Top Ad 728x90

Ayu Raudhah & Zaquan Dapat Anak Perempuan

by


Pelakon Ayu Raudhah selamat melahirkan cahaya mata ketiganya pada pukul 10.52 pagi Isnin di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur. Lebih menggembirakan isteri kepada pemain bola sepak Perak, Mohd Zaquan Adha Abd. Radzak itu menimang cahaya mata perempuan.

Pasangan itu mempunyai dua anak lelaki iaitu Muhammad Aisy Qaiser, 4 dan Muhammad Aisy Aryann, 3. Berita itu dimaklumkan oleh Mohd Zaquan menerusi Instagram miliknya.

"Alhamdulillah dengan izin Allah, isteri saya selamat melahirkan bayi perempuan pada pukul 10.52 pagi tadi. Syukur padaMu Ya Allah," tulisnya yang turut memuat naik gambar anak perempuannya di Instagram.

Sebelum ini, Ayu dalam satu temubual bersama mStar Online memberitahu impiannya untuk menimang cahaya mata perempuan akhirnya dimakbulkan tuhan. Ayu dan Mohd Zaquan berkahwin pada 2011.

- mSTAR

Senarai Lokasi Kamera AES Di Malaysia

by


Berikut adalah Senarai Lokasi Kamera AES Di Malaysia:

Had Laju (Lebuhraya)
1. KM 375.9 Lebuhraya PLUS - Slim River (Arah Utara)
2. KM 7 Jalan Maharajalela - Teluk Intan (Arah ke Bagan Datoh)
3. KM 91 Jalan Ipoh - Butterworth (Arah ke Selatan)
4. KM 85.5 Jalan Ipoh - Kuala Lumpur (Arah ke Selatan)
5. KM 204.6 Lebuhraya PLUS - Taiping (Arah ke Utara)
6. KM 6.6 SKVE (Puchong ke Kajang)
7. KM 301.6 Lebuhraya PLUS - Kajang (Arah ke Utara)
8. Jalan Lebuh Sentosa, Putrajaya (Kajang menuju ke PICC)
9. Jalan Persiaran Timur, Putrajaya (PICC menuju ke Kajang)
10. KM D7.9, Sungai Besi, Kuala Lumpur (Arah ke Selatan)

Lampu Isyarat
1. KM 26 Jalan Ipoh - Kuala Kangsar (Persimpangan Kg Kerdah)
2. Jalan Pasir Putih - Ipoh (Persimpangan Jalan Temenggung, Jalan King)
3. Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur (Persimpangan Jalan Sepadu)
4. Jalan Ipoh, Kuala Lumpur (Persimpangan Jalan Perhentian, Sentul)

Lokasi Kamera AES Baru Terkini
KM 151.4 Lebuhraya PLUS - Pagoh
KM 299.9 Lebuhraya PLUS - Kampar
KM 17 Gua Musang - Kuala Krai
KM96.3 Lebuhraya PLUS - Kuala Muda
KM256.1 Lebuhraya Pantai Timur 2
KM 288.6 Lebuhraya Pantai Timur 2
KM 146.8 Lebuhraya PLUS - Pagoh

Julia Perez Meninggal Dunia Akibat Kanser

by


Pelakon dan penyanyi Indonesia Julia Perez meninggal dunia pada Sabtu selepas tiga tahun melawan penyakit kanser servik tahap akhir.

Kapan Lagi melaporkan khabar duka itu dimaklumkan sendiri oleh adiknya, Anggita Perez menerusi Instagram miliknya.

"Innalilahiwainailahirojiun telah berpulang kakak kami tercinta Julia Perez. Minta doanya ya semua, terima kasih semua atas sokongan selama ini. I Love You Yuli," tulisnya.

Anggita turut memuat naik gambarnya bersama Julia atau nama sebenarnya Yulia Rachmawati yang terbaring lemah di atas katil sambil dia memegang tangan kakaknya itu dengan air mata sedang mengalir.

