Top Ad 728x90

"Human calculator" Yaashwin Sarawanan naib juara Asia's Got Talent musim ke-3

by


Subjek matematik pastinya merupakan salah satu mata pelajaran yang paling sukar buat kebanyakan pelajar.

Namun, subjek yang melibatkan nombor ini bukanlah masalah buat Yaashwin Sarawanan.

Lebih mengujakan lagi apabila "human calculator" yang berusia 15 tahun ini menduduki tangga naib juara dalam pertandingan Asia's Got Talent (AGT) musim ketiga.

Juara AGT musim ketiga ini menjadi milik ahli silap mata dari Taiwan, Eric Chien, yang banyak memukau penonton dengan muslihat mengagumkan dari jarak dekat. Beliau antara lain membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$100,000.

Sementara itu, satu lagi penyertaan Malaysia ke peringkat akhir iaitu kumpulan Nama, kandas dalam kelompok awal finalis bersembilan.

Kuartet nyanyian harmoni dengan imej gadis berhijab itu mencuri perhatian sejak pusingan saringan hinggalah ke pentas akhir yang diadakan di Singapura itu.

AGT musim pertama menampilkan empat juri tetap profesional dalam industri seni bagi mengadili para peserta ialah penerbit muzik terkenal David Foster, penyanyi tersohor Indonesia, Anggun Cipta Sasmi, dan bintang rap popular Amerika-Korea Selatan, Jay Park.


Majalah dan buku DBP berevolusi ke dunia digital

by




Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bakal berevolusi apabila kesemua majalah dan buku terbitannya akan dipasarkan secara digital mulai Julai 2019 ini.

Menurut Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, senario semasa yang sedang menyaksikan kemajuan drastik teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) yang melibatkan gabungan teknologi digital dan pengkomputeran dapat dimanfaatkan oleh para penerbit selari dengan trend industri terkini.

“Transformasi ini adalah untuk mewujudkan penerbitan digital majalah dan buku terbitan DBP di samping mengekalkan penerbitan bercetak dalam kuantiti yang terhad merujuk pada beberapa majalah tertentu,” jelas beliau ketika ditemui di Sunway Putra Hotel, Kuala Lumpur sempena dengan Sidang Eksekutif ke-58 Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM).

Jelas Sallehuddin lagi, industri penerbitan majalah dan buku pada ketika ini amat terkesan dengan senario ekonomi semasa apabila kos sara hidup meningkat sehingga menyebabkan kuasa beli pengguna semakin mengecil.

Menerusi transformasi penerbitan 11 majalah dan buku digital itu kelak, masyarakat boleh membeli kesemua majalah dan buku digital pada harga yang lebih murah.

"Capaian majalah dan buku juga lebih mudah dan pantas tanpa batasan masa dan tempat,” tambah beliau.

Difahamkan, majlis pelancaran rasmi pelaksanaan ini akan berlangsung Jun ini.

Sementara itu, di antara pelaksanaan kerja yang bakal berlaku termasuk pembinaan aplikasi dan laman web DBP yang baharu, bagi menyokong pembelian dan langganan.

Pembaca akan mempunyai pilihan membeli atau melanggan sama ada kandungan majalah yang dimuatkan dalam laman web, atau pun yang dimuat naik dalam aplikasi yang boleh didapati melalui platform AppleStore atau GooglePlaystore.

Sallehuddin turut berkata, pada masa yang sama DBP akan menggunakan semua saluran media sosial dan medium yang lain untuk mempromosikan majalah dan buku digital, antaranya termasuklah menggunakan pengaruh media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan Youtube, serta media tradisional.

“Penerbitan majalah digital juga diyakini dapat membantu penyebaran bahasa Melayu dengan lebih meluas,” tegas Sallehuddin.

Peralihan dari media cetak ke dunia digital ini adalah seiring dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mengoptimumkan penggunaan bahan digital dalam pengajaran dan pembelajaran.

Kewujudan lebih banyak buku digital terutamanya dalam bahasa kebangsaan juga dapat memberikan pelbagai pilihan sumber kepada guru dan pelajar dalam menyokong hasrat ini.

- UTUSAN



Hina raja: Kumpulan 'Sabah-Sarawak Merdeka' langgar undang-undang negara

by


Tindakan kumpulan dalam laman Facebook yang menyunting gambar Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong adalah perbuatan menghina raja yang melanggar undang-undang negara.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan kumpulan yang menggelarkan diri mereka 'Sabah-Sarawak Merdeka' itu adalah perbuatan melampau yang tidak melambangkan tatasusila rakyat serta bercanggah dengan prinsip Rukunegara.

Saya telah mengarahkan Ketua Polis Negara supaya menyiasat kes ini dengan segera dan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk membawa pelaku jenayah ini ke muka pengadilan.

"Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang negara dengan niat untuk mencetuskan keadaan yang tidak harmoni dalam masyarakat," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya.

- BERNAMA

ECRL diteruskan, kurang 40km

by

Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang di­sambung semula pembinaannya akan meliputi jajaran baharu dengan jarak landasan dikurangkan sebanyak 40 kilometer selain pengurangan kos daripada RM98 juta kepada RM68 juta bagi setiap kilometer, kata Tun Daim Zainuddin.

Daim yang merupakan Wakil Khas Perdana Menteri berkata, landasan baharu yang bakal dibina itu adalah sepanjang 648 kilometer berbanding ranca­ngan awal 688 kilometer.

Bercakap kepada media Malaysia di Kedutaan Malaysia di sini, hari ini, beliau yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan berkata, ciri lain se­perti landasan berkembar walau bagaimanapun masih dikekalkan seperti mana perjanjian asal.

“Beberapa stesen akan turut digugurkan pembinaannya se­perti Gombak manakala jajaran baharu yang diperkenalkan adalah di Jelebu, Negeri Sembilan.

“Berikutan itu, jajaran baharu sekarang ialah dari Kota Bharu-Mentakab-Jelebu-Kuala Kelawang-Bangi/Kajang-Putrajaya dan seterusnya Pelabuhan Klang,” katanya.

Cadangan asal projek ECRL itu menghubungkan Pelabuhan Klang di Selangor ke Pengkalan Kubor di Kelantan.

Projek ECRL dimulakan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini dan digantung tahun lepas oleh kerajaan Pakatan Harapan berikutan membabitkan kos yang tinggi.

Terdahulu, Malaysia-China menandatangani perjanjian tambahan (SA) ECRL di sini pada 11 pagi waktu tempatan, membabitkan wakil Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) dan China Communications Con­­struction Company Ltd. (CCCC).

Berikutan itu, kos pembinaan Fasa 1 dan 2 ECRL itu dikurangkan kepada RM44 bilion iaitu pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asal RM65.5 bilion.

Mengulas lanjut mengenai rundingan perjanjian yang telah diusahakan sejak Julai tahun lepas itu, Daim berkata projek pembinaan ECRL itu akan turut dimulakan semula secepat mungkin.

Ditanya mengenai pengura­ngan faedah pinjaman terbabit, beliau berkata perkara itu akan diperincikan oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam sidang akhbar Isnin depan.

“Perkara itu akan diperincikan oleh Perdana Menteri. Tetapi secara amnya, jumlah itu akan berkurangan seiring pe­ngurangan jumlah pinjaman baharu,” katanya.

Selain itu, Daim juga yakin pemeteraian perjanjian tambahan baharu ini akan meng­eratkan lagi hubungan Malaysia-China.

“Kita percaya ini juga merupakan satu kepercayaan baharu kepada pelabur-pelabur China untuk terus melabur di Malaysia,” katanya.

– BERNAMA

Fara Umira si manis pandu monorel

by


Setiap hari seawal jam 4.30 pagi, Fara Umira Abd Halim, 26, sudah berada di depoh tren monorel KL Sentral bagi memeriksa keadaan tren seterusnya memandu monorel di sepanjang landasan bermula di KL Sentral sehingga ke Titiwangsa bagi memastikan laluan berada dalam keadaan baik. Kemudian dia akan berpatah balik ke KL Sentral bagi memulakan tugasan mengambil penumpang pertama pada jam 6 pagi.

Beginilah rutin harian wanita ini yang bertindak sebagai Kapten Tren Monorel sejak 23 November 2017 lalu. Melihat susuk tubuhnya yang kurus dan tinggi, ramai kurang percaya kebolehannya sebagai pemandu tren. Apatah lagi apabila terpaksa bersaing dengan pemandu lelaki yang lebih menyerlah dan terbukti kemampuan mereka.

Menurut Fara Umira yang mesra disapa Fara, pada mulanya dia tidak pernah terfikir untuk bergelar pemandu tren monorel. Dia yang ketika itu bertugas sebagai juruteknik makmal terbaca iklan di akhbar mengenai peluang kerjaya yang ditawarkan dalam Prasarana.

“Mulanya langsung tidak menyangka ditawarkan kerjaya ini memandangkan susuk tubuh saya sendiri kecil dan kurus. Selepas menjalani temu duga pihak syarikat menyatakan saya ditempatkan sebagai pemandu tren, saya terkejut kerana sebelum ini tidak menyangka ada pemandu wanita untuk monorel.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana diberi peluang ini sedangkan ramai yang ingin mencuba,” katanya teruja.

Anak sulung daripada lapan beradik ini berkata, kereta api, sistem transit aliran ringan dan monorel sering menjadi kenderaannya untuk ke mana saja kerana dia sendiri tidak suka kesesakan lalu lintas.

“Sebagai anak yang dibesarkan nenek di Kuala Lumpur sudah tentu saya melihat perkembangan pesat industri rel. Memang saya teruja dan sering bertanya bagaimana ia beroperasi, ada pemandu atau tidak serta sistem apa digunakan setiap kali menaikinya. Sekarang selepas diberikan peluang bekerja dalam bidang ini barulah saya faham perjalanannya tidak semudah yang disangka,” jelasnya.

Namun Fara mengakui dia banyak mencari maklumat di YouTube dan membaca mengenai pemanduan tren. Daripada situ dia rasa tercabar untuk melakukan yang terbaik sama ada ketika latihan dan kala melaksanakan kerjaya sebenar.

Dia yang perlu menjalani latihan selama tiga bulan di bawah Akademi Prasarana menjelaskan, apa yang dipelajari secara teori sebenarnya tidak sama ketika memandu secara manual. Ini kerana monorel menggunakan 100 peratus khidmat pemandu dari segi kawalan.

“Ketika kali pertama, saya bersama penyelia membuat pemanduan dari KL Sentral ke Titiwangsa. Memang ia sangat menyeronokkan namun agak mencabar disebabkan perlu berurusan dengan penumpang dan masa. Namun semuanya dapat diatasi berpandukan operasi standard yang sudah ditetapkan,” katanya yang memiliki Diploma Setiausaha Pejabat daripada Kolej Islam Antarabangsa.

