Nizar keluar rumah rasmi MB Perak 10 hari lagi

Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin yang sebelum ini berkeras tidak mahu keluar dari kediaman Menteri Besar kerana mendakwa ia simbol kerajaan negeri yang sah akhirnya akur dengan arahan supaya mengosongkan kediaman tersebut.

Bekas Menteri Besar itu terpaksa melupakan hasrat untuk terus tinggal di kediaman rasmi yang turut dijadikan ‘markas pembangkang’ apabila menerima sepucuk surat daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Abdul Rahman Hashim yang memintanya berbuat demikian.

Malah, Mohammad Nizar mengesahkan beliau turut dihubungi oleh Abdul Rahman petang ini memaklumkan perkara tersebut.

Sehubungan itu, katanya, beliau bersetuju meninggalkan kediaman Menteri Besar dalam tempoh tujuh hingga sepuluh hari lagi bagi membolehkannya mencari rumah sewa dan memindahkan barang-barang.

‘‘Saya sebagai ‘Menteri Besar yang sah’ dengan rela hati menyerahkan kediaman ini dalam tempoh seminggu atau sepuluh hari dari sekarang.

‘‘Saya akan menyewa di kediaman lain yang berdekatan dengan sekolah anak-anak saya.

‘‘Kita menyerahkan kediaman ini kerana kita akur dengan peraturan tetapi tindakan ini tidak langsung menjejas atau memudaratkan kerajaan pakatan pembangkang untuk meneruskan tugas ‘Exco’ dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN),” katanya pada sidang akhbar di kediaman Menteri Besar di sini hari ini.

Menurut Mohammad Nizar, beliau mengambil keputusan untuk mencari rumah sewa di Ipoh bagi memudahkannya menjalankan tugas seharian memandangkan kediamannya sendiri terletak jauh di Tapah.

Katanya, beliau juga tidak kisah jika Menteri Besar, Datuk Zambry Abd. Kadir berpindah masuk ke kediaman tersebut.

‘‘Kalau Zambry nak masuk ke rumah ini, itu hak dia sebab saya dah tak duduk (kediaman Menteri Besar) dah. Jadi, kalau dia muka tak malu...duduklah.

‘‘Saya pula anggap keputusan keluar dari rumah ini sebagai berhijrah sekejap seperti berhijrah sebentar kemudian balik semua ke Mekah. Insya-Allah saya akan kembali,” ujarnya sambil memberitahu enam daripada lapan anaknya tinggal bersamanya ketika ini.

Selain menyerahkan kediaman Menteri Besar, Mohammad Nizar juga bersetuju memulangkan semula 11 buah kereta Toyota Camry yang menjadi kenderaan rasmi Exco.

Menurutnya, sebahagian daripada kereta tersebut sudahpun diserahkan hari ini manakala selebihnya dijangka dipulangkan esok atau lusa memandangkan ada bekas Exco berada di luar daerah.

Tanpa kenderaan rasmi, katanya, beliau dan anggota ‘Exco’ pakatan pembangkang akan menggunakan kenderaan sendiri atau awam untuk pergi bekerja termasuk bertemu rakyat.

Tambah beliau, aktiviti harian seperti mesyuarat dan sidang akhbar pula akan dibuat di rumah sewanya, pejabat Menteri Besar di kampung-kampung dan ibu pejabat parti masing-masing.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan pakatan pembangkang akan memfailkan saman bagi mencabar kesahihan pelantikan Menteri Besar baru di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, esok.

Menurutnya, tujuan saman itu adalah bagi memohon mahkamah agar membatalkan pengisytiharan kerajaan Barisan Nasional (BN) pemerintah di Perak dan pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar.

Katanya, sebanyak 12 peguam telah bersetuju mewakili beliau dan kerajaan pakatan pembangkang dalam kes tersebut.

Ditanya kenapa beliau tidak memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi di sini, Mohammad Nizar berkata, keputusan itu dibuat atas nasihat panel peguamnya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
1 Comments
  • Tanpa Nama
    Tanpa Nama Sabtu, 4 April 2009 pada 10:08:00 PTG SGT

    Perumpamaan seorang dipecat dari jawatan oleh majikannya, pekerja yang dipecat akan mencabar keputusan majikannya di Mahkamah Perusahaan (industrial court) bahawa pemecatannya adalah tanpa sebab dan tidak munasabah (without just cause n excuse).

    Sementara menunggu Mahkamah membuat keputusan, apa hak si pekerja ini?

    Apakah dia berhak pergi / masuk ke tempat kerjanya, mengambil dan menggunakan aset (harta) bekas majikannya?

    Apakah dia berhak mendapat gaji dan elaunnya?

    Bolehkah perkerja tersebut yang sudah dipecat mengambil dan menggunakan harta majikannya tanpa restu majikannya?

    Adakah tindak tanduk sebegitu boleh ditakrifkan sebagai suatu perbuatan mencuri?

    Pekerja yang dipecat biasanya menunggu keputusan Mahkamah dan tidak perlu hadir ke tempat kerjanya dan tidakberhak kepada gajinya (dan ealun), dan jika kelak mahkamah memutusakan dia dipecat tanpa sah dan sebab munasabah, maka dia layak kepada gajinya dari tarikh dia dipecat dan apa-apa ganti rugi yang patut dan wajar.

    Maka saya ber…

Add Comment
comment url