Oh mama... Saya mahu kahwin!
Oh mama!
Saya mahu kahwin,
Kahwin dengan siapa,
Dengan siapa saja...
Tentu ramai yang pernah mendengar bait lagu dendangan kumpulan Blues Gang ini. Lirik lagu ini cukup menceritakan kisah jejaka yang memikirkan sudah sampai masanya menggugurkan title bujang. Bagaimana humornya lirik lagu ini, begitu jugalah impian lelaki untuk membina mahligai cinta bersama si dia.
Bukan mudah membina bahtera cinta. Memiliki teman hidup bukanlah semudah membeli baju kerana tanpa perancangan dan komitmen, harapan memperisterikan wanita idaman tinggal angan-angan.
Si bujang mesti berazam menjadi ketua keluarga. Bergelar suami dan dilimpahi rezeki memperoleh cahaya mata, seolah-olah melengkapkan putaran hidup lelaki yang akhirnya berada di landasan sempurna.
Persoalannya, apakah mudah bergelar suami orang? Ketepikan dulu nikmat hidup berumah tangga, sebaliknya fikirkan tanggungjawab dan pengorbanan sebagai ketua keluarga. Berkahwin bukanlah untuk berseronok, sebaliknya lelaki harus bersedia mengubah cara hidup dan perlakuan diri.
Jika dulu hidup bersendirian, apabila sudah berkahwin, semuanya harus dikongsi bersama pasangan. Daripada tempat tinggal hinggalah kepada perkara sekecil mana sekalipun, segala-galanya harus ada muafakat dan sikap bertolak ansur.
Buat si bujang yang menunggu detik bahagia, tentu mula merasai cabaran melangkah ke gerbang perkahwinan. Selangkah kaki ke depan, selangkah lagi menyusul sebaik tibanya hari bersejarah menjadi lelaki sejati.
Seperti jejaka lain yang menanti detik bergelar raja sehari, Zafry Efendy Mohd Fauzi, 34, tidak terkecuali berdebar-debar menunggu saat bahagia bergelar suami kepada pasangan pilihan, Noor Ezreen Noor Kefli, 27.
Bagi Zafry Efendy, tarikh 11 Disember yang bakal menyusul lagi dinantikan dengan penuh debaran hingga sukar diungkap dengan kata-kata.
"Saya memang gementar kerana banyak perkara dilakukan sendiri. Ini termasuk menguruskan perbelanjaan, membeli keperluan, membuat persiapan perkahwinan terutama hantaran.
"Mujur saya dan Noor Ezreen sepakat dalam merancang dan mengurus perkahwinan ini supaya tidak kelam-kabut.
"Apatah lagi, bantuan orang tua dan kenalan yang berpengalaman dalam urusan perkahwinan memudahkan proses ini," kata Zafry Efendy yang bakal melangsungkan perkahwinannya di Gombak, Selangor.
Kata Zafry Efendy, beliau menyediakan peruntukan secukupnya bagi wang hantaran pengantin perempuan, cincin perkahwinan, katering, persalinan raja sehari, majlis bertandang di rumah lelaki, persiapan dulang hantaran hinggalah mencetak kad undangan.
Zafry Efendy berkata, beliau bersama pasangannya mula membuat persiapan sejak tiga bulan lalu selepas menyatakan hasrat hati menyunting Noor Ezreen. Tidak bertepuk sebelah tangan, selepas Syawal lalu, keluarga Zafry Efendy berkunjung ke rumah Noor Ezreen untuk memaklumkan niat murninya itu.
"Kami tidak bertunang dalam suatu tempoh lama seperti pasangan lain. Ketika keluarga saya berkunjung ke rumah Noor Ezreen, cuma diadakan acara sarung cincin dan mencari kata sepakat menentukan tarikh disatukan.
"Cuma untuk menghormati adat, majlis bertunang kecil-kecilan akan diadakan disusuli akad nikad," katanya.
Zafry Efendy berkata, beliau gembira menanti saat disatukan dengan kekasihnya.
"Namun jika ditanya debaran majlis akad nikah nanti, memang saya tidak bersedia untuk memikirkannya lagi. Ini kerana, ketika ini debaran persiapan majlis perkahwinan lebih merisaukan saya sekarang.
"Apatah lagi, kad undangan perkahwinan yang sepatutnya diterima lebih awal, terpaksa ditunda penghantarannya kerana kesilapan ejaan. Itu yang membuat keadaan menjadi sedikit kelam-kabut," katanya.
Selepas majlis bersanding di rumah pengantin perempuan pada 14 Disember ini, keluarga Zafry Efendy pula meraikan keluarga pengantin perempuan di rumah di Machang, Kelantan, sebulan selepas itu.
Ditanya usia terbaik jejaka memulakan hidup berumahtangga, Zafry Efendy yang bertugas sebagai Pengurus Jualan IBM Malaysia Sdn Bhd berkata, awal 30-an adalah peringkat umur sesuai bagi lelaki mendirikan rumah tangga kerana faktor kewangan dan kerjaya yang kukuh.
"Pada usia itu, lelaki semakin matang dan lebih bertanggungjawab kepada pasangan.
"Namun, ia bergantung kepada keinginan seseorang lelaki dan kemampuan diri untuk berkahwin. Tidak salah berkahwin awal asalkan dirinya tahu lunas-lunas dan tanggungjawab besar bergelar ketua keluarga," kata Zafry Efendy penuh bermakna.
Saranan beliau kepada si bujang yang baru merancang mendirikan mahligai perkahwinan ialah duduk berbincang dengan pasangan untuk bajet serta konsep perkahwinan yang diingini.
