Pasukan khas SPR pantau kempen di Kuala Terengganu

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yakin dua pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang ditubuhkan dapat memastikan kempen pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari depan bebas isu sensitiviti agama dan kaum.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata pasukan itu diberi kuasa melarang parti yang bertanding menggunakan bahan kempen seperti poster dan banting berbaur perkauman dan agama sepanjang kempen mulai 6 hingga 17 Januari depan.

Beliau berkata, mereka juga boleh melarang ceramah yang diadakan tanpa mendapat permit.

"Anggota pasukan ini ialah pegawai SPR sendiri, pegawai polis berpangkat inspektor ke atas, pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil calon yang bertanding.

"Mereka akan menurunkan serta-merta poster atau banting kempen yang menyentuh isu perkauman dan agama serta bertentangan dengan etika dan peraturan pilihan raya," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Wan Ahmad berkata, anggota pasukan itu juga akan melakukan penyamaran bagi mengesan ceramah pilihan raya yang menyentuh isu sensitif.

SPR menetapkan 6 Januari depan sebagai tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, manakala 17 Januari tarikh mengundi.

Pilihan raya kecil itu diadakan selepas kerusi itu kosong berikutan kematian penyandangnya yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail, 28 November lalu.

Pada pilihan raya umum Mac lalu, Allahyarham menewaskan calon Pas, Mohamad Sabu dan calon Bebas, Maimun Yusof, dalam pertandingan tiga penjuru dengan majoriti 628 undi.

Mengenai kempen pilihan raya menerusi laman web seperti blog, Wan Ahmad berkata, pasukan itu tidak mempunyai kuasa mengambil tindakan tetapi akan bekerjasama dengan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

- Bernama
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url