Top Ad 728x90

Muhyiddin terima suntikan pertama vaksin COVID-19

by

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin sebentar tadi, menerima suntikan vaksin COVID-19, Pfizer-BioNTech, sekali gus menjadi rakyat pertama negara ini yang berbuat demikian.

Penerimaan suntikan pertama bagi Malaysia itu disiarkan secara langsung menerusi pelbagai platform media termasuk di media sosial, bagi membolehkan rakyat mendapat gambaran sebenar dan menyeluruh Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang bermula secara rasmi hari ini.

Perdana Menteri menerima suntikan itu di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya di Presint 11, Putrajaya, selepas menyempurnakan Pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, dengan fasa pertamanya bermula hari ini hingga April.

Terdahulu, Muhyiddin tiba di PKD Putrajaya pada kira-kira jam 2.25 petang dan membuat imbasan kod MySejahtera, yang akan menjadi aplikasi bagi satu daripada kaedah pendaftaran penerimaan vaksin COVID-19 selepas ini.

Beliau kemudian membuat pendaftaran diri dengan petugas kesihatan bagi tujuan penerimaan vaksin sebelum dibawa ke auditorium bagi mendapatkan penerangan ringkas berkenaan vaksinasi.

Muhyiddin kemudian menandatangani borang persetujuan sebagai dokumen pengisytiharaan diri dan kebenaran individu untuk divaksin.

Sebaik menerima suntikan, Muhyiddin dibawa ke ruangan khas, bagi menunggu selama kira-kira 15 hingga 30 minit untuk memantau sekiranya berlaku reaksi susulan seperti alahan atau simptom lain.

Kemudian, Muhyiddin diiringi Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin serta Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, dibawa untuk mengambil temujanji untuk pengambilan dos kedua.

Turut menerima vaksin sama hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah diikuti anggota barisan lain iaitu kumpulan juru suntik yang akan terbabit dalam program imunisasi selepas ini.

Sumber : Berita Harian

 

 

Rakaman DidikTV KPM di YouTube mudah ulang kaji

by

 

Pengisian program DidikTV KPM membantu pelajar mengulang kaji pelajaran dengan lebih mudah dan lengkap kerana rakaman program turut disiarkan menerusi YouTube.

Baik pelajar mahu pun guru, pilihan untuk menonton di televisyen dan diulang menerusi peranti dianggap dapat meningkatkan kefahaman, terutama dalam subjek yang agak rumit atau memerlukan masa difahami.

Di Jertih, saluran DidikTV KPM memberi ruang belajar tambahan bagi pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Agama (SMA) Maarif, Besut, Nur Adriana Rosdan, 16, yang tidak bimbang jika berlaku pertembungan masa antara program di saluran ntv7 itu dengan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bersama guru dan rakan.

"Jika terlepas sesuatu segmen atau subjek di televisyen, saya boleh menonton semula semua rakaman di saluran YouTube.

"Kadang-kadang ada topik dibincangkan menerusi PdPR yang memerlukan pencerahan yang lebih mendalam dan DidikTV KPM dapat membantu kami memahami sesuatu subjek secara lebih kreatif dan mudah dengan penggunaan audio serta visual menarik.

"Sebagai pelajar, saya dapat melihat perbezaan dan tambah nilai proses pembelajaran kerana bimbingan secara langsung daripada guru melengkapi apa yang ditonton menerusi DidikTV KPM," katanya ketika ditemui di Kampung Raja, Besut.

Adiknya, Darwisy Iman Rosdan, 10, murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan Kampung Raja berkata, DidikTV KPM memudahkannya mengulang kaji bersama keluarga.

"Jika masih tidak faham, saya boleh minta bantuan kakak atau ibu untuk sama-sama menonton subjek yang diajar di DidikTV KPM dan mereka terangkan semula kepada saya.

"Belajar TV lebih mudah ditonton bersama keluarga dan tidak perlu berkongsi gajet seperti telefon untuk menonton DidikTV," katanya.

Di Tanjung Malim, guru SK FELDA Sungai Behrang, Kamarul Azri Awang, 42, berkata saluran DidikTV KPM adalah berita gembira bagi golongan pendidik yang melihatnya sebagai medium PdPR dalam suasana lebih santai, tetapi padat dengan pengiasan.

