Top Ad 728x90

Senarai Lagu Layak ke Anugerah Juala Lagu 32

by


Berikut adalah senarai lagu dalam Muzik-Muzik 2018 yang layak bertanding di dalam Anugerah Juara Lagu - AJL 32 pada Januari 2018 nanti.

1. Sejati
- Faizal Tahir (Azmi dan caliph Busker)

2. Tergantung Sepi
- Haqiem Rusli.

3. Jampi
- Hael Husaini

4. Separuh Mati Ku Bercinta
- Dayang Nurfaizah

5. Amboi
- Altimet

6. Lebih Sempurna
- Syamel.

7. Aku Yang Sebenarnya
- Hazama dan Penglipurlara

8. Akhirnya Cinta
– Salma

9. Menahan Rindu
- Wany Hasrita.

10. Aku Cinta
- Syamel dan Ernie Zakri.

11. Bayang
- Khai Bahar

12. Warkah Untuk Mu
- Ara Johari

Perkeso Naikkan Kadar Pencen

by
Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengumumkan kenaikan kadar pencen di bawah Skim Insurans Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan mulai 1 September tahun ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata, Perkeso akan membayar pelarasan tunggakan pencen mulai 26 Disember ini dengan peruntukan sebanyak RM72.62 juta manakala penyelarasan bagi tahun hadapan ialah sebanyak RM238 juta.

"Kira-kira 328,056 penerima bakal menerima faedah itu dengan kadar minimum sebanyak RM475.00,” katanya pada sidang media
.
Bayaran tersebut akan diberikan kepada penerima faedah Hilang Upaya Kekal, Faedah Orang Tanggungan, Pencel Ilat dan Pencen Penakat.

Richard juga berkata penyelarasan kadar pencen baru oleh Perkeso itu dapat membantu meringankan bebanan penerima pencen daripada agensi tersebut.

"Dari semasa ke semasa, kajian akan dilakukan bagi memastikan penyesuaian kadar bayaran pencen dilaksanakan agar penerima faedah tersebut berada pada tahap ekonomi semasa serta dapat menampung kos sara hidup yang meningkat," ujarnya.

Perkeso yang ditubuhkan sejak 1971 kini mempunyai 6.8 juta pencarum dengan kadar caruman lebih RM3 bilion ringgit bagi tahun ini.

- BERNAMA

Sagu Hati RM2,000 Untuk Penjawat Awam Negeri Sembilan

by
Lebih 6,000 penjawat awam kerajaan negeri akan menikmati pemberian sagu hati sebanyak RM2,000 yang dibayar secara berperingkat bermula Disember ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata daripada jumlah itu, RM500 akan dibayar pada Disember ini, baki RM500 pada Januari 2018 dan RM1,000 pada sambutan Hari Raya Adilfitri 2018.

"Ia akan diberikan secara berperingkat iaitu pada Disember ini bersama gaji bulan tersebut, baki RM500 pada Januari 2018 dan RM1,000 pada sambutan Hari Raya Adilfitri 2018.

"Pemberian sagu hati itu melibatkan semua penjawat awam kerajaan negeri termasuk pihak berkuasa tempatan dan agensi di bawah kerajaan negeri," katanya pada sidang akhbar di sini.

Penjawat awam persekutuan dalam pada itu akan menerima bayaran khas RM1,500 seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2018 baru-baru ini yang akan dibayar pada Januari, sebanyak RM1,000 dan RM500 menjelang Aidilfitri. 

- BERNAMA

Kereta Ditelenggami Banjir

by

Pengendeli bengkel kenderaan berdepan dengan kesibukan selepas musim banjir.

Kebanyakan bengkel kini dipenuhi dengan ribuan kenderaan rosak disebabkan banjir yang melanda Pulau Pinang hujung minggu lalu.

Malah pusat mencuci kereta juga penuh apabila orang ramai datang untuk mencuci lumpur yang melekat di kenderaan mereka.

Mekanik Ng Chee Lun dan pekerjanya mengakui terpaksa bekerja lebih masa untuk membaiki kenderaan yang banyak rosak.

