuan kebajikan di Sabah dan kami memang sering mengikuti aktiviti mereka untuk mengutip dana.

"Anak-anak saya juga selalu dibawa untuk melatih mereka berhadapan dengan orang ramai," ujarnya.

Dalam pada itu, Suhaimi berkata, dia meminta orang ramai agar menghormati cara dan kehidupan yang dipilih untuk keluarganya.

Tambahnya, apa yang dilakukan itu juga tidak menganggu gugat kesejahteraan mana-mana individu dan masyarakat di negara ini.

Suhaimi berkahwin dengan Ina Naim pada 12 Ogos 2007 dan dikurniakan empat cahaya mata.

- mSTAR

Pembunuh OKU Jepun tersenyum lebar

by


Seorang lelaki Jepun, Satoshi Uematsu, 26,  yang mengaku membunuh 19 orang di sebuah pusat jagaan pesakit jiwa tersenyum lebar di hadapan lensa kamera media semalam sebelum disoal siasat berhubung pembunuhan tersebut. insiden itu merupakan, paling sadis sejak 1938.

Lelaki itu, dilaporkan berkata, dia mahu supaya semua orang kurang upaya (OKU) “hilang”. Amukan pisaunya menyebabkan mangsa-mangsa berlumuran darah, malah sebahagian mereka turut ditikam di leher. Uematsu diiring keluar dari sebuah balai polis dan dibawa ke dalam van berdekatan sambil diterangi lampu limpah pihak media. Dia tersenyum lebar ketika di dalam van tersebut. Aksinya disiarkan dalam program berita pagi di Jepun semalam.

Seorang pegawai balai polis Tsukui di mana Uematsu ditahan mengesahkan bahawa dia dibawa kepada pihak pendakwa raya untuk disoal siasat.

Uematsu dituduh menceroboh pusat jagaan Tsukui Yamayuri-en di kawasan hutan berbukit di bandar Sagamihara, luar Tokyo awal pagi kelmarin.

Dia kemudian mengikat dua pekerja pusat jagaan itu sebelum menikam penghuninya yang turut menyebabkan 26 orang cedera, 13 daripada mereka parah. Uematsu segera menyerah diri di sebuah balai polis dan mengaku melakukan pembunuhan kejam itu.

Uematsu pernah bekerja di Tsukui Yamayuri-en tetapi dipecat dan dipaksa menjalani rawatan hospital pada Februari lalu selepas memberitahu rakan-rakan sekerjanya bahawa dia mahu membunuh OKU di Tsukui Yamayuri-en.

Lelaki itu bagaimanapun dibenarkan pulang 12 hari kemudian selepas seorang doktor memutuskan dia bukan ancaman keselamatan.

Uematsu juga pernah menghantar surat kepada Speaker Dewan Rendah Parlimen untuk memberitahu dia mengancam membunuh beratus-ratus OKU termasuk rancangannya menyerang Tsukui Yamayuri-en dan sebuah pusat jagaan lain.

Dalam suratnya, Uematsu menceritakan visi supaya hayat OKU ditamatkan menerusi kaedah eutanasia kerana golongan itu katanya, hanya memberikan kedukaan.

- DPA / Kosmo!

Turki tutup 130 agensi media

by



Turki menutup hampir 130 agensi media dan memecat 149 jeneral dalam fasa terbaharu tindakan kontroversinya selepas kegagalan rampasan kuasa oleh pihak tentera.

Seramai 87 jeneral tentera darat, 30 jeneral tentera udara dan 32 orang laksamana tentera laut telah dipecat berikutan penglibatan mereka dalam cubaan rampasan kuasa, lapor pihak berkuasa menerusi warta rasmi yang disiarkan kerajaan.

Warta tersebut juga memaklumkan bahawa seramai 1,099 pegawai dan 436 orang pegawai rendah turut dipecat.