Cabaran untuk kapten 

Sama seperti pengangkutan awam yang lain, cabaran terbesar sebagai kapten monorel apabila perlu berhadapan pelbagai ragam penumpang. Ada di antara mereka tidak sabar memasuki gerabak terutama pada waktu puncak dan di stesen popular seperti Bukit Bintang serta KL Sentral. Ada juga berdiri melebihi garisan dihadkan.

“Keadaan ini sudah tentu membahayakan nyawa mereka. Ini kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku, antaranya tertolak atau secara tidak sengaja terjatuh ke landasan. Oleh itu mata saya perlu tajam dan fokus dengan setiap situasi,” katanya.

Selain itu sekiranya berlaku kecemasan, tren terpaksa diberhentikan. Mungkin ada penumpang kurang faham sehingga perlu dijelaskan. Dalam keadaan ini Fara perlu berhubung dengan pusat kawalan bagi menyampaikan maklumat mengenai keadaan yang berlaku. Selain itu juga dalam keadaan cuaca yang panas dan hujan turut memberi cabaran kepadanya.


KESIHATAN adalah sangat penting bagi setiap pemandu. Ini kerana mereka perlu berada dalam keadaan baik sepanjang pemanduan - Fara.
Namun faktor cuaca setakat ini tidak mendatangkan masalah besar yang boleh menyebabkan kelewatan perjalanan.

“Sebab itu pentingnya latihan selama dua bulan bagi membiasakan pemandu berdepan situasi sebenar. Paling penting adalah fokus dan tumpuan ketika memandu. Ia sama seperti memandu di jalan raya, tidak boleh leka agar sebarang rintangan atau masalah dapat diatasi dengan baik,” katanya.

Menurut Fara, sebagai kapten tren monorel segala keputusan dan tindakan yang dilakukan adalah di atas risiko sendiri, apatah lagi dia bertanggungjawab membawa ratusan penumpang setiap hari. Oleh itu kawalan seperti mengemudi, had kelajuan, pengumuman stesen, mengawal sistem pintu dan penumpang turut menjadi tanggungjawab seorang kapten.

“Saya masih baharu di sini dan banyak yang perlu dipelajari. Walaupun setakat ini tidak pernah melalui situasi cemas atau mendebarkan, saya sentiasa berwaspada agar tiada perkara tidak diingini berlaku,” ujarnya.

Dapat sokongan keluarga 

Kesungguhan dan minat Fara menceburi bidang dikuasai lelaki itu mendapat sokongan keluarga terutama nenek dan ibu bapanya. Pada mulanya dia merahsiakan daripada keluarga kerana tidak mahu hasratnya dihalang namun selepas enam bulan bekerja barulah dia berani bercerita mengenai kerjayanya.

“Mulanya memang ibu terkejut kerana tidak sangka saya berupaya memandu monorel. Tetapi lama-kelamaan selepas dijelaskan bidang tugas saya barulah mereka memahami dan memberikan sokongan. Begitu juga nenek yang sentiasa menasihati saya agar berhati-hati dan menjaga diri ketika bertugas,” katanya.

Jadual kerja Fara mengikut syif harian. Ia bermula seawal jam 4.30 pagi sehingga 2.30 petang manakala syif petang bermula jam 2.30 petang sehingga 12.30 malam.

Laluan perjalanannya pula dari stesen KL Sentral ke Titiwangsa kemudian akan berpatah semula ke KL Sentral bergantung kepada jadual tugasan yang disediakan.

Jadual waktu juga bergantung kepada kesihatan pemandu, sekiranya kesihatan mereka berada dalam keadaan tidak baik ia akan diganti dengan kapten monorel yang lain.

“Kesihatan adalah sangat penting bagi setiap pemandu. Ini kerana mereka perlu berada dalam keadaan baik sepanjang pemanduan. Tidak boleh tidak, pemandu harus memberitahu seandainya mereka tidak sihat atau perlu diganti dengan pemandu lain,” katanya.

Perancangan masa depan

Menurut Fara, dia merancang memberikan khidmat terbaik sebagai kapten tren monorel untuk jangka masa dua atau tiga tahun sebelum menjadi penyelia. Sebagai pekerja dia melihat kerjaya dalam industri rel semakin berkembang pesat. Jika dulu ia hanya dimonopoli lelaki tetapi kini semakin ramai wanita diberikan peluang menjadi kapten dan pelbagai bidang yang lain.

Selain itu peluang pekerjaan juga sangat terbuka luas, malah tiada diskriminasi jantina sebaliknya kedua-dua saling memerlukan bagi meningkatkan potensi diri.

“Saya akui ketika mula-mula menceburi kerjaya ini, ada juga rasa takut dan kurang yakin. Namun saya dikelilingi rakan setugas yang sangat memahami dan memberikan tunjuk ajar sekiranya ada perkara yang perlu diselesaikan. Walaupun hanya dua pemandu wanita monorel, kami diberikan peluang belajar sama rata selain kenaikan pangkat asalkan bersesuaian dengan pengalaman dan pendidikan seseorang,” katanya.

- Harian Metro

Menteri Besar Johor Osman Sapian Letak Jawatan

by


Peletakan jawatan Datuk Osman Sapian menghangatkan spekulasi siapa bakal menggantikan beliau sebagai Menteri Besar Johor.

Ahli Dewan Undangan Nege­ri (ADUN) Kempas itu seperti mana diumumkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad di Parlimen hari ini menyerahkan surat peletakan jawatan semalam kepada Perdana Menteri dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Pengunduran Osman yang menurut Dr. Mahathir tidak memberi sebarang alasan sememangnya sudah diduga apabila beliau tidak menghadiri Pemukiman Pemimpin Malaysia-Si­nga­pura di Putrajaya, hari ini.

Tempat beliau diganti oleh Dr. Sahruddin Jamal yang dikatakan antara calon yang disenaraikan untuk mengambil alih kepe­mimpinan negeri Johor jika Osman meletakkan jawatan.


Kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Negeri itu sekali gus mengesahkan pertemuan antara Osman dengan Dr. Mahathir semalam bukan berkaitan Pemukiman Pemim­pin Malaysia-Singapura sebalik­nya berhubung kedudukan ADUN Kempas itu dalam me­nerajui Johor.

Osman yang bertanding atas tiket Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menjadi Menteri Besar pertama meletakkan jawatan selepas 11 bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah negeri itu dan negara.

Selain itu, beliau yang menjadi Menteri Besar Johor Ke-16 selepas namanya dipersembahkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar oleh Bersatu mencatatkan sejarah sebagai individu yang meme­gang jawatan berkenaan paling singkat di negeri tersebut iaitu tidak sampai setahun.

Dalam sejarah kepemimpinan negeri Johor, sebelum ini individu yang memegang jawatan menteri besar paling singkat ialah Datuk Mohamed Datuk Mahbob bagi tempoh Julai 1922 hingga September 1923.

Bagaimanapun peletakan jawatan Osman bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana menurut sumber, Sultan Johor beberapa bulan lalu dikatakan sudah menitahkan penggantian menteri besar dilakukan.

“Keadaan itu disebabkan kakitangan kerajaan negeri dan rakyat sudah tidak tahan lagi dengan ketidakcekapan Osman dalam mentadbir Johor,” kata sumber berkenaan.

Titah Sultan Johor untuk me­nukar Osman disahkan oleh Tengku Mahkota Johor dalam ciapan dalam laman Twitter hari ini.

Dalam ciapan itu baginda bertitah:

“Titah untuk tukar Menteri Besar dah lama tetapi orang lain pula nak ambil kredit dan mi­leage (ke­lebihan) kononnya dia arahkan.

“Ke Bawah Duli Tuanku sudah meneliti untuk tukar menteri besar sejak berbulan lalu. Ja­ngan lupa, kuasa memilih menteri besar adalah hak mutlak Sultan. Cukup cukuplah politiking.’’

Penggantian Osman juga se­kali gus akan membuktikan be­liau bukanlah pilihan is­ta­na se­perti mana digembar-gem­bur­kan oleh banyak pihak.

“Kalau pilihan Istana sudah tentu beliau akan dikekalkan dalam apa keadaan sekali pun, senario politik di beberapa nege­ri sebelum ini sudah membuktikan perkara itu, tetapi apabila Tuanku Sultan sendiri mahu menteri besar ditukar di­sebabkan prestasi, maknanya Osman bukan individu kesaya­ngan istana seperti dituduh banyak pihak, lagipun sebelum ini bukan Istana yang mencadangkan nama Osman untuk menduduki jawatan tersebut tetapi Bersatu,’’ kata sumber berkenaan.

Sumber itu berkata, tuduhan mengatakan Sultan Johor memilih nama menteri besar secara bersendirian adalah tidak benar kerana nama Osman dicadangkan oleh Bersatu selepas tiada lagi calon yang lebih layak.

“Ia memandangkan selain Presiden Bersatu, Tan Sri Muh­yiddin Yassin akan memegang jawatan di peringkat Pusat, Osman adalah orang nombor dua dalam kepemimpinan parti ber­kenaan di Johor. Selepas mendapat nama itu barulah Tuan­ku Sultan melantik Osman,’’ kata sumber berkenaan.

Mengenai pengganti Osman, sumber itu berkata, selain Dr. Sahruddin yang merupakan ADUN Bukit Kepong daripada Bersatu, turut disebut-sebut ialah seorang lagi pemimpin Bersatu Johor iaitu ADUN Pu­teri Wangsa, Mazlan Bujang yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan Negeri.

“Selain beliau, Pengerusi Belia, Sukan dan Kebudayaan Negeri, Khuzzan Abu Bakar (ADUN Seme­rah-PKR) dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam dan Pendidikan Negeri, Aminolhuda Hassan (ADUN Parit Yaani-Ama­nah) turut berada senarai calon.

“Tuanku Sultan hanya ber­kenan dicadangkan empat nama ini daripada kepemimpinan Pakatan Harapan. Ia memandangkan pengalaman mereka selama hampir setahun sebagai exco boleh membantu melicinkan pentadbiran kerajaan negeri,’’ katanya.

Sumber itu turut menegaskan, jika selain daripada nama itu dicadangkan Tuanku Sultan berhak menolak dan tidak mustahil DUN boleh dibubarkan untuk memberi laluan kepada pilihan raya negeri.

“Perlu diingat dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Johor, Sultan Johor sebagai Raja Peme­rintah mempunyai kuasa mutlak untuk memilih atau melantik sesiapa sebagai menteri besar ne­geri itu,’’ kata sumber itu lagi.

- UTUSAN

Gagal kebumi bayi akibat kesempitan wang

by


Seorang pembantu warung tidak dapat menyempurnakan pengebumian bayi lelakinya yang meninggal dunia sejurus dilahirkan di sebuah hospital malam tadi hanya kerana tiada wang untuk membayar kos pengebumian sebanyak RM300 dipinta pengurusan jenazah sebuah surau.

