Top Ad 728x90

Agong minta rakyat bertenang, jangan buat spekulasi

by

 

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati rakyat untuk bertenang dan tidak panik dengan situasi semasa membabitkan isu pentadbiran negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata baginda turut menasihatkan rakyat untuk bersabar sementara menunggu keputusan Raja-Raja Melayu mengenai cadangan dikemukakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, baginda turut mengingatkan rakyat untuk tidak mencetuskan sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan, keresahan serta menggugatkan ketenteraman negara.

"Al-Sultan Abdullah menasihati seluruh rakyat supaya bertenang, tidak panik dan bersabar dalam menghadapi situasi terkini sementara menunggu keputusan mengenai cadangan-cadangan berkenaan.

"Seluruh rakyat turut dinasihati supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan serta menggugatkan ketenteraman negara yang kita cintai bersama ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Fadil memaklumkan, Yang di-Pertuan Agong berkenan mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu dalam masa terdekat, untuk memperhalusi cadangan dikemukakan Perdana Menteri.

Katanya, rundingan itu susulan pertemuan baginda dengan Perdana Menteri selama kira-kira satu jam setengah di Istana Abdul Aziz, Kuantan, Pahang, jam 5.00 petang semalam.

Dalam pertemuan itu, katanya, Muhyiddin mempersembah taklimat cadangan kepada Al-Sultan Abdullah mengenai cadangan yang dicapai dalam Mesyuarat Khas Jemaah Menteri di Putrajaya, pagi semalam.

"Al-Sultan Abdullah amat memahami keperluan kelangsungan pentadbiran negara untuk memerangi ancaman wabak COVID-19. Malah, Seri Paduka Baginda turut amat prihatin terhadap kegelisahan dan kegusaran rakyat ekoran daripada perkembangan terkini ini.

"Oleh hal yang demikian dan susulan daripada sesi menghadap semalam, Al-Sultan Abdullah berkenan mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat bagi membincang dan memperhalusi cadangan yang dikemukakan Tan Sri Muhyiddin Yassin," katanya.

Spekulasi mengenai kemungkinan darurat diisytiharkan bagi mengelakkan pilihan raya mula tercetus susulan Mesyuarat Khas Kabinet pagi semalam, yang disusuli pertemuan Muhyiddin dengan Yang di-Pertuan Agong, yang dilaporkan turut dihadiri Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Sumber : Berita Harian

 

Majlis Raja-Raja bincang cadangan Muhyiddin

by

 

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu dalam masa terdekat, untuk memperhalusi cadangan dikemukakan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata rundingan itu susulan pertemuan baginda dengan Perdana Menteri di Istana Abdul Aziz, Kuantan, Pahang, jam 5 petang semalam.

Dalam pertemuan sekitar satu setengah jam itu, katanya, Muhyiddin mempersembah taklimat cadangan kepada Al-Sultan Abdullah mengenai cadangan yang dicapai dalam Mesyuarat Khas Jemaah Menteri di Putrajaya, pagi semalam.

"Al-Sultan Abdullah amat memahami keperluan kelangsungan pentadbiran negara untuk memerangi ancaman wabak COVID-19. Malah, Seri Paduka Baginda turut amat prihatin terhadap kegelisahan dan kegusaran rakyat ekoran perkembangan terkini ini.

"Oleh hal yang demikian dan susulan daripada sesi menghadap semalam, Al-Sultan Abdullah berkenan mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat bagi membincang dan memperhalusi cadangan yang dikemukakan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah menasihati seluruh rakyat supaya bertenang, tidak panik dan bersabar dalam menghadapi situasi terkini ini sementara menunggu keputusan mengenai cadangan itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Spekulasi mengenai kemungkinan darurat diisytiharkan bagi mengelakkan pilihan raya tercetus susulan Mesyuarat Khas Kabinet pagi semalam, yang disusuli pertemuan Muhyiddin dengan Yang di-Pertuan Agong, yang dilaporkan turut dihadiri Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah turut menasihati rakyat untuk tidak mencetuskan sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan, keresahan serta menggugatkan ketenteraman negara.

Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong mengulangi titah nasihat baginda menggesa rakyat memainkan peranan dan berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan amalan kebiasaan baharu, susulan peningkatan mendadak kes baharu COVID-19.

Tegas baginda, peranan dan disiplin rakyat penting dalam membantu pihak berkuasa memerangi COVID-19 demi keselamatan diri serta masyarakat.

Al-Sultan Abdullah turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama Seri Paduka Baginda berdoa semoga Malaysia sentiasa dirahmati dan dilindungi dari segala bentuk ancaman, serta penularan COVID-19 dapat dibanteras dengan berkesan dan diakhiri dengan segera," katanya.

Sumber : Berita Harian

Minggu Saham Digital PNB tawar hadiah RM500,000

by

 

Selaras dengan perkembangan transformasi digital, Permodalan Nasional Berhad (PNB) menganjurkan Minggu Saham Digital (MSD) buat pertama kali bermula 18 hingga 24 November ini melalui aplikasi Facebook dan YouTube.