"Kereta perlu dicuci terlebih dahulu.

"Selepas itu enjin perlu diservis. Hanya selepas itu baharui kita boleh tahu masalah atau kerosakan yang berlaku," ujarnya.

Kata Chee Lun, dia mengambil masa kira-kira dua minggu untuk membaik pulih sebuah kereta, sambil menambah bahawa kosnya boleh mencecah sehingga RM1,000 untuk kerosakan kecil.

Dia menasihati orang ramai yang berdepan dengan kereta ditenggelami banjir untuk tidak menghidupkan kenderaan mereka dengan segera.

"Perlu memanggil mekanik melihat kereka mereka dahulu. Jika tidak ia boleh menyebabkan kerosakan yang lebih teruk,"jelasnya.

Sementara itu, pemilik pusat mencuci kereta di Jalan Kampung Pisang di Ayer Itam juga kelihatan sibuk apabila tempatnya itu dipenuhi dengan kerusi kereta.

Yeoh Air Lee berkata 20 kereta yang tenggelam dalam banjir dihantar ke kedainya untuk dibasuh dan dibersihkan.

Katanya, lumpur dan kotoran yang terperangkap di kerusi kereta menjadikannya lebih sukar.

"Kami perlu meluangkan sedikit masa untuk membersihkan kotoran untuk memastikan tidak ada kotoran yang terlekat di tempat duduk.

"Kami juga memerlukan cuaca panas  untuk proses pengeringan. Ini biasanya mengambil masa kira-kira dua hari tetapi jika cuaca mendung, ia akan mengambil masa selama  seminggu, "katanya.

Sementara itu, Asiawash Autospa menawarkan perkhidmatan asas basuh kereta hanya RM1 untuk kereta yang terjejas oleh banjir.

- mSTAR

Myvi Baharu Dibuka Untuk Tempahan

by



Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) menyasarkan untuk menjual purata 6,000 unit Myvi baharu sebulan dalam tempoh tiga bulan selepas pelancaran pada Khamis, menjadikan jumlahnya sebanyak 18,000 unit.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata model baharu itu akan berada di bilik pameran syarikat berkenaan di seluruh negara mulai Khamis, 9 November 2017.

"Ia berharga daripada RM44,300 sehingga RM55,300. Kami menjangka versi dengan warna-warna baharu seperti glittering silver, lava red, mystical purple dan peppermint greeen akan mewujudkan permintaan yang lebih tinggi daripada pengguna," katanya kepada pemberita selepas majlis pratonton tidak rasmi model baharu itu pada 8 November.

Kereta Myvi baharu ini menampilkan Eco Idle dimana enjin akan ditutup secara automatik apabila kereta dihentikan dan dihidupkan kembali selepas pedal brek dilepaskan.

"Dengan aerodinamik yang lebih baik, angka penjimatan bahan api akan berada pada 20.1 km/l untuk 1.5 AT," katanya.

Model ini didatangkan dengan lima varian; 1.3 Standard (TM), 1.3 standard G (AT), 1.3 Premium X (AT), 1.5 High (AT), dan 1.5 Advance (AT).

Katanya, orang ramai boleh menyaksikan model tersebut di Malaysia Autoshow, Taman Pameran Pertanian Malaysia Serdang mulai Khamis sehingga 12 November 2017 ini.

Harga untuk lima varian:
> 1.3 Standard G (MT): RM44,300
> 1.3 Standard G (AT): RM46,300
> 1.3 Premium X (AT): RM48,300
> 1.5 High (AT): RM51,800
> 1.5 Advance (AT): RM55,300


-mSTAR

KL Tersenarai 100 Bandar Paling Dilawati

by
Euromonitor International mendedahkan senarai 100 bandar sebagai destinasi terbaik untuk dilawati pada 2017 di World Travel Market (WMT) yang merupakan peneraju acara pelancongan global.

Laporan tahun ini memfokuskan bagaimana trend pelancongan masa hadapan adalah cabaran dan peluang yang dihadapi oleh setiap bandar dunia.

