Tarikan Gunung Angsi
Pendakian menyusuri Sungai Batang Terachi yang bunyi air terjunnya memecah kesunyian hutan selain trek licin untuk sampai ke Gunung Angsi, puncak tertinggi di Hutan Simpan Kekal Angsi, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, cukup mencabar dan menyeronokkan.
Perjalanan hampir empat jam bagi pendaki yang memulakan pendakian melalui Hutan Lipur Ulu Bendul membolehkan kita mengutip pelbagai pengalaman dan pengetahuan sepanjang lapan kilometer itu ke puncak setinggi 825 meter dari aras laut.
Selain bunyi air terjun yang memecah keheningan pagi, ketika penulis bersama dua anak memulakan pendakian tepat jam 7.30 pagi, kicauan burung Merbah, Punai, Punai Tanah dan Murai Batu turut boleh didengar sepanjang pendakian terutama di sepanjang Sungai Batang Terachi, begitu juga bunyi ungka dan riang-riang apabila sampai ke paras 700 meter.
Bagi mereka yang menjadikan pendakian bukit dan gunung sebagai hobi yang menyihatkan, sepatutnya Gunung Angsi yang juga sebahagian tanah tinggi membentuk Banjaran Titiwangsa, menjadi pilihan.
Ini kerana hutan simpan ini mempunyai pakej yang lengkap, iaitu hutan tidak terusik, sungai jenis kelas satu, manakala trek pendakiannya tidak begitu menyukarkan kecuali di beberapa laluan tertentu, pendaki perlu menggunakan tali untuk memanjat dan menuruni bukit curam.
Tentu sekali bagi penggemar fotografi alam semula jadi, lokasi sepanjang pendakian, banyak perkara yang boleh dirakamkan, daripada tumbuhan renek dan mikro; air terjun; kulat di batang pokok reput; kupu-kupu selain haiwan melata dan terbang serta bunga liar turut boleh dijadikan objek untuk dihalakan lensa kamera.
Gunung Angsi sering menjadi pilihan kumpulan pendaki kerana ia terletak tidak jauh dari Seremban dan Kuala Lumpur, malah Hutan Lipur Ulu Bendul yang sering dipenuhi pengunjung untuk bersantai pada hujung minggu dan cuti, menjadikan puncaknya turut popular.
Namun bagi memudahkan pendakian, waktu pagi cukup sesuai untuk memulakan perjalanan kerana ia mengambil masa agak lama terutama bagi mereka kurang stamina dan kali pertama belajar mendaki. Lagi pun, pendaki tidak boleh terlalu lama di puncak, kerana kebiasaannya hujan bukit pada sebelah tengah hari dan petang menyukarkan usaha menuruni trek yang licin dan curam.
Mungkin ramai yang menganggap mendaki gunung atau bukit sesuatu yang mudah, sebenarnya mendaki memerlukan kekuatan dalaman yang jitu, selain keupayaan fizikal dan berwaspada terhadap keselamatan diri. Selain itu, kita perlu mempunyai matlamat tersendiri apabila mendaki dan tidak perlu gopoh untuk `mengejar gunung’ kerana gunung tidak akan lari, sebaliknya kita yang kepenatan sendiri.
Tidak hairanlah dilaporkan, ramai pendaki yang sesat atau terpaksa dipapah keluar dari gunung berkenaan kerana menganggap mendaki gunung, sesuatu yang mudah dan boleh dilakukan secara sambil lewa. Sebagai contoh pada 2005, seramai 57 pendaki menyertai program perkhemahan terkandas lebih tujuh jam di Gunung Angsi, terpaksa minum air sungai selepas bekalan makanan dan minuman dibawa habis.
Begitu juga dua daripada 19 pendaki sesat selama lima jam di hutan berkenaan pada 2003 dan terpaksa diselamatkan pasukan penyelamat.
Dalam pada itu, kajian kumpulan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia sebelum ini menunjukkan Hutan Simpan Kekal Angsi memiliki khazanah alam yang cukup berharga. Penyelidik yang diketuai Prof Datuk Dr Abdul Latiff Mohamad menemui spesies pokok Johanesteysmannia lanceolata - keluarga pokok palma yang kedua ditemui di dunia selepas penemuan pertama di kawasan Empangan Pangsun, Hulu Langat, Selangor.