Acara digital tujuh hari itu akan disiarkan secara langsung setiap hari antara pukul 12.30 tengah hari dan 10.30 malam bagi memberi peluang kepada pemegang unit PNB mendapat gambaran bagaimana pelaburan mereka menyumbang kepada kekuatan ekonomi Malaysia.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr. Zeti Aziz berkata, PNB telah berjaya meletakkan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) sebagai acara tahunan yang sentiasa dinanti-nantikan dengan pelbagai aktiviti pendidikan yang mesra keluarga selama dua dekad.

“Bagaimapaun, MSD adalah bukti bagaimana PNB terus berkembang serta mendukung cara baharu dan menarik untuk mendekati pemegang unit kami dan rakyat Malaysia secara umumnya, dengan matlamat untuk memperkasakan literasi kewangan melalui platform digital yang mudah untuk dilayari.

“Acara ini merupakan satu langkah penting ke arah perjalanan transformasi organisasi PNB yang lebih luas. Dengan menganjurkan acara tahunan kami secara dalam talian, semua lapisan masyarakat daripada pelbagai peringkat umur boleh menikmati pelbagai kandungan aktiviti menarik di kediaman mereka sendiri atau di mana sahaja mereka berada, kerana semuanya kini mudah diakses hanya di hujung jari,” katanya dalam kenyataan semalam.

Pelbagai aktiviti boleh dimanfaatkan daripada siri forum dan webinar pendidikan, kepada segmen-segmen yang menghiburkan seperti konsert maya.

Menurut PNB, menerusi acara digital yang lain daripada yang lain itu, peserta juga boleh menyertai acara permainan, rancangan memasak, eksperimen sains yang unik, pertandingan pencarian harta karun maya, ‘Eh, Mana Kod?’ serta pertandingan lakaran pelitup muka, #LakaranJuara.

Peserta berpeluang memenangi hadiah-hadiah bernilai lebih RM500,000 termasuk sebuah Ford Ranger 2.0L XLT 4WD (10AT), Toyota Vios 1.5G (AT), Perodua Aruz 1.5AV (AT), Honda CBR250, lapan buah Honda Dash 125S dan e-baucar Lazada bernilai lebih RM180,000 tertakluk pada peraturan, terma dan syarat.

Rakan korporat PNB untuk MSD terdiri daripada tiga peringkat iaitu kategori Rakan Premier ialah Maybank Berhad, Sime Darby Plantation Berhad dan UMW Holdings Berhad; Rakan Utama pula terdiri daripada Sime Darby Berhad, Sime Darby Property Berhad, SP Setia Berhad, MIDF Berhad dan Perusahaan Otomobil Kedua Sendirian Berhad (Perodua).

Bagi kategori Rakan terdiri daripada MNRB Holdings Berhad, CCM Berhad, Duopharma Biotech Berhad, Velesto Energy Berhad, Sapura Energy Berhad dan Projek Lintasan Kota Hol­dings (Prolintas).

PNB akan mengumumkan tetamu dan personaliti jemputan serta jadual program pada minggu akan datang. Bagi maklumat lanjut, layari www.minggusahamdigital.com.my atau @minggusahamdigital di Instagram dan Facebook. 

Sumber : Utusan

Teknologi terkini rawat sakit diabetes

by

 

Diabetis ataupun kencing manis bukanlah satu masalah baru yang dihadapi oleh kebanyakan rakyat di negara ini.

Dianggarkan seorang daripada lima orang dewasa atau kira-kira 3.9 juta orang yang berusia lebih 18 tahun di Malaysia telah disahkan menghidapi diabetes.

Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi, kadar kelaziman diabetes dalam kalangan orang dewasa yang berusia 18 tahun dan ke atas telah meningkat kepada 18.3 pe­ratus pada 2019 berbanding ha­nya 13.4 peratus pada 2015.

Pola peningkatan ini hakikatnya sesuatu yang membimbangkan dan antara faktor pe­nyumbang kepada peningkatan ini ialah kebanyakan orang di Malaysia mempunyai berat badan yang berlebihan ataupun obesiti.

Gaya hidup kurang sihat se­perti diet kurang baik, kurang cergas dan tidak mengambil langkah pencegahan adalah antara punca utama pesakit menghidap diabetes.

Tambahan lagi, diabetes juga boleh menimbulkan pelbagai kerumitan kritikal yang boleh menjejaskan kualiti kehidupan penghidap.

Kerumitan ini antara lain termasuk strok, buta, kegagalan buah pinggang, amputasi iaitu pemotongan anggota badan dan penyakit kardiovaskular.

Pakar Runding Kardiologi Institut Jantung Negara, Datuk Seri Dr. Azahari Rosman, menjelaskan, mereka yang menghidap diabetes berkemungkinan lebih tinggi mengalami penyakit kardiovaskular awal jika tidak diuruskan dengan sewajarnya.

“Pesakit perlu mendapatkan bantuan kerana statistik mendapati bahawa penyakit kardiovaskular merupakan punca kematian mereka yang menghidap diabetes di Malaysia.

“Masalah ini kian serius kerana semakin ramai pesakit muda disahkan menghidap diabetes dan penyakit kardiovaskular juga pada usia yang lebih muda,” katanya.

Jika pesakit tidak mengurus penyakit mereka, paras gula dalam darah yang tinggi boleh menyebabkan plak terkumpul akan menyekat dan merosakkan saluran yang membawa darah ke dan dari jantung.