Menurut laporan itu, bandar di negara Asia mendominasi senarai 10 teratas kerana peningkatan jumlah pelancong dari negara China.

Laporan itu mendedahkan Hong Kong adalah bandar yang paling dilawati di dunia diikuti Bangkok di tempat kedua.

Penganalisis Perjalanan Senior di Euromonitor International, Wouter Geerts berkata, Asia Pasifik adalah kawasan paling menyerlah dalam meneraju perubahan pelancongan.

"Kami menjangkakan kawasan itu akan terus meningkat sehingga dekad seterusnya.

"Kami juga menjangkakan Singapura akan mengambil alih posisi London sebagai bandar ketiga paling dilawati pada 2025," ujarnya.

Berbeza dengan Eropah, bandar-bandar di sana dibanjiri imigran berikutan krisis Brexit dan sering diancam dengan serangan pengganas.

Bandar seperti Greece di Itali dan Sepanyol pula mengaut keuntungan kerana pergolakan yang berlaku di Timur Tengah dan Utara Amerika.

Dalam pada itu, bandar-bandar di Timur Tengah dan Utara Amerika mengalami kemerosotan sejak beberapa tahun lepas.

Namun, data Euronomitor menjangkakan bandar-bandar itu akan kembali pulih bermula pada 2017.

Sewaktu bandar-bandar di Timur Tengah dan Utara Amerika berhadapan dengan isu seperti perang dan perebutan sempadan, bandar sub-Sahara, Afrika mengambil langkah membuka sempadan dan berkoloborasi dengan Kesatuan Rakyat Afrika untuk pelan ke arah tiada persempadanan.

Dalam pada itu, New York, menjadi satu-satunya bandar di Amerika Syarikat yang tersenarai dalam ranking 10 teratas pada tahun ini.

Berikut merupakan senarai 10 bandar paling dilawati:
Hong Kong: 26.6 juta pelawat, Bangkok: 21.2 juta pelawat, London: 19.2 juta pelawat, Singapura: 16.6 juta pelawat, Macau: 15.4 juta pelawat, Dubai: 14.9 juta pelawat, Paris: 14.4 juta pelawat, New York: 12.7 juta pelawat, Shenzen: 12.6 juta pelawat dan Kuala Lumpur: 12.3 juta pelawat.

Jumlah penduduk Malaysia kini cecah 32.2 juta

by


Jumlah penduduk Malaysia kini cecah 32.2 juta

Jumlah penduduk Malaysia mencecah 32.2 juta orang pada suku ketiga (Q3) iaitu pada Julai hingga September tahun ini, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, berdasarkan statistik demografi bagi Q3 tahun ini, jumlah penduduk itu mencatatkan peningkatan 1.3 peratus berbanding 31.7 juta pada Q3 2016.

"Berdasarkan laporan itu, 129,500 kelahiran hidup dilaporkan pada Q3 tahun ini, berkurangan 0.3 peratus berbanding 129,900 pada Q3 2016.

"Secara purata, jumlah kelahiran hidup pada Q3 tahun ini adalah 43,200 sebulan," katanya dalam kenyataan berhubung statistik demografi bagi suku ketiga 2017 yang dikeluarkan hari ini.

Mohd Uzir berkata sejumlah 40,700 kematian direkodkan pada Q3 tahun ini berbanding 40,900 yang direkodkan pada Q3 tahun lepas.

Secara purata, katanya, jumlah kematian pada Q3 tahun ini adalah 13, 600 sebulan," katanya. 

- Bernama




Durian catat carian tertinggi pengguna China menerusi Alibaba.com

by




Buah durian dan produk berasaskan durian merupakan antara carian tertinggi di dalam laman e-dagang Alibaba.com oleh pengguna negara China ketika ini, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan berkata kerajaan sedang meneliti langkah mengeksport durian dalam bentuk buah kerana ketika ini durian yang dieksport sudah dikupas dan dalam produk berasaskan ''cookies'' dan kuih yang mempunyai perisa buah itu.