Tumbuhan dikenali dengan nama Sal, Sang atau Payung di kalangan penduduk tempatan, terutama masyarakat Orang Asli, ditemui melata dalam jumlah banyak, berbanding taburan kecil yang dijumpai sebelum ini. Pengkaji menemui menemui 47 spesis orkid yang merangkumi 27 genus orkid dari famili orchidaceace.
Perjalanan melalui Sungai Batang Terachi mengambil masa lebih sejam, sebelum pendakian turun dan naik bukit melalui legeh air yang lebih mencabar terpaksa dihadapi. Trek mendaki terakhir ke puncak agak curam, pendaki terpaksa menggunakan tali yang disediakan untuk memanjat sebelum sampai.
Akhirnya kira-kira jam 11 pagi, penulis sampai ke puncak yang berkeluasan 50 meter persegi. Cuaca baik membolehkan kami melihat bandar Seremban dari jauh dan beberapa puncak lain berdekatan bersama beberapa pendaki lain yang lebih awal sampai melalui laluan pendakian berhampiran Bukit Putus, jalan Seremban-Kuala Pilah.
Perjalanan menuruni gunung tidak menimbulkan banyak masalah. Selepas berehat, peluang terbuka untuk melepaskan geram ketika mula mendaki, iaitu mandi-manda di kawasan air terjun yang menjadi terapi untuk menghilangkan segala lelah dan kesengsaraan ketika hampir lima jam mendaki.
Jika awal pagi ketika mula mendaki kawasan perkelahan di sungai berkenaan sunyi sepi, apabila pulang, ia dipenuhi riuh rendah mereka yang berkelah, bersuka ria mandi manda dan asap barbeku berkepul memenuhi kawasan itu.
Bagi penggemar kegiatan mendaki gunung, Gunung Angsi, sepatutnya berada dalam kalendar pendakian kerana ia cukup mudah terutama bagi penggemar kegiatan lasak, selain mempunyai prasarana yang diperlukan bagi memudahkan pendakian.
FAKTA: Hutan Simpan Kekal Angsi
Meliputi Hutan Lipur Ulu Bendul, Kuala Pilah terletak kira-kira 20 kilometer dari Seremban.
Diliputi jenis hutan Dipterokarp Pamah iaitu hutan yang berada di kedudukan 750 hingga
1,800 meter dari paras laut.
Gunung Angsi, adalah sebahagian Banjaran Titiwangsa dengan ketinggian 825 meter dari aras laut.
Hutan Lipur Ulu Bendul turut menyediakan kawasan perkhemahan, chalet, gerai makanan
dan prasarana lain yang kini menjadi destinasi pelancongan alam semula jadi utama di Negeri Sembilan.
Ada 100 tapak perkhemahan disediakan bagi mereka yang berminat dengan kegiatan lasak di hutan lipur berkenaan.
Bagi pengunjung yang ingin bermalam, Jabatan Hutan menyediakan 18 chalet sederhana dan murah daripada pelbagai kategori seperti tunggal, berkembar dan VIP.
Gunung Angsi turut terpilih untuk Siri Kembara Negara selain Gunung Jerai, Kedah; Gunung Chenuang, Hulu Langat Selangor dan Gunung Tebu, Terengganu.
Sebagai kawasan riadah dan rekreasi bersama keluarga, Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) membelanjakan RM3 juta bagi membina takungan air yang berfungsi sebagai kolam sepanjang 40 meter dan lebar 10 meter bagi membolehkan orang ramai, terutama kanak-kanak mandi dan berenang.
Tarikan terbaru Hutan Lipur Ulu Bendul ialah Taman Ular Sawa yang dibuka kepada orang ramai Disember tahun lalu dan berjaya menarik perhatian, bukan saja pelancong tempatan, malah dari luar negara melihat pelbagai spesies ular sawa dari seluruh dunia yang dihimpunkan.