Ditindih atau paralisis?

Ramai yang kata ternampak ‘benda’ tertentu yang menindih tubuh mereka hingga tidak boleh bergerak. Adakah itu sekadar cerita rekaan kerana tidak tahu hendak menghuraikan fenomena lumpuh sementara?

Rakan lama saya ini, Azam, sudah lama mengajak untuk bertemu. Katanya ada hal penting. Dia hendak mengadu tentang sesuatu yang mengganggu dirinya di rumah yang baru dua minggu disewanya di Gombak.

Katanya, rumah dua bilik yang disewa itu ‘keras’ dan dia sering diganggu ketika tidur. ‘Lembaga yang rupanya tidak jelas itu’ (seperti yang digambarkannya) akan menekan tubuhnya kuat di atas katil dan dia tidak boleh bergerak langsung. Hendak menjerit pun adakalanya tidak keluar suara.

“Banyak kali jadi macam tu. Aku tau ada ‘benda’ yang tinggal dalam rumah tu. Tapi sekarang aku dah tak takut. Cuma susah la. Aku asyik mengantuk di pejabat sebab tak cukup tidur,” ujar Azam, masih cuba berlagak berani.

‘Ah! Dari zaman asrama sampai dah umur 30, lagi-lagi cerita yang sama.’ Bisik hati saya.

Saya pun pernah mengalami kejadian yang sama, tapi tidaklah taksub sangat dengan menokok tambah cerita itu dengan kisah ‘tangan halimunan’ yang merayap di seluruh badan (seperti yang bersungguh-sungguh didakwanya).

“Betul! Aku rasa ada roh yang tak tenteram terperangkap dalam rumah tu,” sambung Azam. Malas hendak berhujah, anak mata hitam saya terus mencari langit.

Hinggalah saya mendengar penjelasan seorang rakan, Dr. Harris, yang mengulas tentang perkara tersebut dari sudut saintifik perubatan melalui penulisan dalam blog peribadinya. Nah Azam, cuba baca ini!

Sebenarnya apa yang berlaku itu merupakan fenomena paralisis tidur. Ia merujuk kepada suatu tempoh singkat yang membuatkan seseorang tidak dapat membuat pergerakan mana-mana bahagian badan ketika baru memasuki fasa hendak tidur (hipnogogik atau predormital), atau ketika hendak sedar daripada tidur (hipnopompik atau posdormital).

Apakah simptom-simptomnya? Lazimnya seseorang akan mengadu hilang upaya gerak anggota tangan atau kaki ketika baru mula tidur atau hendak sedar. Berlaku juga episod singkat paralisis otot skeletal, sama ada sebahagian atau sepenuhnya. Ia biasanya dikaitkan dengan halusinasi hipnogogik atau aktiviti otak yang mencetus situasi seperti mimpi.

Paralisis tidur selalunya dikaitkan dengan narkolepsi, iaitu gangguan neurologikal yang membuatkan seseorang mengalami rasa mengantuk yang ekstrem lalu boleh tertidur secara tiba-tiba. Namun begitu, ada orang yang mengalami paralisis ini tanpa menunjukkan petanda narkolepsi.

Antara penyebab paralisis tidur ini adalah seperti tidur dalam posisi terlentang terlalu lama, jadual tidur yang tidak menentu, tidak cukup tidur dan istirehat, stres dan juga pertukaran gaya hidup secara mendadak (misalnya peralihan daripada mod rehat kepada aktiviti ekstrem secara mengejut).

Dalam kes halusinasi hipnogogik tertentu, seseorang akan merasa seperti ada orang lain di dalam bilik tidur mereka. Ada juga yang trauma apabila menyangka ada ‘sesuatu’ yang duduk di atas dada hingga menyukarkan pernafasan.

Sejak berkurun, ia terjadi pada manusia dan dipanggil Fenomena Hag. Walaupun kesannya menimbulkan keresahan dan ketakutan, tiada risiko atau ancaman fizikal boleh berlaku.

Dalam dunia ini memang ada makhluk lain di dimensi yang tidak dapat ditembusi mata kasar kita. Tetapi janganlah kita jadikan ia satu-satunya alasan bagi setiap kejadian yang tidak dapat dihuraikan.
Next Post Previous Post
2 Comments
  • Tanpa Nama
    Tanpa Nama Rabu, 18 Februari 2009 pada 8:04:00 PG SGT

    Kpd sesiapa yg mengalami insiden tindih sebegini, SILA AZAN SEKUAT HATI. Kalau tidak boleh bersuara, azan sahaja di dalam hati (minda) tetapi dengan bersungguh-sungguh. Insya'allah jin kafir akan lari.

  • Tanpa Nama
    Tanpa Nama Rabu, 18 Februari 2009 pada 8:34:00 PG SGT

    tak sure la bro..tak penah kena.tapi dulu2 mase kecik ade la rase macam susah nak gerak badan,tgn kaki..nak suare pun tak bole tapi sebab mase tu aktif sangat.kurang makan tapi sport tak ingat..bile jadi macam tu pikir tak cukup rehat je kot.
    tapi sekarang ramai lak citer bukan2..kene hempap la.kene tindih la.kadang2 saje seloroh antu tu nak tdo berteman je.hahahhaha..
    yg penting ingat tuhan banyak2.jgn lupe mengaji pas solat..mana2 yg sempat la.tapi jgn tinggal langsung.insyaallah kita di lindungi.aminn

Add Comment
comment url