Ini menyebabkan kekurangan oksigen dan nutrien, yang boleh menyebabkan serangan jantung dan kematian.

Pencegahan ialah satu aspek penting untuk mengurangkan beban penyakit dan kerumitan berkaitan diabetes ini boleh dicegah dengan pengurusan yang sewajarnya seperti pengawalan tahap glukosa, tekanan darah dan mengamalkan gaya hidup lebih sihat, bersenam dengan kerap, memantau paras glukosa darah serta mengambil ubat preskripsi sekiranya perlu.

Dalam pada itu, Pakar Run­ding Endokrinologi, Dr. Chan Siew Pheng menjelaskan, pe­ngurusan diabetes telah berkembang maju pada masa ini.

“Untuk menangani beban pe­nyakit yang semakin me­ningkat dan rawatan diabetes juga te­rus bertambah baik, pesakit hanya perlu membuat rawatan sekali seminggu berbanding beberapa kali dalam sehari.

“Terdapat juga inovasi rawatan baharu yang disediakan di pasaran seperti kelas ubat suntikan GLP-1 RA yang bukan sahaja boleh mengurangkan paras glukosa darah tetapi juga membantu menguruskan kerumitan lain berkaitan diabetes seperti penyakit kardiovaskular dan ke­gemukan. Teknologi berjaya bantu pesakit diabetes,” jelasnya.

Sumber : Utusan

Tiga faktor penjimatan tenaga

by

 

Oleh Dr. Adi Ainurzaman Jamaludin

Pensyarah Kanan Program Sains Pengurusan Alam Sekitar Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya

 

Reka bentuk struktur bangunan, reka bentuk perkhidmatan dan tingkah laku individu adalah tiga faktor yang saling berkait bagi mencapai penggunaan tenaga yang efisien.

Reka bentuk struktur bangunan dan perkhidmatan merupakan satu pendekatan yang menyeluruh memandangkan penggunaan tenaga dapat dirancang dengan lebih teliti pada peringkat awal.

Lebih-lebih lagi dengan penerapan reka bentuk pasif seperti pencahayaan dan pengudaraan semula jadi serta pengintegrasian landskap hijau. Namun, ia terhad kepada bangunan yang masih dalam proses perancangan pembinaan.

Kos yang tinggi diperlukan pada bangunan yang telah siap dibina bagi tujuan kerja pemasangan dan pengubahsuaian. Ironinya, kejayaan reka bentuk struktur bangunan dan perkhidmatan amat bergantung kepada tingkah laku serta keperluan individu yang kerap berubah mengikut peredaran masa.

Mengambil satu contoh telefon bimbit. Ia bukanlah satu keperluan pada 20 tahun yang lepas dan dengan sekali pengecasan membolehkan ia bertahan selama beberapa hari. Kini, globalisasi merubah corak kehidupan dengan kepintaran telefon bimbit mendekatkan dunia di hujung jari. Keperluan untuk sentiasa berhubung dan kecanggihan dengan kepelbagaian fungsi memerlukan pengecasan peranti dilakukan setiap hari.

Merujuk kepada tingkah laku manusia, ia adalah sesuatu yang begitu subjektif dan bukanlah mudah untuk diselia serta dikawal rapi. Namun, kejayaan memupuk perilaku positif merupakan satu pendekatan yang tidak melibatkan kos yang tinggi.

Sementelahan itu, berupaya memberi kesan jangka masa panjang terutamanya dengan pembentukan budaya penjimatan tenaga.

Pembudayaan menjimatkan tenaga merupakan satu keadaan yang menjelaskan bagaimana individu memilih untuk menjimatkan tenaga bukan atas saranan mahupun paksaan.

Sebaliknya, ia adalah kehendak diri sendiri atas rasa tanggungjawab dan tidak meletakkan kewajipan penjimatan tenaga di atas bahu orang lain. Melalui amalan ini, dianggarkan 30 peratus penjimatan tenaga dapat diperoleh di samping menyemai perasaan dan semangat kekitaan dalam kalangan komuniti.

Secara asasnya, penjimatan tenaga merupakan langkah pertama yang perlu diambil dan diberi perhatian sewajarnya sebelum disusuli dengan peningkatan tahap kecekapan tenaga. Penjimatan tenaga adalah mengurangkan penggunaan tenaga melalui penyesuaian perilaku dan amalan harian. Peningkatan tahap kecekapan pula adalah pengaplikasian teknologi jimat tenaga untuk melaksanakan fungsi dan peranan yang sama.

Penggunaan lampu diod pemancar cahaya (LED) bagi menggantikan lampu kalimantang untuk menerangi sesuatu ruang adalah contoh peningkatan tahap kecekapan tenaga.

Ia mampu menyumbang kepada pengurangan jumlah penggunaan tenaga untuk jangka masa panjang walaupun terdapat peningkatan kos pembinaan berbanding reka bentuk konvensional. Namun, kekhilafan memilih peralatan cekap tenaga yang berkualiti tinggi dalam lambakan pasaran mengundang pembaziran tenaga tanpa disedari.

Penggunaan teknologi tenaga boleh diperbaharui (RE) dalam memenuhi keperluan tenaga merupakan langkah yang terakhir. Sama seperti peningkatan tahap kecekapan, penggunaan teknologi RE seperti panel suria bagi penjanaan tenaga turut melibatkan kos pemasangan yang tinggi dan memerlukan pertimbangan beberapa kriteria penting berkaitan perundangan serta reka bentuk struktur bangunan.

