Diabeties tidak mengenal usia
Malah, diabetes boleh menyerang kanak-kanak tanpa mengira usia, termasuk bayi dan anak-anak kecil yang baru bertatih.
Bilangan kanak-kanak yang menghidap penyakit yang boleh disifatkan sebagai wabak global ini juga semakin menular.
Pertama dan kedua
Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF) menganggarkan bahawa kira-kira 65,000 kanak-kanak bawah umur 15 tahun di seluruh dunia mendapat diabetes jenis pertama setiap tahun.
Kajian juga menunjukkan bahawa penularan diabetes jenis pertama di kalangan kanak-kanak dan remaja meningkat tiga peratus manakala kadar peningkatan di kalangan kanak-kanak prasekolah ialah lima peratus.
Daripada anggaran kira-kira 430,000 kes diabetes jenis pertama di kalangan kanak-kanak, lebih satu perempat daripadanya membabitkan kanak-kanak di rantau Asia Tenggara.
Kes diabetes jenis kedua, yang satu ketika dahulu dianggap sebagai penyakit orang dewasa, kini didapati turut meningkat pada kadar yang membimbangkan di kalangan kanak-kanak dan remaja.
Menurut IDF, di Jepun, bilangan kanak-kanak yang menghidap diabetes jenis kedua telah meningkat dua kali ganda dalam tempoh 20 tahun, menjadikan diabetes jenis kedua lebih kerap dihidapi oleh kanak-kanak Jepun berbanding diabetes jenis pertama.
Trend ini bukan sahaja berlaku di Jepun, kerana diabetes jenis kedua telah menjadi penyakit diabetes yang utama di kalangan kanak-kanak di banyak negara di seluruh dunia.
Semakin ramai
Sehingga kebelakangan ini, satu-satunya jenis diabetes yang sering dihidapi oleh kanak-kanak ialah diabetes jenis pertama.
Diabetes jenis ini dahulunya dikenali sebagai diabetes yang bergantungkan insulin, atau diabetes juvenil, berlaku apabila masalah imuniti badan menyebabkan pankreas tidak boleh mengeluarkan insulin (hormon yang mengawal penyerapan glukosa ke dalam sel) atau hanya mampu mengeluarkan terlalu sedikit insulin. Tanpa suntikan insulin setiap hari, diabetes jenis pertama lazimnya boleh membawa maut.
Diabetes jenis kedua, yang berlaku apabila pankreas tidak dapat mengeluarkan secukup insulin untuk mengatasi rintangan badan terhadap insulin (kerintangan insulin), lebih banyak dihidapi dan di Malaysia biasanya mula berlaku selepas pesakit mencapai usia 30 tahun.
Tetapi sekarang, disebabkan terdapat semakin ramai kanak-kanak di seluruh dunia yang obes dan kurang melakukan aktiviti fizikal, diabetes jenis kedua (dahulunya digelar diabetes tak bergantungkan insulin atau diabetes dewasa), sudah menjadi semakin meluas di kalangan kanak-kanak, bukan sahaja di negara maju, tetapi juga di negara membangun.
Kebanyakan kanak-kanak yang menghidap diabetes jenis kedua mempunyai sejarah keluarga menghidap diabetes.
Hasil penyelidikan menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya 75 peratus kanak-kanak yang menghidap diabetes jenis kedua mempunyai ibu, bapa, abang, atau kakak yang menghidap penyakit tersebut.
Tetapi bukan semua kes berpunca dari gen semata-mata. Faktor lain yang memainkan peranan termasuk obesiti atau berat badan berlebihan, kurang bersenam dan tabiat makan tidak sihat.
Obesiti adalah satu daripada faktor risiko utama bagi diabetes jenis kedua, lebih-lebih lagi apabila lemak badan yang berlebihan berlonggok di sekeliling abdomen.
Kemungkinan kanak-kanak yang baru akil baligh mendapat diabetes jenis kedua juga lebih tinggi berbanding kanak-kanak lebih kecil, kerana kerintangan insulin biasanya meningkat kira-kira 30 peratus semasa akil baligh, mungkin disebabkan kesan hormon tumbesaran.
Jantina juga memainkan peranan, kerana kanak-kanak perempuan lebih cenderung mendapat diabetes jenis kedua berbanding lelaki.
Cenderung terhadap komplikasi
Diabetes jenis kedua di kalangan kanak-kanak menjadi semakin serius disebabkan beberapa komplikasi yang mungkin timbul disebabkan jangka masa menghidapinya yang lebih lama dan juga kelemahan dalam pengurusan diabetes.
Lebih awal kanak-kanak mendapat diabetes, lebih besar kemungkinan mereka mengalami masalah kesihatan jangka panjang, seperti penyakit mata, jantung, saluran darah, saraf dan buah pinggang.
