Wanita 20-39 tahun hidap HIV meningkat

Penghidap HIV semakin meningkat di kalangan wanita berusia antara 20 hingga 39 tahun di Malaysia dengan penyebab utamanya ialah mengamalkan seks bebas.

Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai berkata, tahun lalu, sebanyak 16.3 peratus daripada penghidap HIV di negara ini adalah wanita berbanding 5.02 peratus pada tahun 1997.

''Sehingga akhir 2007, sebanyak 80,938 kes jangkitan HIV dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan dan daripada jumlah itu, 16.3 peratus atau 13,192 penghidap adalah wanita.

''Daripada 13,192 wanita yang dijangkiti HIV di negara ini, 75 peratus berusia antara 20 hingga 39 tahun, 70 peratus mendapat HIV melalui seks bebas, 60 peratus merupakan wanita yang sudah berkahwin dan 40 peratus daripada mereka adalah suri rumah,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Sambutan Hari AIDS Sedunia 2008 Peringkat Antarabangsa di Hotel Sunway Resort di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan bahawa bukan semua wanita yang dijangkiti HIV adalah pengamal seks bebas kerana berkemungkinan ada yang mendapat jangkitan HIV daripada suami.

''Kebanyakan wanita yang dijangkiti HIV ini tidak mempunyai pengetahuan atau kesedaran tentang HIV atau AIDS,'' jelasnya sambil menambah kerajaan sudah menjalankan langkah-langkah mencegah HIV melalui pemberian jarum suntikan kepada penagih dadah.

''Kerajaan kini memberi perhatian serius kepada masalah jangkitan HIV melalui amalan seks bebas. Satu jawatankuasa sudah dibentuk dan dijangka membentangkan hasil kajian mereka pada April tahun depan,'' katanya.

Tiong Lai menambah, jawatankuasa berkenaan akan mengkaji cadangan dan strategi daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam melindungi wanita daripada dijangkiti HIV dan AIDS.

Beliau turut menyeru masyarakat supaya menyahut seruan Kementerian Kesihatan untuk membuat saringan bagi memastikan sama ada mereka HIV positif atau negatif terutamanya golongan berisiko tinggi.

''Jika saringan mendapati seseorang itu HIV positif Kementerian Kesihatan boleh memberi bantuan perubatan secara percuma,'' katanya.

Mengenai jangkitan HIV secara umum di Malaysia, Tiong Lai menjelaskan, pada tahun 2002, 6,978 kes dilaporkan atau 28.5 kes bagi setiap 100,000 penduduk.

''Namun, pada tahun 2003, laporan jangkitan HIV semakin menurun dan bagi 2008, berkemungkinan seramai 3,452 jangkitan HIV dikesan atau 12.8 kes bagi setiap 100,000 penduduk,'' katanya.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url