Waris pesara kerajaan dibayar pencen penuh seumur hidup

Pindaan Akta Pencen 1980 membolehkan 141,116 penerima pencen yang terdiri daripada balu, duda atau anak pesara kerajaan, menerima bayaran penuh pencen terbitan seumur hidup mereka.

Pada masa ini, penerima pencen berkenaan menerima bayaran yang dikurangkan kepada 70 peratus selepas tempoh 12 tahun enam bulan daripada tarikh persaraan atau kematian dalam perkhidmatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, ia sebahagian daripada empat pindaan yang melibatkan tambahan hampir RM1 bilion dalam perbelanjaan kerajaan pada 2009.

Katanya, pembayaran itu akan membabitkan peruntukan tambahan RM316 juta namun dasar baru itu dibuat berasaskan pertimbangan bahawa pencen adalah gaji tertunggak iaitu gaji yang dibayar dalam bentuk pencen semasa persaraan.

''Dengan kemampuan kewangan kerajaan ketika ini, dirasakan wajar bagi waris menerima pencen terbitan daripada perkhidmatan gemulah tanpa ada sebarang unsur susutan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan rang undang-undang meminda Akta Pencen 1980 untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Rang undang-undang itu membabitkan empat pindaan utama membabitkan dasar-dasar baru yang dicadang dikuatkuasakan mulai 1 Januari ini.

Pindaan itu juga mencadangkan pengiraan semula pencen mengikut formula berdasarkan tempoh perkhidmatan maksimum 30 tahun atau 360 bulan bagi semua pesara. Pada masa ini, tempoh maksimum pengiraan pencen adalah 25 tahun atau 300 bulan.

Menurut Nazri, tambahan lima tahun itu adalah bagi menyahut seruan pesara yang mahu tempoh perkhidmatan sebenar mereka diambil kira dalam pengiraan pencen.

Katanya, dasar itu merangkumi pesara dan penerima pencen yang telah bersara sebelum 1 Januari 2009 dan membabitkan 115,000 pesara dan penerima pencen serta peruntukan tambahan RM718 juta.

''Kerajaan mencadangkan pemansuhan syarat pemastautin di Malaysia bagi pemberian pencen terbitan melebihi tempoh 12 tahun enam bulan dan pemberian penyelarasan pencen berkuat kuasa 1 Januari lalu.

''Ia diputuskan setelah mengambil kira bahawa ramai pesara dan penerima pencen berhijrah dan tinggal di luar negara bersama anak atau cucu selain ada yang memulakan kerjaya baru di negara lain selepas persaraan," katanya.

Dengan pindaan itu, bermakna pesara dan penerima pencen terbitan akan dapat menikmati bayaran pencen mereka di mana juga mereka berada atau bermastautin.

Pada masa ini, seramai 657 balu atau duda bermastautin di luar Malaysia dan telah berhenti menerima pencen terbitan manakala 1,332 pesara yang tinggal di luar negara menerima pencen asal iaitu tanpa penyelarasan.

Pemberian semula pencen terbitan kepada penerima berkenaan melibatkan perbelanjaan tambahan RM8 juta setahun dan RM24 juta setahun bagi bayaran pelarasan pencen pesara yang berada di luar negara.

Nazri berkata, pindaan Akta Pencen 1980 juga membolehkan kakitangan awam yang memilih skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diberi peluang kembali menyertai skim pencen dalam tempoh sebulan mulai 1 Januari 2009.

''Pemilihan skim pencen akan mengurangkan beban kewangan kerajaan bagi caruman KWSP dan ia diimbangi dengan tambahan perbelanjaan bayaran ganjaran dan pencen pada masa hadapan," katanya.

- Utusan
Next Post Previous Post
1 Comments
  • Tanpa Nama
    Tanpa Nama Ahad, 12 Julai 2015 pada 12:12:00 PTG SGT

    BAGAIMANAKAH DENGAN KAKITANGAN BERSTATUS BUJANG... ADAKAH ANAK ANGKAT LAYAK MENERIMA DUIT PENCEN SEUMUR HIDUP? ADAKAH PERLU DIREKODKAN NAMA PEWARIS DI DALAM BUKU PERKHIDMATAN
    ?

Add Comment
comment url