Dua ADUN PKR letak jawatan, pilihan raya kecil dalam masa 60 hari


Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak dari KeADILan yang didakwa "hilang" dan "tidak dapat dihubungi" sejak lima hari lalu, telah meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat berkuat kuasa hari ini dan pilihan raya kecil dijangka berlaku dalam masa 60 hari.

Kedua-dua Adun berkenaan ialah Jamaluddin Mat Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering).

Jamaluddin, 52, adalah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi, Pertanian dan Perladangan manakala Osman, 57, pula pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Insan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan.

Sebelum ini kedua-dua mereka menghadapi tuduhan rasuah melibatkan kelulusan sebuah projek pembangunan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar dan perbicaraan kes berkenaan akan didengar di Mahkamah Sesyen pada 10 Februari ini.

Ia dinyatakan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V. Sivakumar di Ipoh pukul 5.45 petang tadi kepada mstar online dan kata beliau, kedua-dua mereka menghantar surat menggariskan keputusan itu menerusi faks yang dihantar ke rumahnya.

"Kedua-dua Mohd. Osman dan Jamaluddin meletakkan jawatan sebagai ADUN berkuat kuasa serta-merta dan saya menerima peletakan jawatan mereka di bawah Perkara XXXV Perlembagaan Negeri.

"Sebagai Speaker, saya akan mengumumkan kedua-dua kerusi N14 Changkat Jering dan N59 Behrang kosong secepat yang mungkin," kata beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Speaker akan memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara rasmi esok.

Pakatan Rakyat mempunyai 32 anggota Dewan Undangan Negeri termasuk Adun Bota, Dato' Nasarudin Hashim yang menyertai KeADILan minggu lepas manakala BN dianggotai 27 wakil dan walaupun dua Adun KeADILan berkenaan keluar, kerajaan negeri masih mempunyai majoriti satu kerusi.

Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin ketika dihubungi mStar Online berkata, pihaknya sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan akan meminta supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya.

"Sah kedua-dua mereka (ADUN) letak jawatan... saya telah dimaklumkan mengenainya sebentar tadi," katanya.

- mStar Online
Next Post Previous Post
3 Comments
  • SHADAN HJ OTHMAN
    SHADAN HJ OTHMAN Ahad, 1 Februari 2009 pada 10:34:00 PTG SGT

    salam,
    saya difahamkan bahawa perletakan jawatan beliau adalah permainan politik pkr dan sebenarnya adun tersebut ingin melompat parti pada bn dan adun tersebut tidak meletakkan jawatan.kita tunggu hingga esok berita terbaru...salam perjuangan

  • Tanpa Nama
    Tanpa Nama Ahad, 1 Februari 2009 pada 11:18:00 PTG SGT

    Syabas buat Adun-Adun PAS di Perak yang tidak goyah tetapi anda juga tidak akan terlepas dari sogokan dan godaan dunia dari BN. Kuatkan iman, perjuangan kita untuk Allah dan Rasul. Kemewahan dunia terlalu kerdil dan tidak bermakna apa-apa di sisi Allah SWT.

  • SHADAN HJ OTHMAN
    SHADAN HJ OTHMAN Isnin, 2 Februari 2009 pada 9:08:00 PG SGT

    apa pulak pemimpin PAS tak goyah...tunggu dan lihat lah ada lagi satu pemimpin PAS akan lompat masuk BN.ini merupakan daulat istana kerana sultan murka diatas pemberian tanah 999 tahun...

Add Comment
comment url