"Kalau dilihat dalam carian yang tertinggi dalam Alibaba.com oleh pengguna dari negara China, segala perkara tentang durian adalah carian nombor satu dalam portal itu.

"Kementerian Asas Tani sebenarnya sedang mengadakan perbincangan dan tidak lama lagi kita akan tahu bagaimana kita boleh eskport durian dengan lebih mudah," katanya dalam sesi Pertanyaan- Pertanyaan Bagi Jawab Lisan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Ahmad menjawab soalan tambahan Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas) yang ingin tahu sejauh manakah kerajaan menyediakan sistem eskport secara besar-besaran buah durian bagi memudahkan mereka menanam secara ladang.

Terdahulu menjawab soalan asal Datuk Othman Abdul (BN-Pendang), Ahmad berkata dagangan dua hala antara Malaysia dan China pada sembilan bulan pertama tahun ini mencecah RM212.94 bilion, berbanding RM170.64 bilion bagi tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata, jumlah eksport bagi tempoh Januari hingga September tahun ini meningkat sebanyak 35.3 peratus kepada RM91.87 bilion manakala jumlah import meningkat sebanyak 19.7 peratus kepada RM121.08 bilion.

Dalam pada itu, Ahmad berkata pada 31 Dis tahun lepas, sejumlah 220 projek perkilangan dengan penyertaan dari negara China telah dilaksanakan dengan nilai pelaburan berjumlah RM14.2 bilion dan projek-projek ini mewujudkan 33,020 peluang pekerjaan. 

- Bernama

Bayaran haji 2018 kekal RM9,980 - Tabung Haji

by


Bayaran haji RM9,980 bagi musim haji 2018M/1439H dikekalkan walaupun kos sebenar haji meningkat 15 peratus kepada RM22,450 berbanding RM19,550 pada musim haji yang lepas.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Johan Abdullah berkata, subsidi haji yang akan diberi kepada seorang jemaah haji muassasah kali pertama ialah RM12,470 iaitu 56 peratus daripada kos haji.

'’Jemaah haji hanya perlu membayar RM9,980 iaitu 44 peratus daripada kos haji," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, TH dijangka menanggung subsidi haji hampir RM400 juta yang merupakan tanggungjawab sosial korporat terbesar TH bagi mendukung aspirasi kerajaan untuk mengimbangi keunggulan duniawi dan ukhrawi.

TH menarik perhatian bahawa bayaran haji itu merupakan kadar paling rendah di Asia Tenggara dengan kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan secara percuma oleh TH semasa jemaah menunaikan ibadah haji. 

- Bernama




Perkhidmatan Whatsapp tergendala

by


Aplikasi Whatsapp yang menjadi jaringan komunikasi masyarakat seluruh dunia mengalami masalah gangguan.

Rata-rata pengguna aplikasi itu melahirkan rasa terkejut dan panik dengan permasalahan tersebut yang berlaku hampir satu jam bermula antara pukul 4.00 petang Jumaat, 3 November 2017.

Bagaimanapun, aplikasi yang wajib dimiliki setiap masyarakat dunia itu kembali pulih pada pukul 5.00 petang.

Tiada sebarang kenyataan rasmi mengenai punca berlakunya gangguan itu.


Pemeriksaan awam projek HSR KL-Singapura

by

Proses Pemeriksaan Awam bagi pelaksanaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura akan dibuka kepada orang ramai selama tiga bulan bermula 1 Nov ini, menurut MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp), pada Isnin.

Pengarah Pelaksanaan Projeknya, Mark Loader berkata orang awam khususnya komuniti yang terlibat boleh memberi cadangan dan pandangan di 43 lokasi di sepanjang cadangan jajaran HSR meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

"Pandangan dan maklum balas daripada orang awam akan digunakan oleh MyHSR Corp untuk melakukan penilaian lanjutan dan penambahbaikan projek tersebut," katanya kepada pemberita di sini.

Proses Pemeriksaan Awam itu disyaratkan di bawah Seksyen 84, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

MyHSR Corp, milik penuh Kementerian Kewangan, ditubuhkan untuk membangun dan melaksanakan projek tersebut.