Isteri kepada lelaki berkenaan dipercayai terjatuh di tandas dan menyebabkan bayi berusia lima bulan yang dikandungnya gugur.

Kisah menyayat hati itu dikongsi seorang aktivis gerakan Amal Team, Mohd Zulhairi Zainol, 34, atau lebih dikenali sebagai Hery menerusi akaun laman sosial Facebook miliknya.

Zulhairi menerusi hantaran di Facebooknya berkata, dia menerima panggilan daripada wakil sebuah hospital hari ini menyatakan ada sepasang suami isteri menghadapi masalah tidak cukup wang untuk mengebumikan mayat bayi lelakinya.

“Selepas mendapat panggilan daripada pihak hospital, saya bertemu dengan bapanya yang memberitahu dia cuba mengebumikan jenazah bayi lelakinya di tempat asalnya namun pihak pengurusan meminta bayaran RM300 sedangkan dia hanya mempunyai RM150 pada masa itu.

“Saya sebak dan sedih apabila mendengar kisahnya itu sedangkan urusan yang sepatutnya didahulukan adalah urusan pengebumian dan bukan urusan kewangan,” katanya.

Mohd Zulhairi berkata, dia kemudian mengambil jenazah bayi itu sebelum memandikan, mengkafankan dan mengebumikannya di sebuah tanah perkuburan.

“Sepanjang itu, hanya RM20 sahaja yang saya keluarkan bagi proses menggali dan mengebumikan mayat bayi lelaki berkenaan.

“Saya tersentuh melihat keadaan pasangan berkenaan yang tidak mampu mengebumikan jenazah anak mereka dan sudah menjadi kewajipan bagi umat Islam untuk membantu,” ujarnya.

Mereka yang ingin membantu operasi gerakan Amal Team boleh melayari akaun FB, Mohd Zulhairi Zainol.

- Kosmo!

Ramai tak tahu ada kamera terpasang di belakang kerusi penumpang

by


Syarikat penerbangan terbesar di dunia mengakui beberapa pesawat mereka mempunyai kamera yang dipasang di belakang kerusi penumpang.

American Airlines, United Airlines dan Singapore Airlines mempunyai sistem hiburan di tempat duduk belakang yang mempunyai kamera.

Bagaimanapun kamera juga boleh mungkin terdapat pada tempat duduk penumpang untuk pesawat lain.

Syarikat-syarikat yang menghasilkan sistem hiburan dalam pesawat telah memasang kamera pada kerusi untuk menawarkan pilihan kepada penumpang seperti membuat persidangan video, menurut jurucakap American Airlines.


Tetapi ketiga-tiga sayarikat penerbangan ini menyatakan mereka tidak pernah mengaktifkan kamera tersebut dan tidak mempunyai rancangan untuk menggunakannya.

Seorang penumpang penerbangan Singapura memuat naik gambar di Twiter baru-baru ini menunjukkan bahagian belakang kerusi penumpang yang mempunyai kamera, menyebabkan para penumpang udara lain menyuarakan kebimbangan mengenai privasi mereka ketika berada pada ketinggian 30,000 kaki di udara.

Vitaly Kamluk, yang merakam foto kamera itu semasa penerbangannya, mencadangkan syarikat tersebut menutup kamera itu dengan sticker.

”Kamera mungkin tidak digunakan sekarang," katanya.

”Tetapi jika ia berwayar, beroperasi, dibekalkan dengan mikrofon, ia adalah satu masalah melibatkan godaman pintar untuk ia digunakan pada pada lebih 84 pesawat dan mengintip penumpang.”

Jurucakap American Airlines Ross Feinstein berkata kamera-kamera itu berada di kerusi ‘ekonomi premium’ pada 82 pesawat Boeing 777 dan Airbus A330-200.

”Kamera merupakan ciri standard pada kebanyakan sistem hiburan dalam penerbangan yang digunakan oleh beberapa syarikat penerbangan," katanya.

Jurucakap syarikat Singapura James Boyd berkata kamera terdapat di 84 pesawat Airbus A350s, Airbus A380s dan Boeing 777s dan 787s.

British Airways memberitahu Independent bahawa tidak ada pesawatnya yang mempunyai kamera di belakang kerusi.

Tetapi jurucakap United berulang kali memberitahu wartawan Associated Press bahawa tidak ada sistem hiburannya mempunyai kamera, sebelum meminta maaf dan menyatakan bahawa sesetengahnya ada.

Delta tidak menjawab soalan mengenai beberapa sistem hiburannya, yang nampaknya sama dengan American dan United.

Syarikat penerbangan itu menegaskan bahawa mereka tidak menambah kamera, mengatakan pengeluar yang telah memasukkannya dalam sistem hiburan.

Sistem pada American dibuat oleh Panasonic, manakala Singapura menggunakan Panasonic dan Thales, menurut wakil syarikat penerbangan.

Panasonic atau Thales tidak langsung memberi respons kepada permintaan untuk memberi komen.

-Independent

Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V letak jawatan

by

Sultan Muhammad V letak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15.

Peletakan jawatan yang berkuatkuasa pada Ahad itu disahkan menerusi kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara.

"Bagi menjunjung titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V, dengan ini Istana Negara memaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong XV berkuatkuasa 6 Januari 2019.

"Baginda telah memaklumkan mengenai perkara ini secara rasmi kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja melalui warkah yang telah diutuskan kepada Setiausaha Majlis Raja-Raja," menurut kenyataan itu.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab. Aziz pada Ahad.

Tambah kenyataan itu, Sultan Muhammad V turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja yang memilih baginda sebagai YDP Agong ke-15 pada 13 Disember 2016.

Tidak terkecuali, Sultan Muhammad V turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan pihak kerajaan kerana memberikan kerjasama dalam pentadbiran negara.

"Selaku pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera, baginda amat berbangga dengan pengorbanan serta taat setia yang telah dicurahkan kepada baginda dan negara selama ini," ujar kenyataan tersebut.

Sepanjang tempoh berkhidmat sebagai YDP Agong, Sultan Muhammad berusaha memenuhi tanggungjawab dan amanah selaku Ketua Negara.

Antara peranan yang dilaksanakan baginda adalah menjadi tonggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan dan payung penyatuan rakyat.

Baginda turut bertitah agar semua rakyat Malaysia mengekalkan perpaduan, bertolak ansur dan bersepakat dalam memikul tanggungjawab terhadap negara ini supaya keharmonian dapat diteruskan.

Sultan Muhammad juga bersedia berangkat pulang ke Kelantan untuk bersama-sama dengan Kerajaan Negeri dan rakyat negeri tersebut bagi menjaga dan membangunkannya demi kesejahteraan rakyat.

Memetik laporan Bernama, berikut adalah kronologi Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15:

14 Okt 2016: Sultan Muhammad V dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 bagi tempoh lima tahun pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-243 (Khas), menggantikan Sultan Kedah, Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

13 Dis 2016: Sultan Muhammad V melafaz sumpah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-15 manakala Sultan Perak Sultan, Nazrin Shah pula mengangkat sumpah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

31 Jan 2017: Berkenan menerima Darjah Yang Maha Utama Kerabat Diraja Malaysia (D.K.M) daripada kerajaan Malaysia.

24 April 2017: Sultan Muhammad V ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 dalam satu istiadat penuh dengan tradisi Kesultanan Melayu di Istana Negara.

24 April 2017: Berkenan berangkat ke Majlis Santapan Diraja untuk kali pertama sempena pertabalan baginda.

3 Nov 2017: Berkenan menerima menghadap Putera Charles dan isteri baginda, Camella di Istana Negara.

10 Mei 2018: Berkenan menerima menghadap Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ketujuh di Istana Negara selepas gabungan Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum ke-14.
16 Mei 2018: Memperkenan rayuan pengampunan penuh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu Ketua Umum PKR dan diberi pembebasan serta-merta. Anwar kini presiden parti itu.

18 Mei 2018: Berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Istana Negara untuk menyerahkan senarai nama Anggota Parlimen yang dilantik sebagai Menteri Persekutuan baharu.

2 Nov 2018: Sultan Muhammad V bercuti sehingga 31 Dis 2018 untuk menjalani rawatan dan sepanjang tempoh itu Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah selaku Timbalan Yang di-Pertuan Agong menjalankan tugas-tugas Yang di-Pertuan Agong.

4 Jan 2019: Sultan Muhammad V berkenan menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, Kelantan.

6 Jan 2019: Sultan Muhammad V meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong XV berkuat kuasa pada Ahad.

Sumber : mSTARuhammad V letak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15.

Peletakan jawatan yang berkuatkuasa pada Ahad itu disahkan menerusi kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara.

"Bagi menjunjung titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V, dengan ini Istana Negara memaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong XV berkuatkuasa 6 Januari 2019.

"Baginda telah memaklumkan mengenai perkara ini secara rasmi kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja melalui warkah yang telah diutuskan kepada Setiausaha Majlis Raja-Raja," menurut kenyataan itu.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab. Aziz pada Ahad.

Tambah kenyataan itu, Sultan Muhammad V turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja yang memilih baginda sebagai YDP Agong ke-15 pada 13 Disember 2016.

Tidak terkecuali, Sultan Muhammad V turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan pihak kerajaan kerana memberikan kerjasama dalam pentadbiran negara.

"Selaku pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera, baginda amat berbangga dengan pengorbanan serta taat setia yang telah dicurahkan kepada baginda dan negara selama ini," ujar kenyataan tersebut.

Sepanjang tempoh berkhidmat sebagai YDP Agong, Sultan Muhammad berusaha memenuhi tanggungjawab dan amanah selaku Ketua Negara.

Antara peranan yang dilaksanakan baginda adalah menjadi tonggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan dan payung penyatuan rakyat.

Baginda turut bertitah agar semua rakyat Malaysia mengekalkan perpaduan, bertolak ansur dan bersepakat dalam memikul tanggungjawab terhadap negara ini supaya keharmonian dapat diteruskan.

Sultan Muhammad juga bersedia berangkat pulang ke Kelantan untuk bersama-sama dengan Kerajaan Negeri dan rakyat negeri tersebut bagi menjaga dan membangunkannya demi kesejahteraan rakyat.

Memetik laporan Bernama, berikut adalah kronologi Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15:

14 Okt 2016: Sultan Muhammad V dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 bagi tempoh lima tahun pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-243 (Khas), menggantikan Sultan Kedah, Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

13 Dis 2016: Sultan Muhammad V melafaz sumpah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-15 manakala Sultan Perak Sultan, Nazrin Shah pula mengangkat sumpah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

31 Jan 2017: Berkenan menerima Darjah Yang Maha Utama Kerabat Diraja Malaysia (D.K.M) daripada kerajaan Malaysia.

24 April 2017: Sultan Muhammad V ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 dalam satu istiadat penuh dengan tradisi Kesultanan Melayu di Istana Negara.

