Mufti-mufti yang pernah berkhidmat di Selangor
Beliau adalah mufti yang pertama dilantik sebagai Mufti Selangor yang berkhidmat dari tahun 1953 hingga 1968. Sepanjang berkhidmat selama 14 tahun sebagai mufti, beliau banyak mengarang beberapa buah kitab dan risalah yang meliputi pelbagai bidang iaitu akidah, fiqh, usul fiqh dan tasauf.
Antara karya yang terkenal ialah:
(i) Mukhtasar Min Anwar al-Quran Fi Radd Mutanabbi’ Al-Qadiyan (akidah).
Berkenaan karya tersebut di atas turut dibentangkan dalam seminar tersebut yang diberi judul ‘Fatwa Sahib Al- Samahah Hj. Yusof Bin Shahabudin Dalam Mukhtasar Min Anwar al-Quran Fi Radd Mutanabbi’ Al-Qadiyan: Analisis Dari Perspektif Maslahah’.
Kertas kerja tersebut adalah hasil kajian pensyarah Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, UKM iaitu Prof. Madya Mohd. Ridzuan Awang, Muhammad Adib Samsudin dan Noor Lizza Mohamed Said.
Berdasarkan kajian yang dibuat, tujuan penghasilan karya tersebut adalah untuk menjaga kemaslahatan akidah umat yang merupakan objektif paling utama dalam syariat Islam untuk dipelihara.
(ii) Irshad al-Ummah Ila al-Madhahib al-Arba’ah (fiqh)
(iii) Kifayah al-Salik Wa Bulghah al-‘Abid al-Nasik (tasauf)
2. Datuk Seri Utama Diraja Datuk Ghazali Abdullah
Mufti kedua yang dilantik sebagai Mufti Selangor mula berkhidmat dari tahun 1968 hingga 1973. Setelah menamatkan perkhidmatan sebagai mufti, beliau kembali ke negeri kelahiran beliau di Perak dan kemudiannya dilantik sebagai Mufti Perak dari tahun 1977 sehingga 1081.
Oleh yang demikian, beliau dianggap satu-satunya mufti yang pernah dilantik bagi dua buah negeri. Beliau juga menghasilkan karya, antaranya al-Itharah Pada Huraian Hukum-Hukum Zakat dan Fitrah.
3. Datuk Seri Utama Diraja Datuk Md. Salleh Hassan
Beliau adalah mufti ketiga yang mula berkhidmat dari tahun 1974 hingga 1976. Walaupun setelah tamat berkhidmat sebagai mufti, beliau tetap aktif dalam memberi sumbangan ilmu. Antaranya menjadi pakar rujuk dalam ruangan soal jawab agama yang disediakan dalam majalah Utusan Qiblat sekitar tahun 1978.
4. Datuk Seri Utama Diraja Datuk Hassan Omar
Beliau mula berkhidmat sebagai mufti selama sembilan tahun, dari bulan Februari 1976 sehingga Jun 1985. Kembalinya ke rahmatullah pada 13 September 2008 ketika usia 86 tahun, dan dikebumikan di Makam Diraja, Seksyen 5, Selangor.
5. Datuk Seri Utama Diraja Datuk Ishak Baharom
Beliau adalah mufti yang cukup terkenal sebagai seorang ulama yang cukup gigih, berani dan tegas dalam berdakwah. Beliau mula berkhidmat dari tahun 1985 sehingga 1997.
Walaupun tidak bertugas sebagai mufti, namun beliau tetap aktif dalam meneruskan dakwah kepada masyarakat sebagai pendakwah bebas. Beliau kembali ke rahmatullah pada 30 Januari 2008, dan dikebumikan di Kompleks Makam di Raja, Selangor.
6. Datuk Seri Utama Diraja Datuk Setia Mohd. Tamyes Abd Wahid
Beliau adalah Mufti Selangor yang berkhidmat sejak tahun 1998 sehingga kini. Beliau seorang yang aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan dilantik memegang beberapa jawatan penting antaranya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, Ahli Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan banyak lagi.
Beliau juga telah dikurniakan dengan beberapa anugerah sebagai menghargai jasa dan sumbangan beliau, antaranya dianugerahkan Pingat Pekerti Terpilih (PPT) sempena keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Senagor Ke-71 pada tahun 1997 dan pada tahun 2000, dianugerahkan Darjah Dato’ Paduka Mahkota Selangor (DPMS) sempena Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor ke-74.