Maklumat lanjut dan lokasi Pemeriksaan Awam boleh didapati dengan melayari laman sesawang MyHSR di www.myhsr.com

Landasan sepanjang 350km itu akan dapat mengurangkan tempoh perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura kepada hanya 90 minit dengan kelajuan lebih 300km/sejam.

Dijangka mula beroperasi pada pehujung 2026, perkhidmatan HSR akan mempunyai tujuh stesen di Malaysia iaitu Bandar Malaysia, Bangi-Putrajaya, Seremban, Melaka, Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri sebelum berakhir di Jurong East, Singapura.






Tony Fernandes Berkongsi Pengalaman Dalam Memoir

by

Selepas lebih satu dekad bertungkus-lumus melalui onak dan duri sebagai seorang usahawan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad, Tan Sri Tony Fernandes kini mahu menghargai kehidupan dan ‘berehat’.

Menerusi wawancara bersama portal berita Channel News Asia sempena pelancaran memoir terbarunya, Flying High pada Isnin, Tony yang sering bekerja 18 jam sehari pernah beranggapan bahawa tidur itu membuang masa. Beliau berkata, dia kini mahu ‘bergerak perlahan’.

Memoir yang mengisahkan lelaki berusia 53 tahun itu, menggambarkan dirinya sebagai seorang lelaki yang telah ‘melakukan segala-galanya pada kadar maksimum.’

Bagaimanapun, beliau menyedari bahawa hidup memerlukan keseimbangan, dan adalah penting untuk seseorang mendapatkan rehat yang sewajarnya.

Beliau juga berkata: "Adalah mustahil untuk memberi 100 peratus, setiap hari."

Memoir 244 muka surat itu keseluruhannya menceritkan kehidupan usahawan Malaysia berkenaan bermula dari zaman kanak-kanak, zaman remaja sebagai pelajar sekolah menengah di United Kingdom kemudian dari menjalankan sebuah syarikat muzik kepada syarikat penerbangan.

“Apabila saya menjelajah dari satu negara ke satu negara lain, ia hanya kerana mesyuarat. Sekarang, saya mahu lebih luangkan masa untuk menikmati budaya dan tempat itu.

“Kini, saya rasa lebih efektif kerana lebih stabil,” ujarnya kepada Channel News Asia.

Menurut Tony, kestabilan ini datang dari isterinya, Chloe. Mereka menjalinkan hubungan selama dua tahun sebelum mengikat tali perkahwinan dua minggu lalu. Pasangan itu pertama kali bertemu di sebuah restoran di Paris.

Tony menggambarkan isterinya yang merupakan warga Korea Selatan itu sebagai ‘faktor kestabilan yang baik’ bagi dirinya.

Tabung Haji nafi hubungi pendeposit bagi sebarang transaksi pemindahan wang

by


Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan tidak pernah menghubungi mana-mana pendeposit bagi sebarang tujuan transaksi pemindahan wang.

Bahagian Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Lembaga TH dalam satu kenyataan berkata peraturan pengeluaran atau pindahan wang juga tidak boleh dilaksanakan melalui panggilan telefon.

"TH telah menerima aduan daripada pendeposit, terdapat sindiket yang menyamar sebagai kakitangan TH telah menghubungi mereka dan memaklumkan berlaku transaksi pindahan wang dari akaun TH kepada pihak ketiga melalui sebuah bank komersial tempatan.

Untuk melakukan pengesahan transaksi tersebut, pemanggil memaklumkan akan mengalih panggilan tersebut ke Balai Polis Kota Kinabalu, di mana pegawai balai akan mendapatkan maklumat akaun pendeposit," kata kenyataan itu hari ini.

Justeru, TH menasihatkan para pendeposit agar tidak mudah percaya sekiranya menerima panggilan telefon yang mendakwa sebagai kakitangan TH berhubung transaksi pemindahan wang.