Jupe mula bergelar penyanyi sejak tahun 2002 dan dia telah menghasilkan empat buah album iaitu Kamasutra, Aku Rapopo, Dangdut Galau dan The Best Of Julia Perez.

Dia disahkan mengidap kanser servik pada tahun 2014 dan telah menjalani rawatan kimoterapi.

Siaran Digital MyFreeview Dilancar 6 Jun 2017

by


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam Selasa membuka lembaran baharu dunia penyiaran negara dengan melancarkan perkhidmatan televisyen terestial digital (DTT) myFreeview yang boleh dinikmati secara percuma oleh rakyat.

Ini secara rasmi menandakan industri penyiaran negara kini bertukar daripada analog ke sistem digital dalam usaha kerajaan menyediakan khidmat penyiaran televisyen dan radio terbaik untuk rakyat.

Sehubungan itu, Najib mengumumkan 4.2 juta dekoder percuma untuk diagihkan kepada mereka yang layak termasuk golongan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Bilangan itu merangkumi 2.2 juta set dekoder percuma sumbangan kerajaan sebagai tambahan kepada dua juta set dekoder yang diperuntukkan MYTV Broadcasting Sdn Bhd, syarikat yang dilantik untuk mengendalikan infrastruktur dan kemudahan rangkaian DTT.

"Kerajaan melalui SKMM telah melantik syarikat MYTV pada 2014 sebagai pemegang lesen penyedia infrastrukur tunggal dan MYTV bertanggung jawab untuk membina dan mengendali infrastruktur myFreeview untuk tempoh 30 tahun akan datang."

"Pemberian dekoder percuma ini membolehkan mereka menikmati Siaran Digital myFreeview yang percuma tanpa yuran bulanan. Pemberian dekoder percuma ini akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga suku kedua 2018," katanya ketika berucap melancarkan myFreeview.

Najib berkata pemberian dekoder percuma kepada isi rumah yang layak daripada senarai BR1M itu antara lain bagi mempercepatkan proses migrasi daripada analog ke digital dan berbanding negara-negara maju serta tetangga dalam ASEAN.

Malaysia merupakan negara yang mengambil pendekatan menyediakan dekoder percuma untuk rakyatnya terutamanya bagi mereka yang memerlukan bantuan.

Perdana menteri berkata myFreeview termasuk dalam Projek Pendigitalan Penyiaran Nasional yang bakal membolehkan kerajaan meraih pulangan dividen digital dengan pelepasan spektrum yang diguna pakai oleh penyiaran TV analog selama ini.

Katanya, spektrum tersebut akan diperuntukkan semula bagi tujuan perkhidmatan komunikasi moden yang lain seperti menambah baik rangkaian selular dan perkhidmatan jalur lebar mudah alih berkelajuan tinggi.

Najib menegaskan, projek di bawah naungan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan dipantau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) adalah sebahagian daripada agenda nasional untuk mentransformasikan industri penyiaran negara melalui pendigitalan dengan tujuan mempertingkatkan taraf hidup rakyat ke arah mencapai status negara maju menjelang 2020.

- BERNAMA


Cuti sekolah seminggu sempena Aidilfitri 2017

by


Sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan bakal menikmati ‘cuti panjang’ selama seminggu sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka jatuh pada 25 Jun 2017.

Kementerian Pendidikan dalam satu pekeliling sebelum ini memberitahu, bagi sekolah kumpulan A yang terdiri daripada Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu, akan mula bercuti pada 23 Jun sehingga 1 Julai ini.

Bagi sekolah Kumpulan B yang terdiri daripada Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, pahang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan pula akan bercuti pada 24 Jun sehingga 2 Julai ini.

“Kementerian telah menyelaraskan tarikh-tarikh cuti perayaan bagi sesi persekolah bagi 2017 yang melibatkan Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Hari Kaamatan, Hari Gawai dan Hari Natal.

“Semua sekolah hendaklah mematuhi cuti perayaan yang diperuntukkan kementerian dan cuti ini tidak perlu diganti,” kata pekeliling yang dikeluarkan Pejabat Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, di sini baru-baru ini.