Pada masa sama, arahan penutupan dikeluarkan kepada tiga agensi berita iaitu melibatkan 16 stesen televisyen, 23 stesen radio, 45 akhbar, 15 majalah dan 29 penerbit media lain.

Pihak berkuasa bagaimanapun tidak menamakan pihak media yang terlibat tetapi berdasarkan senarai yang diperolehi oleh saluran CNN-Turk, pengharaman tersebut meliputi agensi berita negeri selain agensi kebangsaan.

Senarai itu termasuk agensi berita Cihan, IMC TV dan akhbar harian pembangkang, Taraf.

Pihak berkuasa telah mengeluarkan waran tangkap kepada 42 wartawan awal minggu ini dan 47 lagi kelmarin melibatkan bekas pekerja akhbar pro-pembangkang, Zaman.

Presiden Recep Tayyip Erdogan menyalahkan rampasan kuasa pada 15 Julai tersebut kepada pendakwah yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Fethullah Gulen.

Pihak berkuasa telah memulakan kempen membasmi pengaruh Gulen daripada institusi Turki dalam tindakan keras sehingga membawa kepada penahanan hampir 16,000 orang.

– AFP / Kosmo

Apa Perlu Dibuat Apabila Berlaku Penipuan Online

by


Ada jalan penyelesaian untuk mereka yang ditipu dalam pembelian online. Apa yang anda perlu pastikan adalah, resit atau bukti pembayaran hendaklah di simpan. Sekiranya anda membuat pembayaran online, anda boleh printscreen bukti atau klik ‘print’ dan ‘save as’ pdf untuk simpanan.  Apabila anda mendapati penjualan online tersebut adalah penipuan anda bleh melaporkan kepada tribunal pengguna.

Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia atau lebih mesra dikenali sebagai Tribunal Pengguna ada cawangan di setiap negeri. Anda boleh semak di sini http://ttpm.kpdnkk.gov.my/. Cara-cara untuk membuat laporan seperti berikut.

- Pergi cawangan Tribunal Pengguna yang berdekatan.

- Buka fail dengan bayaran RM5

- Pastikan anda membawa sekali bukti pembayaran/bank statement, dan segala maklumat mengenai penipu tersebut. Penting.. ALAMAT!!

- Kes akan dibawa ke mahkamah. Sekiranya didapati bersalah, penipu akan di arahkan oleh mahkamah untuk membuat pembayaran balik kepada anda.

Alternatif lain:

1) E – Aduan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK)

Sistem E-Aduan membolehkan pengguna membuat aduan kepada KPDNKK berkaitan sebarang aktiviti perniagaan yang tidak beretika. Sistem eAduan ini dibangunkan dan dilaksanakan dengan satu objektif: untuk menyediakan satu medium menerima aduan melalui internet daripada orang ramai.

Laman web : http://eaduan.kpdnkk.gov.my
Email : e-aduan@kpdnkk.gov.my

2) Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM)

Pengguna boleh membuat aduan kepada pihak Suruhanjaya tentang sebarang isu berkaitan dengan sektor komunikasi dan multimedia merangkumi telekomunikasi, penyiaran, perkhidmatan internet, perkhidmatan pos, kurier dan pensijilan digital.

Laman Web : http://www.skmm.gov.my
E-mail : aduanskmm@cmc.gov.my

3) Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM)

Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) adalah satu badan bebas yang ditubuhkan di bawah Seksyen 85, Bahagian XII Akta Pelindungan Pengguna 1999 yang mula berkuatkuasa pada 15 November 1999. Bahagian XII Akta mengandungi 38 Seksyen yang menyentuh tentang pelbagai aspek Tribunal seperti keanggotaan Tribunal, bidangkuasa Tribunal, prosiding Tribunal, award Tribunal dan lain-lain perkara berkaitan. Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia menyedikan alternatif kepada pengguna untuk memfailkan sebarang gantirugi dan pampasan terhadap peniaga secara online.