"Murid belajar dalam suasana lebih kondusif di hadapan televisyen tanpa perlu melihat peranti yang kecil yang ada masanya berdepan gangguan capaian internet.

"Dengan DidikTV KPM, mereka hanya perlu meneliti jadual harian dan bersedia sebelum menonton supaya lebih memahami apa yang diajar, manakala guru juga boleh menimba ilmu dari segi penyampaian kandungan," katanya.

Di Ipoh, pembelajaran secara menonton DidikTV KPM didapati meningkatkan tumpuan murid, selain memudahkan akses secara keseluruhan bagi melancarkan PdPR.

Bapa, Mohd Aznizam Azahar, 35, berkata medium itu turut membolehkan ibu bapa memantau perkembangan anak mereka, selain memastikan mereka tidak terlepas subjek berdasarkan jadual disediakan.

"Ibu bapa yang bekerja boleh mengingatkan anak mengenai subjek masing-masing atau mencari kembali program menerusi YouTube jika bertembung dengan sesi pengajian dalam talian.

"Bagi saya, DidikTV KPM banyak membantu pelajar dan dapat mengelak daripada berlaku keciciran," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

SPM 2020: 401,105 calon mula duduki peperiksaan dalam norma baharu

by

 

Hari ini, seramai 401,105 pelajar di seluruh negara mula menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 dalam suasana negara masih berdepan pandemik COVID-19 yang menuntut mereka membawa 'perisai' tambahan.

Selain berbekalkan pen dan ilmu pengetahuan seperti kebiasaannya apabila memasuki dewan utama peperiksaan, kelainan bagi calon SPM 2020 ialah mereka juga perlu membawa 'perisai' iaitu pelitup muka atau pelindung muka bagi mencegah penularan wabak itu.

Pada hari pertama peperiksaan hari ini, calon akan menjawab subjek Bahasa Melayu Kertas 1 dan 2, masing-masing bermula jam 8 pagi dan 2 petang.

Kumpulan pelajar Tingkatan Lima termasuk pelajar Sijil Vokasional Malaysia (SVM) itu menjadi kumpulan pertama yang menduduki peperiksaan SPM dalam pembudayaan norma baharu. 

Bagi menjamin keselamatan calon sepanjang peperiksaan, penyediaan 3,310 pusat peperiksaan SPM di seluruh negara dilaksanakan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan (KKM), termasuklah proses disinfeksi dewan peperiksaan.

Semua pelajar juga perlu menyerahkan borang perisytiharan kesihatan yang lengkap setiap hari sebelum memasuki dewan peperiksaan selain mengambil suhu badan dan memakai pelitup muka sepanjang tempoh menduduki peperiksaan. 

Selain itu, calon yang didapati positif COVID-19 atau calon yang diarahkan menjalani kuarantin kerana merupakan kontak rapat tidak dibenarkan menduduki peperiksaan pada hari berkenaan dan hanya boleh menduduki kertas peperiksaan yang dijadual semula selepas disahkan berada dalam keadaan sihat oleh doktor yang merawat berserta surat pengesahan doktor.

Seramai 48,014 pengawas peperiksaan akan memastikan SOP yang ditetapkan dipatuhi sepenuhnya sepanjang tempoh peperiksaan yang dijadualkan berlangsung hingga 25 Mac.

Calon SPM pada hari ini juga adalah kumpulan pelajar yang mengikuti sesi kelas SPM tahunan terpanjang iaitu hampir 14 bulan yang memaksa mereka beralih kepada pembelajaran dalam talian menerusi aplikasi seperti Google Meet, Google Classroom dan Skype gara-gara penularan pandemik COVID-19.

Peperiksaan SPM, SVM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) diadakan pada November setiap tahun, namun bagi tahun 2020, peperiksaan terbabit terpaksa ditangguh kepada Januari 2021 sebelum dianjak sekali lagi kepada Februari 2021 berikutan penularan pandemik COVID-19 yang memaksa penutupan sekolah. 

Sumber : BERNAMA

 

 

Kumpulan pertama vaksin COVID-19 tiba di Malaysia

by

 


Pesawat Malaysia Airlines MH604 dihiasi Jalur Gemilang yang membawa kumpulan pertama bekalan vaksin COVID-19 Malaysia selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 10 pagi tadi.

