Jenama Proton semakin hebat


Jenama Proton sudah sinonim dengan rakyat kita. Di mana saja di negara ini, hatta di luar bandar sekali pun, kereta keluaran Proton seperti Perdana, Proton Wira, Satria dan Gen-2 dapat dilihat meluncur megah.

Sejarah industri automotif negara bermula dengan pengeluaran kereta Proton Saga sejak dua dekad lalu dan sekali gus terpahat nama Malaysia di persada antarabangsa sebaris dengan jenama kenderaan lain sekelas dengannya.

Perjalanan Malaysia dalam industri automatif juga sudah jauh. Daripada Proton Saga yang dikeluarkan pada 1985, ia terus berkembang dengan lahirnya Proton Wira (1993), Proton Perdana (1994), Satria (1995), Proton Putra (1996), Satria GTi dan Perdana V6 (1997), Proton Waja (2000), Proton Arena (2002), Proton Gen-2 (2004), Proton Savy (2005), Satria Neo (2006), Proton Persona (2007) dan terbaru Proton Saga (2008).

Malah, dengan keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R & D), evolusi industri itu terus bergerak pantas dan sekurang-kurangnya mengeluarkan satu model setiap tahun. Jenama Proton diiktiraf hebat dan sudah menembusi pasaran antarabangsa di 27 negara termasuk United Kingdom, Australia, China, Asean dan Asia Barat.

Namun, masih ada memberikan persepsi berbeza dan mempertikaikan terhadap produk jenama tempatan itu terutama dari segi kualiti dan prestasinya. Sering kali juga kita dengar pelbagai kritikan dan rungutan orang ramai mengenai kereta itu terutama dari segi kualiti.

Bagaimanapun, Pengarah Urusan Proton Holdings Bhd, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Tahir, berkata Proton menghadapi cabaran besar berdepan situasi itu dan sentiasa berusaha untuk memastikan industri berkenaan mampu berdaya saing dengan jenama lain.

Katanya, melihat trend sekarang, keyakinan masyarakat terhadap kenderaan Proton semakin meningkat.

“Bagi kita ia belum cukup memuaskan dan memerlukan lebih banyak usaha. Kita tidak menyatakan ia sudah tamat, sebaliknya menjadikan ia misi berterusan. Jika kualiti perlu diperbaiki, kita perlu lakukan dan semua itu adalah proses yang mesti dilalui. Semua pihak perlu menilai dan bukan merendahkannya.

“Jika dilihat beberapa tahun kebelakangan ini, isu berkaitan seperti prestasi kenderaan dan pengendalian di pusat servis semakin baik dan ada peningkatan. Kereta Proton terkini seperti Saga dan Persona juga jauh lebih baik dan berkualiti.

“Selain itu, kestabilan syarikat juga penting. Kakitangan perlu diberi latihan dan fokus kita adalah untuk memastikan industri ini terus berdaya saing pada masa depan,” katanya.

Syed Zainal Abidin berkata, persepsi orang ramai sekarang tidak saja mengenai kenderaan, malah juga terhadap pusat servis Proton.

Untuk memastikan isu itu tidak berpanjangan, usaha memperbaiki prestasi kenderaan sedang giat dilakukan bagi memastikan perkhidmatan dan etika kakitangannya dipertingkatkan.

Pada masa sama, katanya, Proton akan memberikan latihan kepada kakitangan dan jurujual supaya mereka lebih memahami apa yang penting untuk pelanggan di samping memberi penekanan terhadap budaya serta etika kerja sihat.

“Program juga disediakan supaya mereka mematuhi peraturan ditetapkan, iaitu melalui audit, latihan, memenuhi jadual dan kaedah serta prosedur operasi standard (SOP). Setiap tahun kita juga mempunyai sasaran untuk memastikan semua berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga sentiasa memberi tumpuan kepada perkhidmatan di pusat servis dan tidak teragak-agak mengenakan tindakan sekiranya berlaku sebarang penyelewengan.

Katanya, kereta Proton banyak di jalan raya dan ramai pengguna memilih membuat penyelenggaraan di bawah ‘pokok ceri’ (di luar pusat servis Proton) yang kononnya lebih murah dan cepat.

Bagaimanapun, beliau menganggap tindakan itu sengaja mencari masalah kerana jika berlaku sebarang kerosakan pada kenderaan itu, Proton tidak ada rekod mengenai sebarang kerosakan selepas servis.

“Bagi saya itu tidak adil, mereka pergi ke bengkel luar dan jika ada kerosakan, datang ke Proton, kemudian mengadu kereta keluaran kami tidak bagus.

“Biasanya disebabkan mahu servis murah, ada pengguna pergi ke pusat servis luar yang tidak diiktiraf di pusat kita. Bagi saya, mungkin kita akan berbelanja murah untuk itu, tetapi tempoh jangka masa panjang sebenarnya mahal. Kita perlu memikirkan semua itu supaya seimbang bagi memastikan prestasi kenderaan sentiasa diberi perhatian.

“Oleh itu, saya selalu ingatkan, supaya perlu servis kereta secara berjadual di pusat bertauliah. Kita bukan mahu mengenakan caj yang lebih atau mahal, tetapi kita sentiasa pastikan penggunaan alat ganti asli. Jika di luar ada yang tidak terlatih dan akan lakukan sesuka hati termasuk kemungkinan menggunakan alat ganti palsu,” katanya.

Walau apa juga jenama yang digunakan sekiranya pengguna menghantar di bengkel luar dan bila timbul sesuatu masalah, syarikat terbabit tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerosakan. Sama ada Toyota atau BMW juga tidak ada jaminan jika tidak menggunakan pusat servis bertauliah.

Tetapi sudah menjadi lumrah, orang kita kurang bertolak ansur, suka mengkritik dan tidak yakin dengan kenderaan sendiri dan membanggakan kehebatan kenderaan import sepenuhnya.

Bagaimanapun, melihat trend sekarang, kesedaran orang ramai menggunakan pusat servis Proton semakin meningkat. Mulai tahun lalu, Proton sudah memanjangkan tempoh jaminan belian kepada lima tahun berbanding sebelum ini hanya tiga tahun.

“Ini dilakukan adalah untuk menggalakkan orang ramai datang ke 370 pusat servis Proton di seluruh negara. Ini sekali gus dapat mengekalkan kualiti dan prestasi kenderaan itu seperti sepatutnya.

“Servis yang baik, pasti pelanggan akan datang semula. Kita mahu pastikan pelanggan juga berpuas hati dengan perkhidmatan diberikan,” katanya.

Matlamat Proton untuk terus berada di puncak tidak pernah berganjak dan sejajar itu R & D sebagai satu landasan terbaik supaya mampu berdiri megah kerana tanpanya Proton ‘tidak akan menjadi sesiapa’.

FAKTA NOMBOR:

27 negara - Pasaran Proton

14 model - Kereta sudah dikeluarkan Proton
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url