Kekeliruan timbul ekoran penyebaran jadual cuti persekolahan selama seminggu di media sosial yang didakwa terlalu hampir dengan cuti pertengahan tahun selama dua minggu bermula 26 dan 27 Mei lalu.

Ini bermakna, murid dan pelajar akan bersekolah selama dua minggu selepas berakhir cuti pertengahan pada 11 Jun ini, sebelum kembali bercuti selama seminggu sempena Aidilfitri.

Sementara itu, cuti pertengahan tahun kali ini serentak dengan cuti perayaan Hari Kaamatan pada 30 dan 31 Mei sementara Hari Gawai pula jatuh pada 1 dan 2 Jun. 

- UTUSAN


Video Gadis Ceti Tuntut Hutang Viral

by


Masih ingat lagi video tular sebelum ini mengenai seorang gadis yang menuntut hutang daripada rakannya dengan aksinya yang mencuit hati?

Kali ini, gadis tersebut kembali dengan video baharu yang masih dengan telatah lucu membuatkan sesiapa sahaja yang menontonnya tidak kering gusi.

Menerusi video yang dikongsikan dalam laman sosial termasuk di Facebook Nurhayati Tahir (Bunga Marshelloop), gadis tersebut berkongsi ‘berita gembira’ mengenai rakannya telah melangsaikan hutang.

Menariknya, ‘rakannya yang berhutang’ itu kali ini sendiri menghubunginya berbanding sebelum ini enggan menjawab panggilan apabila dihubungi.

“Hello aku nampak video engkau, nasib baik engkau tak letak muka aku. Terima kasihlah, malunya kalau ada muka aku. Baru empat tahun tak bayar, aku nak bayarlah ni,” katanya yang melakonkan watak ‘rakan berhutang’ itu dengan gaya bersahaja.

“Hutang dah langsai! Sekarang dah tak payah makan tahi gigi, dah gosok bersih bersih dah. Boleh raya cantik cantik, terima kasihlah dah bayar balik duit itu,” katanya sambil terus menunjukkan reaksi wajah ceria melucukan.

Video berdurasi dua minit dan 16 saat itu kemudiannya diakhiri dengan pantun dua kerat buat rakannya.

“Empat tahun makan tahi gigi, lepas ini tak bagi pinjam lagi,” katanya sambil menambah bahawa dia dahulu bukannya bodoh kerana bagi pinjam, tetapi kurang cerdik.

“Cukuplah sekali saja bagi pinjam,” katanya.

Nurhayati sebelum ini mendapat perhatian netizen kerana banyak menghasilkan video gurauan tetapi sarat dengan mesej dan dekat dengan kehidupan masyarakat.

- mSTAR

Berpuasa bagi wanita hamil

by
Oleh Profesor Dr. Nik Hazlina Nik Hussain

Untuk memutuskan sama ada seseorang ibu itu perlu berpuasa atau tidak sangat bergantung kepada keadaan nutrien ibu, sekali gus memenuhi zat makanan bayinya. Dalam kata lain, soal nutrien harus mendapat perhatian yang serius oleh ibu-ibu hamil . Perlu juga diingat ketika hamil seorang ibu harus memikirkan keperluan dirinya dan juga anak yang sedang dikandungnya.

Jika tidak mengubah tabiat pemakanan, anak yang di dalam kandungan akan turut terjejas. Kekurangan makanan berzat walau sedikit pun akan menjejaskan kesihatan mereka.

Alhamdulillah, puan sudah berada pada trimester kedua (bulan keempat hingga keenam kandungan). Kebiasaannya, semasa awal kandungan iaitu bulan pertama hingga ketiga, ibu hamil sentiasa mengalami gejala mual, pening dan muntah yang kerap, sebaik-baiknya tidak berpuasa.

Pada masa ini, bayi amat memerlukan nutrien dan kalori yang amat tinggi daripada ibu. Sekiranya anda tidak mengalami masalah di atas, anda bolehlah berpuasa. Seelok-eloknya, jika ibu ingin berpuasa, masa paling sesuai adalah semasa kandungan berusia empat hingga enam bulan. Ibu-ibu juga dinasihatkan agar sentiasa mendapat pengawasan daripada doktor.