Vaksin Pfizer-BioNTech itu diterbangkan menggunakan pesawat Airbus 330-300 dikendalikan MABkargo Sdn Bhd (MASKargo) dari kilang Pfizer di Belgium, dengan penerbangan membawa vaksin itu berlepas dari Puurs dan transit di Lapangan Terbang Leipzig Halle, Jerman.

Ketibaan pesawat yang membawa 312,390 dos vaksin dengan penerbangan Passenger-to-Cargo (P2C) itu disambut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Sejumlah 312,390 dos vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech yang tiba di Malaysia pagi tadi akan di hantar ke 16 pusat simpanan vaksin di seluruh negara.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata sejumlah vaksin juga dijangka tiba di Johor dari Singapura pada jam 2 petang ini menggunakan jalan darat.

"Sementara di Pulau Pinang dihantar melalui pesawat dan tiba pada jam 6 petang. Bagi Sabah dan Sarawak kita akan tentukan tarikh penghantarannya dalam masa terdekat," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Khairy berkata, sehingga kini, sebanyak 54 lokasi dijadikan pusat simpanan vaksin Kementerian Kesihatan (KKM) termasuk empat di Johor, Selangor (enam), masing-masing dua di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur serta satu di Putrajaya.

"Jumlah keseluruhan 54 lokasi itu termasuk juga di Sabah dan Sarawak. Pusat simpanan ini akan mengagihkan (vaksin) ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV)," katanya.

Vaksin Pfizer-BioNTech diturunkan dari pesawat, kemudian dibawa ke pusat penyimpanan sementara bagi tujuan diedar ke fasiliti kesihatan milik KKM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara.

Perjalanan vaksin bermula dari kilang Pfizer di Belgium semalam, diuruskan sendiri oleh Pfizer dan DHL Express melalui perjanjian di peringkat global.

Vaksin itu kemudian berlepas dari Puurs, Belgium dan transit di Leipzig Halle Airport, sebelum meneruskan perjalanan ke Singapura untuk pengedaran ke negara-negara Asia Pasifik lain, termasuk Malaysia.

Sumber : Berita Harian

 

 

Exam Pegawai Pendaftaran Gred KP41

by

 


Dipanggil Exam Kerajaan tahun 2021? Tak tahu nak prepare macam mana?

Usaha Risau, anda berada di tempat yang betul Tim Infokerjaya dan bantu lebih 80,000 calon exam kerajaan sejak tahun 2008/09. Tahun ini giliran anda.

Untuk exam sesi FEBRUARI 2021, anda boleh gunakan rujukan ini. Sesuai untuk sesi PEPERIKSAAN ONLINE MEMASUKI PERKHIDMATAN AWAM (PPSE) Pegawai Pendaftaran KP41.

Anda boleh pilih untuk beli 1 ebook atau semua sekali. Ianya BUKAN BUKU tetapi eBook. Anda akan menerima akses ke laman download untuk MUATTURUN semua komponen. BUKAN BUKU tetapi eBook (versi download).

Dapatkan sekarang di : https://go.infotambahan.com/ebookextra/28

 

 

'Detektif Lim' pilih Norhayati jadi teman hidup

by

 


Pelakon drama bersiri Gerak Khas yang terkenal dengan watak Detektif Lim, Mohd Farid Amirul Hisham Wu Abdullah, 55, diijabkabulkan dengan wanita pilihan, Norhayati Abdullah, 39, di sini, pagi semalam.

Sah dengan sekali lafaz, pasangan yang sudah enam tahun menyulam cinta itu dinikahkan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), disaksikan enam tetamu.

Farid bersyukur majlis akad nikah lancar biarpun terpaksa berdepan dugaan kecil.

"Lebih membuatkan saya terharu apabila kami terserempak dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di JAWI.

"Beliau sempat mendoakan saya dan isteri," katanya ketika dihubungi BH Online.

Memilih bernikah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Farid terpaksa berdepan beberapa dugaan.

"Mengikut perancangan awal, abang ipar yang menetap di Kelantan sepatutnya menjadi wali.

"Namun, disebabkan PKP dan larangan merentas negeri, kami terpaksa membuat rancangan lain. Kami meminta abang ipar yang menetap di sini, untuk menjadi wali.

