Isu Semasa Di Perak: Perangai 'lompat parti tidak jujur'
Saya pada prinsipnya tidak dapat menerima perangai ‘lompat parti’ kerana itu adalah sikap yang tidak telus dan jujur terhadap undi rakyat.
Sesiapa mahu tukar parti setelah dipilih, sepatutnya meletak jawatan dan bertanding semula. Serahkan semula amanah tersebut kepada rakyat. Rakyat ketika mengundi meluahkan hasrat mereka, dan itu tidak boleh diubah sewenang-wenangnya.
Cuma ada beberapa perkara yang berlegar dalam fikiran saya tentang keadaan Perak;
1. Jika perbuatan melompat itu tidak dapat diterima oleh sesetengah pihak, sepatutnya ketika isu lompat parti pada 16 September 2008 diuar-uarkan sikap yang sama ditunjukkan. Pendirian yang istiqamah atas prinsip itu hendaklah ditunjukkan dalam semua keadaan. Apakah bantahan isu Perak ini memang benar-benar atas prinsip atau semangat kepartian semata?
2. Tokoh agama Perak yang terkenal, Datuk Seri Harussani Zakaria adalah seorang mufti terkenal, juga tokoh kepercayaan PAS sendiri. Beliau mengepalai upacara membaca doa perlantikan MB baru, YB Datuk Dr Zamry. Adakah kemungkinan beliau telah melihat berbagai aspek isu tersebut, terutama dari segi agama. Maka saya kira mungkin orang PAS patut merujuk kepada Sahibus Samahah DS Harussani terlebih dahulu sebelum membantah keputusan Sultan Perak itu di sudut agama terutamanya. Mungkin ada perkara yang beliau lebih maklum, sebagai ‘orang lama’ Perak. Apatahlagi, beliau selama itu amat diyakini oleh orang PAS sendiri.
3. Beberapa pihak menyatakan YB DS Nizar sebenarnya hanyalah ‘boneka DAP’. Saya sendiri diberikan berbagai maklumbalas oleh pihak yang tiada kaitan politik. Kononnya, apa yang dilaksanakan di Perak adalah keputusan mesyuarat exco yang didominasi oleh DAP yang menumpukan kepentingan kepada kaum tertentu.
Isu pemberian tanah kepada masyarakat cina umpamanya dibangkitkan. Dakwaan ini bukan sebarangan, sebab pihak Istana Perak sendiri seakan memberi isyarat kerunsingan tentang kedudukan ‘orang Islam’ di Perak. Dakwaan ini perlu dikaji dengan cermat dan teliti tanpa emosi. Apakah benar atau sebaliknya?
4. Dari segi kepentingan umat, tanpa mengira parti, kita perlu menilai; manakah kepimpinan Kerajaan Perak yang lebih bermanfaat dan kurang mudarat kepada umat dan rakyat? Manakah pula yang akan membahayakan masa depan umat? Ini perlu dilihat dengan teliti.
Maka saya dengan ini menangguhkan dahulu mengulas isu pergelutan politik di Perak, sehingga persoalan-persoalan ini jelas kepada saya. Saya sama seperti orang lain, dari jauh sedang memerhati isu ini.