24 April 2017: Berkenan berangkat ke Majlis Santapan Diraja untuk kali pertama sempena pertabalan baginda.

3 Nov 2017: Berkenan menerima menghadap Putera Charles dan isteri baginda, Camella di Istana Negara.

10 Mei 2018: Berkenan menerima menghadap Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ketujuh di Istana Negara selepas gabungan Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum ke-14.
16 Mei 2018: Memperkenan rayuan pengampunan penuh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu Ketua Umum PKR dan diberi pembebasan serta-merta. Anwar kini presiden parti itu.

18 Mei 2018: Berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Istana Negara untuk menyerahkan senarai nama Anggota Parlimen yang dilantik sebagai Menteri Persekutuan baharu.

2 Nov 2018: Sultan Muhammad V bercuti sehingga 31 Dis 2018 untuk menjalani rawatan dan sepanjang tempoh itu Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah selaku Timbalan Yang di-Pertuan Agong menjalankan tugas-tugas Yang di-Pertuan Agong.

4 Jan 2019: Sultan Muhammad V berkenan menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, Kelantan.

6 Jan 2019: Sultan Muhammad V meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong XV berkuat kuasa pada Ahad.

Sumber : mSTAR

Panduan Temuduga Pembantu Perawatan Kesihatan U11

by

SPA dah buat panggilan temuduga untuk PEMBANTU PERAWATAN KESIHATAN U11. Ada lebih 2,000 kekosongan kali ni.

Dipanggil tak? Kalau dapat panggilan, terus buat persediaan sekarang. Baca isu-isu semasa.

Kalau tanya saya mungkin saya boleh cadangkan cuba baca dan peka mengenai isu LARANGAN MEROKOK dan denda yang dikenakan kepada perokok di tempat makan awam.

Untuk nota dan persediaan lengkap boleh guna rujukan ini;


Moga 2019 ini menjadi tahun kejayaan anda, senyuman keluarga anda!

ADHA ZAIN
Blogger Infokerjaya
013-9790000


Siaran TV Digital MYTV Kembali Pulih

by

Mulai jam 11.00 malam 29 November 2018, TM sudah membuka semula siaran TV Digital MYTV di kawasan yang terlibat. Sila on dan scan semula dekoder anda. Untuk mendapatkan dekoder dan antenna uhf boleh whatsapp 013-979 0000

Rumah Impian Bangsa Johor ditawar serendah RM70,000

by

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim mengumumkan program perumahan mampu milik untuk bangsa Johor di bawah naungan Yayasan Sultan Ibrahim akan dilaksanakan.

Projek tidak melibatkan keuntungan yang dinamakan 'Rumah Impian Bangsa Johor' itu akan dibina dalam bentuk rumah teres satu atau dua tingkat dengan tiga bilik tidur dan dua bilik mandi.

Harga untuk seunit teres satu tingkat tersebut akan bermula pada harga RM70,000, sementara teres dua tingkat pula akan dijual di bawah RM200,000.

Bagi melayakkan pemohon untuk membeli rumah mampu milik berkenaan, mereka mestilah seorang bangsa Johor yang berpendapatan isi rumah bawah RM5,000.

Pemohon bukanlah anak sulung atau anak tunggal dan tidak pernah memiliki rumah sebelum ini.

"Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Johor mahu pengagihan yang adil kepada seluruh kaum Melayu, Cina dan India.

"Baginda mahu membina semangat kemasyarakatan," kata Tunku Ismail pada catatan di Facebook baginda, Ahad.

Tunku Ismail berkata, yayasan itu akan melantik pengurus projek dan kontraktor untuk membina rumah mengikut spesifikasi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

"Rakyat turut akan menerima kemudahan dewan serbaguna, taman, kedai dan motel. Ia dibina dan dibiayai oleh DYMM Sultan Johor dan DYAM Tunku Mahkota Johor," ujarnya.

- MStar


Teks ucapan penuh Kajian Separuh Penggal RMK-11 2016-2020

by

Teks ucapan penuh Kajian Separuh Penggal RMK-11 2016-2020

Teks ucapan penuh Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) 2016-2020: Keutamaan dan Peneklanan Baharu, yang dibentangkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, di Dewan Rakyat pada Khamis, 18 Oktober 2018.

Tuan Yang di-Pertua,

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, dengan sukacitanya saya berdiri di hadapan Dewan yang mulia ini untuk mengemukakan satu usul seperti berikut:

“Bahawa Dewan ini, menyedari akan cabaran untuk mengekalkan kestabilan ekonomi dan mencapai pertumbuhan yang mampan dengan mengambil kira perubahan trend ekonomi global, kedudukan kewangan Kerajaan serta pencapaian dua tahun pertama, 2016-2017 Rancangan Malaysia Kesebelas; merestui usaha Kerajaan baharu pimpinan Pakatan Harapan untuk menambah baik dan memperkukuh agenda pembangunan negara berasaskan prinsip pertumbuhan dengan ekuiti ke arah mencapai status negara maju dan inklusif selaras dengan aspirasi Wawasan 2020 meluluskan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas bagi tempoh 2018-2020 yang memberi keutamaan dan penekanan baharu ke atas dasar, strategi dan inisiatif sedia ada serta memperkukuh tadbir urus bagi mencapai pertumbuhan sosio ekonomi yang lebih inklusif dan mampan ke arah meningkatkan kesejahteraan rakyat menurut Kertas Perintah CMD. 22 Tahun 2018.

Bahawa dalam meluluskan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas, Dewan yang mulia ini menyeru seluruh rakyat Malaysia berganding bahu untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara kekal mampan serta pengagihan kekayaan dibuat secara telus, adil dan saksama.

Dengan izin Tuan Yang di-Pertua, saya bentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11), 2016-2020 untuk dibahaskan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini.

Tuan Yang di-Pertua,

Saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana memberikan saya peluang berdiri di Dewan yang mulia ini bagi membentangkan KSP RMK-11. Ia adalah dokumen reformasi yang komprehensif dalam usaha mereformasikan negara.

Dokumen ini memperlihatkan anjakan pemikiran berkaitan pembangunan. Kita tidak lagi melihat pembangunan mengikut ukuran pertumbuhan ekonomi atau keluaran dalam negeri kasar (KDNK) semata-mata.

Kita melihat pembangunan dari aspek peningkatan kuasa beli rakyat dan pembangunan perlu dinikmati oleh semua rakyat atau ‘shared prosperity’. Ini bermakna tidak wujud jurang pendapatan yang terlalu lebar antara miskin dan kaya antara kaum dan suku kaum. Tidak harus ada golongan yang merasakan mereka terpinggir dari arus perdana pembangunan. Pembangunan juga tidak boleh meninggalkan negeri atau wilayah tertentu di belakang.

Pembangunan dalam erti kata sebenar perlu menyumbang kepada pembangunan bangsa Malaysia. Pertumbuhan ekonomi berterusan dan merata memerlukan persekitaran bukan ekonomi juga kukuh dan bebas dari cengkaman politik. Pentadbiran perlu bersih dari rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Kekayaan negara tidak akan dirompak oleh mana-mana pihak.

Rakyat menuntut perubahan. Maka pada 9 Mei 2018 rakyat membuka lembaran baharu dalam sejarah negara. Mereka memberikan mandat kepada Pakatan Harapan untuk peralihan kuasa secara amandan tersusun. Di hari tersebut, 12.3 juta rakyat Malaysia telah menamatkan pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional pimpinan kleptokrat.

Dengan mandat yang diberikan oleh rakyat, Kerajaan Pakatan Harapan dapat melaksanakan reformasi dan berusaha mengembalikan Malaysia ke landasan yang betul ke arah negara maju untuk semua. Tetapi pembinaan Malaysia baharu tidak akan tercapai dalam masa yang singkat.

Rejim kleptokrat yang lalu telah menyebabkan Kerajaan hari ini menanggung beban hutang yang lebih dari satu trilion ringgit. Institusi dan pentadbiran awam negara juga telah rosak. Kerajaan Pakatan Harapan bertekad mereformasikan institusi awam supaya ia melaksana amanah rakyat.

KSP RMK-11 ini membuat anjakan dan penyesuaian ke atas dasar dan strategi jangka sederhana. Sementara itu, strategi jangka pendek pembangunan negara akan dibentang dalam Bajet 2019 pada 2 November 2018 nanti.

Tuan Yang di-Pertua,

Kajian Separuh Penggal ini juga merupakan dokumen dasar pertama Kerajaan Pakatan Harapan. Ia menggariskan keutamaan dan penekanan baharu agar falsafah, dasar dan strategi pembangunan seiring dengan aspirasi rakyat dan azam Kerajaan.

Ia menilai pencapaian dalam tempoh 2016-2017. Kajian ini juga menyemak semula sasaran, strategi dan inisiatif bagi tempoh 2018-2020 dengan mengambil kira perubahan trend ekonomi global, kedudukan

kewangan Kerajaan dan keutamaan semasa bagi memenuhi harapan rakyat.

Tuan Yang di-Pertua,

PERSPEKTIF EKONOMI MAKRO, Prestasi Ekonomi, 2016-2017

Dalam tempoh dua tahun pertama Rancangan, 2016-2017, KDNK negara berkembang 5.1 peratus setahun dalam suasana inflasi pada kadar purata 2.9 peratus. Pertumbuhan ini didorong oleh permintaan agregat swasta yang kukuh, dengan pelaburan dan penggunaan swasta sebagai pemacu.

Pendapatan negara kasar (PNK) per kapita pada harga semasa pula meningkat pada kadar purata 6.7 peratus, daripada 36,119 ringgit (atau 9,248 dolar Amerika) pada tahun 2015 kepada 41,093 ringgit (atau 9,556 dolar Amerika) pada tahun 2017. Dari segi pariti kuasa beli (atau PPP), PNK per kapita Malaysia telah mencecah 28,650 dolar Amerika seperti dianggarkan oleh Bank Dunia. Pencapaian ini menempatkan Malaysia dalam kumpulan 25 persentil teratas daripada 217 negara.

Berdasarkan paras minimum negara berpendapatan tinggi yang ditetapkan oleh Bank Dunia sebanyak 12,056 dolar Amerika bagi tahun 2017, terdapat jurang pendapatan 21 peratus yang perlu diatasi sebelum Malaysia berjaya melepasi status negara berpendapatan menengah tinggi.