Hasil kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang menghidap diabetes jenis kedua juga akan mengalami komplikasi mikrovaskular dan makrovaskular berkaitan diabetes yang tersebut di atas, sama seperti orang dewasa.
Diabetes juga memberi kesan mental dan fizikal lebih besar kepada kanak-kanak berbanding orang dewasa.
Aktiviti harian mereka akan terganggu disebabkan keperluan mengambil ubat, serta keperluan memantau pengambilan makanan dan aktiviti fizikal harian.
Mereka juga perlu memantau tahap glukosa darah bagi memastikan ia sentiasa di tahap yang bersesuaian, dan ini menyebabkan mereka ada kalanya tidak dapat melakukan banyak aktiviti yang dilakukan oleh rakan sebaya.
Kanak-kanak yang menghidap diabetes jenis pertama juga mungkin tidak mempunyai tenaga untuk memberi tumpuan penuh semasa di sekolah.
Kekurangan tenaga, disertakan dengan kelesuan dan kerengsaan, keperluan untuk mengambil suntikan insulin dan kekerapan ke tandas (bila diabetes tidak dikawal dengan baik) boleh menjejaskan keupayaan mereka untuk belajar dan bercampur gaul dengan rakan-rakan. Ia juga boleh menyebabkan mereka berasa sunyi, terasing dan berbeza daripada kanak-kanak lain.
Amaran gejala diabetes
Kanak-kanak yang menghidap diabetes jenis pertama biasanya mengalami gejala yang jelas (dan mendadak), manakala gejala diabetes jenis kedua mungkin tidak begitu ketara dengan kemungkinan penyakit menular secara perlahan-lahan dalam jangka waktu yang lama.
Sesetengah kanak-kanak yang menghidap diabetes jenis kedua juga langsung tidak menunjukkan sebarang gejala atau tanda.
Namun, gejala berikut mungkin dikesan di kalangan kanak-kanak dengan diabetes:
- Lebih kerap dahaga
- Lebih kerap kencing
- Sentiasa berasa terlalu lapar
- Penurunan berat badan
- Lesu atau bertambah letih
- Kabur penglihatan
- Luka serta kudis lambat sembuh atau kerap mendapat jangkitan
Sesetengah kanak-kanak (terutama sekali kanak-kanak perempuan) yang menghidap diabetes jenis kedua juga mengalami tompok gelap pada kulit leher atau bawah ketiak.
Keadaan ini, yang dinamakan sebagai akantosis nigrikans, mungkin menandakan kerintangan terhadap insulin.
Bagaimanapun, bukan semua kanak-kanak yang menghidap diabetes jenis kedua menunjukkan gejala amaran ini, dan bukan semua orang yang mempunyai tanda ini menghidap diabetes jenis kedua.
Tetapi jika anak anda menunjukkan gejala ini, bawa mereka berjumpa doktor dengan segera kerana pengesanan awal sangat penting.
Jika risiko anak anda mendapat diabetes adalah tinggi, contohnya jika berat badannya berlebihan dan lebih-lebih lagi jika terdapat sejarah diabetes dalam keluarga, sebaik-baiknya bawalah anak anda ke klinik untuk mendapatkan pemeriksaan perubatan.
l Sentiasa berwaspada
Terdapat beberapa sebab diabetes digelar "ibu kepada segala penyakit". Jika diabetes di kalangan kanak-kanak tidak dikesan atau tidak dirawat, ia boleh menyebabkan komplikasi yang mengancam nyawa termasuk serangan jantung dan strok bila mereka dewasa.
Risiko kanak-kanak menjadi mangsa kepada komplikasi penyakit ini akan lebih tinggi jika anak anda mendapat diabetes semasa mereka kecil.
Sungguhpun buat masa ini tidak ada cara yang berkesan untuk mencegah diabetes jenis pertama, hasil kajian menunjukkan bahawa diabetes jenis kedua boleh dicegah atau dilambatkan daripada berlaku.
Anda hanya perlu membantu anak-anak anda mengamalkan gaya hidup sihat dengan menggalakkan mereka menjaga berat badan, membantu mereka memantau diet makanan dan memastikan mereka melakukan aktiviti fizikal atau bersenam dengan secukupnya.
Seandainya anda sendiri ada menghidap diabetes, anda perlu lebih berwaspada kerana risiko anak-anak anda mendapat penyakit ini adalah lebih tinggi.
Bila anda sedar bahawa diabetes tidak mengenal mangsa dan boleh dihidapi anak-anak anda tanpa mengira usia, anda perlu menggalakkan mereka yang tersayang supaya mengamalkan gaya hidup sihat sejak dari kecil. Ini adalah langkah yang sangat penting.

