Linda Onn mengamuk di studio!

Suasana kecoh terlihat pada sesi latihan rancangan Sehati Berdansa 2 di Studio 1, Pusat Penyiaran Asia (ABC), Bukit Jalil, kelmarin apabila pengacara Linda Onn yang sedang menghafal skrip tiba-tiba naik angin, terus mengamuk dan kemudian menandang set pentas sehinggakan kakinya berdarah!

Linda berkelakuan demikian sejurus selepas dimarahi penerbit program itu, Norazian Mohd Zahir, apabila dia dikatakan terlambat hadir untuk membuat latihan itu.

Kata Norazian, bukan itu sahaja, sesi latihan Linda pada hari itu juga tidak menjadi membuatkan dia tidak berpuas hati.

Suasana sekeliling yang panas selepas menyaksikan kelakuan pelik Linda, bagaimanapun tiba-tiba menjadi meriah setelah Norazian datang membawa kek yang berlilin sambil diiringi nyanyian lagu 'Selamat Hari Jadi' oleh semua peserta pasangan Sehati Berdansa 2.

Linda yang naik angin pada ketika itu kemudiannya tergamam dan seterusnya ketawa besar selepas menyaksikan semua itu. Ia rupanya drama yang sengaja dibuat-buat untuk kejutan sambutan hari jadi.

'Drama' tersebut turut disaksikan krew bertugas. Linda berkata, dia tidak boleh menahan perasan marahnya apabila tidak semena-mena dimarahi dengan sedemikian rupa.

"Kalau saya naik angin, memang macam tu! Saya dah tak terfikir apa-apa pun sampai menendang set pentas sehingga pendarahan terjadi di bawah kuku kaki saya ini," katanya.

Sementara itu Norazian menjelaskan bahawa dia sengaja merancang gimik tersebut bagi merapatkan lagi hubungan antara mereka yang bertugas selama berminggu-minggu.

"Tak bestlah kalau kami bawa masuk kek dan menyanyi macam biasa. Tak ada drama. Selepas Linda dapat tahu semua itu gimik, dia terus mengeluh... 'hai... kenapalah korang buat aku macam ni...'. Kesian pula tengok dia," kata Norazian.

Suasana menjadi pulih seperti sedia kala selepas itu tetapi semua orang bersimpati dengan kecederaan sebenar yang dialami Linda pada kakinya itu. Linda... Linda... Happy Birthday To You!

- Murai.com.my
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url