Pertumbuhan ini secara umumnya diterima antara yang terbaik di rantau ini. Namun, apa yang lebih bermakna ialah KDNK dari aspek pendapatan, iaitu siapa yang menerima manfaat pertumbuhan ekonomi ini. Sejak satu dekad yang lepas, kebanyakan manfaat pertumbuhan ini dinikmati oleh pemilik modal dan hanya sebahagian kecil iaitu sekitar satu per tiga daripada KDNK dinikmati oleh pekerja. Di samping itu, terdapat jurang pendapatan yang ketara antara pekerja berkemahiran tinggi yang mendapat upah yang lumayan berbanding dengan mereka yang kurang berkemahiran dan mendapat upah yang rendah. Oleh itu, pertumbuhan ekonomi ini kurang dirasai oleh kebanyakan rakyat.

Sesuatu yang menidakkan kesahihan angka prestasi ekonomi negara ialah amalan peruntukan ‘off budget’ iaitu pengasingan urusan kewangan di luar bajet. Jika hutang, perbelanjaan, kehilangan wang berbilion diambil kira maka kedudukan kewangan negara tidaklah sebaik seperti angka yang dicatat di atas.

Kerajaan BN telah berbelanja dengan boros dan tidak berhemat. Sekarang kita perlu berbelanja dengan cermat. Kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan perlu dikukuhkan. Amalan kewangan yang tidak telus akan dihentikan dan ketirisan pada semua peringkat ditangani. Langkah ini termasuk mengkaji semula pelaksanaan projek yang tidak mampan dan membatalkan projek berkeutamaan rendah. Namun, projek pembangunan sosioekonomi yang berimpak tinggi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat akan diteruskan.

Tuan Yang di-Pertua,

Prospek Ekonomi, 2018-2020

Langkah berjimat cermat bagi tempoh 2018-2020 boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi tetapi hanya bersifat sementara. Saya yakin dengan langkah membasmi ketirisan dan pelaksanaan projek-projek pembangunan dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Ekonomi disasarkan berkembang antara 4.5 hingga 5.5 peratus setahun, disokong oleh permintaan dalam negeri dan luar negeri, terutamanya permintaan kukuh dalam kalangan negara rantau Asia. Permintaan swasta dijangka kekal menerajui pertumbuhan ekonomi, dengan pelaburan swasta dijangka berkembang 5.7 peratus setahun.

Dengan penambahbaikan tadbir urus dan peningkatan hasil, Kerajaan yakin kedudukan fiskal dapat dipulihkan pada akhir tahun 2020. Kerajaan mensasarkan defisit fiskal sebanyak 3 peratus kepada KDNK pada tahun 2020. Antara langkah proaktif yang telah berjaya diambil adalah menangguhkan pelaksanaan High Speed Rail (HSR). Pada masa yang sama, Kerajaan juga perlu memastikan pengurangan perbelanjaan

awam tidak menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

Tuan Yang di-Pertua,

KEUTAMAAN DAN PENEKANAN BAHARU, 2018-2020

Dalam tempoh akhir Rancangan 2018-2020, usaha akan dipergiat untuk meningkatkan daya tahan asas ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat. Saya bentangkan keutamaan dan penekanan baharu, berasaskan Enam Tonggak, iaitu:

Pertama: Mereformasi tadbir urus ke arah meningkatkan ketelusan dan kecekapan perkhidmatan awam;

Kedua: Memperkukuh pembangunan inklusif dan kesejahteraan rakyat;

Ketiga: Menuju ke arah pembangunan wilayah yang seimbang;

Keempat: Memperkasa modal insan;

Kelima: Mempertingkat kemampanan alam sekitar melalui

pertumbuhan hijau; dan

Keenam: Memperkukuh pertumbuhan ekonomi.

Tuan Yang di-Pertua,

TONGGAK 1: MEREFORMASI TADBIR URUS KE ARAH MENINGKATKAN KETELUSAN DAN KECEKAPAN PERKHIDMATAN AWAM

Mandat yang diberikan oleh rakyat adalah untuk kita melakukan perubahan. Maka reformasi tadbir urus menjadi keutamaan. Kita telah memulakannya dengan menukar pemimpin institusi kritikal seperti institusi kehakiman, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR). Tadbir urus Kerajaan perlu diperbaiki. Ketelusan akan ditingkatkan bagi mencegah rasuah dan membasmi salah guna kuasa.

Keutamaan Pertama : Menambah Baik Tadbir Urus pada Semua Peringkat

Langkah tegas dan berkesan akan dilaksana untuk mempertingkat mekanisme semak dan imbang pada semua peringkat. Sistem pentadbiran undang-undang juga akan dimantapkan dengan mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya supaya diurus oleh dua individu yang berlainan.

Kuasa autonomi Parlimen akan dipertingkat dengan memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963. Sistem jawatankuasa pemilih akan diwujudkan. Jawatankuasa ini akan memperaku pelantikan jawatan

utama di SPRM, SPR, Jabatan Audit Negara dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman. Suruhanjaya tertentu seperti SPRM dan SPR akan juga bertanggungjawab secara langsung kepada Parlimen.

Hubungan antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan akan ditambah baik dengan mengembalikan semula semangat federalisme. Kerajaan negeri akan diperkasa melalui proses pengagihan kuasa pusat bagi beberapa fungsi termasuk pengangkutan awam, perkhidmatan sosial dan perlindungan alam sekitar.

Langkah segera untuk mereformasi sistem politik akan dilaksanakan. Tempoh perkhidmatan jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri akan dihadkan kepada dua penggal. Perdana Menteri juga tidak akan memegang portfolio lain.

Penambahbaikan sistem pilihan raya akan dilaksana dengan membersihkan daftar pemilih, menambah baik proses pengundian pos dan menyediakan akses yang adil kepada media. Had umur mengundi akan diturunkan kepada 18 tahun dan undang-undang berkaitan pembiayaan politik akan diperkenal.

Keutamaan Kedua: Meningkatkan Integriti dan Akauntabiliti

Kerajaan bertekad untuk meningkatkan integriti dan akauntabiliti serta membanteras gejala rasuah secara menyeluruh yang melibatkan sektor awam dan swasta. SPRM akan ditransformasi sebagai sebuah badan bebas sepenuhnya dan Akta SPRM 2009 akan dikaji semula secara menyeluruh. Undang-undang pencegahan rasuah juga akan diperkukuh dengan mengkaji semula Akta Perlindungan Saksi 2009 dan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Rakyat perlu ada tempat untuk mengadu. Ombudsman Malaysia akan ditubuhkan untuk menyiasat dan melaporkan secara bebas aduan terhadap agensi kerajaan. Bagi mempertingkat integriti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis akan ditubuhkan.

Keutamaan Ketiga: Menguatkuasakan Pelaksanaan Pengurusan Kewangan Awam secara Berhemat

Reformasi menyeluruh ke atas mekanisme pengurusan dana awam akan dilaksana. Strategi yang akan dilaksana adalah mempertingkat sistem belanjawan negara, menambah baik pengurusan perolehan serta memperkukuh rangka kerja pengurusan prestasi, pemantauan dan penilaian. Pelaksanaan sistem perakaunan akruan juga akan dipercepat dan Akta Prosedur Kewangan 1957 akan dikaji semula.

Prosedur perolehan Kerajaan akan ditambah baik dengan memperkenalkan rangka kerja perundangan berkaitan yang lebih komprehensif dan berkesan, serta menguatkuasakan pelaksanaan tender terbuka. Kerajaan juga akan mengkaji semula rangka kerja projek perkongsian awam-swasta bagi mengoptimumkan sumber.

Keutamaan Keempat: Memperkukuh Penyampaian Perkhidmatan Awam

30. Usaha akan dipergiat untuk memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam dengan mereformasi institusi sektor awam. Satu pasukan petugas khas akan ditubuh untuk menilai peranan dan fungsi pelbagai entiti termasuk badan berkanun dan syarikat milik Kerajaan.

Ke arah menghapuskan pertindihan dan mengurangkan kerenah birokrasi serta mempercepat penyampaian perkhidmatan, aspek prosedur dan proses kerja akan dikaji semula dengan memanfaatkan teknologi terkini. Jentera perkhidmatan awam akan diperkemas ke arah meningkatkan kecekapan dan produktiviti melalui adaptasi model kecemerlangan perniagaan sebagai instrumen analisis prestasi kementerian dan agensi.

Pihak berkuasa tempatan (PBT), sebagai pihak yang paling hampir dengan rakyat, akan diperkasa selaras dengan keperluan rakyat dan perkembangan teknologi. Ini akan dilaksana melalui penarafan PBT berdasarkan tahap kecemerlangan penyampaian perkhidmatan.

Tuan Yang di-Pertua,

TONGGAK 2 : MEMPERKUKUH PEMBANGUNAN INKLUSIF DAN KESEJAHTERAAN RAKYAT

33. Pendekatan pembangunan inklusif akan dilaksana melalui penekanan kepada pertumbuhan dengan ekuiti untuk meningkatkan kesejahteraan semua rakyat.

Keutamaan Pertama: Meningkatkan Inklusiviti ke arah Masyarakat yang Saksama

Saya ingin tegaskan bahawa peningkatan pendapatan sahaja tidak mencukupi kalau tidak diiringi dengan peningkatan kuasa beli. Bagi meningkatkan pendapatan dan kuasa beli rakyat, terutama isi rumah, daya keluaran produktiviti mestilah dinaikkan. Ini boleh dicapai melalui latihan kecekapan dan pengurusan yang lebih cekap dan bagi sektor pembuatan, penggunaan mesin dan teknologi yang moden dan canggih termasuk robotik dan automasi akan dipergiat.

Kita juga perlu prihatin dengan rakyat yang hilang mata pencarian akibat sakit, kemalangan dan lain-lain. Maka, sistem perlindungan sosial akan diperkukuh. Selain itu, program bantuan Kerajaan, khususnya yang melibatkan jaringan keselamatan sosial akan dikaji semula supaya lebih bersasar.

Reformasi Agenda Pemerkasaan Bumiputera akan terus diberi penekanan. Antara inisiatif yang akan diambil adalah perubahan minda yang positif dan penerapan nilai murni, pengukuhan keberkesanan institusi dan program, pemerkasaan modal insan dan pengukuhan pendidikan dan latihan bagi mendapatkan pekerjaan bergaji tinggi.

Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara (KBN) yang diadakan pada 1 September 2018 telah menghasilkan 63 resolusi yang sedang diteliti oleh Kerajaan. Kerajaan akan memastikan agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera dapat membentuk generasi Bumiputera baharu yang berpegang teguh kepada nilai moral integriti serta sikap rajin berusaha.

