Kehangatan Parlimen Kuala Terengganu
Di mana-mana, mood yang melingkari perbualan masyarakat setempat ialah siapa akan menjadi calon, sama ada bagi Umno, Pas dan bebas, mengisi kekosongan kerusi itu berikutan kematian Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah mengumumkan bahawa penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu diadakan pada 6 Januari dan pengundian pada 17 Januari, menyaksikan tempoh berkempen 11 hari.
Dalam kehangatan menuju hari pengundian, aspek pemilihan calon yang paling mendapat perhatian. Pilihan Raya Umum Ke-12 Mac lalu, memperjelaskan suatu perkara yang menjurus kepada peningkatan tahap kematangan berpolitik rakyat Malaysia. Pemilihan calon sudah menjadi antara faktor penting untuk menentukan sesebuah parti politik menang atau kalah di sesuatu kawasan.
Pengundi sekarang sudah memilih personaliti calon, bukan lagi atas dasar ketaksuban terhadap parti semata-mata. Maka, selepas ini mungkin tidak timbul lagi tanggapan mengatakan 'letak beruk sekali pun, boleh menang' apabila pengundi di sesuatu kawasan atau negeri sudah 'terikat' dengan sesebuah parti politik.
Lantaran itu, pemilihan calon berwibawa dan dekat dengan penduduk tempatan, akan memainkan peranan besar sama ada Barisan Nasional (BN) menerusi Umno yang menang dengan majoriti 628 undi dalam persaingan tiga penjuru di Kuala Terengganu pada Mac lalu dapat terus mengekalkan kerusi itu. Tambahan pula, seperti dikatakan bijak pandai, mengekalkan kemenangan lebih sukar berbanding mencari kemenangan.
Pada pilihan raya kecil 17 Januari depan, SPR akan menggunakan daftar pemilih diwartakan pada 5 Disember iaitu mempunyai 80,229 pengundi di kawasan Parlimen terbabit. Daripada jumlah itu, 88 peratus ialah Melayu, diikuti Cina (11 peratus) dan bakinya kaum lain.
Allahyarham Razali pada Mac lalu, memperoleh 32,562 undi, manakala lawannya Mohamad Sabu yang juga Naib Presiden Pas mendapat 31,934 undi dan seorang nenek yang menjadi calon bebas, Maimum Yusof, 685 undi dan hilang wang pertaruhan.
Parlimen Kuala Terengganu mempunyai empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Wakaf Mempelam (20,573), Bandar (18,953), Ladang (16,777) dan Batu Burok (24,022). Walaupun menguasai kerusi Parlimen, BN hanya berjaya menguasai DUN Bandar melalui calon MCA, Toh Chin Yaw yang menewaskan Dr Abdul Manaf Che Mat dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan majoriti 1,142 undi.
Meskipun pilihan raya kecil itu nanti bukan penentu yang akan mengubah kedudukan kerajaan, ia sedikit sebanyak akan menzahirkan sentimen sokongan rakyat, terutama selepas kemenangan besar Pakatan Rakyat di Permatang Pauh.
Ia juga akan menjadi kayu ukur benarkah dakwaan mengatakan pengaruh pembangkang semakin kuat atau BN kembali kukuh selepas rakyat 'menegurnya' pada pilihan raya umum lalu supaya parti memerintah sejak kemerdekaan itu tidak leka mabuk kuasa.
Seperti dikatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika merasmikan pembukaan Kelompok Industri Plastik Kerteh di Chukai baru-baru ini, BN akan menghadapi pilihan raya kecil itu dengan kekuatan kerana BN semakin kuat di beberapa kawasan dan mempunyai undi mencukupi untuk menang di Kuala Terengganu.
Sehubungan itu, di kalangan anggota Umno Terengganu, antara nama disebut-sebut layak digalas dengan cabaran mengekalkan kerusi Parlimen Kuala Terengganu ialah Ketua Umno bahagian Kuala Terengganu, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh; Ketua Penerangan Umno negeri, Datuk Zubir Embong dan Ketua Sektor Unit Akademik, Jabatan Pelajaran Terengganu, Zuber Embong.
Wan Ahmad Farid dikatakan paling popular kerana mempunyai pengaruh tersendiri di kalangan pengundi, tambahan pula dengan pengalaman sebagai Ketua Umno bahagian selama dua penggal dan Timbalan Menteri Dalam Negeri.
Pilihan raya kecil ini akan menjadi sengit apabila Pas dilaporkan sudah mengatur strategi menurunkan kembali jaguh mereka, Mohamad Sabu. Nama lain yang dijangka dipertaruhkan parti itu ialah Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Mustafa Ali; bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Wan Abdul Mutalib Embong dan Adun Batu Burok sekarang, Dr Syed Azman Syed Nawawi.
Bagaimanapun, bahang saingan pilihan raya kecil itu pasti dapat ditenangkan sedikit jika Maimun atau lebih mesra dipanggil Tok Mun turut kembali beraksi. Beliau menyuarakan minatnya bertanding jika ada mana-mana pihak bermurah hati memperuntukkan dana untuknya berbuat demikian.
Maimun ketika ditemui kelmarin, mahu bertemu saudara maranya secepat mungkin untuk meminta bantuan kewangan bagi membolehkannya meneruskan impian bertanding.
Sudah tentu, jika Maimun yang berusia 89 tahun itu bertanding, saingan akan menjadi lebih menarik kerana pada pilihan raya umum lalu, kita tidak tahu sama ada 685 undi yang diterimanya adalah daripada pengundi atas pagar atau mereka yang benar-benar menyokong manifesto nenek itu untuk memperjuangkan isu alam sekitar.
Semua parti dan calon bertanding juga mesti menunjukkan contoh kepada penyokong dan rakyat dengan menjauhi provokasi melampau atau budaya samseng semata-mata untuk menunjukkan kitalah jaguh kampung. Kematangan berpolitik mestilah didorong oleh kematangan berfikir penyokong dan rakyat untuk melunaskan hak dan tanggungjawab mereka mengundi dan memilih wakil untuk menentukan masa depan mereka.
Ramai berpendapat peluang antara pesaing utama, Umno dan Pas untuk menang adalah 50:50. Sementara Umno mungkin menggunakan isu Pakatan Rakyat sudah menggadaikan maruah Melayu untuk meraih kuasa serta prestasi mantap yang sudah ditunjukkan Allahyarham Razali sebagai sandaran meraih undi, Pas pula dijangka terus mencanangkan isu politik wang dan rasuah dalam Umno dan jentera pentadbiran kerajaan.
Bagaimanapun, melihatkan prestasi semasa Pakatan Rakyat yang memerintah lima negeri dan tindak-tanduk melampau pemimpin pakatan itu memainkan pelbagai isu termasuk sentimen anti-Melayu, ramai pemerhati yakin Kuala Terengganu akan menjadi medan awal menzahirkan pudarnya sokongan rakyat terhadap pembangkang.

