Solat senaman paling berkesan
Persoalannya apakah perlunya senaman ini dan sejauh mana kebaikannya kepada pengamalnya terutama bagi umat Islam? Jika dikatakan senaman ini dapat memberikan kesihatan tubuh badan dan merupakan senaman yang ideal bagi pengamalnya, umat Islam telahpun dianugerahkan oleh Yang Maha Pencipta senaman yang jauh lebih canggih dan ideal iaitu solat.
Hasil kajian sains telah membuktikan solat boleh bertindak sebagai terapi dan senaman yang berkesan bagi merehatkan tubuh badan, melancarkan pernafasan serta aliran darah dan oksigen ke otak ketika sujud yang tidak terdapat dalam amalan senaman lain. Justeru, adalah tidak menjadi keperluan untuk umat Islam yang menjalankan kewajipan solat lima kali sehari untuk bersusah-payah mencari senaman alternatif lain seperti yoga.
Sekiranya ketenangan fikiran yang dicari, solat dan amalan zikir harian adalah lebih terbukti keberkesanannya berbanding kemungkinan yang boleh diperoleh dari amalan yoga. Banyak fakta-fakta menunjukkan betapa ramai cendekiawan, bangsawan, hartawan telah berjaya mendapat ketenangan yang dicari-cari melalui solat, zikir dan sebagainya yang tidak dikecapi oleh mereka selama ini meskipun dilimpahi dengan segala kemewahan dunia dan amalan-amalan spiritual yang lain.
Selain itu, untuk memperoleh tubuh badan yang sentiasa sihat, amalan kesederhanaan dan mengekalkan gaya hidup yang sihat juga penting mana ia bertindak sebagai penawar dan pencegah bagi segala masalah kesihatan untuk umat Islam.
Sejarah juga menunjukkan umat Islam ketika zaman baginda s.a.w adalah bebas daripada masalah kesihatan dan keadaan tersebut ternyata mendatangkan kehairanan dan takjub kepada para tabib dan pengamal perubatan ketika itu. Ketika ditanya apakah rahsia amalan mereka ketika itu, baginda s.a.w menjawab "Kami umat yang hanya makan apabila terasa lapar dan akan berhenti sebelum kenyang".
Ternyata dengan amalan sedemikian dan ditambah lagi dengan kepatuhan umat Islam menjalankan tanggungjawab dengan mendirikan solat, puasa dan amalan zikir harian, sesungguhnya ia kombinasi terbaik bagi umat Islam untuk meningkatkan tahap kesihatan mereka dan dalam masa yang sama memperoleh ketenangan yang dicari. Oleh yang demikian, sebagai umat Islam, mereka tidak perlu mencari alternatif lain seperti amalan yoga yang belum tentu tahap keberkesanannya dan kemungkinan boleh menggugat aqidah pengamalnya.