Ibu-ibu yang mempunyai penyakit, disarankan agar tidak berpuasa jika mengalami alahan yang teruk ( sentiasa lemah, mual dan mengalami kekurangan air dalam badan), penyakit kronik seperti diabetes mellitus, hipertensi, penyakit buah pinggang, anemia semasa mengandung, oligohidramnios (air mentuban yang sedikit), pesakit jantung, tumbesaran bayi yang terencat dan mengalami perdarahan semasa hamil .

Seseorang ibu juga tidak seharusnya menjadikan kehamilan sebagai alasan untuk makan secara berlebihan terutamanya semasa Ramadan. Piramid makanan boleh dijadikan panduan bagi mendapatkan pemakanan yang berzat dan seimbang. Pengambilan pelbagai jenis makanan dan juga kuantitinya amat penting.

Untuk memastikan ketahanan tubuh cukup kuat, ibu harus mengutamakan makanan dengan kalori dan protein yang tinggi seperti daging. Ia juga menyebabkan perut lambat berasa lapar. Bagaimanapun, tuntutan pertambahan kalori tidaklah setinggi tuntutan nutrien lain. Elakkan pengambilan karbohidrat dan gula kerana ia hanya menambah kalori. Serat dan sayur-sayuran jangan pula dilupakan.

Banyakkan minum air dan susu untuk memenuhi tuntutan harian sebanyak dua hingga tiga liter sehari. Jika tidak mampu, minum air kosong sahaja, bolehlah dicampur jus, sirap dan sebagainya. Minumlah air sepanjang malam dan sekiranya kerap membuang air kecil, ia petanda baik yang menunjukkan seseorang itu tidak mengalami dehidrasi. Biasanya seseorang wanita hamil memerlukan lebih kurang dua liter air sehari.

Oleh itu, bagi memastikan bekalan air yang mencukupi untuk tubuh, anda seharusnya meminum air dengan kerap selepas waktu berbuka puasa. Kemudian berehatlah lebih kurang sejam sebelum menyantap hidangan berbuka.

Tujuannya memberikan keseimbangan terlebih dahulu terhadap sistem pencernaan. Ingat, jangan makan berlebihan dan elak makanan yang mempunyai kandungan garam tinggi seperti telur dan ikan masin. Berbuka puasalah perlahan-lahan agar perut tidak terkejut. Untuk membantu penghadaman, kunyah makanan dengan baik.

Untuk anda yang mampu menahan lapar, perbanyakkanlah mengambil jenis makanan berserat yang banyak terdapat dalam sayur dan buah. Tubuh memerlukan waktu lebih lama untuk menghadam makanan banyak serat.

Selain makanan berserat dan protein, sebaik-baiknya sediakan jenis makanan yang mengandungi vitamin dan mineral serta makanan tambahan agar tubuh tetap segar-bugar sepanjang hari.

Kesimpulannya, wanita hamil boleh berpuasa jika mempunyai kekuatan dan tidak mengalami komplikasi kehamilan. Bagi yang tiada kekuatan akibat penyakit semenjak sebelum berkahwin atau dihidapi semasa hamil , dibenarkan berbuka dan harus menggantikannya semula.

- Utusan

Punca Nahas Helikopter Di Sarawak Didedah

by


Punca nahas helikopter Eurocopter AS350 di Batang Lupar, berhampiran Sebuyau, Sarawak pada Mei tahun lepas adalah disebabkan keadaan cuaca buruk dan juruterbang yang tidak biasa dengan kawasan persekitaran, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata perkara itu dikemukakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara dalam laporan akhir nahas helikopter itu, yang akan dimuat naik ke laman web Kementerian Pengangkutan (www.mot.gov.my) dalam masa terdekat.

Liow berkata laporan akhir yang telah dibentangkan di Kabinet pada bulan lepas itu mendapati ketika kemalangan berlaku, helikopter berkenaan telah memasuki kawasan yang mengalami hujan lebat dan ribut.