"Disebabkan itu, kami terpaksa menghantar surat permohonan nikah yang baharu," katanya.

Bagaimanapun, kata Farid, abang ipar itu pula cedera akibat terjatuh dari pokok, sebelum majlis pernikahan.

"Pada mulanya, kami fikir ingin teruskan sahaja rancangan asal membawa abang ipar di Kelantan menjadi wali.

"Namun, memikirkan perlu isi borang baharu dan prosedur agak leceh, kami teruskan juga. Kami terpaksa meminta kebenaran JAWI membawa seorang lagi tetamu untuk memapah abang ipar," katanya.

Bukan itu sahaja, Farid berkata, tarikh pernikahan mereka terpaksa dipercepatkan tiga hari.

"Jika tidak, mungkin impian bernikah tahun ini terpaksa ditangguhkan ke tarikh yang tidak diketahui berikutan tiada kekosongan slot akad nikah akibat PKP.

"Agak kelam kabut apabila JAWI memaklumkan tarikh pernikahan terpaksa dipercepatkan.

"Selain itu, kami juga dikehendaki menjalani ujian calitan di hospital kerajaan dan tidak dibenarkan melakukannya di hospital swasta.

"Ujian calitan pula perlu dilakukan dalam tempoh tiga hari, jika tidak laporan dianggap tidak sah," katanya.

Namun, Farid menganggap semua itu sekadar dugaan dan tidak tertekan.

"Bagi saya, tidak perlu bebankan fikirkan dengan terlalu memikirkan rintangan. Apa yang penting, majlis pernikahan lancar," katanya.

Berkongsi detik perkenalan dengan isteri, Farid memberitahu, dia mengenali Norhayati ketika melakukan penggambaran di tempat pasangannya itu bekerja.

Farid berkata, sikap isteri yang penyabar, memahami dan tidak banyak kerenah menambat hatinya.

Farid juga tidak menganggap keputusan berkahwin pada usia 55 tahun sebagai terlambat, sebaliknya percaya ketentuan Tuhan.

"Semua ini ketentuan Allah. Saya sentiasa berpegang kepada ayat di setiap kesempitan mungkin ada kemudahan.

"Pada mulanya saya mengaku, ada terfikir, andai ada rezeki menimang zuriat, anak masih kecil. sedangkan umur semakin meningkat.

"Tapi, lama-kelamaan saya malas hendak fikir lagi. Saya tidak mahu serabut pemikiran dengan perkara-perkara 'toksik'.

"Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya," katanya yang belum memutuskan mahu menganjurkan majlis resepsi selepas PKP tamat.

Sumber : Berita Harian

Wanita berisiko tinggi sakit jantung lepas putus haid

by

 


Golongan wanita yang putus haid atau menopaus berisiko tinggi mendapat penyakit jantung koronari, kata seorang pakar kardiologi.

Pakar Perunding Kardiologi dan Perubatan Dalaman Hospital Pantai Ayer Keroh, Dr Lim Kien Chien berkata, ini kerana selepas putus haid, wanita kehilangan perlindungan hormon seks estrogen dan progesteron, yang dibebaskan daripada kelenjar terutamanya ovari, yang turut berfungsi sebagai pelindung kepada pembentukan aterosklerosis atau penyempitan dan pengerasan pembuluh darah akibat plak.
 
"Ini bermakna wanita mempunyai risiko yang sama tinggi seperti lelaki untuk mengalami serangan jantung, strok atau kematian mengejut selepas putus haid, dan secara amnya putus haid atau menopaus akan berlaku dalam kalangan wanita yang berumur 45 hingga 55 tahun, manakala kadar purata ialah pada umur 50 tahun," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
 
Menurut beliau, pembentukan aterosklerosis yang berlaku pada dinding salur darah arteri jantung koronari merupakan satu proses keradangan di mana kolesterol berlebihan terutamanya kolestrol tidak baik (LDL) termendap pada dinding arteri.
 
"Tanpa jagaan dan rawatan, proses ini berterusan dan akhirnya menyebabkan tumbesaran plak dan pembentukan sumbatan. Sumbatan plak boleh mengganggu bekalan oksigen kepada organ dalaman jantung," katanya, menambah proses itu juga boleh berlaku pada organ lain seperti otak, buah pinggang dan otot kaki.
 
