Lepasan ijazah usah pilih kerjaya & jawatan
Kementerian Sumber Manusia turut mengemukakan langkah dan pelan kerajaan menghadapi situasi ini.
Walaupun strategi kerajaan diuar-uarkan, timbul rasa cemas dan panik di kalangan siswa, khasnya yang berada pada tahun akhir. Iklim ekonomi lembap dan perlahan menyebabkan bakal siswazah ini mengalih perhatian kepada pekerjaan di sektor kerajaan yang dikatakan lebih terjamin.
Peperiksaan bagi jawatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) Gred M41 yang akan dijalankan serentak di seluruh negara pada 21 Februari 2009 turut menjadi petanda peningkatan jumlah calon yang ingin mengisi jawatan awam.
Senario ekonomi semasa ini menjadi cabaran kepada siswa yang akan menamatkan pengajian pada tahun ini. Ada kalangan siswa mengambil jalan selamat dengan rancangan menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi iaitu pascasiswazah atau Doktor Falsafah. Kebanyakannya memilih untuk mencari pekerjaan kerana realiti pasaran dewasa ini mementingkan pengalaman bekerja selain koleksi sijil dan kelayakan akademik.
Pada hemat saya, masalah pengangguran siswazah bukan disebabkan kurangnya peluang pekerjaan, tetapi disebabkan kegagalan golongan ini berfikir secara kreatif di luar kotak pemikiran.
Tidak dinafikan, kebanyakan siswazah mahu bekerja dalam bidang masing-masing selepas bertungkus-lumus di universiti. Namun, dalam menghadapi situasi krisis atau kelembapan ekonomi yang bersifat global, mereka harus memikirkan strategi bagi mengatasi apa juga kekangan untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Siswazah tidak harus memilih pekerjaan dan mengharapkan keselesaan seperti pejabat berhawa dingin semata-mata, sebaliknya perlu bersikap responsif dengan keadaan dan bertindak secara bijak dan kreatif. Sikap negatif dengan hanya mengharap kepada bantuan kerajaan dan pihak lain adalah ibarat `menunggu bulan jatuh ke riba.'
Sebagai contoh, seorang siswazah bidang Hubungan Antarabangsa tidak semestinya menjadi diplomat atau penjawat awam semata-mata. Sebaliknya, sebagai alternatif, siswazah dalam bidang ini boleh menerokai sektor pelancongan yang memberi pulangan lumayan dan secara tidak langsung mendekatkan mereka dengan pelancong asing dari seluruh dunia.
Sedar atau tidak, mereka sudah bekerja dalam bidang yang mereka pelajari di universiti dulu. Begitu juga dengan siswazah Sejarah atau Geografi. Majoriti siswazah dalam bidang ini terikat pemikiran mereka untuk menjadi guru dengan memohon Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) atau Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) tanpa menyedari prospek pekerjaan lain. Disebabkan terikat dengan pemikiran sempit, siswazah gagal mendapatkan pekerjaan.
Selain itu, siswazah bidang Sains juga boleh menjadi lebih kreatif dengan menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan. Kerajaan menyediakan pelbagai peluang latihan kemahiran dan pinjaman khas untuk siswazah.
Bidang pertanian pada ketika ini memerlukan siswazah mempunyai ilmu dan kemahiran saintifik, bukan saja sebagai usahawan, malah untuk menggiatkan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memastikan krisis makanan yang pernah dihadapi negara baru-baru ini tidak berulang.
Pada masa sama, siswazah harus kreatif dengan menggunakan ilmu, kemahiran dan pengalaman mereka ketika mempelajari subjek elektif di universiti. Kursus Kokurikulum yang ditawarkan di Universiti Malaysia Sabah misalnya, selain menyumbang jam kredit dan markah, turut boleh digunakan oleh siswazah dalam mencari pekerjaan.
Siswazah yang pernah mengambil kursus permainan golf misalnya, boleh menjadikan minat dan kemahiran mereka sebagai sumber pendapatan. Golf bukan saja sukan, malah satu industri yang masih tinggi permintaan guna tenaganya.
Kejayaan mendapat ijazah pertama tidak ada gunanya jika seorang siswazah tidak berdaya saing dan tiada kemahiran insaniah seperti bermasyarakat, berkomunikasi dengan berkesan dan mengurus.
Iklim ekonomi dunia lembap tidak harus dijadikan alasan siswazah yang gagal mendapatkan pekerjaan, sebaliknya perlu menerimanya sebagai satu amaran pertama. Sudah tiba masanya siswa menyinsing lengan merencana hala tuju masing-masing demi mencorakkan masa depan negara.

