Top Ad 728x90

Jaringan Keselamatan Sosial untuk rakyat miskin

Kesukaran yang dihadapi oleh golongan berpendapatan rendah dan kurang bernasib baik, berikutan daripada kenaikan kos sara hidup, memang telah sedia maklum oleh semua pihak.

Pelbagai usaha telah dijalankan oleh pihak sama ada swasta, NGO dan kerajaan dalam usaha mengurangkan beban golongan berkenaan dalam menghadapi situasi ini.

Malahan usaha mengurangkan kesan kenaikan kos sara hidup bagi golongan tersebut termasuk mangsa bencana dibuat menerusi Jaringan Keselamatan Sosial (JKS), yang telah diperbesar di bawah Bajet 2009. Apa itu Jaringan Keselamatan Sosial

Masih ramai di kalangan kita kurang pasti apa yang dimaksudkan dengan Jaringan Keselamatan Sosial yang menjadi dasar Bajet 2009 seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Ng Yen Yen ketika ditemubual dalam wawancara oleh Radio24 Bernama berkata, program Jaringan Keselamatan Sosial bertujuan menentukan segenap lapisan masyarakat di negara ini tanpa mengira status ekonomi menjalani kehidupan yang selesa dan mendapat manfaat daripada pembangunan negara.

Katanya, peruntukan bagi program itu tahun ini juga ditambah RM500 juta lagi menjadikan jumlah besarnya RM800 juta berbanding hanya RM300 juta bagi tahun 2007 dan tahun lepas.

Beliau berkata penambahan peruntukan itu akan memberi manfaat kepada 110,000 keluarga miskin di seluruh negara.

"Misalnya, bagi warga emas yang berumur 60 tahun ke atas dan tiada yang menjaga, boleh mendaftar terus dengan kementerian saya bagi membolehkan mereka mendapat bantuan sara hidup RM300 sebulan.

"Bagi kanak-kanak daripada keluarga miskin pula, mereka akan diberikan bantuan RM100 sebulan dan tidak melebihi RM400 sekeluarga", katanya sambil menambah bahawa bantuan yang diberikan itu merupakan bantuan sara hidup asas.

Dengan adanya program itu nanti, tidak ada lagi sebab mengapa kanak-kanak daripada keluarga miskin dinafikan hak mereka untuk bersekolah atau orang miskin yang sakit terbiar tanpa mendapat rawatan.

Penglibatan pelbagai kementerian

Dalam ucapan Bajet 2009 di Dewan Rakyat, Perdana Menteri menyatakan bahawa Kerajaan menyediakan pelbagai bantuan dan kemudahan dengan memberikan penekanan kepada kebajikan rakyat.

Menurut beliau, kerajaan bersedia bertindak untuk meringankan beban setiap lapisan masyarakat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan kurang bernasib baik menerusi JKS.

Ia meliputi perkhidmatan seperti kebajikan, perubatan, faedah pengangguran, pusat perlindungan dan kadang kala subsidi dalam membantu golongan berkenaan menghadapi cabaran inflasi.

Dari segi ekonomi ia bertujuan untuk mengagihkan pendapatan dan sumber kepada golongan masyarakat yang memerlukan serta membantu mengatasi kemiskinan untuk jangka pendek di samping memastikan rakyat samasama menikmati kemakmuran, hasil daripada pertumbuhan ekonomi negara.

Dr Ng pula berkata program itu dilaksanakan menerusi penglibatan secara langsung oleh Kementerian Kewangan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pelajaran, Kementerian Kesihatan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Keluarga dan masyarakat

Untuk meluaskan Jaringan Keselamatan Sosial bagi kumpulan sasar di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), kerajaan telah menaikkan tahap kelayakan pendapatan isi rumah bagi pemberian bantuan kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daripada RM400 sebulan kepada tahap Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) semasa, iaitu RM720 sebulan bagi Semenanjung, RM830 sebulan bagi Sarawak dan RM960 sebulan bagi Sabah.

"Ini bermakna bilangan penerima bantuan meningkat dua kali ganda daripada 54,000 isi rumah kepada 110,000", kata Abdullah semasa membentangkan Bajet 2009.