"Gangguan bekalan oksigen mengakibatkan antaranya sakit angin ahmar, serangan jantung, serangan otak, kegagalan buah pinggang dan kematian mengejut. Permulaan proses aterosklerosis ini juga boleh disebabkan oleh penyakit-penyakit kronik lain seperti kencing manis, darah tinggi, atau merokok," katanya.
 
Sementara itu, Dr Lim berkata, tidak semua individu mempunyai masalah kolestrol memerlukan ubat selain paras alkohol yang boleh diterima oleh setiap individu juga berbeza.
 
"Amalan gaya hidup sihat termasuk kurangkan makanan berlemak atau bergoreng, selain menjaga berat badan mampu mengurangkan 20 peratus masalah kolestrol," katanya, menambah penilaian risiko untuk seseorang mengalami penyakit kardiovaskular dalam tempoh 10 tahun akan datang boleh dibuat oleh doktor menerusi kaedah 'Framingham Risk Score'.
 
"Di Hospital Pantai Ayer Keroh, doktor bersedia untuk merangkumi risiko jenis bukan tradisional dalam mentafsir risiko kardiovaskular pelanggan. Salah satu gajet yang digunakan ialah 'Coronary Calcium Score' yang mana kiraannya melibatkan mesin pengimbas 'CT 640 Lembaran' yang mampu menghasilkan imej lebih jelas, cepat serta tepat selain beradiasi rendah.
 
"Penyakit jantung merupakan antara pembunuh utama rakyat negara ini, maka mulakan tekad untuk mengamalkan gaya hidup sihat bagi memastikan jantung sentiasa sihat, bersenamlah sekurang-kurangnya 150 minit seminggu dengan anggaran 30 minit sehari untuk lima hari secara konsisten," tambahnya.
 
Sumber : Astro Awani
 

DIDIK TV KPM tampil kelainan

by


 

DIDIK TV Kementerian Pendidikan (KPM) menampilkan kelainan merangkumi tiga aspek utama bagi mengukuhkan kualiti pembelajaran dan pengajaran.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata saluran khusus yang mula dipancarkan di seluruh negara, berkuat kuasa hari ini itu berbeza dengan slot TV Pendidikan.

Katanya, slot TV pendidikan yang diwujudkan sebelum ini, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac tahun lalu berdepan kekangan masa, sekali gus merencatkan kualiti pembelajaran murid dan pelajar di rumah.

Beliau berkata, saluran DIDIK TV KPM yang mula bersiaran hari ini bakal menjadi ruangan khusus untuk masyarakat mendapatkan input menyeluruh berkaitan dunia pendidikan negara, bermula daripada aspek pengajaran dan pembelajaran (PdP) sehingga program pembangunan sahsiah murid.

"Saluran ini tidak hanya menumpukan kepada pembelajaran kurikulum semata-mata, sebaliknya mempunyai fokus yang lebih menyeluruh dan terangkum.

"Data menunjukkan 95 peratus isi rumah di luar bandar khususnya mempunyai televisyen di rumah, sekali gus membolehkan capaian lebih mudah murid kepada PdP.

"Kita mahu memastikan kandungan bukan sahaja menarik minat murid tapi untuk mereka mendapatkan ilmu merangkumi ilmu kehidupan, ada (slot) didik hibur, program antarabangsa, kemahiran, wartawan kadet untuk mereka tunjukkan bakat dan banyak lagi.

"Kita mahu bawa mereka (pelajar) menjadi sebahagian komuniti didalamnya. Kalau sepanjang hari cerita pasal silibus sekolah, murid akan nampak rigid (bosan) tetapi dengan program lain mereka boleh berasa TV ini sebahagian daripada mereka," katanya dalam temu bual menerusi program Malaysia Hari ini (MHI) di Sri Pentas, di sini hari ini.

Menerusi DIDIK TV KPM, katanya, kementerian dapat menampilkan barisan guru berpengalaman untuk mengajar pelajar dengan kaedah baharu yang lebih menarik dan mudah difahami.

"Kita lihat untuk setiap mata pelajaran mengikut kesesuaian guru dan kaedahnya. Dalam subjek yang agak susah, contohnya Cikgu Rohani mengajar Matematik Tambahan memang berjaya walaupun kita tahu ini subjek sukar.