Laman Web : http://ttpm.kpdnkk.gov.my
Tel : 03-88825822

4) Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)

Pusat aduan setempat bagi memberikan khidmat nasihat, membantu menyalurkan aduan kepada pihak yang bersesuaian seperti agensi kerajaan, pengeluar, pengedar atau penjual dan menjalankan perundingan antara pihak pengadu dengan pihak dituntut.

Laman web : http://www.nccc.org.my/v2
Tel : 03 7877 9000

Sumber : http://norfanil.com/

MH370: Maklumat Simulator Tidak Dedah Apa Yang Berlaku Dalam Kehilangan Pesawat

by


Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Australia mengemukakan pandangannya terhadap laporan media baru-baru ini berhubung siasatan FBI ke atas simulator penerbangan di rumah juruterbang pesawat MH370.

Laporan itu mencadangkan bahawa beliau merancang laluan ke selatan Lautan Hindi dan kehilangan pesawat Malaysia Airlines itu adalah pembunuhan/bunuh diri yang sengaja dirancang.

Senario seperti ini bukanlah baharu dan pernah dilaporkan media sebelum ini, kata JACC dalam laporan operasi.

"Maklumat simulator menunjukkan hanya kemungkinan perancangan. Ia tidak  mendedahkan apa yang berlaku pada malam kehilangan pesawat berkenaan, atau pun di mana pesawat itu dikesan.

"Bagi tujuan menetapkan kawasan pencarian di bawah laut, fakta dan analisis berkaitan paling hampir sepadan dengan senario di mana tidak berlaku campurtangan juruterbang dalam peringkat seterusnya penerbangan itu," menurut laporan berkenaan.

Pesawat MH370 bersama 239 orang hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

JACC berkata keterangan terbaik yang diperoleh berhubung lokasi pesawat itu adalah berdasarkan apa yang diketahui daripada komunikasi satelit terakhir dengan pesawat berkenaan.

"Komunikasi satelit terakhir dengan pesawat itu menunjukkan kemungkinan besar ia sedang dalam kadar penurunan yang tinggi di kawasan yang dikenali sebagai lengkok ke-7. Ini sememangnya konsensus Kumpulan Kerja Strategi Pencarian," menurut laporan itu.

Laporan sebelum ini menyebut bahawa Malaysia, China dan Australia akan menangguh dan bukan menamatkan pencarian MH370 yang hilang itu sebaik sahaja selesai meliputi kawasan keutamaan pencarian seluas 120,000 km persegi.

Sehingga kini, pencarian meliputi kawasan lebih 110,000 km persegi.

- mSTAR

MH370 Menjunam Ke Dalam Laut Pada Kelajuan Hampir 400km Sejam

by

Penyiasat kemalangan dari Australia telah mendedahkan kepada AirlineRatings.com(http://www.airlineratings.com/news.php?s and id=739) bahawa data menunjukkan MH370 mungkin telah menurun pada tahap sehingga 20,000 kaki (6700 meter) seminit dalam detik-detik sebelum ia jatuh ke dalam laut bersama-sama 239 orang penumpang dan anak kapal.

Dalam temu bual beliau yang pertama selepas mengambil alih jawatan Ketua Pesuruhjaya bagi Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), Greg Hood memberitahu AirlineRatings.com di Perth, Australia Barat, bahawa komunikasi satelit automatik dengan Boeing 777 pada minit-minit terakhirnya menunjukkan bahawa kadar penurunan pesawat itu meningkat secara mendadak daripada kira-kira 5,400 kaki (1200 meter) seminit sehingga 20,000 kaki (6700 meter) seminit.

Peningkatan besar itu menunjukkan bahawa tidak ada sesiapa sedang mengendalikan pesawat itu, kata beliau.