"Kita buat siasatan dan dapati bahawa helikopter tersebut memasuki kawasan ribut dan ketika itu laporan kaji cuaca daripada Jabatan Meteorologi juga menunjukkan kawasan kemalangan itu adalah kawasan hujan lebat.Kemalangan tidak melibatkan masalah teknikal sebaliknya cuaca dan juruterbang.

"Kalau orang biasa dengan laluan tersebut mungkin mereka akan elak tetapi juruterbang itu daripada luar negara dan tidak fasih (biasa) dengan keadaan sini, jadi juruterbang ikut GPS (sistem kedudukan global) dan itu kemungkinan kemalangan berlaku," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis pelancaran Buku Sejarah Penubuhan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman di Setapak.

Liow berkata laporan akhir itu turut mengesyorkan mana-mana syarikat, individu atau agensi yang menggunakan juruterbang luar negara perlu melalui kursus khas penerbangan helikopter dalam negara sebelum dibenarkan menerbangkan pesawat.

"Kursus ini bagi juruterbang warga asing biasakan diri dengan suasana, cuaca dan keadaan sekeliling kawasan di negara ini sebelum dibenarkan untuk menerbangkan mana-mana helikopter di negara ini," katanya.

Pada 5 Mei tahun lepas pesawat malang itu terhempas di Batang Lupar dengan mengorbankan enam penumpang termasuk juruterbang warga Filipina, Kapten Rudolf Rex Ragas, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Tan Sri Noriah Kasnon dan Anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

- Bernama

Model Iriz Dipertingkat

by


Proton Holdings Bhd secara rasmi memperkenalkan Proton Iriz yang dipertingkat pada Isnin dan kereka itu boleh diperoleh di semua bilik pameran di seluruh negara.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata, Proton Iriz baharu itu mempunyai tahap bunyi dan getaran yang lebih rendah, petunjuk bantuan pemanduan eko dan kalibrasi unit kawalan enjin yang dipertingkat bagi tindak balas linear untuk meningkatkan pemanduan.

"Kami tidak akan berkompromi dengan standard dan ciri-ciri keselamatan dan Iriz terkenal kerana ciri-ciri keselamatannya yang cemerlang.

"Sejak diperkenalkan pada September 2014, kami telah menjual lebih 45,000 unit, menjadikannya kereta Proton kedua paling laris sejak memulakan pengeluaran, selepas Saga," katanya.

Iriz dikeluarkan dalam empat varian, iaitu 1.3L Standard (MT dan CVT), 1.3L Executive CVT dan 1.6L Premium CVT.

Dijual dengan harga daripada RM43,800 hingga RM58,800 seunit, ia boleh didapati dalam lima warna, iaitu Ruby Red, Carnelian Brown, Graphite Grey, Atlantic Blue dan Cotton White.

- Bernama

Tarikh Pembayaran Bonus Raya 2017 Kakitangan Kerajaan

by



Kerajaan bersetuju untuk memberi Bantuan Khas Kewangan Hari Raya Aidilfitri 2017sebanyak RM500 kepada hampir 1.6 juta penjawat awam sebagai persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri 2017. Bantuan Khas ini juga akan turut dinikmati oleh hampir 775,000 pesara Kerajaan sebagai menghargai jasa perkhidmatan dengan jumlah bayaran sebanyak RM250.

Pembayaran bagi bantuan khas ini akan dibuat sebelum 9 Jun 2017.

Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam dan pesara Kerajaan ini membabitkan anggaran peruntukan kewangan sebanyak RM1 bilion.

Kerajaan berharap dengan pemberian Bantuan Khas ini dapat meringankan beban kewangan kepada penjawat awam dan pesara bagi persiapan Hari Raya Aidilfitri 2017.

Kementerian Kewangan
Putrajaya

Jambatan Pulau Sekati mula dibuka 30 Mei 2017

by


Fasa pertama Jambatan Pulau Sekati yang menghubungkan bandar raya Kuala Terengganu dengan Kuala Nerus mula dibuka kepada pengguna mulai petang 30 Mei 2017.

