Dell-Celcom tawar mobiliti internet bila-bila masa

INTERNET merupakan sebuah sistem perhubungan global yang begitu efektif buat masa ini. Penciptaannya sebagai sebuah rangkaian yang menyambungkan jutaan komputer di seluruh dunia, jelas membawa perubahan terhadap taraf komunikasi manusia sejagat.
Lebih menariknya, dalam era serba moden ini, Internet semakin menjadi elemen yang penting bagi mengerakkan pelbagai cabang urusan komunikasi termasuk bagi urusan kerja mahupun perniagaan.
Penawaran Internet terhadap golongan tersebut nyata membantu dalam melancarkan segala tugasan dan urusan kerja bagi kumpulan itu daripada pelbagai aspek.
Ini disebabkan Internet memberikan kemudahan untuk berkomunikasi dengan pantas, mudah dan efisien tanpa mengira lokasi dan masa.
Kelebihan tersebut secara tidak langsung memperlihatkan perubahan yang mempengaruhi peningkatan terhadap produktiviti dan juga kelancaran kerja.
Dengan itu, bagi memastikan taraf komunikasi serta pengalaman mobiliti golongan tersebut sentiasa diperluaskan, Celcom (Malaysia) Berhad (Celcom) bersama-sama Dell Malaysia dan Vodafone telah bekerjasama dalam membangunkan siri model komputer riba yang dilengkapi dengan sambungan rangkaian broadband mobil terbina dalam.
Komputer riba tersebut yang disasarkan penggunaannya bagi golongan korporat dan ahli perniagaan itu dikatakan berupaya untuk menyokong segala keperluan kerja selain menawarkan kemudahan mobiliti pada bila-bila masa.
Menurut Naib Presiden Kanan, Perkhidmatan Perniagaan Celcom, Farid Yunus, penawaran tersebut memberikan penyelesaian mudah kepada pelanggan seperti ahli korporat untuk mengakses rangkaian broadband secara meluas.
“Dengan kemudahan penyambungan Celcom broadband menerusi perisian Vodafone yang terbina dalam komputer riba Dell Latitude ini, para pelanggan berupaya untuk melayari Internet berkelajuan tinggi tanpa memerlukan sebarang modem yang disambungkan pada komputer.
“Ini bermakna pengguna mampu untuk mengakses Internet secara terus, pantas dan mudah tanpa mengira masa dan lokasi,’’ katanya ketika di majlis pelancaran komputer tersebut yang diadakan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sehubungan itu, menerusi tawaran baru itu pengguna berpeluang untuk menikmati kemudahan sambungan, liputan yang meluas dan pantas selain mengurangkan kos pemilikan.
Selain itu, prestasi komputer dari segi penjimatan kuasa menggunakan bateri dapat ditingkatkan kerana komputer siri tersebut tidak perlu menjana sebarang perkakas atau modem luaran bagi mendapatkan sambungan broadband.
Di samping itu, Celcom turut merancakkan lagi promosi penawaran komputer riba itu dengan menawarkan pakej khas bagi setiap pembelian yang dibuat.
Menerusi pakej tersebut, para pelanggan hanya perlu membayar caj bulanan sebanyak RM50 bagi enam bulan pertama berbanding kadar normal yang dikenakan pada RM68 sebulan.
Kini komputer riba tersebut yang menampilkan kebanyakan siri E Dell Latitude itu sudah boleh didapati di kedai Blue Cube berhampiran dengan harga runcit yang ditawarkan bermula daripada RM4,399.