Wawancara eksklusif dengan AirlineRatings.com itu diadakan selepas beberapa media memetik satu laporan FBI yang dibuat dua tahun lalu mengenai satu program simulator penerbangan yang dimiliki oleh juruterbang MH370 Kapten Zaharie Ahmad Shah di komputer di rumahnya yang mendakwa beliau telah meluncurkan pesawat Boeing 777 itu dalam satu pendaratan ke dalam air yang terkawal dan bahawa ATSB sedang membuat pencarian di tempat yang salah.

Encik Hood juga memberitahu AirlineRatings.com bahawa laporan FBI itu bukan sesuatu yang baharu.

"Kami telah mengetahui mengenai laporan FBI itu selama dua tahun dan ia telah dilaporkan secara meluas di dalam media pada masa itu. Ia bukan satu perkara baharu.

"Akan tetapi Encik Hood menegaskan kepada AirlineRatings.com bahawa laporan FBI itu hanya berkemungkinan menunjukkan terdapat perancangan dan mungkin niat, tetapi ia tidak memberitahu kita di mana pesawat itu berada.

"MH370 hilang dalam keadaan penuh misteri pada 8 Mac 2014, selepas perhubungan dari pesawat itu terputus semasa apa yang sepatutnya merupakan satu penerbangan rutin dari Kuala Lumpur ke Beijing.

"Walau bagaimanapun Encik Hood masih yakin untuk menemui MH370 pada bulan-bulan akan datang," katanya.

Ketua Pengarang AirlineRatings.com Encik Geoffrey Thomas berkata pendedahan baharu oleh ATSB ini "menjelaskan lebih banyak maklumat mengenai saat-saat akhir tragedi MH370 itu."

"Adalah amat penting bahawa ATSB, bagi pihak pasukan pencarian pelbagai negara itu, melenyapkan spekulasi yang merosakkan tentang apa yang mungkin atau tidak mungkin berlaku pada MH370," kata Encik Thomas.

Wawancara lengkap AirlineRatings.com bersama Encik Hood boleh diperolehi di sini: http://www.airlineratings.com/news.php?s and id=739


Maklumat mengenai AirlineRatings.com;

AirlineRatings.com ditubuhkan pada tahun 2013 dan merupakan satu-satunya laman web penarafan keselamatan dan produk di dunia.

Laman web itu mentakrifkan tahap keselamatan bagi 450 daripada syarikat penerbangan yang terbesar di dunia.


SUMBER: AirlineRatings.com

Raja Pecut Baru Malaysia

by


Angka ‘18’ nampaknya membawa tuah kepada pelari pecut Melaka, Mohd. Khairul Hafiz Jantan.

Atlet berusia 18 tahun itu mencipta kejutan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-18 apabila memperbaharui rekod kebangsaan acara tersebut iaitu 10.30s yang juga sudah berusia 18 tahun.

Catatan yang dilakukan oleh Khairul pada perlumbaan akhir acara 100m di Stadium Sarawak, Petra Jaya itu juga ada kaitannya dengan angka ‘18’ iaitu 10.18s.

Pencapaian yang dilakukan oleh Khairul itu memusnahkan rekod lama milik bekas atlet Sarawak, Watson Nyambek yang melakukannya pada kejohanan Pra-Sukan Komanwel 1998 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Pada perlumbaan semalam, Khairul yang berlari di lorong ketiga, mengetepikan cabaran dua lagi pencabar terkuatnya, Jonathan Nyepa (Sarawak) dan Badrul Hisyam Abdul Manap (Melaka) untuk menghadiahkan pingat emas buat kontinjen Melaka.

Jonathan dan Badrul yang melakukan catatan masa 10.36s pada perlumbaan tersebut, masing-masing mendapat perak dan gangsa.

Dalam aksi saringan pada sebelah pagi semalam, Khairul sekadar melakukan catatan masa 10.46s yang sudah cukup untuknya layak ke final.