Beliau berkata, ini termasuk kenaikan bilangan warga emas yang layak daripada 14,000 kepada 40,000 dan untuk tujuan ini, perbelanjaan tambahan sebanyak RM500 juta diperuntukkan.

Kerajaan, katanya, menyediakan tabung bantuan khas sebanyak RM25 juta bagi menyalurkan pemberian kewangan kepada keluarga yang kehilangan punca pendapatan secara mengejut, seperti akibat kemalangan dan bencana.

Abdullah, bekas Menteri Kewangan berkata memandangkan tanggungjawab besar ibu pelihara di Rumah Tunas Harapan, rumah yang menempatkan kanakkanak kurang bernasib baik, kerajaan akan menaikkan elaun mereka daripada RM600 kepada RM1,000 sebulan berkuatkuasa 1 Sept tahun ini.

Kerajaan dengan kerjasama sektor korporat telah mewujudkan beberapa rumah di bawah konsep Tunas Harapan untuk menyediakan kanak-kanak ini kemudahan penjagaan dalam suasana kekeluargaan.

Di bawah usaha ini, sektor korporat menyediakan rumah manakala kerajaan membayar kos mengurus. Dalam hubungan ini, Perdana Menteri berkata, kerajaan menggalakkan sektor swasta membina lebih banyak Rumah Tunas Harapan.

Pendidikan

Memetik laman web Kementerian Pelajaran Malaysia, kerajaan turut memberi insentif dan bantuan untuk bidang pendidikan dengan memperuntukkan sejumlah RM47.7 bilion bagi sektor pendidikan negara. Daripada jumlah tersebut, kementerian memperuntukkan sebanyak RM31.4 juta bagi tahun 2009 untuk pembangunan insaniah dan keperluan sekolah para pelajar.

Ia meliputi penambahan peruntukan bagi Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) iaitu dari RM300 juta kepada RM400 juta.

Elaun Guru Pendidikan Khas turut ditambah daripada RM100 kepada RM250. Kerajaan turut menambah elaun bantuan khas daripada RM50 kepada RM150.

Selain itu, kerajaan turut memperuntukkan Bantuan Modal Projek Pembangunan Pembinaan Sekolah daripada RM20 juta kepada RM33 juta.

Apa yang dapat dilihat sekarang adalah kejayaan demi kejayaan yang dicipta oleh pelajar, cendekiawan berkualiti meningkatkan jumlah golongan profesional untuk berbakti kepada negara, agama dan bangsa, kebajikan pendidikan pelajar terbela dengan bajet prihatin kerajaan, banyak bantuan dan subsidi yang diberi kerajaan.

Semuanya adalah hasil daripada komitmen tinggi dan usaha mencipta kegemilangan negara.

Pertanian

Di bawah jaringan Keselamatan Sosial ini juga golongan petani dan nelayan diberikan pembelaan di mana sejumlah RM300 juta diperuntukkan. Sejumlah RM180 juta adalah untuk menampung sara hidup nelayan dan pemilik bot perikanan manakala RM120 juta sebagai insentif tangkapan ikan.

Bagi meningkatkan kehidupan petani juga, elaun pelaburan semula sebanyak 60 peratus bagi tempoh 15 tahun bagi pelaburan tambahan bagi penternak ayam dan itik.

Selain peruntukan sejumlah RM475 juta bagi bantuan input pertanian, baja dan racun perosak bagi pengusaha sawah.

Kerjasama untuk capai matlamat

Menurut Dr Ng, kerjasama bersepadu semua rakan bestari seperti agensi kerajaan, sektor swasta dan NGO amat penting dalam memastikan usaha melaksanakan Jaringan Keselamatan Sosial dapat mencapai hasrat kerajaan ke arah pembangunan mapan dan kesejahteraan sosial.

Adalah diharapkan pelaksanaan Jaringan Keselamatan Sosial yang berkesan menerusi Bajet Prihatin 2009 dapat meningkatkan penyertaan wanita, keluarga dan masyarakat untuk bersamasama menyumbang dan menikmati faedah pembangunan negara, katanya.

- BERNAMA

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90