Penerbangan haji terus dari Kuala Terengganu ke Jeddah

Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) akan melakukan sembilan penerbangan terus ke Jeddah dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini untuk musim haji tahun ini.

Penerbangan itu bakal menampung seramai 3,000 jemaah haji yang sebahagian besar berasal dari negeri Terengganu.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata, dengan pendaratan pertama pesawat Boeing 747- 400 hari ini bermakna LTSM kini telah bersedia digunakan bagi penerbangan terus jemaah haji dari Pantai Timur ke Jeddah dengan penerbangan sulungnya pada 13 Nov ini.

“Pada tahun ini, LTSM akan mengendalikan sebanyak 18 penerbangan pergi dan balik jemaah haji dan bilangan penerbangan itu akan ditingkatkan kepada 20 pada tahun depan.

“Untuk penerbangan terus itu, kerajaan negeri bersedia menampung lebihan kos yang terpaksa ditanggung oleh MAS akibat perubahan operasi penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke LTSM,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani persetujuan peruntukan pengendalian operasi haji 1429 H/2008 M dari LTSM ke Jeddah antara kerajaan negeri dan MAS Berhad serta sambutan pendaratan pertama pesawat B 747-400 di Terminal LTSM di sini hari ini.

Majlis menandatangani itu disempurnakan oleh Penolong Pengurus Besar Haji dan Sewaan Khas Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussein, Pengurus Besar Kanan Hubungan Luar Datuk Kapten Mohd Nawawi Awang bagi pihak MAS Berhad dan Setiusaha Kerajaan Negeri Datuk Mokhtar Nong serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangungan) Datuk Adzlan Mohd Dagang bagi pihak kerajaan negeri.

Ahmad berkata, lebihan kos itu merangkumi perbezaan jarak perjalanan yang melibatkan kos minyak, kos pengangkutan untuk membawa peralatan `ground services equipments’ (GSE) untuk keperluan pendaratan pesawat B747-400 dari KLIA ke LTSM dan kos mobilasi kakitangan serta keperluan logistik MAS.

“Untuk penerbangan terus haji dari LTSM ke Jeddah dan ditambah lagi dengan 10 penerbangan kargo bagi acara World Endurance Championship (WEC) yang akan melibatkan pesawat Airbus dan B 747-400 ini, kerajaan negeri bersedia membiayai kos lebihan sebanyak RM4.7 juta,” katanya.

Sementara itu, seramai 224 penumpang termasuk kumpulan media dan 40 anak-anak yatim dari Terengganu menaiki penerbangan sulung pesawat B747-400 yang berlepas dari KLIA ke LTSM kira-kira pukul 2 petang tadi.

Pesawat itu turut melakukan ’lintas hormat’ hampir 15 minit di ruang udara sekitar kawasan menarik di Kuala Terengganu seperti Masjid Kristal, Pantai Chendering dan Batu Buruk sebelum mendarat kira-kira pukul 3 petang.

Penumpang itu kemudiannya diberi sambutan meriah oleh Ahmad dalam satu majlis dan turut diberikan cenderamata dari kerajaan negeri berupa kain batik selain penghargaan oleh MAS.

— BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url