Lariannya pada perlumbaan akhir itu ternyata berbeza apabila melakukan permulaan yang kemas dan pada pertengahan saingan, langkahnya semakin kemas untuk terus memecut tanpa dapat dicabar sehingga ke garisan penamat.

“Saya langsung tak jangka dapat pecahkan rekod (kebangsaan). Saya hanya berlari untuk mengejar masa, pencapaian ini memang tak pernah saya sangka.

“Gembira, memang gembira sebab rekod kebangsaan berusia 18 tahun sudah saya atasi,” ujar atlet Melaka tersebut ketika ditemui pemberita sejurus selepas pihak teknikal Sukma mengeluarkan catatan rasmi bagi acara berkenaan.

Ditanya mengenai faktor yang mendorongnya untuk melakukan catatan di luar jangkaan, Khairul berkata, beliau tidak pernah melupakan kewajipan mendirikan solat.

“Solat adalah kekuatan. Menghormati ibu bapa, jurulatih dan orang yang lebih tua juga menjadikan saya tidak berasa tertekan.

“Badrul juga antara pendorong terhadap keinginan saya untuk mencapai kejayaan. Dia banyak memberi dorongan kepada saya untuk buat yang terbaik. Saya anggap dia seperti abang kandung sendiri,” tambah pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor itu lagi.

Pada bulan Jun lalu, Khairul turut melakar nama selaku raja pecut Remaja Asia apabila meraih pingat emas acara 100m dengan catatan 10.36s pada Kejohanan Olahraga Remaja Asia 2016 di Vietnam.

Dia juga merupakan satu-satunya wakil negara yang berjaya melangkah ke pusingan separuh akhir acara 100m pada kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Poland minggu lalu dengan catatan masa 10.58s.

- Kosmo!

Wanita paling ramai mendaftar perniagaan online dengan SSM

by


Golongan wanita terutama lepasan universiti dan suri rumah merupakan majoriti usahawan online yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Difahamkan, golongan wanita yang menjalankan perniagaan online mendaftar dengan SSM melebihi 50 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Zahrah Abd. Wahab Fenner berkata, kebanyakan wanita itu menjalankan perniagaan menjual kosmetik, kasut, jubah serta aksesori wanita.

Menurut beliau, lepasan universiti terutama wanita biasanya menjalankan perniagaan ini sementara mendapat pekerjaan tetap.

Sebenarnya, perniagaan online menjimatkan kos operasi kerana tiada premis.


17 Pengganas Sulu dipenjara seumur hidup

by


Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menjatuhi hukuman penjara seumur hidup ke atas sembilan warga Filipina yang menceroboh Lahad Datu sehingga menyebabkan 10 anggota pasukan keselamatan dan lebih 100 pengganas itu terkorban pada tahun 2013.

Hakim Stephen Chung menjatuhkan hukuman itu ke atas semua tertuduh yang digelar pengganas Sulu selepas mereka didapati bersalah mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Kesemua tertuduh ialah Datu Amir Bahar Hushin Kiram, 53, Atik Hussin Abu Bakar, 45, Basad H. Manuel, 41, Ismail Yasin, 76, Virgilio Nemar Patulada @ Mohammad Alam Patulada, 52, Salib Akhmad Emali, 63, Al Wazir Osman, 61, Tani Lahaddahi, 63, dan Julham Rashid, 69.

Datu Amir, Salib, Tani, Julham dan Al Wazir turut dijatuhi hukuman penjara 18 tahun di bawah Seksyen 130KA Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan pengganas manakala Atik, Basad, Ismail dan Virgilio dipenjara 13 tahun di bawah seksyen yang sama.

Stephen kemudian mengarahkan ke­dua-dua hukuman ke atas semua tertuduh berkenaan berjalan serentak. Datu Amir merupakan anak lelaki kepada Sultan Sulu iaitu Esmail Kiram. Esmail dikatakan sudah meninggal dunia pada 2015.

- Kosmo!

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90