"Beliau berjaya menjelaskan mengapa begitu dan begini. Konteks memilih guru ini juga kita akan melihat guru yang paling sesuai dengan mata pelajaran yang mahu diajar," katanya.

Radzi mengakui pada awal pengenalan TV Pendidikan, ia melalui tempoh kesukaran dan cabaran tertentu yang akhirnya memerlukan untuk kementerian cepat bertindak dan mencari penyelesaian yang lebih jitu.

"TV Pendidikan pada peringkat awal PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pada 18 Mac tahun lalu, kita wujudkan slot TV Pendidikan yang bersiaran selama dua jam di TV Okey RTM dan Astro.

"Apabila kita laksanakan PKP sekali lagi, ada keperluan mendesak untuk mewujudkan kaedah penyampaian lebih menyeluruh dan dari situ kita kembangkan serta wujudkan saluran khusus, berbanding slot khas sebelum ini," katanya.

Beliau berkata, keputusan melaksanakan DIDIK TV KPM dibuat selepas kementerian melihat keberkesanan slot TV Pendidikan sebelum ini, khususnya kepada murid yang berdepan masalah akses kepada peranti dan internet.

Dalam pada itu, Radzi menjelaskan untuk tempoh awal ini, fokus DIDIK TV KPM akan bertumpu kepada PdP bagi pelajar yang akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula hujung bulan ini.

"Tumpuan kita sekarang ialah bagi anak-anak yang akan mengambil SPM untuk membolehkan mereka membuat persediaan lebih rapi. Ini satu konteks (fokus) yang baik.

"Apabila dilancarkan 'Road To Success' (untuk pelajar SPM), kita lihat ramai guru berkebolehan dan kreatif, ada cara, kaedah dan pendekatan yang boleh menarik minat pelajar dan menyampaikan silibus dengan berkesan," katanya.

Justeru, katanya, bagi memastikan keberkesanan DIDIK TV KPM, peranan dan sokongan semua pihak termasuk ibu bapa amat penting bagi memastikan setiap rakyat mendapat manfaat daripada pendekatan yang dilaksana kerajaan.

DIDIKTV Road To Success SPM (2020): https://www.youtube.com/playlist?list=PLL9CnO8V-9tvp_AF9MyM2eGttS6TjITng

Sumber : Berita Harian

 

 

Larangan rentas daerah, negeri kekal elak penularan COVID-19 - Ismail Sabri

by

 

Pergerakan rentas daerah dan negeri masih tidak dibenarkan kerana ia antara penyumbang peningkatan kes COVID-19.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM) pergerakan rentas negeri dan daerah menjadi penyebab kepada beberapa kawasan yang sebelum ini dikategorikan sebagai zon hijau bertukar zon kuning dan merah.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata KKM pernah merekodkan 11 kluster membabitkan pergerakan rentas negeri.

"Contoh ini dapat dilihat pada Disember lalu apabila kerajaan memberi sedikit kelonggaran, ramai yang melakukan pergerakan rentas negeri seperti balik kampung dan bercuti ke Pulau Langkawi sehingga menyebabkan beberapa kawasan yang sebelum itu dikategorikan zon hijau bertukar merah.

"Malah ada beberapa daerah yang terpaksa dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)," katanya dalam sidang media harian COVID-19 hari ini.

Beliau berkata beberapa daerah yang hijau juga boleh bertukar kuning dan merah sekiranya kebenaran rentas daerah dan negeri dibenarkan.

"Bagaimanapun penelitian laporan dan data dari semasa ke semasa akan dilaksanakan KKM sebelum ia dibentangkan bagi membolehkan keputusan selanjutnya dibuat.

"Buat masa ini harap semua bersabar dan kerajaan akan dapatkan pandangan daripada KKM untuk sebarang perubahan," katanya.

Dalam pada itu, kerajaan memansuhkan larangan pergerakan dalam radius 10 kilometer (km) di seluruh negara bermula esok.

Pergerakan lebih 10km dibenarkan di semua negeri yang dilaksanakan PKP, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ismail Sabri berkata keputusan itu dibuat selepas banyak aktiviti perniagaan diberikan kebenaran untuk beroperasi di seluruh negara.