Para pendeposit juga dinasihatkan supaya berwaspada dan tidak menuruti arahan pemanggil atau mendedahkan maklumat akaun mereka kepada orang tidak dikenali.

Pendeposit boleh menghubungi talian 03-62071919 untuk sebarang pertanyaan.

- BERNAMA

Mengapa wanita keluar daripada dunia pekerjaan lebih awal

by


Wanita masih lagi 'ketinggalan' dalam bidang kerjaya kerana tumpuan mereka selepas berkahwin ialah melahir dan membesarkan anak-anak.

“Apabila wanita bekerjaya sudah berkahwin, mereka memang mempunyai banyak tanggungjawab dan bukan kerana wanita tidak berkemampuan,” kata Pengarah Institut Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Datin Dr Norizan.

Laporan Jurang Jantina Global 2017 yang diterbitkan Forum Ekonomi Dunia hari ini menyatakan jurang antara lelaki dan wanita dunia semakin besar.

Ia menunjukkan wanita masih 'ketinggalan' dalam penyertaan dan peluang ekonomi walaupun cemerlang dalam bidang pendidikan.

“Wanita menjadi tertekan untuk meneruskan pekerjaan mereka apabila tiada sokongan seperti kemudahan taska yang murah dan pembantu rumah.”

“Tidak banyak syarikat yang menawarkan cuti bersalin.

“Oleh itu, walaupun sudah ramai wanita bergelar graduan universiti, mereka memilih untuk berhenti kerja kerana hendak menjaga anak dan terus tidak kembali ke dunia pekerjaan,” terang beliau.

Tambah beliau, kemahiran yang dikuasai wanita tidak hilang ia hanya disebabkan mereka bercuti buat seketika.

“Kalau sudah mahir, memang tidak akan hilang kemahiran itu.

“Jika ada program melatih semula kaum wanita yang mengambil cuti yang panjang untuk kembali ke dalam dunia pekerjaan, ia pasti disambut baik oleh banyak wanita.”

Astro beri Saluran Percuma Menang Putra Brand Awards 8 tahun berturut-turut

by


Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) akan memberikan semua saluran percuma, selain  saluran sukan premium dan Pay per View di Astro dan Astro Go, kepada pelanggannya bermula 3-19 November ini.

Ia susulan kemenangan Astro dalam kategori Media dan Rangkaian pada Anugerah Putra Brand 2017 yang berlangsung malam ini.

Ini adalah kali ke lapan Astro memenangi anugerah jenama terbaik untuk kategori yang sama.

Menurut Ketua Pegawai Digital dan Pemasaran Astro, Ridhuan Sidek anugerah itu akan meningkatkan lagi komitmen Astro untuk memberikan kandungan terbaik kepada pelanggannya.

Tambahnya, Astro akan meneruskan transformasi yang dilakukan dan menjadikan kepuasan pelanggan sebagai sasaran utamanya bergerak ke hadapan.

Anugerah tersebut disampaikan di Hotel Majestic, Kuala Lumpur, dan turut dihadiri tokoh perniagaan, pemasaran dan pengiklanan dari jenama terbaik Malaysia.

Anugerah Putra Brand 2017 merupakan anugerah yang mengiktiraf jenama terkemuka di Malaysia dan dianjurkan oleh Persatuan Ejen-ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4As).

Ia mengukur jenama menerusi faktor termasuk keinginan pengguna untuk membeli produk dan perkhidmatan serta rekomendasi kepada rakan dan keluarga.

Pemenang dipilih berdasarkan tinjauan yang dilakukan ke atas 6,000 pengguna di Malaysia.

Membasmi Kemiskinan Bandar Dan Kemiskinan Tegar

by
Kemelut ekonomi yang melanda dunia awal tahun ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada mereka yang berpendapatan rendah. Sementara mereka yang paling teruk terjejas adalah golongan miskin tegar di kawasan luar bandar, golongan miskin di bandar juga tidak terlepas.

Golongan miskin bandar ini mengharungi kehidupan yang mencabar walaupun dalam senario ekonomi yang memberangsangkan kerana kos kehidupan yang lebih tinggi di bandar.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengambil berat akan nasib golongan ini mengumumkan beberapa langkah untuk membantu mereka semasa membentangkan Belanjawan 2010.