Laluan sepanjang tiga kilometer itu menghubungkan Pulau Sekati yang berada di tengah-tengah Sungai Terengganu ke Losong dan Paloh.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, ia merupakan satu lagi laluan alternatif untuk orang ramai ke pusat bandar dengan perjalanan yang lebih cepat dan selesa.

Menurut beliau, pembukaan sebahagian daripada jambatan tersebut dapat memberikan kelegaan kepada pengguna terutama menjelang Aidilfitri.

“Laluan fasa kedua sepanjang tiga kilometer ke Banggol Tuan Muda dan Jeram Tok Kong, Manir di sini pula akan dibuka 19 Jun2017.

“Keseluruhan projek Jambatan Pulau Sekati sepanjang enam kilometer ini melibatkan peruntukan sebanyak RM245 juta,” katanya.

- Kosmo!

Selepas 4 Tahun Kahwin, Pakar Sahkan Mawar Hamil

by


Isteri kepada pelakon Fizo Omar iaitu Mawar akhirnya disahkan hamil beberapa minggu selepas empat tahun berumah tangga. 

Berita gembira itu diumumkan oleh Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Dr. Hamid Arshat. 
Katanya, Mawar hamil selepas menjalani beberapa pembedahan dan mendapat beberapa rawatan susulan. 

"Setelah menjalani pembedahan dan berbagai rawatan susulan akhirnya dengan izin dan rahmat Allah SWT Mawar hamil. 

"Sekarang dalam peringkat awal kehamilan. Dalam keadaan biasa, risiko gugur sebelum 12 minggu kehamilan adalah dalam lingkungan 10 peratus.

"Risiko ini meningkat bagi mereka yang mengalami masalah kesuburan dan khususnya yang menjalani pembedahan pada peranakannya," tulis pakar perubatan itu di laman sosial Facebook miliknya. 

"Saya Akan Sahkan Nanti"

Dalam pada itu, Dr Hamid turut memberi nasihat dan memberi panduan kepada pasangan itu untuk menjaga kehamilan tersebut. 

"Rehat banyak-banyak, tenangkan fikiran dan kurangkan kerja-kerja berat serta perjalanan jauh dan tangguhkan penerbangan. 

“Pada asasnya kurangkan stress kerana ia boleh mencetuskan kuncupan rahim dan seterusnya mengancam untuk gugur,” ujarnya. 

Dr Hamid turut meminta Mawar agar makan makanan berzat dan berkhasiat segar dan mentah selain lebihkan buah-buahan dan sayur jus buah dan salad. 

Dia turut meminta orang ramai agar terus mendoakan kehamilan Mawar sehingga selamat melahirkan seorang cahaya mata. 

Fizo atau Wan Hafizul Wan Omar, 32, berkahwin dengan Mawar Abdul Karim, 28, pada 10 November 2013.

Fizo Omar berkata, isterinya Mawar Abdul Karim, 28, pernah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan kecil pada 16 Januari 2016 bersama Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Dr. Hamid Arshat.

Pun begitu Kata Fizo, dia percaya selain faktor ketumbuhan, ada beberapa faktor lain yang turut menyumbang kepada kesukaran isterinya itu untuk hamil.

"Paling tepat untuk saya katakan, ia berkait-rapat dengan rezeki Allah namun saya percaya beberapa faktor lain turut menyumbang kepada permasalahan itu seperti pemakanan dan tekanan kerja kerana kami memang dikenali sebagai pasangan aktif bekerja.

"Tapi itulah, kalau Allah dah nak bagi... selepas setahun lebih menjalani pembedahan kecil membuang ketumbuhan tersebut, akhirnya kami terima berita gembira ini," katanya.

- mStar

Hari Keputeraan Rasmi Yang Di-Pertuan Agong Pada 29 Julai

by


Hari Keputeraan Rasmi Yang Di-Pertuan Agong Pada 29 Julai

Kerajaan bersetuju tarikh sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V dipinda dari Sabtu minggu pertama bulan Jun kepada Sabtu minggu terakhir Julai sepanjang lima tahun pemerintahan Seri Paduka sehingga 2021.

