Ekspo kualiti UiTM Dungun
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pamerannya, Gopala Krishnan berkata, ekspo bertemakan UiTM Kampus Lestari itu mencerminkan usaha UiTM untuk mencapai kualiti dan kemesraan alam yang berkekalan.
Menurutnya, ekspo berkenaan merupakan program sempena Minggu Kualiti UiTM yang berlangsung dari 14 hingga 18 Disember ini.
''Hadiah misteri menunggu 200 pengunjung terawal dan pemenang pop kuiz juga akan menerima hadiah menarik," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, ekspo yang bertujuan mempamerkan budaya kualiti UiTM pada umum dijangka menarik kunjungan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang ingin meneroka peluang melanjutkan pelajaran ke universiti itu.
Beliau memberitahu, semua fakulti dan unit dalam UiTM akan membuka gerai pameran termasuk badan korporat seperti Maybank, Celcom dan pengeluar kereta.
Jelasnya, ekspo berkenaan akan dibuka dari pukul 9 pagi hingga 5 petang pada 16 Disember ini dan 9 pagi hingga 1 tengah hari pada keesokan harinya.
Katanya, perkhidmatan bas percuma disediakan kepada pengunjung dari Pusat Perniagaan Sura Gate dan hadapan Pizza Hut ke UiTM melalui Jalan Pantai dan kembali ke Sura Gate melalui Jalan Lapangan Terbang dan Jalan Besar Dungun.

