Peristiwa Israk dan Mikraj Nabi Muhammad S.A.W
Erti Mikraj ialah perjalanan Nabi Muhammad s.a.w naik dari alam bawah (bumi) ke alam atas (langit) sampai ke tujuh langit dan selanjutnya sampai ke Sidratul Muntaha, yakni dari Masjidil Aqsa di Palestin naik ke atas melalui beberapa lapisan yang bertingkat, terus menuju Baitul Makmur dan ke Sidratul Muntaha, ke Arasy untuk menerima wahyu Allah yang mengandungi perintah solat lima waktu sehari semalam.
Peristiwa itu berlaku pada tanggal 27 Rejab tahun ketiga sebelum nabi hijrah. Ketika itu nabi sedang tidur di makam Nabi Ismail a.s dekat Kaabah yang diapit oleh dua orang saudaranya bernama Jaafar bin Abi Talib dan Hamzah bin Abu Talib.
Dengan tiba-tiba, datanglah malaikat Jibril membawanya dan membelah dadanya dan dibasuh dengan air zam-zam, lalu diisinya dengan iman dan hikmah, kemudian ditutup kembali.
Pada langit pertama, Nabi s.a.w bertemu dengan Nabi Adam a.s.
Pada langit kedua, Nabi s.a.w bertemu dengan Nabi Isa a.s.
Pada langit ketiga, Nabi s.a.w bertemu dengan Nabi Yusuf a.s.
Pada langit keempat, Nabi s.a.w bertemu dengan Nabi Idris a.s.
Pada langit kelima, Nabi s.a.w bertemu dengan Nabi Harun a.s.
Pada langit keenam, Nabi bertemu dengan Nabi Musa a.s.
Pada langit ketujuh, Nabi bertemu dengan Nabi Ibrahim a.s.
Di langit ketujuh ini Nabi juga diperlihatkan alam ghaib malaikat yang setiap harinya tidak kurang daripada 70,000 malaikat keluar masuk.
Ada keterangan lain menerangkan, Baitul Makmur itu adalah sebuah masjid di langit, yang letaknya setentang searah dengan Kaabah.
Sampai di langit ketujuh ini Nabi terus dibawa ke langit yang lebih atas lagi dengan nama Sidratul Muntaha dan terus ke Mustawa. Di sini Nabi diperlihatkan Sidrah dan gerak geri qalam dalam menulis. Juga Nabi diperlihatkan bentuk ma laikat Jibril dalam bentuk yang sebenarnya.
Selepas Nabi melalui pengalaman mengelilingi planet di ruang angkasa dibukalah hijab atau tabir yang menutupi penglihatan baginda untuk memperkukuhkan iman.
Baginda kemudian berhadapan dan menerima wahyu solat lima waktu yang sebelumnya melalui proses perjuangan pergi balik atas usul Nabi Musa a.s.
Selepas berjaya Rasulullah s.a.w kembali lagi ke Masjidil Haram Makkah dengan selamat dan bersyukur kepada Al lah.
Dalam perjalanan Israk dan Mikraj, Nabi s.a.w diperlihatkan dengan bermacam-macam gambaran sebagai ibadat yang mungkin bermanfaat bagi umat atau generasi berikutnya.