Tuan Yang di-Pertua,

Sebagai Kerajaan yang prihatin ke arah mewujudkan masyarakat yang saksama, usaha akan dipertingkat untuk memperkasa kumpulan minoriti. Program khusus akan dilaksana bagi suku-suku kaum Sabah dan Sarawak dan juga orang asli, di kawasan luar bandar dan pedalaman. Antara inisiatif yang akan dilaksana termasuk penawaran lebih banyak program dan peluang pendidikan, latihan kemahiran dan keusahawanan. Bagi kumpulan tertentu dalam kalangan masyarakat India dan Cina, beberapa program khusus akan dilaksana bagi membangunkan potensi ekonomi mereka dan membasmi kemiskinan.

Pelbagai program dan inisiatif akan dilaksana untuk meningkatkan kesejahteraan kanak-kanak, belia, wanita, institusi keluarga, warga kurang upaya dan warga emas. Antaranya ialah membangunkan Pelan Hala Tuju Kesejahteraan Kanak-kanak serta program pembangunan dan pemerkasaan belia. Bagi mempertingkat penglibatan wanita dalam pasaran buruh, majikan digalakkan untuk menyedia perkhidmatan penjagaan kanak-kanak dan aturan kerja yang fleksibel. Selain itu, program pembangunan keluarga seperti kemahiran keibubapaan, menyemak semula dasar dan perundangan yang berkaitan orang kurang upaya dan menggalakkan persekitaran penuaan yang aktif bagi warga emas akan dilaksana.

Keutamaan Kedua : Meningkatkan Kesejahteraan Rakyat

Pelbagai inisiatif akan dilaksana bagi meningkatkan kuasa beli rakyat dan mengurangkan beban peningkatan kos sara hidup. Tumpuan juga akan diberi untuk membendung kenaikan harga barang melalui pelbagai langkah seperti kawalan harga, mempergiat penguatkuasaan dan mempertingkat tahap konsumerisme.

Perumahan adalah penting untuk kesejahteraan keluarga. Sebanyak 200,000 unit rumah mampu milik disasarkan dalam tempoh 2018-2020 dengan menggalakkan penglibatan yang lebih luas oleh sektor swasta. Majlis Perumahan Mampu Milik Negara akan ditubuhkan untuk menyelaras pengurusan perumahan mampu milik awam.

Kerajaan komited untuk memperkukuh sistem penyampaian penjagaan kesihatan. Antaranya, mewujudkan dasar kesihatan negara, meningkatkan kapasiti modal insan dan kemudahan kesihatan serta mengkaji model skim penjagaan kesihatan ke arah mewujudkan skim pembiayaan kesihatan nasional.

Dalam meningkatkan kapasiti kemudahan kesihatan awam, sebuah pusat kanser wilayah utara akan dibina sebagai pelengkap kepada Institut Kanser Negara. Kerajaan juga akan mewujudkan sebuah pusat kawalan

dan pencegahan penyakit kebangsaan di Nilai, Negeri Sembilan untuk mengesan, mencegah dan mengatasi ancaman penyakit.

Perbandaran dan perindustrian yang pantas memberikan tekanan kepada kesejahteraan mental. Satu pelan tindakan akan dirangka bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kesihatan mental. Selain itu, dasar dan peraturan baharu akan digubal untuk mengawal selia produk, teknologi dan perkhidmatan penjagaan kesihatan dalam talian.

Kerajaan Pakatan Harapan tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan dan kedaulatan negara. Tumpuan akan diberi untuk mengukuh keupayaan dan kapasiti agensi penguatkuasaan dan keselamatan serta mempergiat usaha pencegahan jenayah. Bagi mengekang pencerobohan sempadan, kawalan terutamanya di pintu masuk negara akan dipertingkat.

Perpaduan nasional dan kesepaduan sosial akan terus dipupuk untuk menjamin keharmonian negara. Untuk itu, Kerajaan akan menubuhkan Majlis Perundingan Keharmonian Rakyat dan mewujudkan Indeks Perpaduan Nasional sebagai instrumen untuk memantau tahap perpaduan dan keharmonian.

Dalam perjuangan mencapai status negara maju, kita, khususnya generasi muda, tidak harus lupa aspek nilai dan jati diri. Sehubungan itu, peranan keluarga, sekolah dan komuniti akan diperkukuh bagi mempromosi nilai murni dan memupuk budaya kebangsaan.

Sukan akan terus menjadi platform untuk menggalak gaya hidup aktif dan sihat serta menyatupadukan rakyat. Oleh itu, lebih banyak kemudahan sukan dan rekreasi akan dibangun dan dinaik taraf. Pendekatan baharu, iaitu keseluruhan sukan, akan juga dilaksana bagi menggalakkan kecemerlangan sukan dan gaya hidup sihat.

Tuan Yang di-Pertua,

TONGGAK 3 : MENUJU KE ARAH PEMBANGUNAN WILAYAH YANG SEIMBANG

Semua negeri perlu maju bersama. Kerajaan Pakatan Harapan tidak akan membiarkan mana-mana negeri tertinggal di belakang. Oleh itu, Kerajaan memperkenalkan kembali agenda pembangunan wilayah yang seimbang sebagai keutamaan. Selaras dengan ini, Kerajaan akan memastikan peruntukan pembangunan yang lebih saksama kepada negeri Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis supaya

mencapai pembangunan yang lebih setara.

Keutamaan Pertama: Memperkukuh Pembangunan Ekonomi Wilayah

50. Untuk memperkukuh pembangunan ekonomi wilayah, perancangan pembangunan pada peringkat nasional, wilayah dan negeri perlu diperkemas. Penyelarasan antara negeri bagi penyediaan infrastruktur akan dipertingkat untuk mengoptimum penggunaan sumber serta memoden dan mempelbagaikan asas ekonomi bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi.

Keutamaan Kedua: Merapatkan Jurang Pembangunan antara Bandar dan Luar Bandar

Kerajaan akan memastikan masyarakat luar bandar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan. Untuk itu, rangkaian jalan raya akan diperluas dengan membina dan menaik taraf 1,500 kilometer lagi jalan luar bandar. Kerajaan juga memperluas akses kepada bekalan air bersih dan terawat meliputi sasaran 60,000 tambahan rumah, meluaskan akses bekalan elektrik kepada sasaran 41,160 tambahan rumah.

Sementara itu, infrastruktur digital akan dipertingkat untuk memperluas liputan dan menambah baik kualiti jalur lebar melalui pembinaan 300 menara telekomunikasi baharu dan menaik taraf 1,000 menara sedia ada.

Aktiviti ekonomi setempat di luar bandar akan ditingkatkan untuk menjana pendapatan dan mewujudkan peluang pekerjaan serta perniagaan. Aktiviti ekonomi luar bandar yang mampan seperti industri asas tani, ekopelancongan dan agropelancongan juga akan digalakkan.

Bantuan akan diberi termasuk menyediakan premis perniagaan untuk usahawan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di luar bandar.

Keutamaan Ketiga: Mempercepat Pembangunan di Sabah dan Sarawak

Sabah dan Sarawak berpotensi untuk menjana pertumbuhan ekonomi lebih tinggi dengan mengoptimumkan sumber asli yang ada. Untuk itu, Kerajaan akan mengagihkan pendapatan minyak dan gas secara saksama mengikut perundangan sedia ada. Satu Jawatankuasa Khas Kabinet telah ditubuhkan untuk mengkaji semula dan memantau pelaksanaan yang wajar bagi Perjanjian Malaysia 1963.

Demi kemakmuran rakyat di Sabah dan Sarawak, infrastruktur asas seperti bekalan air dan elektrik luar bandar turut akan dipertingkat. Beberapa inisiatif akan dilaksana termasuk meningkatkan liputan jalur lebar di kawasan luar bandar meliputi pembinaan 106 menara telekomunikasi baharu dan menaik taraf 400 menara sedia ada. Kerajaan juga akan menyediakan 7,000 unit rumah mampu milik serta menaik taraf 400 buah sekolah daif. Dari segi kemudahan kesihatan, tiga buah hospital akan dinaik taraf, iaitu di Papar, Miri dan Lawas.

Pembangunan tanah adat adalah penting untuk mewujudkan aktiviti ekonomi dan menjana pendapatan masyarakat setempat. Oleh itu, kerjasama antara kerajaan negeri, agensi berkaitan, pemilik tanah dan pelabur akan dipertingkat. Aktiviti pengukuran dan pemetaan Hak Tanah Adat akan dilaksana bagi membolehkan tanah adat dibangunkan.

Tuan Yang di-Pertua,

TONGGAK 4 : MEMPERKASA MODAL INSAN

Kerajaan akan terus memberi penekanan untuk membangunkan modal insan bagi memenuhi keperluan industri dan menyokong pertumbuhan ekonomi.

Keutamaan Pertama : Mereformasi Pasaran Buruh

Kerajaan akan mereformasi pasaran buruh ke arah mewujudkan pekerjaan berkemahiran yang menawarkan gaji yang tinggi, dengan menggalakkan automasi dan inovasi, menerima guna teknologi baharu serta mengkomersialkan harta intelek. Pelaburan berkualiti tinggi juga akan diberi keutamaan untuk mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran.

Bagi meningkatkan gaji dan upah, semakan secara berterusan ke atas dasar gaji minimum dan pembentukan Indeks Gaji Kebangsaan akan dilaksana. Perbezaan kadar gaji minimum antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak telah berjaya ditangani. Mulai 1 Januari 2019 gaji minimum bulanan diseragamkan kepada 1,050 ringgit di seluruh negara. Di samping itu, perluasan Sistem Upah yang Dikaitkan dengan Produktiviti akan dipergiatkan.

Kerajaan berazam untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing melalui penambahbaikan pengurusan pekerja asing. Antara langkah yang dicadangkan adalah mengenakan sistem levi berperingkat yang progresif berasaskan kepada jumlah pekerja asing yang digaji. Harus diingat jika pekerja tempatan sanggup bekerja maka pekerja asing tidak akan datang ke negara kita.

Keutamaan Kedua: Menambah Baik Kecekapan dan Produktiviti Buruh

Kerajaan akan mengukuhkan hak pekerja dan meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga buruh bagi menambah baik kecekapan dan produktiviti buruh. Hak pekerja akan diperkukuh melalui kajian semula undang-undang perburuhan dan pelaksanaan Sistem Insurans Pekerjaan yang menyeluruh. Pekerja yang diinsuranskan akan menerima manfaat yang merangkumi elaun mencari pekerjaan, latihan, penempatan pekerjaan dan kaunseling kerjaya. Adalah amat penting kita menyediakan pekerja dan golongan profesional menghadapi ‘disruption’ yang bakal dibawa oleh Revolusi Perindustrian Keempat. Revolusi ini akan menghapuskan banyak jenis pekerjaan seperti buruh manual dalam sektor pembuatan, tetapi juga akan mencipta peluang pekerjaan baharu seperti penyelenggaraan dan kejuruteraan robotik dan automasi.