Secara relatifnya, penjimatan tenaga dilihat sebagai satu langkah mudah tanpa melibatkan kos yang tinggi dan dapat memberi kesan jangka masa panjang ke arah kehidupan yang lebih lestari.

Usaha penjimatan tenaga ini boleh dimulakan dengan melakukan audit tenaga. Ini bertujuan mengetahui corak penggunaan semasa dan keperluan sebenar tenaga bagi sesebuah struktur bangunan dalam menjalankan fungsi minimum.

Ini boleh dirujuk kepada Indeks Tenaga Bangunan iaitu pengiraan kegunaan tenaga berdasarkan kepada keluasan lantai bagi tempoh satu tahun.

Secara teori, keperluan minimum tenaga bagi bangunan kediaman adalah lebih rendah berbanding bangunan pejabat. Di Malaysia, purata penggunaan tenaga bangunan pejabat adalah dalam lingkungan 200 sehingga 250 kWh/m2/tahun dan jumlah yang disarankan bagi bangunan cekap tenaga adalah 135 kWh/m2/tahun.

Justeru, keperluan minimum tenaga bagi bangunan kediaman adalah antara 10 sehingga 25 kWh/m2/tahun. Setelah corak penggunaan semasa dan keperluan sebenar tenaga diketahui, matlamat dan strategi penjimatan tenaga dapat dirangka dengan lebih praktikal.

Antara langkah mudah penjimatan tenaga adalah dengan mematikan suis dan mencabut palam atau plag peranti yang tidak digunakan.

Kajian mendapati terdapat sesetengah peranti yang masih menggunakan tenaga apabila palam atau plag bersambung kepada soket elektrik walaupun suis telah dimatikan. Pengecas telefon bimbit, peranti rangkaian komputer dan internet, sistem audio visual seperti televisyen dan dekoder penyiaran, serta sistem penapisan air merupakan antara peranti yang dibiarkan terpasang meskipun di luar waktu penggunaan.

TidManfaatkan RE demi kelestarianak dinafikan, sesetengah peranti perlu sentiasa dihidupkan atas keperluan keselamatan.

Ini termasuklah peranti rangkaian internet yang bersambung kepada sistem pemantauan kamera litar tertutup. Namun, apakah perlu lain-lain peranti dibiarkan bersambung dan dihidupkan suis di kala penghuni tidur lena diulit mimpi indah atau ketika penghuni keluar meninggalkan rumah.

Mungkin agak sukar di peringkat awal untuk sentiasa memastikan keperluan sama ada menghidup atau mematikan suis dan seterusnya mencabut palam peranti.

Seterusnya adalah mengoptimumkan pencahayaan dan pengudaraan semula jadi bagi mengurangkan kebergantungan kepada pencahayaan buatan dan sistem penyejukan mekanikal.

Ini dapat dicapai dengan mengenal pasti keperluan pencahayaan mengikut aktiviti pada setiap ruang dan keadaan.

Jika pendingin hawa perlu dihidupkan, suhu ditetapkan pada 24°C atau lebih tinggi.

Dalam masa yang sama, ruangan berkenaan perlu dipastikan tertutup dengan rapi untuk mengelakkan atmosfera dalaman yang disejukkan dari meresap keluar. Mod kawalan penyalaan automatik boleh digunakan bagi menghadkan penggunaan untuk satu tempoh tertentu. Sebaiknya, utamakan kipas angin yang lebih rendah penggunaan tenaga.

Penggunaan sebarang peranti elektrik perlulah dirancang dengan teliti. Aktiviti membasuh dan menggosok pakaian yang mungkin boleh dilakukan seminggu sekali berbanding setiap hari manakala dalam pemilikan peranti, sewajarnya keperluan diberi keutamaan berbanding kehendak.

Turut dipastikan kebolehan peranti dalam menjimatkan tenaga dan seiring dengan kapasiti yang diperlukan.

Peti sejuk haruslah berpadanan dengan ahli isi rumah dan saiz skrin televisyen bersesuaian dengan saiz ruang tamu. Selain itu, penyelenggaraan dan pembersihan berkala perlu dilakukan dalam memastikan peralatan elektrik dapat berfungsi secara optimum.

Manfaatkan RE demi kelestarian

Kehadiran teknologi tenaga boleh dibaharui (RE) mampu memastikan kelangsungan pembekalan tenaga di negara ini.

Kedudukan negara di garisan Khatulistiwa yang membolehkan penerimaan cahaya matahari yang konsisten dan jumlah taburan hujan yang tinggi bagi penjanaan tenaga suria dan hidro tidak memberi sebarang erti andai penggunaan melebihi penjanaan.

Ini diburukkan lagi dengan pembaziran tenaga yang secara langsung memberi implikasi yang besar terhadap alam sekitar.

Malaysia masih bergantung sepenuhnya kepada tenaga berasaskan fosil termasuklah minyak mentah, produk petroleum, gas asli dan arang batu.

Peningkatan taraf hidup memberi tekanan kepada permintaan tenaga. Agensi Tenaga Antarabangsa menjangka peningkatan sebanyak 2.2 kali ganda penggunaan tenaga di Asia pada tahun 2035, berbanding tahun 2008.

