Mengenali sejarah makanan
Transisi perkembangan kemajuan dari zaman purba ke zaman millennium turut menyumbang kepada perubahan ketara dalam sistem pemakanan masyarakat di seluruh dunia. Bukan sahaja dari segi perubahan pola pemakanan, bahkan gaya, perkakasan memasak dan peralatan semasa menghadapi meja makan, proses pengawetan makanan serta penyediaan turut mengalami satu ‘kejutan dan peralihan’ mengikut peredaran zaman.
Makanan turut mengalami proses adaptasi daripada makanan yang bukan ruji atau tradisional masyarakat setempat. Ini kerana perpindahan masyarakat, budaya, teknologi dan corak pemakanan.
Namun , ramai yang masih samar-samar lagi mengenai corak pemakanan dan makanan yang kini telah menjadi pengalas perut dan bahan utama yang memberi tenaga untuk meneruskan kehidupan.
Banyak pertanyaan bermain di kepala atau mungkin ramai yang tidak mengendahkannya walaupun untuk mengetahuinya adalah sesuatu yang menarik terutama dalam mengenal asal usul dan sejarah sesuatu kejadian atau teknologi.
Berdasarkan pengetahuan yang cetek itulah, maka pada tahun 1980, di sebuah bangunan lama bekas pejabat pentadbiran pengeluar makanan dunia, Nestle, ditubuhkan sebuah Muzium Makanan Alimentarium bagi memberi penerangan lebih mendalam mengenai transformasi makanan yang terdapat di seluruh dunia.
Terletak di pinggir Tasik Leman, Vevey, Switzerland, kini telah menjadi salah satu lokasi pelancongan yang mesti dikunjungi oleh pelancong ke bandar tersebut. Ditambah pula berhadapan dengan patung pelawak terkenal, Charlie Chaplin dan tugu garpu terbesar di dunia yang tercacak di dalam tasik yang turut menjadi lambang kepada Muzium Pemakanan Alimentarium.
Tidak setakat itu, kedudukannya yang begitu indah dengan pemandangan pergunungan yang bersalji dan deretan kawasan pejalan kaki yang menampilkan panorama pokok-pokok teduhan, sememangnya mengasyikkan.
Muzium Makanan Alimentarium yang dibuka dari Selasa hingga Ahad iaitu dari 10 pagi hingga 6 petang sememangnya mampu mengetengahkan aura perhatian dan semangat seseorang pengunjung untuk mengetahui mengenai sejarah makanan dan corak pemakanan daripada zaman purbakala hingga ke zaman sekarang.
Pegawai Muzium Makanan Alimentarium, Janet Jant berkata, bagi pengunjung yang melawat ke sini pasti teruja melihatkan pelbagai tahap transformasi makanan iaitu daripada pengeluar kepada pengguna, proses pengeluaran, penyediaan dan penggunaan.
Katanya, di sini, terdapat pameran tetap dan pameran sementara yang ditempatkan di bangunan tiga tingkat ini.
‘‘Pameran tetap mempersembahkan makanan dalam konteks sosial ekonomi dan kebudayaan. Ia terbahagi kepada tiga seksyen iaitu saintifik, entnologikal dan sejarah makanan serta pemakanan.
‘‘Memasuki sahaja muzium ini, pengunjung dibawa masuk ke ruang pameran memasak (Cooking) yang mengandungi peralatan dapur moden yang lengkap. Di sini, chef profesional akan mendemonstrasikan kemahiran mereka kepada pengunjung, di samping mempamerkan pelbagai dapur daripada zaman purba sehingga ke penggunaan dapur gas dan elektrik,’’ katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Di bahagian ini juga, pengunjung boleh melihat proses, pemeliharaan dan penyediaan makanan daripada bahan mentah menjadi makanan.
Prosesnya kompleks dan berbeza dari satu tempat ke tempat yang lain dan dari satu abad ke abad yang lain.
Penyediaannya juga tidak asli kerana banyak dipengaruhi oleh individu dan nilai sosial sesuatu kawasan. Justeru, memahami kebudayaan dan sejarah kehidupan sesuatu masyarakat adalah penting.
Beralih kepada bahagian makan (Eating) pula, banyak pertanyaan akan terkeluar apabila membincangkan mengenainya. Apa makanan yang dihidang sewaktu makan malam, bagaimana mengimbangi diet kita, bagaimana tabiat makan berbanding dengan negara lain dan zaman akan datang dan sebagainya.