Menurut kenyataan Jabatan Perdana Menteri (JPM),  pindaan itu mengambil kira hari Sabtu minggu pertama Jun pada 2017, 2018 dan 2019 jatuh dalam bulan Ramadan.

“Dengan pindaan tersebut, sambutan Hari Keputeraan Seri Paduka dapat diraikan bersama-sama rakyat jelata melalui penganjuran acara yang dijadualkan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyatakan bagi tahun ini, Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V akan disambut pada Sabtu, 29 Julai.

- Bernama

BR1M Peringkat Kedua 2017 Dibayar Bermula 5 Jun

by


Penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2017 akan menerima pembayaran peringkat kedua akan dibuat mulai 5 Jun 2017 ini.

Menurut Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani pada Rabu, pembayaran yang bersempena sambutan Hari Raya Adilfitri itu melibatkan penerima yang telah menerima BR1M 2017 semasa peringkat pertama sebelum ini, manakala pembayaran bagi permohonan rayuan dijangka pada 17 Jun ini.

"Kerajaan berharap dengan pemberian BR1M ini dapat membantu rakyat membeli barangan keperluan dan persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata pembayaran BR1M akan dikreditkan terus ke akaun penerima, dan bagi mereka yang tidak mempunyai nombor akaun, surat kelulusan akan diposkan terus ke alamat penerima dan seterusnya boleh ditunaikan di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) berhampiran.

Untuk sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-2716 atau emel kepada br1m@treasury.gov.my


Tarikh melihat anak bulan Ramadan 2017

by
Tarikh melihat anak bulan Ramadan bagi permulaan puasa untuk umat Islam di Malaysia ialah Jumaat, 26 Mei 2017 bersamaan 29 Syaaban 1438 Hijrah.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh permulaan puasa melalui radio dan televisyen.

29 lokasi melihat anak bulan adalah seperti berikut:

1. Pontian Kecil, Johor
2. Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka
3. Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan
4. Bukit Melawati, Kuala Selangor, Selangor
5. Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat, Selangor
6. Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam, Selangor
7. Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, Manjong, Perak
8. Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang 9. Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda, Kedah
10. Pemandangan Indah, Pulau Langkawi, Kedah
11. Menara Alor Setar, Kedah
12. Bukit Besar, Kuala Terengganu; Terengganu
13. Bukit Geliga, Kemaman, Terengganu
14. Pulau Perhentian, Besut, Terengganu
15. Balai Cerap KUSZA, Mukim Merang, Setiu, Terengganu
16. Bukit Peraksi, Pasir Puteh, Kelantan
17. Bukit Kampung Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram, Kuala Krai, Kelantan
18. Menara Bangunan SEDC, Jalan Tengku Putera Semerak, Kota Baharu, Kelantan
19. Esplanade Luak, Miri, Sarawak
20. Teluk Bandung, Kuching, Sarawak
21. Tanjung Batu, Kuching, Sarawak
22. Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan, Sabah
23. Bukit Tanjong Batu, Nenasi, Pahang
24. Gunung Berincang, Cameron Highlands, Pahang
25. Bukit Pelindung, Kuantan, Pahang
26. Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan.
27. Menara Kuala Lumpur
28. Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya
29. Kuala Sungai Baru, Simpang Empat, Perlis.

Fattah Amin Bintang Paling Popular ABPBH 30

by

Senarai Pemenang Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 30 - 2017


Aktor Fattah Amin diumumkan sebagai Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 30 (ABPBH 30).

Fattah turut memenangi kategori Pelakon TV Lelaki Popular dan dua kategori online iaitu Artis Sensasi dan Gandingan Serasi Dalam Drama bersama aktres Neelofa pada acara yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di Putrajaya.

Kemenangan itu membolehkan Fattah membawa pulang hadiah berupa sebuah kereta jenama Peugeot 408 beserta trofi.