Penggunaan tenaga per kapita di Malaysia pada tahun 2016 adalah ketiga tertinggi di ASEAN iaitu mencecah 1.793 Mtoe/Million berbanding 0.395 Mtoe/Million pada tahun 1973.

Negara Brunei mendahului senarai dengan 3.325 Mtoe/Million diikuti Singapura sebanyak 3.289 Mtoe/Million pada tahun yang sama.

Isu berkaitan tenaga belum menemui titik noktah terutama berkaitan kelestarian sumber dalam memenuhi permintaan yang menunjukkan peningkatan yang sangat ketara.

Sumber : Utusan

Farah Nabilah selamat timang cahaya mata sulung

by

 

Pelakon Farah Nabilah selamat menimang cahaya mata lelaki di sebuah pusat perubatan di Ampang, Selangor semalam.

Farah berkongsi berita gembira itu melalui Instagram miliknya, namun berkata, setakat ini dia masih belum bersedia untuk memuat naik gambar dan nama anak sulungnya itu.

“Syukur Alhamdulullah, Fawaa (nama gelaran Farah) selamat melahirkan anak pertama bayi lelaki yang sihat pagi tadi 22 Oktober bersamaa 4 Rabiulawal 1442.

“Fawaa akan kongsikan nama dan wajah anak bila tiba masanya ya,” katanya.

Pemilik nama penuh Farah Nabilah Saipuddin, 28, itu turut mengucapkan terima kasih buat semua yang mendoakan kesihatan dan keselamatan diri dan bayinya.

“Terima kasih atas doa yang dititip untuk kami bertiga selama ini. Semoga Allah merahmati kita semua dengan kegembiraan terutamanya dalam keadaan macam ni. Semoga selamat semua,” katanya.

Pelakon drama Kau Yang Pertama itu mendirikan rumah tangga dengan juruterbang, Mohammed Amirul Yunus, 29, pada 20 Disember 2019.

Sumber : Malaysia Kini

 

BPN 2.0 dibayar lebih awal secara berperingkat

by

 

Proses pembayaran Bantuan Prihatin Nasional 2.0 (BPN 2.0) fasa pertama dimulakan secara berperingkat bermula 19 Oktober lalu membabitkan 3.7 juta penerima kategori isi rumah dan 3.8 juta penerima kategori bujang.

Kementerian Kewangan menerusi soalan lazim menjelaskan pembayaran dimulakan lebih awal daripada tarikh yang disasarkan iaitu 26 Oktober ini memandangkan ramai penerima bantuan.

Ini sekali gus menjawab perkongsian beberapa netizen bahawa mereka sudah menerima bayaran bantuan itu pada minggu ini, lebih awal daripada tarikh yang diumumkan kementerian sebelum ini.

"Ini adalah hasil usaha pegawai-pegawai kementerian, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan institusi kewangan yang memastikan agar sistem pembiayaan tersedia secepat mungkin demi membantu kesemua 10.6 juta penerima BPN 2.0 dalam fasa pertama ini.

"Pembayaran sedang dibuat secara berperingkat dengan mengutamakan golongan B40," katanya.

Katanya lagi, pembayaran sudah pun bermula pada 19 Oktober membabitkan 3.7 juta penerima kategori isi rumah dan 3.8 juta penerima kategori bujang.

"Bagi golongan M40, pembayaran telah bermula semalam membabitkan 1.4 juta penerima kategori isi rumah dan 1.7 juta penerima kategori bujang.

"Memandangkan jumlah besar penerima, proses pengkreditan bayaran BPN 2.0 akan berterusan dan dijangka diselesaikan sebelum hujung bulan ini," katanya.

Mana-mana penerima yang bantuan mereka gagal dikredit akan dapat menuntut bayaran tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) pada tarikh yang akan diumumkan kelak.

"Memandangkan beberapa negeri sedang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pihak BSN akan mengeluarkan panduan prosedur operasi standard (SOP), seperti sebelum ini.

"Ingin diingatkan juga bahawa tempoh permohonan baharu untuk BPN2.0 masih dibuka sehingga 15 November ini," katanya.

Sumber : Berita Harian

Sejarah pengisytiharan darurat di negara kita

by

 

Malaysia telah melalui beberapa kali pengisytiharan darurat semasa perang, kekacauan awam, krisis politik dan bencana alam.

Pemberontakan Komunis (1948-1960)

Tempoh darurat yang paling diingati membabitkan pemberontakan komunis atau Tentera Pembebasan Rakyat Malaya (MNLA).

Ini menyebabkan British mengharamkan parti politik tertentu dan mereka yang disyaki terlibat dengan anasir komunis ditahan dan ini peperangan ini berlarutan sehingga pembentukan kerajaan Malaysia.

Pilihan raya umum pertama Tanah Melayu pada Ogos 1959 dan persidangan Parlimen pertama pada bulan September 1959 diadakan pada waktu darurat.

Konfrantasi (1964)

Pada 3 September 1964, kerajaan Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan darurat setelah berlaku pencerobohan oleh tentera Indonesia.

Akta Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 1964 diluluskan oleh Parlimen yang memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menggubal peraturan-peraturan darurat untuk membolehkan harta benda disita, aktiviti pencarian dan tangkapan.