Perlu ditekankan bahawa, kita makan untuk hidup. Budaya dan agama selalu memain peranan dalam menentukan sama ada sesuatu tumbuhan dan haiwan boleh dimakan atau sebaliknya.
Sehubungan itu, bahagian makan ini mempamerkan hubungan makanan dengan manusia, piramid makanan seimbang dan empat contoh waktu makan di tempat dan benua yang berlainan. Bahagian ini juga memperlihatkan evolusi pinggan mangkuk dan peraturan ketika makan di restoran dan di gerai.
Menuju ke tingkat dua pula, pengunjung akan dibawa ke bahagian pembelian (Purchasing) iaitu permulaan bahan pertanian beralih ke rak pusat membeli belah.
Bahagian ini merangkumi penggunaan, keselamatan makanan, pengeluaran makanan secara tradisi dan industri, pemasaran dan pertanian.
Sesuatu yang menarik untuk diketahui ialah di bahagian penghadaman (Digesting) yang penuh dengan pengembaraan. Di bahagian inilah anda boleh menguji lima deria, menjelajah saluran penghadaman dengan filem tiga dimensi, mengetahui mengenai metabolisme dan analisis tabiat makan.
Adalah tidak lengkap sekiranya tidak berkunjung di Nestle Room, yang berada di tingkat tiga bersebelah dengan ruang pameran sementara.
Ia mengandungi pelbagai cerita menarik semenjak penubuhan Nestle pada tahun 1867 oleh pengasasnya, Henri Nestle.
Beliau bermula dengan mengeluarkan susu pekat untuk bayi iaitu Farine Lactee Nestle, yang dibuat khusus untuk membantu ibu-ibu yang tidak boleh menyusu badan bayi mereka. Pelanggan pertama Nestle ialah bayi yang tidak cukup bulan yang tidak boleh menyusu badan dan alternatif lain. Dari situlah, Nestle berkembang dengan pelbagai produk pengguna sehingga kini diiktiraf sebagai peneraju industri makanan di dunia.
Pengunjung boleh mengetahui sejarah penubuhan, pengiklanan, pembungkusan awal dan cenderamata sejak evolusi penubuhan Nestle.
Hampir separuh pengguna produk Nestle adalah kanak-kanak, justeru bagi memberi maklumat lebih kepada golongan ini mengenai pemakanan, Nestle mewujudkan bahagian Junior untuk kanak-kanak yang berusia enam hingga 12 tahun menjelajah dunia pemakanan.
Junior yang dibuka pada tahun 1995 memberi peluang kepada kanak-kanak mengenal makanan dan pemakanan menerusi permainan interaktif berdasarkan penemuan dan uji kaji
Di bahagian makmal dapur pula, kanak-kanak berpeluang meneroka nutrien makanan dan pemakanan secara praktikal iaitu memasak. Mereka membuat pelbagai jenis makanan dan mengambil bahagian dalam bengkel mengenai perubahan makanan.
Makmal makanan itu boleh memuatkan 12 orang kanak-kanak pada satu-satu masa. Dapur dan semua peralatan direka bagi disesuaikan untuk kanak-kanak. Chef akan membantu kanak-kanak ini menyediakan makanan.
Begitu juga dengan restoran berkomputer yang mendekatkan kanak-kanak dengan kumpulan makanan dan fungsi pemakanan.
Kanak-kanak menyediakan makanannya dengan memilih kad makanan daripada kaunter layan sendiri. Di bar itu, program komputer membantu mereka untuk memilih pelbagai makanan daripada kumpulan makanan berdasarkan penggunaan di dalam tubuh. Sekali gus kanak-kanak mengetahui bagaimana memilih makanan seimbang.
Golongan ini pasti teruja menjelajah terowong penghadaman yang bermula dari gigi kepada perut dengan dibantu dengan animasi dan pertunjukan mengenai organ yang membantu penghadaman makanan yang diambil setiap hari.
Secara kesimpulannya, Muzium Makanan Alimentarium yang mendapat kerjasama daripada Yayasan Nestle ini sesuatu yang bermanfaat bukan sahaja sebagai pusat pelancongan malah rujukan kepada setiap golongan yang ingin mengetahui transformasi makanan sejagat.