Peluang BN kekal kerusi tak terjejas
Timbalan Perdana Menteri berkata, rakyat tetap mahukan parti yang dapat membela masa depan mereka.
Berikutan itu, beliau berkata, arahan sudah diberikan kepada BN Terengganu untuk membuat segala persiapan bagi memastikan kerusi Parlimen Kuala Terengganu kekal milik BN.
"Saya tak fikir perbezaan pendapat antara parti komponen menjejaskan peluang BN di Kuala Terengganu kerana rakyat tetap mahukan parti yang boleh membela masa depan mereka.
"Jangan lihat pada BN saja sebab apa yang berlaku dalam BN mendapat liputan lebih dalam media tetapi pada masa sama, keretakan dan kerenggangan juga sudah mula kelihatan dalam parti Pakatan Rakyat.
"Sebenarnya, ketidaksefahaman berlaku dalam Pakatan Rakyat dan mereka turut menghadapi masalah dalaman," kata beliau selepas menyerahkan 179 lembu korban kepada masjid dan surau dalam kawasan Parlimen Pekan, di sini, semalam.
Turut hadir isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan Exco Kerajaan Pahang, Datuk Ishak Muhammad.
Penamaan calon pilihan raya kecil itu pada 6 Januari, manakala pengundian pada 17 Januari.
Najib berkata, Jawatankuasa Pengurusan Umno sudah bertemu Badan Perhubungan Umno Terengganu serta Jawatankuasa Umno bahagian Kuala Terengganu dua hari lalu bagi membincangkan urusan pilihan raya kecil berkenaan.
"Apa yang penting, kita sudah bagi arahan sepatutnya tetapi tidak boleh ceritakan segala-galanya," katanya.
- Berita Harian

