Harga minyak mentah global terus menjunam
Kontrak hadapan minyak mentah bermutu, 'Light, Sweet' bagi penghantaran Januari ditutup pada AS$40.81 setong di New York Mercantile Exchange (Nymex) awal pagi kelmarin, susut mendadak AS$2.86 setong daripada penutup pada Khamis lalu.
Kontrak New York itu menghampiri paras sokongan psikologi AS$40 apabila merosot ke paras AS$40.50 setong dalam dagangan hariannya, terendah sejak Disember 2004.
Di London, minyak mentah 'Brent North Sea' bagi Januari susut AS$2.54 setong untuk ditutup pada AS$39.74 setong, paras terendah sejak Januari 2005.
Harga minyak menyambung aliran penurunannya selepas Jabatan Buruh AS melaporkan bahawa majikan di negara itu mengurangkan 533,000 pekerjaan pada November, justeru melonjakkan kadar pengangguran kepada 6.7 peratus, kadar tertinggi dalam tempoh 15 tahun sejak Oktober 1993.
Kadar kehilangan pekerjaan adalah yang tertinggi dalam tempoh 34 tahun dan lebih tinggi berbanding jangkaan awal sebanyak 325,000 pekerjaan, justeru, menggambarkan kemelesetan di negara ekonomi terbesar dunia itu adalah lebih teruk dan akan berlarutan melampaui jangkaan.
Harga minyak setakat ini sudah merosot lebih dua pertiga daripada paras tertinggi AS$147 setong yang direkodkan pada 11 Julai lalu, selepas penurunan teruk ekonomi global serta kelemahan permintaan.
"Era peningkatan harga minyak sudah berakhir," kata Phil Flynn dari Alaron Trading.
Harga minyak mentah memulakan minggu lalu pada kedudukan lemah selepas Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (Opec), yang memenuhi 40 peratus permintaan global, menangguhkan keputusannya untuk menurunkan pengeluaran sehingga pertemuan seterusnya pada 17 Disember ini.
Dalam penurunan drastik, harga minyak merosot ke bawah AS$45 setong pada Rabu lalu, paras terendah sejak 2005.
Flynn berkata, lonjakan harga minyak baru-baru ini didorong oleh pertumbuhan pesat ekonomi global, kecairan tinggi dan kemudahan mendapatkan pinjaman, namun situasi itu berakhir dengan krisis kewangan global yang semakin ketara pada September lalu
"Kita kini memasuki era baru harga minyak lebih rendah dan stabil untuk tempoh beberapa tahun akan datang. Ia tidak bermakna tiada sebarang kenaikan pasaran dalam tempoh itu, bagaimanapun urus niaga pasaran akan menjadi agak berbeza berbanding sedekad lalu," katanya.
Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) pada Jumaat lalu merendahkan unjuran permintaan minyak global bagi 2008-2013 kepada purata 1.2 peratus setahun berbanding 1.6 peratus sebelum ini susulan kelembapan ekonomi global.
IEA menjangka permintaan produk minyak meningkat daripada 86.2 juta tong pada 2008 kepada 91.3 juta tong pada 2013.
Ekonomi AS, Zon Eropah, Jepun dan beberapa negara utama lain sudah terjebak dalam kemelesetan dan pelabur kini bimbang mengenai berlaku penurunan permintaan minyak di kalangan negara maju dan kelembapan ekonomi negara baru muncul.
"Berdasarkan keadaan itu, adalah mustahil untuk meramal paras harga minyak sudah mencecah paras terendah. Bagaimanapun, tanpa kemunculan sel bahan api hidrogen yang praktikal menjelang bulan depan, paras terendah minyak mentah semakin hampir," kata John Kilduff di MF Global.
- AFP