"Selepas mengambil kita keputusan kerajaan sebelum ini yang membenarkan banyak sektor perniagaan dibenarkan beroperasi jadi adalah tidak relevan untuk kita terus melarang mana-mana pihak bergerak dalam radius 10km," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

PKP 2.0 di Selangor, KL, Johor, P. Pinang disambung hingga 4 Mac 2021

by

 

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang yang dijadualkan tamat pada 18 Feb, akan disambung sehingga 4 Mac depan.

Perkara itu diumumkan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri dalam sidang media pada Selasa.
 
Ismail Sabri berkata, negeri-negeri lain yang di bawah pelaksanaan PKP sebelum ini ditukar status kepada PKP Bersyarat (PKPB), manakala Perlis merupakan satu-satunya negeri dalam negara yang berstatus PKP Pemulihan (PKPP), berkuatkuasa mulai tarikh yang sama.
 
Beliau berkata, perubahan status kawalan pergerakan itu diputuskan selepas penilaian risiko dibentang Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini.
 
“Secara umum KKM maklumkan kes di kebanyakan negeri menunjukkan trend penurunan bermula minggu kelima tahun ini, iaitu selepas dua minggu pelaksanaan PKP 2.0.
 
“KKM juga sahkan trend kes import rentas negeri juga turun mulai 3 Feb lepas. Bagaimanapun, kes masih kekal tinggi di beberapa negeri iaitu di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan PKP.
 
Ismail Sabri juga berkata, sekatan pergerakan melebihi radius 10 kilometer di negeri-negeri terbabit PKP, PKPB dan PKPP juga dibatalkan.
 
 
 

Kerajaan sedia Buku Panduan dan Talian khas jawab isu vaksinasi COVID-19

by

 

 


 

Kerajaan akan menyediakan Buku Panduan dan Talian Khas Program Imunisasi COVID-19 yang bertanggungjawab menjawab sebarang persoalan berkaitan program berkenaan.

Menurut dokumen Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang diterbitkan hari ini, talian itu antara strategi advokasi dan khidmat sokongan bagi membantu masyarakat mengetahui serta memahami perincian serta maklumat mengenai program itu.

Katanya, pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan membabitkan pelbagai pihak, merangkumi usaha advokasi dan khidmat sokongan serta proses vaksinasi di seluruh negara.

"Maklumat Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan boleh diperoleh di laman sesawang rasmi http://vaksincovid.gov.my dan akaun media sosial rasmi, bagi memastikan maklumat serta perkembangan terkini program ini mudah diakses masyarakat," kata dokumen yang diterbitkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).

Selain menguar-uarkan maklumat menerusi talian khas, laman sesawang dan media sosial, usaha advokasi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan turut memanfaatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi capaian komuniti setempat.

Ia berikutan peranan kerajaan negeri dan PBT dalam pelaksanaan program imunisasi itu penting sebagai penghubung kepada komuniti setempat.

"Antara peranan PBT adalah membina keyakinan masyarakat setempat terhadap keselamatan dan keberkesanan vaksin serta membantu urusan logistik di pusat vaksinasi bergerak mengikut keperluan masyarakat," katanya.

Mengulas lanjut, dokumen itu menjelaskan, petugas Kementerian Kesihatan (KKM) akan bekerjasama secara bersepadu dengan pasukan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), anggota keselamatan, kementerian serta agensi kerajaan lain, sektor swasta dan sukarelawan bagi melaksanakan program imunisasi itu.

Selain petugas kesihatan KKM, program imunisasi itu akan turut dibantu petugas kesihatan yang sudah bersara, pelajar perubatan, pergigian dan pelatih jururawat, selain petugas perubatan di sektor swasta serta badan bukan kerajaan (NGO).

Malah, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan juga disokong pelbagai anggota sokongan bukan perubatan bagi memastikan orang awam mendapat perkhidmatan sebaiknya di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

"Ini termasuk badan berkanun, NGO dan pasukan sokongan seperti Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta ribuan sukarelawan bukan perubatan lain yang berperanan membantu orang awam bagi saringan dan pendaftaran di PPV.