Beliau berkata, kadar perbandaran meningkat begitu pesat dengan 63 peratus daripada penduduk kini mendiami kawasan bandar.

"Kadar kemiskinan di kawasan bandar terus meningkat kerana kos kehidupan yang terus meningkat, pendapatan yang rendah dan masalah perumahan," katanya.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, mengumumkan satu peruntukan sebanyak RM48 juta untuk melaksanakan program pembasmian kemiskinan di bandar-bandar, yang termasuk bantuan kebajikan dan bayaran sewa rumah.

MENINGKATKAN PEMILIKAN RUMAH DI KALANGAN PENDUDUK MISKIN BANDAR

Dalam usaha memudahkan lagi pemilikan rumah bagi kumpulan berpendapatan sederhana dan rendah, beliau mengumumkan pada awal Oktober bahawa lebih 44,000 rumah kos rendah akan dijual pada harga antara RM21,500 dan RM35,000 setiap unit oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Perumahan Negara (JPN) menjelang akhir 2010.

"Sebagai langkah tambahan, JPN akan menyediakan 74,000 kediaman kos rendah untuk disewakan pada 2010," katanya.

Kerajaan juga bimbang dengan bilangan projek rumah yang terbengkalai. Sehingga hari ini, sejumlah 148 projek persendirian yang terbengkalai membabitkan 49,913 unit dan 31,824 pembeli. Daripada jumlah ini, 87 projek masih belum dipulihkan dengan 41 daripadanya membabitkan rumah kos rendah dan sederhana. Najib berkata, kerajaan akan menimbangkan bantuan kewangan yang wajar untuk memulihkan projek perumahan kos rendah dan sederhana dalam senarai projek terbengkalai sedia ada. Satu peruntukan sebanyak RM200 juta bagi tujuan ini akan disediakan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

KEMENTERIAN KHUSUS UNTUK JAGA GOLONGAN MISKIN BANDAR

Dalam usaha menangani kemiskinan bandar melalui satu cara holistik, Kementerian Wilayah Persekutuan telah ditukar namanya kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, dengan peranan barunya untuk memperkukuh dan memperluas program pembasmian kemiskinan bandar di seluruh negara.

Kemiskinan bandar kini turut meliputi mereka yang berpendapatan bulanan kurang daripada RM3,000.

Untuk mengelakkan pertindihan tanggungjawab, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata pihaknya akan berusaha bersama Jabatan Kebajikan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam pengagihan bantuan bagi golongan miskin.

Kementerian juga berusaha bersama pihak lain seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Perdana Menteri serta jabatan lain.

STRATEGI UNTUK MENINGKATKAN PENDAPATAN

Untuk membantu menambahbaik taraf kehidupan di kalangan golongan miskin dan peluang untuk mata pencarian, kerajaan memperuntukan RM180 juta bagi Program Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR).

Program ini, yang menawarkan latihan kemahiran serta kemudahan kredit mikro meliputi Program Peningkatan Pendapatan, Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya, Program Kecemerlangan Pendidikan, Program Bantuan Rumah dan Program Pembangunan Masyarakat Setempat.

Kerajaan juga menawarkan program latihan kemahiran serta keusahawanan kepada lebih daripada 3,000 wanita menerusi Jabatan Pembangunan Wanita dan Amanah Ikhtiar Malaysia. Adalah diharapkan melalui usaha ini, kadar kemiskinan dapat dikurangkan daripada 3.6 peratus pada 2007 kepada 2.8 peratus pada 2010.

Skim Program Lonjakan Mega Luar Bandar, yang diumumkan semasa pembentangan belanjawan itu juga akan dilanjutkan ke tahun yang berikut bersama satu peruntukan sebanyak RM141 juta untuk membantu 5,600 keluarga keluar daripada kemiskinan tegar.