Keutamaan Ketiga: Meningkatkan Akses kepada Pendidikan dan Latihan yang Berkualiti dan akses yang saksama kepada pendidikan dan latihan yang berkualiti. Bagi pendidikan asas, usaha akan ditumpu kepada peningkatan pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), penguasaan Bahasa Inggeris dan peningkatan kemahiran berfikir aras tinggi.

Bagi menetapkan standard pendidikan yang lebih tinggi serta memupuk nilai murni dan budaya kerja yang positif seperti diamalkan di Jepun, Kerajaan akan mengkaji semula kedua-dua Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia. Sementara itu, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 akan dikaji semula dengan menggantikannya dengan perundangan baharu yang menyeluruh dan lebih baik ke arah mewujudkan kebebasan akademik, bersuara dan berpersatuan.

Dalam tempoh akhir Rancangan, Kerajaan akan melaksanakan Projek Pembinaan Bangunan bagi Pusat Perkhidmatan Rawatan Pesakit Luar dan Pakar di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Kompleks Fakulti Perubatan Veterinar di Universiti Malaysia Kelantan dan Hospital Pengajar di Universiti Malaysia Sarawak. Kerajaan juga akan meningkatkan kualiti tenaga pengajar institusi pendidikan tinggi dengan meneruskan penajaan Skim Latihan Akademik untuk mereka melanjutkan pengajian di peringkat PhD.

Kerajaan hari ini komited untuk meningkat keupayaan belia dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) bagi memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi. Kerajaan akan meneruskan program latihan pra pekerjaan di bawah skim Latihan Bakal Pekerja dengan menyediakan dana bagi membantu membiayai yuran program di pusat pembangunan kemahiran negeri.

Keutamaan Keempat : Memupuk Jalinan Industri-Akademia yang Lebih Kukuh

Kerjasama industri dan akademia yang lebih erat adalah penting untuk memadankan penawaran dengan permintaan. Keutamaan akan diberi untuk membangunkan kemahiran berkaitan industri dengan melaksanakan program berasaskan industri dan mengiktiraf teknologis sebagai profesional. Kerajaan juga akan menggalakkan institusi TVET untuk mempelajari dan menerima guna amalan terbaik daripada Jepun, khususnya melalui penerapan pengetahuan dan kemahiran teknologi terkini dalam pengajaran dan pembelajaran.

TONGGAK 5 : MEMPERTINGKAT KEMAMPANAN ALAM SEKITAR MELALUI PERTUMBUHAN HIJAU

Kerajaan komited untuk memastikan pembangunan sosioekonomi turut memberi penekanan kepada aspek perlindungan alam sekitar, selaras dengan Agenda 2030 untuk Pembangunan Mampan.

Keutamaan Pertama : Memperkukuh Tadbir Urus

Tadbir urus akan diperkukuh bagi memudah cara peralihan ke arah pertumbuhan hijau dan pengurusan sumber yang lebih baik. Sehubungan ini, dasar, perundangan, standard dan garis panduan berkaitan alam sekitar dan sumber asli akan dikaji semula atau diwujudkan dan ditanda aras dengan amalan terbaik antarabangsa.

Semua projek pembangunan perlu mematuhi standard perlindungan alam sekitar dan garis panduan pembangunan. Dalam hal ini, rangka kerja institusi akan diperkukuh, manakala kapasiti dan keupayaan pemantauan serta penguatkuasaan akan ditambah baik. Pelaksanaan pematuhan kendiri terpimpin dalam kalangan industri akan diperluas, manakala masyarakat dan pihak berkepentingan akan terus digalak untuk menghargai dan melindungi alam sekitar.

Keutamaan Kedua : Memulihara Sumber Asli

Usaha untuk melindungi, memulihara dan memulihkan khazanah strategik negara adalah penting bagi memastikan kemampanan dan sumbangan berterusan kepada pembangunan. Pewartaan lebih banyak kawasan terestrial, air daratan, pesisir pantai dan marin sebagai kawasan perlindungan akan dipergiat. Bagi menangani konflik antara manusia dengan hidupan liar, lebih banyak laluan untuk hidupan liar akan disediakan.

Tuan Yang di-Pertua,

Keutamaan Ketiga : Menangani Perubahan Iklim dan mengurangkan Risiko Bencana

Langkah mitigasi perubahan iklim akan dipergiat bagi memenuhi komitmen di bawah Perjanjian Paris. Dalam hal ini, pelan tindakan mitigasi nasional akan disediakan dan pelaksanaan cukai karbon akan diteliti.

Sementara itu, langkah adaptasi perubahan iklim akan terus dilaksana dan pelan tindakan akan dirangka sebagai panduan dalam perancangan dan penyelarasan langkah adaptasi di seluruh negara.

Penerimagunaan konsep penggunaan dan pengeluaran mampan akan digalakkan melalui perluasan inisiatif perolehan hijau kerajaan dan inisiatif merubah sisa kepada kekayaan ataupun sisa kepada tenaga. Manakala, penggunaan plastik sekali guna akan dikurangkan.

Kebergantungan kepada bahan api fosil akan dikurangkan melalui peningkatan sumbangan tenaga boleh baharu (renewable) dalam penjanaan elektrik. Penjanaan elektrik daripada biojisim dan biogas akan digalak, manakala daya maju teknikal dan potensi aplikasi komersial teknologi baharu akan diteroka seperti grid mikro dan penyimpanan tenaga dalam bateri. Di samping itu, pengurusan permintaan tenaga akan terus diperkukuh melalui penyediaan pelan induk bagi meningkatkan kecekapan dan penjimatan tenaga. Penggunaan sistem LED akan ditingkatkan.

Keupayaan pengurusan risiko bencana akan ditingkat melalui integrasi langkah pengurangan risiko bencana dalam perancangan dan pembangunan. Kesiapsiagaan menghadapi bencana juga akan dipertingkat melalui pembangunan sistem bersepadu bagi ramalan cuaca dan banjir serta amaran awal banjir. Keupayaan tindak balas agensi berkaitan bencana dan komuniti juga akan dipertingkat bagi mengelakkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda.

Tuan Yang di-Pertua,

TONGGAK 6 : MEMPERKUKUH PERTUMBUHAN EKONOMI

Momentum pertumbuhan ekonomi akan diperkukuh dengan merangsang aktiviti ekonomi dan menggalakkan pelaburan swasta. Tumpuan akan diberi kepada pengukuhan asas ekonomi berlandaskan inovasi, kreativiti dan aktiviti nilai ditambah tinggi ke arah meningkatkan produktiviti dan daya saing industri.

Keutamaan Pertama : Memperkukuh Pertumbuhan Sektoral dan Mereformasi Struktur

Sektor perkhidmatan akan menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara. Oleh itu, sektor perkhidmatan yang berintensif pengetahuan akan dipertingkat. Usaha juga akan dipergiat bagi mewujudkan ekosistem yang dinamik, menggalakkan penerimagunaan teknologi terkini dan e-dagang serta memanfaatkan platform digital untuk mempromosi produk dan perkhidmatan bagi menembusi pasaran antarabangsa. Sehubungan itu, Malaysia akan dijenamakan semula sebagai destinasi pelancongan utama dan produk ekopelancongan tempatan akan dimanfaatkan untuk menarik lebih ramai pelancong.

Kerajaan akan menggalakkan peralihan sektor pembuatan ke arah pengeluaran produk yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi, pelbagai dan kompleks. Subsektor pembuatan yang mempunyai potensi pertumbuhan tinggi, iaitu aeroangkasa dan peranti perubatan, juga akan diutamakan. Pihak industri perlu meningkatkan produktiviti dengan mempercepat penggunaan robotik, automasi dan inovasi, menjalankan penyelidikan dan pembangunan serta melaksanakan amalan pengeluaran mampan.

Kerajaan sedar kepentingan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam ekonomi. Oleh itu, usaha untuk mewujudkan PKS yang berdaya tahan dan mampan akan terus dilaksana. Matlamat Kerajaan adalah untuk meningkatkan sumbangan PKS kepada KDNK kepada 41 peratus pada tahun 2020. Sumbangan PKS kepada eksport juga akan ditingkatkan melalui inisiatif pengantarabangsaan dan promosi eksport.

Bagi sektor pertanian, reformasi subsektor agromakanan akan diteruskan bagi meningkatkan sumbangan subsektor ini kepada nilai ditambah pertanian kepada 42.8 peratus pada tahun 2020 serta mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan. Ini termasuklah inisiatif mengurus permintaan dan penawaran makanan, membangunkan input alternatif dan sumber kekayaan baharu serta memperkenalkan aktiviti pertanian nilai tambah yang tinggi. Inisiatif ini akan meningkatkan produktiviti dan pendapatan petani, nelayan dan penternak.

Tuan Yang di-Pertua,

Keutamaan Kedua : Mempercepat Inovasi dan Penerimagunaan Teknologi

Negara perlu memanfaatkan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR). Oleh itu, rangka kerja dasar nasional mengenai 4IR akan dibentuk untuk menggalakkan inovasi, kreativiti dan daya saing dalam menghadapi revolusi digital yang semakin berkembang pesat. Manakala, Dasar Negara Mengenai Industri 4.0, 2018-2025 yang menggariskan pelan tindakan penggunaan teknologi berkaitan Industri 4.0 akan dilancarkan untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing sektor pembuatan. Tumpuan juga akan diberi kepada beberapa bidang seperti bioteknologi, nanoteknologi, teknologi digital, teknologi hijau dan teknologi neuro yang akan melonjakkan kemajuan sains, teknologi dan inovasi.

Keutamaan Ketiga : Menyediakan Infrastruktur yang Berkualiti

80. Kerajaan akan memastikan infrastruktur yang disediakan adalah berkualiti dari segi integrasi, liputan dan ketersambungan serta kemampuan dan kemampanan. Bagi memperkukuh ketersambungan merentas wilayah, pembinaan lebuh raya di luar kawasan Lembah Klang akan terus diberi keutamaan, antaranya meneruskan pelaksanaan jajaran Central Spine Road dan Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai. Selain itu, pembesaran terminal, pemanjangan landasan dan penambahbaikan kemudahan bagi lapangan terbang terpilih akan dilaksana. Misalnya, menaik taraf kemudahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

Pertumbuhan logistik dan fasilitasi perdagangan akan dipertingkat melalui inisiatif uCustoms, gerbang tunggal yang menyediakan proses bersepadu dan lengkap bagi pelepasan kargo, yang akan dilancarkan pada awal tahun 2019. Inisiatif ini akan meningkatkan kecekapan dan produktiviti serta daya saing pemain logistik Malaysia.

Langkah untuk menambah baik infrastruktur digital akan terus dilaksana. Ke arah ini, kapasiti dan liputan jalur lebar akan terus dipertingkat menerusi National Fiberisation and Connectivity Plan untuk mencapai sasaran 95 peratus liputan jalur lebar di kawasan berpenduduk.