Selain itu Peraturan Darurat (Perbicaraan Jenayah) 1964 digubal untuk mempercepat perbicaraan jenayah.

Sarawak (1966)

Kuala Lumpur meletakkan Sarawak dalam keadaan darurat pada 14 Sept 1966, dalam usaha menyingkirkan Stephen Kalong Ningkan sebagai ketua menteri.

Parlimen menggubal Akta Darurat (Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan Sarawak) 1966 yang memberikan kuasa mutlak kepada gabenor Sarawak dan kuasa untuk mengadakan Majlis Negri tanpa nasihat ketua menteri.

Apabila Majlis Negri bersidang pada 23 September 1966, undi tidak percaya diluluskan dan Kalong Ningkan disingkirkan sebagai ketua menteri. 

Rusuhan 13 Mei (1969)

Rusuhan kaum berlaku selepas pilihan raya pada 10 Mei 1969. Darurat diisytiharkan pada 15 Mei 1969, ketika parlimen sudah dibubarkan.

Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 1, 1969 digubal oleh Yang di-Pertuan Agong bagi memberikan kuasa eksekutif dan perundangan kepada Majlis Gerakan Negara (Mageran).

Mageran, seterusnya menggubal Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 yang membenarkan penahanan tanpa bicara.

Parlimen baru disusun semula pada 20 Februari 1971 - hampir dua tahun selepas pilihan raya.

Kelantan (1977)

Darurat diisytiharkan pada 8 Nov 1977 akibat rusuhan politik di Kelantan setelah Mohamad Nasir enggan meletakkan jawatan sebagai menteri besar.

Parlimen kemudian meluluskan Akta Kuasa Darurat (Kelantan) 1977 yang memberikan kawalan eksekutif negeri ini kepada pengarah kerajaan yang dilantik oleh perdana menteri, manakala sultan, yang juga Agong pada masa itu, memegang kuasa perundangan.

Mohamad Nasir kekal sebagai menteri besar sehingga pilihan raya Kelantan pada 1978.

Darurat jerebu (1997, 2005 dan 2013)

Tidak semua keadaan darurat ada hubungan kait dengan kuasa perundangan atau eksekutif khas.

Pada tahun 1997, 2005 dan 2013, darurat diisytihar di wilayah tertentu di Sarawak, Selangor dan Johor ketika pencemaran udara mencapai status sangat tidak sihat.

Ini bagi memaksa orang ramai tinggal di rumah dan penutupan operasi sektor perkhidmatan awam dan swasta yang tidak penting.

Sumber : MalaysiaKini

 

 

Dr Noor Hisham muncul 'adiwira' baharu BoBoiboy

by

 

Setiap individu boleh menjadi wira melawan COVID-19 hanya dengan mengamalkan pembudayaan norma baharu yang dikenali sebagai CAPP, kata 'adiwira baharu' siri animasi popular tempatan, BoBoiBoy, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Namun jangan khuatir, Ketua Pengarah Kesihatan itu bukannya beralih kerjaya, sebaliknya muncul sebagai figura animasi 3D dalam video pesanan khidmat masyarakat bertajuk "CAPP: Kuasa untuk Lawan COVID-19", inisiatif syarikat harta intelek dan watak, Monsta bersama Kementerian Kesihatan (KKM). 

Dalam video berdurasi seminit itu, Dr Noor Hisham kelihatan menggunakan cecair pembasmi kuman sebelum menjadikannya sebagai 'perisai' melawan virus COVID-19 bagi melindungi watak-watak dalam animasi berkenaan seperti BoBoiBoy dan rakan-rakannya.

"Kamu tak perlukan kuasa untuk mengalahkan virus COVID-19, kamu hanya perlukan CAPP. Dengan CAPP anda pun boleh menjadi wira," kata Dr Noor Hisham dalam video itu.

CAPP adalah pendekatan pembudayaan norma baharu yang menyasarkan individu, keluarga dan komuniti dalam mencegah penularan COVID-19 iaitu mencegah dan mendidik dari awal, mengamalkan norma baharu, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan memantau status kesihatan.

Ia bertujuan melindungi daerah hijau kekal bebas dari COVID-19 dan pada masa sama menukarkan daerah kuning kepada hijau dalam tempoh 14 hari.

Video itu kini tular di pelbagai laman media sosial dengan lebih 150,000 jumlah tontonan di akaun rasmi YouTube, Facebook dan Instagram BoBoiBoy dalam tempoh 24 jam.

Video itu juga diulang kicau hampir 30,000 kali melalui Twitter BoBoiBoy, KKM, selain turut mendapat pujian berikutan kreativiti dan mesej yang ingin disampaikan.

Sementara itu, Monsta dalam kenyataan memaklumkan pesanan khidmat masyarakat itu bertujuan mendidik seluruh rakyat meningkatkan rasa tanggungjawab dalam memutuskan rantaian penularan COVID-19 yang semakin meningkat.

Selain BoBoiBoy, syarikat Monsta yang juga menghasilkan pelbagai siri animasi, filem dan produk pengguna turut dikenali dengan francais animasi popular seperti "Papa Pipi", siri pelancongan "Fly With Yaya"dan siri animasi akan datang iaitu "Mechamato".