Skim ini akan tertumpu di kawasan seperti Batang Sadung dan Batang Lupar di Sarawak; Pulau Banggi di Sabah; dan Tanjung Gahai dan Chemomoi di Pahang.

Najib juga berkata 50,000 isirumah tegar yang didaftar di portal pembasmian kemiskinan Jabatan Perdana Menteri, e-Kasih, serta 4,000 isirumah Orang Asli akan menerima bantuan.

Langkah-langkah untuk membasmi kemiskinan termasuk pengagihan bantuan kebajikan persekutuan pada hari pertama setiap bulan, dengan bantuan kebajikan bagi Semenanjung bermula pada 1 September lepas dan bagi Sabah dan Sarawak bermula 1 Januari tahun depan.

PERLINDUNGAN SOSIAL BAGI YANG KURANG BERNASIB BAIK

Dalam satu langkah untuk mempertingkat jaringan perlindungan sosial, kerajaan akan terus membantu orang kurang upaya, warga emas, ibu tunggal dan kanak-kanak yang memerlukan bantuan kebajikan.

Untuk memastikan keberkesanan penyaluran bantuan dan mencegah pertindihan, Unit Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICU) di Jabatan Perdana Menteri sedang menyiapkan pangkalan data berpusat e-Kasih.

Usaha lanjut oleh kerajaan untuk memperkukuh jaringan perlindungan sosial juga membabitkan peruntukan RM224 juta bagi golongan kurang upaya dan bagi pelaksanaan Program Pemulihan Dalam Masyarakat dan untuk membina dan menaik taraf empat Taman Sinar Harapan.

Selain daripada itu, kerajaan juga memperuntukan RM174 juta untuk membantu warga emas dan menaikkan taraf dua Rumah Seri Kenangan.

Selain daripada itu, sebanyak RM15 juta telah diperuntukan bagi Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia, Majlis Hospice Malaysia dan Persatuan Orang Buta Malaysia untuk membantu pesakit miskin membeli peralatan perubatan.

Ibu bapa dan penjaga juga boleh menarik nafas lega kerana peningkatan dalam kadar elaun daripada RM50 kepada RM150 sebulan bagi setiap anak istimewa yang didaftarkan di sekolah khas yang diusahakan oleh NGO berkuatkuasa 1 Januari tahun hadapan. Kira-kira 4,000 kanak-kanak istimewa juga akan menerima manfaat daripada peruntukan RM3.3 juta tersebut.

SUBSIDI BERAS BAGI GOLONGAN MISKIN

Satu lagi inisiatif kerajaan untuk membantu lebih 200,000 keluarga miskin dan miskin tegar ialah melalui subsidi beras (Subur), yang dilancarkan oleh Najib pada November.

Di bawah skim itu, kira-kira 43,500 keluarga miskin di bandar yang berpendapatan RM450 sebulan dan miskin tegar yang berpendapatan RM420 setiap bulan masing-masing akan menerima satu kupon bagi beras percuma sebanyak 30kg setiap bulan.

Selain daripada itu, lebih 150,000 keluarga berpendapatan RM1,500 setiap bulan di kawasan bandar dan RM1,000 di luar bandar yang dikategori sebagai miskin akan menerima tiga kupon subsidi bernilai RM10 setiap enam bulan.
Lebih kurang 15,000 keluarga Orang Asli di seluruh negara juga akan menerima manfaat daripada inisiatif ini dengan mereka boleh menggunakan kupon RM10 untuk membeli beras 10 kg gred ST15 yang bernilai RM24 pada harga RM14.

Pengagihan kupon ini dikendalikan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang akan mengagihkannya kepada penerima yang berdaftar di e-Kasih melalui anggota Parlimen. Mereka yang tidak disenaraikan dalam e-Kasih perlu berdaftar dengan agensi-agensi Kementerian dan jawatankuasa keselamatan dan pembangunan kampung.

Selain daripada golongan miskin bandar dan miskin tegar, skim ini juga akan diperluaskan kepada rumah-rumah kebajikan dan mereka akan diberi baucar bernilai RM10 setiap bulan. 

- BERNAMA


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90