Tarikan unik di Alor Gajah

Alor Gajah adalah satu daripada tiga daerah yang terdapat di Melaka. Berbanding dengan Bandaraya Melaka Bersejarah, yang kini berstatus Bandaraya Warisan Dunia, kawasan ini dilihat agak kurang mendapat perhatian pelancong berikutan dikatakan tidak memiliki banyak tarikan.

Namun mungkin ramai tidak tahu, sebenarnya, daerah ini yang juga satu daripada pintu masuk utama ke negeri kelahiran Hang Tuah sama ada menerusi Lebuh Raya Utara Selatan atau Negeri Sembilan, memiliki satu khazanah berharga yang tidak kurang menariknya.

Kolam Air Panas Gadek, kira-kira tujuh kilometer dari pekan Alor Gajah dan 30 kilometer dari Bandaraya Melaka Bersejarah kini menjadi tumpuan terutama pada hujung minggu atau cuti umum. Pengunjungnya bukan saja penduduk tempatan, malah dari luar daerah dan pelancong asing.

Kebanyakan yang datang ini bukan saja ingin melihat sendiri keunikan ciptaan Tuhan itu serta merasai kehangatan air di situ, malah kerana didorong untuk berubat. Difahamkan, air panas di situ yang mempunyai belerang dikatakan boleh menyembuhkan pelbagai penyakit.

Antara pengunjung yang dilihat kerap datang ke situ adalah mereka yang mempunyai masalah penyakit kulit, lemah sendi, angin ahmar, darah tinggi dan lenguh tulang. Tidak dapat dipastikan sejauh mana keberkesanannya, namun berdasarkan maklum balas diterima dari pengunjung, kebanyakannya mengatakan ia mujarab.

Pada sekitar 1970-an, kolam air panas ini hanya menjadi tumpuan penduduk Kampung Gadek untuk mandi-manda atau membasuh pakaian. Orang ramai yang berulang-alik dari bandar Alor Gajah ke Tampin juga boleh melihat petani setempat datang ke situ untuk membersih diri selepas mengerjakan sawah padi kolam itu.

Menyedari akan potensi ini sebagai produk pelancongan, kerajaan Melaka menerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) mengambil inisiatif membangunkannya agar ia lebih lebih selesa dikunjungi dan sesuai menjadi tempat bermandi-manda.

Bagi memantapkan lagi kedudukannya, tempat ini juga diberi nama baru iaitu Kompleks Ayer Panas Gadek (KAPG), manakala pengurusannya pula diswastakan dan beroperasi selama 24 jam.

Selepas proses penaik taraf, sebanyak 11 kolam dibina termasuk tiga kolam khusus bagi menempatkan sumber air panas semula jadi itu, manakala lapan lagi kolam bagi menampung air yang sudah ditapis untuk digunakan pengunjung.

Turut disediakan bilik bagi kemudahan pengunjung yang hendak menukar pakaian, selain tiga wakaf bersama dengan enam meja dan kerusi rehat. Terdapat juga gerai makanan dan kawasan taman permainan untuk kanak-kanak.

Pengusaha KAPG, Aziz Hamid berkata, pada masa ini pihaknya mengenakan yuran masuk kepada pengunjung iaitu RM4 bagi dewasa dan RM2 bagi kanak-kanak, berusia enam hingga 12 tahun.

Katanya, kawasan berkenaan sentiasa menjadi pilihan serta tumpuan ramai terutama pada hujung minggu dan cuti sekolah seperti sekarang.

"Pengunjung ke kawasan ini bukan saja dari sekitar Melaka, malah sejauh Johor, Negeri Sembilan, Perak, Kuala Lumpur dan Selangor. Ada yang saja datang untuk menikmati kehangatan air panas di sini dan ada juga kerana kononnya hendak mengubati penyakit kulit.

"Paling ramai pada hujung minggu atau cuti umum. Macam sekarang ketika cuti sekolah, bilangannya semakin bertambah sampai kadang-kadang macam tak ada tempat untuk mereka mandi sebab semua kolam sudah dipenuhi," katanya.

Aziz berkata bagi menampung kedatangan pelancong yang kian meningkat, pihaknya sedang menaik taraf pelbagai kemudahan supaya ia terus memberi keselesaan.

Katanya, kerja menaik taraf itu menerusi projek pembangunan Fasa II bermula sejak 1 Oktober tahun lalu dengan kos dianggarkan berjumlah RM3 juta sudah mencapai lebih 70 peratus dan dijangka siap sepenuhnya awal tahun depan.

Antara kemudahan baru itu adalah dua kolam renang air panas untuk kanak-kanak, lima wakaf dilengkapi tempat merendam kaki di sekelilingnya, tiga kedai menjual cenderamata, lima gerai menjual makanan ringan dan juga sebuah restoran.

"Malah, sebuah pintu gerbang baru dan juga dua air pancut turut dibina di pintu masuk bagi meningkatkan keceriaan di kawasan itu. Apabila siap nanti, kami menjangkakan setiap hari lebih 700 pengunjung akan datang untuk mandi manda di sini berbanding antara 300 hingga 400 orang sehari ketika ini," katanya.

Dalam pada itu, tinjauan mendapati ramai pengunjung ke kawasan ini datang dengan keluarga masing-masing sambil berkelah. Ada juga yang dilihat membawa sejumlah botol, dipercayai berisi air panas dari kompleks ini bagi tujuan berubat.

FAKTA
Kolam Air Panas Gadek

Jarak dari Bandaraya Melaka adalah sejauh 30 km

Menggunakan Lebuh AMJ atau Lebuh Ayer Keroh-Durian Tunggal

Kemudahan bas juga disediakan. Sekiranya datang dari Melaka Sentral, pengunjung boleh menaiki perkhidmatan bas awam Tai Lye Sdn Bhd atau Salira Sdn Bhd.

Maklumat lanjut hubungi 06-5549584
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url