Belasungkawa: Ali Alatas diplomat Indonesia disegani masyarakat antarabangsa

Bekas Menteri Luar Indonesia, Ali Alatas yang kembali ke Rahmatullah semalam pada usia 76 tahun selepas seminggu diserang angin ahmar, menjadi pegawai diplomatik tertinggi negaranya ketika republik itu di bawah pimpinan seorang diktator.
Ali Alatas memegang portfolio Menteri Luar dari 1988 hingga 1999 iaitu setahun selepas Presiden Suharto dipaksa melepaskan jawatan berikutan bantahan jalanan prodemokrasi.
Bekas Menteri Luar yang disegani itu juga pernah bertugas sebagai Duta Indonesia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta banyak mempengerusikan dan menyertai seminar antarabangsa dan terbaru bertindak sebagai penasihat kepada Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.
Ali Alatas dilahirkan di Jakarta pada 4 November 1932. Beliau lulusan Akademi Perkhidmatan Luar Negara Indonesia pada 1954, sebelum melanjutkan pengajian di Fakulti Undang-undang Universiti Indonesia pada 1956.
Pada usia lewat belasan tahunnya, Ali Alatas menjadi wartawan untuk akhbar harian Niewsgierf (1952) dan bertugas sebagai editor Aneta News Portal (1953-54). Allahyarham berkerja di Perkhidmatan Luar Indonesia di Jabatan Hal Ehwal Luar di antara 1954 dan 1988.
Beliau yang mengambil alih jawatan Menteri Luar daripada Mochtar Kusumaatmadja pada 1988, banyak menyumbang kepada usaha mengharumkan nama republik yang mempunyai 235 juta penduduk itu, walaupun pemerintahan Suharto ketika itu agak autokratik.
Tugas berkenaan lebih menyulitkan apabila berlaku pembunuhan beramai-ramai pada 1991 di Timor Timur yang ketika itu adalah wilayah Indonesia. Beratus orang awam yang tidak bersenjata dibunuh dalam satu serangan di Santa Cruz yang mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa.
Ali Alatas kemudian berkata, insiden Timor Timur itu adalah 'titik tolak' dalam usaha negaranya untuk mencapai kredibiliti pada peringkat antarabangsa. Insiden itu juga dikatakan melenyapkan sebarang harapan kepada Ali Alatas untuk dipilih sebagai Setiausaha Agung PBB, jawatan berprestij yang pernah dikatakan oleh banyak pihak layak disandangnya.
"Mereka yang menyokong (pencalonan Ali Alatas sebagai Setiausaha Agung) terkejut dengan insiden Timor Timur," beliau memberitahu majalah Tempo pada 2000.
Penjelasan Alatas mengenai insiden berkenaan dalam penulisan bertajuk The pebble in the shoe: The diplomatic struggle for East Timor (Kerikil dalam sepatu: Perjuangan Diplomatik bagi Timur Timor) mencetuskan debat mengenai insiden itu.
Walaupun berkemahiran tinggi sebagai seorang diplomat, Ali Alatas tidak berupaya mewajarkan pembunuhan kejam di Timor Timur, kata Profesor Madya Damien Kingsbury dari Universiti Deakin, Australia.
"Bagaimana gigih beliau mencuba, beliau akan sentiasa menghadapi situasi untuk mewajarkan satu insiden yang dianggap kejam oleh masyarakat antarabangsa," kata Kingsbury seperti dipetik Reuters.
Walaupun tidak lagi memegang jawatan Menteri Luar, Allahyarham terus memainkan peranan penting berhubung isu serantau sehingga kematiannya. Beliau banyak menyumbang dalam membawa puak bertelagah di Kemboja yang dilanda perang saudara pada lewat 1990-an, ke meja rundingan.
Sebagai duta khas PBB, beliau memberi tekanan kepada junta tentera di Myanmar agar membebaskan ikon demokrasi negara berkenaan, Aung San Suu Kyi. Beliau adalah duta khas PBB pertama dibenarkan memasuki Myanmar selepas lebih setahun.
Jurucakap Presiden Indonesia, Dino Patti Djalal, berkata Susilo agak 'sedih dan terperanjat' dengan pemergian Ali Alatas.
"Saya tidak mampu membentangkan semua pencapaiannya, tetapi antaranya ialah apabila beliau bersama-sama kerajaan Perancis membantu menyelesaikan konflik di Kemboja. Namun beliau tidak pernah mendapat penghargaan daripada usaha itu," kata Djalal.
Ali Alatas meninggal dunia semalam di hospital Mount Elizabeth, berikutan serangan jantung. Beliau meninggalkan seorang balu dan tiga anak.
- AP/Reuters/Agensi