Sementara itu, bintang yang muncul daripada aplikasi Smule iaitu Khai Bahar memenangi dua kategori iaitu Artis Baharu Lelaki Popular dan Penyanyi Lelaki Popular.

Majlis gilang gemilang itu diacarakan oleh Zulin Aziz, Faizal Ismail dan Fauziah Ahmad Daud.

Senarai Pemenang ABPBH 30:
1) BINTANG PALING POPULAR: FATTAH AMIN
2) PENYANYI LELAKI POPULAR: KHAI BAHAR
3) PENYANYI WANITA POPULAR: SITI NORDIANA
4) ARTIS DUO/ BERKUMPULAN POPULAR: AKIM & THE MAJISTRET
5) ARTIS BARU LELAKI POPULAR: KHAI BAHAR
6) ARTIS BARU WANITA POPULAR: SWEET QISMINA
7) PELAKON FILEM LELAKI POPULAR: ZUL ARIFFIN
8) PELAKON FILEM WANITA POPULAR: FAZURA
9) PELAKON TV LELAKI POPULAR: FATTAH AMIN
10) PELAKON TV WANITA POPULAR: JANNA NICK
11) ARTIS KOMEDI POPULAR: ZIZAN RAZAK
12) PENGACARA TV POPULAR: NEELOFA
13) PENYAMPAI RADIO POPULAR: RADIN (ERA FM)
14)ARTIS VERSATIL POPULAR: IFA RAZIAH

Anugerah Khas
ANUGERAH KHAS PENCAPAIAN SEPANJANG HAYAT: ELLA

Kategori Online
GANDINGAN SERASI DRAMA: NEELOFA DAN FATTAH AMIN (SURI HATI MR.PILOT)
GANDINGAN SERASI FILEM: SYAMSUL YUSOF & NABILA HUDA (MUNAFIK)
PERSONALITI MEDIA SOSIAL: SI MAKHLUK MACHO
ARTIS BERPENGARUH LAMAN SOSIAL: NEELOFA
ARTIS SENSASI: FATTAH AMIN

Bayi Dikeluarkan Dari Perut Ibu Meninggal

by


Doktor di Singapura mengeluarkan seorang bayi pramatang dari perut ibunya warga Malaysia yang juga mangsa kemalangan maut di Jurong West pada Sabtu.

Wanita yang dikenal pasti sebagai Goh Chieh Ting, 25, sedang mengandung enam bulan semasa dilanggar sebuah lori ketika sedang melintas jalan, lapor Shin Min Daily News.

Mangsa bagaimanapun tidak bertindak balas semasa menerima rawatan di hospital dan kemudiannya disahkan meninggal dunia.

Namun, doktor melakukan pembedahan kecemasan dan berjaya menyelamatkan anak perempuan mangsa yang kini berada dalam keadaan stabil.

Kemalangan maut itu berlaku kira-kira pukul 8 pagi di Jurong West Avenue 1 menghala ke Jalan Kerjasama dekat Blok 456.

Saksi memberitahu akhbar tersebut bahawa Chieh Ting sedang memegang tangan seorang wanita ketika melintas jalan itu.

Difahamkan seorang lagi wanita yang selamat adalah ibu mertuanya.

Tanpa diduga, sebuah lori keluar dari tempat letak kereta dan berpusing ke kanan dan gagal menghentikan kenderaannya lalu melanggar Chieh Ting.

Mangsa berasal dari Johor dan memegang permit lawatan jangka masa panjang dan tinggal di lokasi kemalangan bersama keluarga mertuanya.

Ketika kemalangan, Chieh Ting dan ibu mertuanya baharu sahaja menikmati sarapan pagi dan mahu melintas jalan untuk pergi ke pasar berdekatan.

Selepas kejadian, Chieh Ting yang tidak sedarkan diri dikejarkan ke Hospital Umum Ng Teng Fong.

Namun dia disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 9.30 pagi Sabtu kerana mengalami pendarahan di kepala.
Ketika dihubungi, polis berkata pemandu lori berusia 46 tahun itu sudah ditahan kerana memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian.

– The Straits Times/Asia News Network


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90