Usaha menambah baik perkhidmatan bekalan air kepada negeri yang mempunyai rizab margin rendah seperti Kedah dan Perlis akan diberi keutamaan melalui menaik taraf loji sedia ada dan membina loji baharu. Pembinaan loji rawatan kumbahan serantau dan berpusat di bandar utama seperti Alor Setar, Kuantan dan Taiping akan dilaksana.

Kerajaan akan memastikan bekalan tenaga yang berdaya harap dan mampan bagi mengukuhkan jaminan tenaga dan meningkatkan kecekapan bekalan tenaga. Ini akan dicapai melalui pembinaan fasiliti terapung gas asli cecair yang kedua milik PETRONAS di luar pesisir pantai Sabah serta projek Refinery and Petrochemical Integrated Development (RAPID) di Pengerang, Johor.

Kecekapan dan daya harap bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia akan ditingkatkan menerusi pelaksanaan fasa kedua Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR), dari tahun 2018 hingga tahun 2020. Pelaksanaan IBR akan diperluas ke Sabah dalam tempoh akhir Rancangan. Sementara itu, pembinaan loji janakuasa baharu akan dilaksanakan melalui bidaan kompetitif supaya lebih telus dan wujud persaingan sihat dalam kalangan pemain industri.

Tuan Yang di-Pertua,

MALAYSIA DAN DUNIA

Semua yang saya bentangkan ini menjurus untuk memperkukuh ekonomi, institusi awam dan tadbir urus Kerajaan. Apabila kita berjaya, bermakna kita telah menebus maruah negara dan bangsa Malaysia. Kita akan dihormati kembali oleh dunia. Malaysia boleh kembali menyuarakan kepentingan negara-negara kecil di forum-forum dunia. Ini yang dilakukan baru-baru ini di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Malaysia tidak dapat mengelak dari percaturan politik dunia khususnya antara kuasa-kuasa besar. Lebih-lebih lagi kedudukan Malaysia yang berhadapan dengan Laut China Selatan di mana berlaku ketegangan antara Amerika Syarikat dan China. Kita mengambil sikap berkecuali. Kita mahu rantau ini kekal aman dan bebas seperti yang termaktub dalam doktrin ZOPFAN. Sebagai sebuah negara perdagangan kita mahu kebebasan pelayaran - freedom of navigation - terjamin. Malaysia tidak boleh melakukan ini secara bersendirian. Kita perlu berpegang kepada prinsip ‘collective security’. Justeru, Malaysia perlu berperanan untuk memperkukuh ASEAN untuk menjamin agar rantau ini terus stabil dan selamat.

Apa yang saya bentangkan adalah untuk rakyat. Untuk semua rakyat dari Perlis hingga Sabah. Untuk orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Murut dan Orang Asli dan etnik-etnik lain yang semua bernaung di bawah langit Malaysia.

Kita mahu Malaysia yang bersatu padu. Kita mahu rakyat Malaysia berjaya dan menikmati kekayaan negara. Saya mengajak semua rakyat Malaysia menggalas tanggungjawab ini. Jika semua yang terkandung dalam dokumen ini dilaksanakan, saya yakin Malaysia akan mengaum kembali sebagai Harimau Asia. Imej Malaysia akan bertukar dari sebuah negara kleptokrat kepada sebuah negara demokrasi tulen dengan kerajaan yang bersih, luhur dan berintegriti. Rakyat Malaysia di mana-mana tempat di seluruh pelusuk dunia boleh memperkenalkan dirinya dengan bangga: Saya rakyat Malaysia.

Inilah tekad kita. Inilah janji kita. Saya berdoa kepada Tuhan agar kita dapat melaksanakannya bersama seluruh bangsa Malaysia.

Akhir sekali, harapan saya adalah pada anak muda. Sebahagian besar generasi saya telah pergi. Kepada siapa akan kami tinggalkan nasib bangsa dan negara ini, kalau tidak kepada generasi muda. Saya seru kepada generasi muda: belajarlah segala ilmu yang boleh menjadikan Malaysia sebuah negara maju. Dapatkan segala kemahiran. Perkukuhkan jati diri. Pegang teguh pada agama dan nilai-nilai murni. Tolak rasuah dengan sekeras-kerasnya. Hayati kebenaran, kejujuran dan keadilan. Ayuh, marilah kita semua berganding bahu dan bersatu untuk mencipta masa depan Malaysia yang lebih gemilang.

Tuan Yang di-Pertua, Saya mohon mencadang.


Hukuman mati akan dihapuskan

by

Penangguhan hukuman mati mandatori diumumkan kerajaan akan memberi kesan kepada 1,278 banduan yang sebelum ini didapati bersalah oleh mahkamah berikutan pelbagai kesalahan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman, berkata pihaknya akan akur terhadap sebarang percaturan Kabinet, termasuk pertimbangan sebulat suara untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman mati mandatori.

Beliau menyifatkan langkah penghapusan bersandarkan prinsip kemanusiaan itu sejajar dasar kerajaan diterajui Pakatan Harapan (PH) yang menjanjikan bahawa sudah tiba masanya hukuman berat berkenaan digantikan dengan kaedah lain.

“Itu dasar kita sebagai sebuah kerajaan baharu, justeru kementerian mengalu-alukan ia kerana mengikut prinsip kemanusiaan. Kita akan cari hukuman lebih setimpal tanpa menggunakan tindakan punitif berbentuk mati mandatori.

“Sehubungan itu, mengikut perangkaan kita setakat ini, pengumuman penangguhan hukuman mati mandatori berkenaan akan memberi kesan kepada 1,278 banduan.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) selaku badan pelaksana akan mengikut keputusan Kabinet jika arahan penangguhan (hukuman mati mandatori) dikeluarkan,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, semalam dilaporkan berkata pelaksanaan hukuman mati mandatori bagi semua kesalahan akan dimansuhkan di negara ini.

Susulan pengumuman itu, katanya, semua pelaksanaan hukuman mati akan ditangguhkan sehingga pemansuhan berkenaan berkuat kuasa.

Berdasarkan perangkaan hingga 1 Oktober lalu, Azis berkata, jumlah banduan yang menghuni penjara adalah seramai 59,245 orang, iaitu 45,388 daripada ialah rakyat negara ini manakala selebihnya, iaitu 13,857 terdiri daripada warga asing.

INFO:

• 1,278 banduan dijatuhi hukuman mati

• 59,245 banduan menghuni penjara, setakat 1 Oktober 2018

• 45,388 banduan ialah warga Malaysia

• 13,857 warga asing

- BERITA HARIAN

Cuti sekolah berbeza zon utara, selatan, timur bakal diperkenal untuk elak kesesakan

by

Ibu bapa yang membawa anak-anak mereka bercuti ke Cameron Highlands, Melaka atau mana-mana destinasi percutian lain semasa cuti sekolah mungkin menyambut baik cadangan cuti sekolah dilaksanakan secara berperingkat.

"Berbanding cuti sekolah selama seminggu untuk seluruh negara, kita boleh mengagihkan musim cuti selama tiga minggu.

"Kami mencadangkan musim cuti sekolah dilaksanakan secara berbeza untuk wilayah pantai utara, selatan dan timur," kata Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Beliau berkata kementeriannya menyediakan laporan lengkap mengenai cadangan Kementerian Pelajaran untuk mempertimbangkan penjadualan musim cuti sekolah yang berbeza bagi seluruh negara.

Apabila cuti sekolah berlangsung tidak serentak, kualiti pelancongan domestik akan lebih tinggi kerana masalah kesesakan dapat dikurangkan.

"Kita juga akan mempunyai pengurusan lalu lintas yang lebih baik dan pemain industri pelancongan tidak perlu menghadapi situasi 'feast or famine'," katanya.

Beliau berkata, cadangan tersebut adalah untuk cuti sekolah pertengahan tahun pada bulan Mac, Jun dan September tetapi ia tidak termasuk cuti akhir tahun yang lebih panjang.

"Laporan itu hampir siap. Kami memperoleh semakin banyak data.

"Jika kita katakan Cameron Highlands sesak semasa cuti persekolahan, berapa sesak keadaan yang berlaku?

"Dalam era data besar (big data) ini, kita harus teliti mengenai apa yang kita cadangkan," kata Muhammad Bakhtiar kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Arkeologi Kebangsaan di George Town pada Selasa.

Katanya, cuti berbeza telah dilaksanakan di Malaysia apabila rakyat di Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu mempunyai cuti hujung minggu pada Jumaat dan Sabtu.

- The Star

Cara Menjawab Soalan Ujian Psikometrik SPA

by




Ujian Psikometrik adalah untuk menguji calon dengan soalan-soalan yang bertujuan menilai personaliti dan sahsiah seseorang calon sebelum layak di panggil untuk menghadiri temuduga atau menjawat sesuatu jawatan. Pakej ini menyediakan contoh soalan Psikometrik SPA yang boleh anda jadikan rujukan dan panduan.

Ujian Psikometrik SPA ini diwajibkan kepada semua calon dalam pelbagai jawatan kerajaan. Ini untuk menentukan personaliti calon samaada sesuai menjawat sesuatu jawatan atau tidak.

Format soalan dan jawapan adalah tidak tetap. Anda berkemungkinan anda hanya diberi 2 atau 4 pilihan jawapan samaada YA atau TIDAK, BETUL atau SALAH, SETUJU dan TIDAK SETUJU.

Berikut merupakan skop soalan yang mungkin diajukan kepada calon;

- Kemahiran Berfikir
- Sikap
- Perwatakan
- Emosi

Untuk menjawab dengan baik soalan ini, anda perlu melihat refleksi diri anda dalam menjalani kehidupan seharian. Sikap anda, cara pemikiran, tindakan anda terhadap diri dan sekeliling perlu mencerminkan pemikiran yang POSITIF. Pemilihan setiap jawapan perlulah ke arah POSITIF dan bukannya NEGATIF.

PAKEJ LENGKAP UJIAN PSIKOMETRIK

Panduan Ujian Psikometrik SPA merupakan pakej lengkap yang dihasilkan khas untuk membantu calon jawatan kerajaan untuk lulus dalam peperiksaan Psikometrik SPA.

Panduan ini mengandungi Nota berkaitan Psikometrik dan Contoh Soalan Psikometrik lengkap dengan jawapan untuk membantu persediaan calon. 

Jadi, anda tidak perlu membazirkan masa mencari maklumat berjam-jam di internet sehingga mengurangkan masa persediaan anda. Anda hanya perlu baca nota dan contoh soalan yang disediakan.

Anda boleh mendapatkan rujukan, nota dan lebih banyak contoh soalan ujian Psikometrik ini di : https://go.infotambahan.com/ujian-psikometrik/28
 
 
 

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90