"Pendaftaran bagi sukarelawan akan dimaklumkan menerusi laman sesawang http://vaksincovid.gov.my dan akaun media sosial JKJAV," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

TH perkenal kemudahan JomPay

by

 

Lembaga Tabung Haji (TH) memperkenalkan kemudahan pemindahan dana dalam talian, JomPAY sebagai sebahagian daripada usaha ke arah digitalisasi.

Dengan pengenalan tersebut, TH menyediakan lebih banyak ‘touchpoints’ untuk kemudahan para pendepositnya.

Dalam satu kenyataan media, Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mustakim Mohamad berkata melalui JomPay, para pendeposit boleh membuat urusan pemindahan dana secara dalam talian ke dalam akaun simpanan TH pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

“Sebanyak 28 buah bank di Malaysia menyediakan kemudahan ini menerusi platform perbankan internet masing-masing. TH sentiasa berusaha untuk menambah baik perkhidmatan digital kepada para pendepositnya.

“Dengan pengenalan kemudahan JomPAY, urusan para pendeposit dapat dijalankan dengan lebih mudah. Para pendeposit dapat memindahkan dana daripada akaun simpanan atau semasa bank mereka ke akaun simpanan TH melalui platform perbankan internet yang sedia ada,” katanya.

Untuk makluman orang ramai, JomPay Biller Code atau kod bil JomPay bagi simpanan TH adalah 60228 dengan 15-digit nombor Akaun Simpanan TH perlu dimasukkan sebagai Ref-1.

Tambah Mustakim, perkhidmatan baru yang ditawarkan itu tidak dikenakan sebarang kos dan tiada pendaftaran diperlukan.

“Tambahan pula, para pendeposit tidak perlu membuat sebarang pendaftaran untuk menggunakan kemudahan ini dan ia adalah percuma. Dengan kemudahan tambahan ini akan memudahkan lagi para pendeposit untuk berurusan dengan TH.

“Jumlah transaksi pendeposit yang menggunakan kemudahan perbankan internet dan pelbagai saluran dalam talian telah meningkat kepada hampir 80 peratus berbanding transaksi yang dilakukan di kaunter,”katanya. 

Sumber: UTUSAN

Biodata DJ Alin Negeri fm

by

 


Nama sebenar: Azlina binti Kamarudin
Nama DJ: Alin Kamarudin @ Alin Anje
Tarikh lahir: 9 Jun 
Asal: Rantau, Seremban, Negeri Sembilan
Pendidikan :  Ijazah Sarjana Muda (Perhubungan Awam) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.
Tahun berkhidmat: 2012 hingga kini
Segmen: Segar Pagi
Instagram (IG) : alin_kamarudin
 

Cuaca panas hingga April 2021

by

 

Fasa akhir Monsun Timur Laut dengan taburan hujan yang agak rendah menjadi penyebab kepada berlakunya cuaca panas yang dijangka hingga April 2021 ini.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), ia merupakan satu fonemena biasa sepanjang tempoh Februari hingga April setiap tahun.

Kata kenyataan itu lagi, MetMalaysia tidak menjangka keadaan cuaca panas luar biasa akan berlaku pada tahun ini.

Taburan hujan yang rendah dalam tempoh yang lama boleh menyebabkan cuaca agak panas, terutamanya pada waktu malam apabila terdapatnya litupan awan.

Suhu tertinggi bagi bulan Februari tahun ini adalah lebih rendah iaitu 36.2 darjah Celsius berbanding 37.4 darjah Celsius pada tahun lalu yang dicerap di Stesen Meteorologi Kuala Kangsar, Perak.

Tambahnya, keadaan cuaca agak panas yang dialami di kebanyakan kawasan di negara ini dalam tempoh ini dijangka beransur reda bermula pertengahan April ini.

“Semua pihak dinasihatkan supaya mengambil langkah penjimatan dalam penggunaan air.

“Orang ramai juga dinasihatkan mengelakkan aktiviti pembakaran terbuka, mengurangkan aktiviti-aktiviti di luar dan minum air secukupnya.

“MET Malaysia akan sentiasa memantau keadaan cuaca di seluruh negara dan orang ramai disarankan supaya sentiasa peka dengan perubahan cuaca serta mendapatkan maklumat dan amaran cuaca terkini melalui laman web rasmi, aplikasi myCuaca dan media sosial Met Malaysia,” kata kenyataan itu 

Sumber : UTUSAN


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90