Top Ad 728x90

Nik Ghazali derma darah 353 kali

Pernahkah anda menderma darah dan berapa kali? Mungkin tidak sekali pun dalam seumur hidup anda dan juga kebanyakan daripada kita atas pelbagai alasan dan membiarkan orang lain melakukannya.

Mungkin ada yang menganggap sumbangan itu remeh-temeh tetapi ia hanya begitu bererti dan bermakna jika kita sendiri dalam keadaan memerlukan demi untuk menyelamatkan nyawa sendiri atau orang yang kita sayangi.

Barulah kita sedari dan menghargai tentang 'wira yang tidak didendang' yang sentiasa menderma tanpa mengenal dan menyedari kepada sesiapa darah yang disumbangkan itu disalurkan.

Mereka termasuklah Nik Ghazali Nik Abu Bakar, 50, yang menderma bukan sekadar sekali dua tetapi sudah melebihi 300 kali yang dilakukan secara rutin, dua kali sebulan sejak 11 tahun lalu.

''Saya mula menderma kali pertama pada tahun 1977 ketika bertugas sebagai anggota tentera di Kem Desa Pahlawan dalam program kempen yang diadakan.

''Sehingga kini saya sudah menderma 353 kali. Saya akan terus melakukannya sehingga mencecah usia yang dihadkan jika kesihatan saya terus mengizinkan," ujar Nik Ghazali.

Beliau merupakan penderma paling banyak yang pernah dicatatkan oleh Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu dan dipercayai juga bagi negeri Kelantan sehingga kini.

Komitmen yang diberikan oleh Nik Ghazali begitu tinggi dan menjadikan sumbangan itu salah kewajipan bagi dirinya di mana setiap dua minggu sekali dia mengunjungi HRPZ II bagi tujuan itu.

Sepanjang tempoh 31 tahun itu, tidak pernah sekali pun darah orang lain dimasukkan ke dalam tubuhnya walaupun pernah mengalami kemalangan jalan raya pada tahun 2002.

''Semasa kemalangan jalan raya, tidak banyak kehilangan darah namun sepanjang tempoh lapan bulan saya gelisah dan apa yang dibuat serba tidak kena kerana tidak dibenarkan menderma," ujarnya ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.

Dilihat dari segi tugasnya sebagai juruukur di Jabatan Ukur dan Pemetaan Kelantan yang memerlukan dia bekerja di luar daerah mungkin akan menyukarkannya. Namun ia tidak menjadi alasan bagi Nik Ghazali.

''Setakat ini, saya masih mampu memenuhi jadual dua kali seminggu mengunjungi HRPZ II tanpa terlepas walau sehari, biar pun ketika bertugas di Gua Musang.

''Bagi saya jarak dan masa bukan penghalang kerana keikhlasan lebih utama kerana saya tidak mempunyai wang ringgit untuk disumbangkan dan hanya ada darah yang bila didermakan, ia tidak luak malah semakin banyak," katanya.

Dia pernah beberapa kali gagal mendermakan darahnya di HRPZ II kerana mengalami tekanan darah tinggi disebabkan keletihan dalam perjalanan yang jauh namun terikat dengan disiplin diri, keesokannya dia datang lagi.

''Tidak ada istilah penat, letih dan macam-macam alasan untuk menguzurkan diri kerana saya mahu terus kekal di kedudukan yang pertama seperti mana sekarang untuk memberi kesedaran kepada orang ramai terutama generasi muda supaya tampil menderma," ujarnya.

Katanya, selepas kali pertama menderma, dia mula menjadikan ia sebahagian daripada rutin setiap tiga bulan sekali kerana ketika itu hospital belum memperkenalkan kaedah aferesis atau pengasingan komponen dalam darah secara automatik menggunakan mesin.

''Menggunakan kaedah lama, saya perlu menunggu 120 hari supaya jumlah sel darah merah yang didermakan terbentuk semula namun melalui kaedah aferesis, ia boleh dilakukan setiap dua minggu sekali

''Melalui kaedah aferesis, hanya plasma dan platelet dalam darah yang didermakan manakala sel darah merah dimasukkan semula ke tubuh.

''Saya sempat menderma sebanyak 117 kali menggunakan kaedah biasa dan bertukar kepada aferesis pada tahun 1997 dan melaluinya saya telah menderma sebanyak 236 kali sehingga minggu lepas," katanya.

Ayah kepada tiga anak ini mengaku, gara-gara rutin yang dilakukan setiap dua minggu, dia pernah dimarahi isteri kerana asyik menderma darah untuk orang lain dan seolah-olah menjadi ketagihan.

''Sebenarnya tidak ada kesan sampingan seperti yang pernah didakwa oleh sesetengah pihak kerana pengalaman selama suku abad menderma, saya tidak pernah mual, pening, naik berat badan atau ketagihan.

''Sebaliknya, saya sentiasa sihat, bertenaga dan tidak menjejaskan tugas malah saya jarang mengalami demam yang teruk," katanya yang turut berminat dalam bidang fotografi.

Beliau berkata, sesiapa sahaja boleh menjadi sepertinya selagi memiliki tubuh badan yang sihat mereka layak menderma tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

''Tampillah menderma kerana kita tidak berhadapan dengan sebarang risiko sebaliknya mampu menyelamatkan nyawa manusia lain.

''Walaupun pihak hospital cuma memberikan cawan atau tuala kecil sebagai cenderamata setiap kali memberi sumbangan, namun saya merasa amat bahagia kerana masih terus diberi peluang untuk berbakti berdasarkan apa yang mampu saya lakukan," ujarnya.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90