Merokok - Makruh atau haram??
Hari ini, para doktor sepakat mengatakan rokok membawa bahaya kepada tubuh badan penghisapnya apalagi penagihnya, atau lebih teruk kepada mereka yang ada dalam majlis perokok, contohnya anak dan isteri atau kawan-
kawan yang tidak merokok. Apatah lagi ibu mengandung yang mendapat kesan kepada bayi dalam kandungan daripada asap rokok bapanya, maka sukar mengatakan rokok itu hukumnya makruh. Apa lagi untuk mengatakan “harus”. Ramai ulama pada hari ini lebih cenderung mengatakan ia haram.
Ada mereka yang menolak hukum haram merokok dengan mengatakan tidak ada nas yang terang atau dalil daripada al-Quran mahu pun al-Sunnah yang mengharamkan rokok. Justeru itu ada guru agama atau imam masjid yang tanpa segan silu, turut merokok.
Jawabnya, memang kita tidak perlu ada nas secara terperinci kerana merokok memang bertentangan dengan kaedah umum dalam Islam yang tidak menyukai perkara yang buruk atau mendatangkan perbuatan yang membawa kemudaratan. Dalam hubungan ini Ibn Hazm yang berpegang kepada mazhab Zahiri, menyatakan apa-apa sahaja makanan yang memudaratkan, maka hukumnya haram. Ini berdasarkan dalil umum di mana Allah menghendaki kita semua melakukan sesuatu yang baik (ihsan). Maka jika perlakuan tidak baik itu memudaratkan, adalah haram.
Merokok bertentangan lagi dengan kaedah umum yang mengatakan ”Tidak boleh melakukan perkara memudaratkan atau kita dimudaratkan”. Jika ternyata para pakar kesihatan mengatakan merokok memudaratkan, maka sahlah ia haram. Sama halnya orang yang meminum racun yang tentunya mudarat, maka ia membawa hukum haram.
Apatah lagi bagi mereka yang tidak mempunyai banyak wang, seperti anak-anak remaja yang hanya mendapat ongkos daripada ibu bapa, bukan sahaja membeli rokok kurang baik, ia memudaratkan kewangan. Membazir namanya. Semua orang tahu bahawa orang yang suka membazir itu saudara syaitan, seperti maksud sebuah hadis Rasulullah SAW. Bagi orang dewasa juga haram membazir wang.
Merosakkan
Menyentuh tentang merokok, ia bukan sahaja merosakkan kesihatan, membazirkan wang, malah daripada segi psikologi orang yang merokok menjadi mengsa ketagihan. Ini satu bentuk kerosakan jiwa di mana penagih akan hidup di bawah tekanan kemahuan merokok. Ada sesetengah orang mengatakan tidak ada idea untuk menulis jika tidak merokok. Dia menjadi malas kerana tidak ada bahan untuk dihisap. Rokok sudah memperhambakan diri orang itu. Malah ada orang sukar berpuasa kerana tidak boleh merokok.
Si perokok yang sudah ada anak isteri, mungkin sanggup mengurangkan perbelanjaan kepada anak-anak atau isteri untuk menyimpan wangnya bagi keperluan membeli rokok apabila ketagih.
Pada masa dahulu ramai orang berpegang mengatakan merokok itu makruh. Ia semata-mata beralasan bau busuk perokok seperti bau busuk makan bawang besar atau bawang putih. Nabi melarang mereka ke masjid jika tidak dibersihkan mulut kerana bimbang mengganggu makmum di sebelahnya. Ini hanya hukum berdasarkan kias ”bau busuk”. Tetapi pada hari ini setelah semua pakar kesihatan melihat rokok itu merbahaya pada segi kesihatan, pakar ekonomi mengatakan negara kerugian jutaan ringgit setahun mengimpot rokok yang tidak berfaedah itu, apakah kita masih mengatakan ianya makruh?
Mungkin ada orang berhujah, mereka yang tidak merokok pun jatuh sakit, atau miskin atau sebagainya. Tetapi apa yang pasti merokok membawa bahaya secara perlahan-lahan, tidak seperti racun biasa yang kesannya cepat dikesan. Anehnya pada hari ini, syarikat rokok sendiri mengiklankan pada kotak rokok bahawa merokok itu membahayakan kesihatan. Kerajaan membelanjakan wang yang banyak dengan kempen ”Tak Nak”, tetapi orang masih ingin merokok.
Jika dalam syariat tidak membenarkan merosakkan lima perkara, jiwa, harta, badan, keturunan dan akal, maka rokok merosakkan jiwa, menghabiskan harta, merosakkan kesihatan anak-anak, malah penagih rokok merosakkan akal ketika tidak merokok. Akal menjadi malas dan jiwa tidak tenang, kata mereka.
Dilihat daripada sudut agama, tidak ada satu alasan pun untuk mengatakan merokok itu baik dan untuk mengatakan merokok tidak membawa apa-apa kemudaratan. Oleh sebab itu ada kecenderungan ulama pada masa kini mengatakan merokok itu haram. Apalagi kepada anak muda remaja yang boleh menjadikan merokok kepada permulaan berlakunya menghisap ganja atau dadah dan sebagainya. Berhenti merokok bermakna menutup pintu kepada dadah. Menutup pintu kejahatan adalah wajib, atau disebut sad al-Zarai`
Bagi anak muda remaja yang merokok seperti penanya, merokok kadangkala untuk memperlihatkan dirinya sudah jadi ”lelaki” atau berlagak ”hero” kerana ramai hero dalam filem merokok pada masa dahulu. Percayalah tidak ada kena mengena langsung di antara merokok dan menjadi hero dalam masyarakat. Malah merokok pada masa kini satu keaiban.
Media sepatutnya memainkan peranan yang lebih kreatif untuk mengiklankan keburukan merokok. Tidak ada gunanya anak-anak remaja kita merokok, malah trend masa sekarang wanita muda pun turut merokok. Apa yang jelas ia memperlihatkan anak-anak muda remaja yang merokok mengurangkan ketinggian moral dan akhlak, khususnya anak muda Melayu beragama Islam.
Satu sahaja seruan saya kepada semua perokok, tidak mengira muda atau tua, remaja atau dewasa, lelaki atau perempuan, berhentilah semua daripada merokok. Semoga kesihatan kita akan bertambah baik dan lebih terjamin, wang kita tidak dibazirkan dan tidak memperlihatkan diri kita kurang akhlak dan kurang bermoral. Apalagi mereka yang menjadi ikon masyarakat, atau guru yang menjadi contoh kepada murid, atau imam yang menjadi contoh kepada makmum dan orang ramai. Tidak perlu lagi polemik makruh atau haram. Apa yang penting merokok itu tidak baik, tidak sunat sama sekali dan tidak pula wajib. Maka adalah baik ditinggalkan sahaja. Wallahualam.