Sumber :  BERNAMA

 

 

 

Ramai pengguna pilih aplikasi Waktu Solat Malaysia

by

 

Lebih 80,000 pengguna dilapor memuat turun aplikasi Waktu Solat Malaysia dalam tempoh sebulan.

Aplikasi yang dibangunkan syarikat tempatan, REV Media Group (RMG) itu mula menjadi pilihan selepas pengguna dikejutkan dengan krisis penjualan data kepada pihak ketiga melibatkan Muslim Pro.

RMG dalam kenyataannya berkata, pengguna Waktu Solat Malaysia tidak perlu bimbang kerana data pengguna dilindungi dan dijamin selamat.

Malah, segala kandungan yang dimuatkan dalam aplikasi mesra pengguna itu juga berkualiti dan diambil daripada E-solat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Selain menjadi sumber rujukan waktu solat dan arah kiblat, aplikasi itu mengandungi lebih 12 ciri keseluruhan yang memberi fokus kepada panduan solat, wuduk dan doa harian.

Bagi pengguna yang sering ke luar negara, anda tidak perlu risau kerana aplikasi ini boleh dimuat turun dan digunakan di seluruh dunia serta ia ditetapkan ke perubahan lokasi secara automatik.

Sehingga kini, Waktu Solat Malaysia mempunyai lebih daripada 1.8 juta pengguna aktif setiap bulan dengan rekod terkumpul melebihi 5.8 juta muat turun.

Pengguna boleh memuat turun aplikasi ini menerusi App Store dan Google Play.

Aplikasi THiJARI mudahkan urusan pendeposit TH

by

 

Menjadi satu kemestian untuk umat Islam di Malaysia untuk menyimpan dan mendaftar dengan Lembaga Tabung Haji (TH) sekiranya ingin menunaikan rukun Islam kelima iaitu ibadah haji.

Ditubuhkan pada tahun 1969, TH menjadi satu badan yang menguruskan permohonan serta perjalanan untuk masyarakat negara ini melaksanakan ibadah tersebut.

TH juga menjadi institusi kewangan Islam untuk umat Islam menabung dan mengumpulkan wang bagi membiayai kos perbelanjaan menunaikan ibadah haji.

Sebelum ini, sebarang urusan sama transaksi atau sebagainya, pendeposit perlu ke pejabat TH berdekatan untuk menyelesaikannya.

Namun seiring transformasi dalam bidang teknologi, TH bergerak ke hadapan dengan mengambil pendekatan membangunkan dan memperkenalkan aplikasi THiJARI.

Melalui aplikasi tersebut, pelbagai transaksi boleh dilakukan dengan menggunakan hujung jari.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Nik Mohd. Hasyudeen Yusoff menegaskan, aplikasi THiJARI dibangunkan sebagai usaha untuk memudahkan capaian para pendeposit TH kepada sistem perkhidmatan dalam talian selari dengan kehendak dan kepesatan teknologi semasa.

“Pelancaran aplikasi THiJARI ini adalah seiring dengan kecenderungan penggunaan teknologi pada era moden hari ini.

“Sejak pengenalan portal THiJARI pada Februari lalu, sebanyak 300,000 pendeposit TH telah mendaftar di platform ini. Namun menerusi pelancaran aplikasi mudah alih ini, kami menjangkakan jumlah tersebut akan bertambah kepada 500,000 orang menjelang akhir tahun ini,” katanya.

THijari boleh dilayari di:


Talian Sokongan Psikososial 088 338088

by

 

Masalah di tempat kerja, hilang pekerjaan dan bimbang dijangkiti wabak adalah antara masalah paling banyak aduan daripada orang ramai kepada Talian Sokongan Psikososial, sejak 25 Mac lalu.

Talian sokongan yang diwujudkan Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) itu menerima sebanyak 36,269 panggilan dan 50 peratus daripadanya adalah berkaitan keperluan sokongan emosi dan kaunseling.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sokongan emosi itu adalah berkaitan perasaan stres, bimbang, marah dan murung.

"Antara sebab mereka membuat panggilan adalah disebabkan faktor sosial seperti hilang pekerjaan, tiada pendapatan, masalah hubungan, persepsi negatif orang sekeliling, bimbang kepada jangkitan dan masalah tempat kerja," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata 14.7 peratus panggilan adalah untuk mendapatkan maklumat mengenai COVID-19, isu rumah tangga/keganasan rumah tangga (8.8 peratus), keperluan asas/bantuan kewangan/sumbangan (6.8 peratus), aduan (3.3 peratus), masalah psikiatri (2.2 peratus) dan isu kesihatan (1.1 peratus).

Katanya, menyedari situasi semasa di Sabah, KKM mengambil tindakan mempertingkatkan liputan MHPSS khas untuk warga negeri itu terutamanya kepada mereka yang memerlukan sokongan dalam krisis itu.

"Talian boleh diakses melalui nombor 088 338088 untuk membantu mereka yang memerlukan khidmat sokongan emosi dan bantuan awal psikologi.

"KKM juga menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada anggota barisan hadapan di lapangan bagi mengenal pasti mereka yang mulai alami kelesuan minda dan membantu dari aspek kesihatan mental," katanya.

 

Pusat Analitik Data Raya Negara akan diwujudkan

by

 

Menyedari kepentingan analisis data raya dalam sektor awam, kerajaan akan menubuhkan sebuah Pusat Analitik Data Raya Negara ke arah penggubalan dasar lebih komprehensif dan tepat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pusat itu bertujuan menyokong hasrat kerajaan memastikan setiap perancangan dan pembuat keputusan berlandaskan analisis data selaras inisiatif Kerajaan Digital.

Beliau berkata, penubuhan pusat tersebut menerusi kerjasama dengan Jabatan Perangkaan (DOSM), Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) serta beberapa kementerian lain.

“Pengukuhan sistem statistik negara diyakini mampu memberi impak positif termasuk menjamin ketersediaan data yang lebih komprehensif di sektor kerajaan dalam usaha merangka dasar jangka pendek dan panjang.

“Dalam masa yang sama, pengukuhan itu turut bertujuan meningkatkan kepakaran analitikal berkaitan semua bidang ekonomi, sosial dan demografi dalam kalangan pegawai-pegawai di semua kementerian serta agensi,” ketika menyampaikan ucaptama sempena majlis perasmian Sambutan Hari Statistik Negara dan Sedunia serta Persidangan Statistik Malaysia secara maya semalam.

Tambah Mustapa, pada 9 September lalu, Jemaah Menteri telah bersetuju untuk memperkasa sistem statistik negara dengan meluluskan penubuhan Majlis Statistik dan Data Negara (MSDN) sebagai badan penasihat tertinggi yang berperanan memberi hala tuju sistem statistik dan penyelarasan maklumat negara.

Katanya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri akan mempengerusikan mesyuarat pertama MSDN dengan majlis itu turut dianggotai beberapa menteri, wakil kerajaan dan swasta.

“Kabinet turut bersetuju memberi peranan lebih besar kepada Jabatan Perangkaan (DOSM) sebagai agensi pusat dalam penyelarasan sistem statistik negara dengan jabatan itu bertanggungjawab membantu, menyelaras dan mengawal penghasilan statistik kementerian, jabatan lain dan agensi kerajaan.

“Selaras dengan itu, Ketua Pegawai Data (CDO) Jabatan Perangkaan di bawah kementerian, jabatan dan agensi di bawah kawal selia DOSM turut dilantik bagi membangunkan mekanisme sistematik untuk koordinasi, capaian dan kerjasama perkongsian data,” katanya.

Selain itu, Mustapa berkata, Akta Perangkaan 1965 (Disemak 1989) juga akan dipinda selaras dengan pengukuhan yang akan dilaksanakan apabila fungsi serta peranan DOSM diperkasakan bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanannya sebagai sebuah agensi statistik setanding dengan agensi statistik terbaik seluruh dunia.

“Covid-19 telah mengubah kehidupan manusia dengan kita perlu hidup dalam norma baharu dan disiplin tinggi bagi memutuskan rangkaian jangkitan ini.

“Daripada krisis ini, kerajaan menyedari kepentingan data untuk merangka strategi khusus bagi memastikan kehidupan rakyat tidak terjejas dengan lebih teruk.

“Oleh itu, sistem statistik negara perlu diperkukuh bagi memastikan data yang ada diselaraskan dan dapat digunakan kerajaan dalam merangka dasar atau membuat keputusan,” katanya.

Sumber : Utusan

TNB pasang meter pintar di seluruh negara secara berperingkat

by

 

Sebanyak 608,976 unit meter pintar Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah dipasang di Lembah Klang dan Melaka, sehingga 16 Oktober lalu.

Pemasangan meter pintar di Cheras, Kuala Lumpur, Shah Alam, Putrajaya dan Cyberjaya itu berjalan seperti biasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 27 Oktober ini.

Pengarah Projek, Advanced Metering Infrastructure (AMI), TNB, Ir. Mohamed Ghous Ahmad berkata, pemasangan itu dibolehkan semasa PKPB de­ngan kerja-kerja dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Proses pemasangan hanya mengambil masa kira-kira 30 minit. Ia tertakluk kepada pematuhan rapi SOP seperti ditetapkan pihak berkuasa, termasuk berkaitan usaha membendung penularan wabak Covid-19.

“Ini bagi memastikan ke­selamatan pemasang meter dan pengguna sentiasa terjamin,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sebelum pemasangan meter pintar, pengguna akan menerima surat pemberitahuan pemasangan meter oleh TNB. Kerja-kerja pemasangan akan dilakukan oleh kontraktor lantikan TNB.

Menurut Mohamed Ghous, pengguna meter pintar mendapat kelebihan untuk me­ngawal corak penggunaan tenaga ha­rian, mengurangkan pembaziran dan jejak karbon serta mengawal perbelanjaan bulanan.

“Meter pintar memboleh­kan pelanggan TNB memantau penggunaan elektrik secara ha­rian menerusi portal www.mytnb.com.my dan aplikasi myTNB yang boleh dimuat turun di Google Play, Apple App Store dan Huawei AppGallery.

“Bil elektrik juga boleh dibayar secara dalam talian menerusi portal yang sama. Pengguna juga boleh mendapatkan bacaan bil bulanan mereka melalui portal dan aplikasi myTNB dengan kadar segera pada setiap tarikh kitaran bil,” katanya. 

Sumber : Utusan


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90