Kemudian, dapatkan pandangan orang lebih berpengalaman serta keluarga untuk memastikan kelancaran majlis persandingan. Pada masa yang sama, bakal pengantin harus memikirkan perancangan selepas berkahwin termasuk bajet kewangan, tempat tinggal serta keperluan asas.
"Jika perancangan dapat dilakukan sempurna, saya yakin tiada masalah akan timbul pada majlis persandingan serta selepas menempuh kehidupan suami isteri," kata Zafry Efendy.
Tip menjelang akad nikah...
Seeloknya, bakal pengantin melakukan solat hajat malam sebelum upacara akad nikah untuk memastikan kelancaran majlis. Ia juga bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Amalkan surah Al-Inshirah (Alam-Nashrah) untuk mengurangkan rasa debaran menjelang detik dinikahkan. Surah itu juga yang diamalkan Nabi Musa ketika berdepan firaun.
Bakal pengantin lelaki juga boleh mengamalkan surah Toha (ayat 25 - 28) untuk mengurangkan darah gemuruh. Selesai membaca, bolehlah minum segelas air untuk penenang jiwa.
Lazim bagi bakal pengantin untuk menghafal beberapa pengetahuan asas dalam agama. Kebiasaannya jurunikah akan bertanyakan rukun Iman dan rukun Islam sebagai pengetahuan asas dalam Islam. Bagi yang berdebar, sebaiknya mereka menghafal semua rukun itu bagi mengelak lebih panik.
Sejurus selepas dinikahkan, seeloknya pengantin lelaki menunaikan solat sunat dua rakaat sebagai bersyukur kerana berjaya menempuh alam perkahwinan. Selepas itu, sarunglah cincin kepada isteri tercinta.
Pengantin lelaki juga harus bersalam dengan ibu bapa dan ibu bapa mentua, hadirin dan sahabat handai. Bersalaman adalah tanda kesyukuran dan rasa gembira kerana semuanya sudah sempurna.
Tip perkara perlu dilakukan pada peringkat pra perkahwinan :
-Anggaran tempoh 12 bulan hingga enam bulan sebelum majlis perkahwinan
-Keluarga pihak lelaki bertandang ke rumah pihak perempuan untuk menyatakan hasrat dan meminang.
-Tetapkan tarikh majlis pernikahan di masjid kariah pihak perempuan.
-Ikuti kursus perkahwinan dan dapatkan sijil.
-Mendaftar di pejabat kadi.
-Teliti bajet perbelanjaan dan nilai keseluruhan kos.
-Kurangkan belanja harian, usah boros dan mula menabung.
-Kurangkan aktiviti sosial.
-Anggaran tempoh lima bulan sebelum majlis perkahwinan.
-Pastikan carta kewangan dan aliran keluar serta masuk wang pada landasan betul.
-Mula menempah jurugambar, juru audio, meneliti pusat andaman terbaik dan memilih lokasi persandingan.
-Jangan lupa mulakan program kesihatan dan diet seimbang.
-Mula membeli barangan hantaran satu persatu.
Anggaran tempoh empat bulan sebelum majlis perkahwinan :
-Sudah menempah mak andam.
-Sudah bersedia menempah kad undangan.
-Sudah memilih lokasi persandingan.
-Merancang belanja berhemah mengikut sumber kewangan yang ada.
-Menyenaraikan tetamu undangan.
-Menyemak senarai harga katering.
-Anggaran tempoh tiga bulan sebelum majlis perkahwinan.
-Semak kad undangan perkahwinan dan pastikan tiada maklumat salah.
-Sudah memilih konsep untuk pelamin, gubahan hantaran perkahwinan.
-Memilih cincin dan persalinan persandingan.
-Menempah pakaian untuk acara akad nikah dan persandingan termasuk persalinan pengapit dan ahli keluarga.
-Menempah kumpulan kompang, audio visual dan katering.
Anggaran dua bulan sebelum majlis perkahwinan :
-Semak dengan semua pihak yang akan terbabit dengan majlis perkahwinan.
-Susun semula kedudukan kewangan pada saat akhir.
-Lakukan diet atau senaman untuk tampil sihat dan segak pada hari bersejarah.
-Ambil kad jemputan perkahwinan yang sudah ditempah.
-Semak destinasi bulan madu pilihan.
-Sekurang-kurangnya sebulan sebelum majlis perkahwinan.
-Hantar kad undangan perkahwinan kepada tetamu jemputan, lebih awal lebih baik.
-Lakukan urutan dan spa untuk menaikkan seri pengantin.
-Buat persiapan terakhir untuk semua kelengkapan.
-Semak urusan dengan jabatan agama, jurunikah, saksi dan pihak yang terbabit dengan majlis akad nikah. Ini penting!
Menjelang detik majlis perkahwinan :
-Pastikan semua perkara yang dirancang lancar.
-Lantik seorang ahli keluarga terdekat untuk meneliti kelancaran acara.
-Pastikan kad undangan sudah dihantar kepada tetamu.
-Kumpulkan hantaran dan buat periksa tempahan pakaian - jangan nanti mak andam tersalah tarikh atau memilih parsalinan berbeza.
- BERITA HARIAN
sapa zafry tu?
one group dari xfactor ke???
atau u??
tapi,notice last skali berita harian??
ermm...
Hidup berumahtangga ni ibarat mengemudi bahtera di lautan luas...
kapten dan kelasi kena la sepakat dlm sumer perkara...especially ketika laut sdg kuat bergelora....
klu tidak bahtera akan karam dan tenggelam .....sebelum sampai ke destinasi impian......fullamak!!! powernye ayat aku nih....ish2 ni bukan aku nih! hahahahaha tp apa2 pun.....selamat pengantin baru kpd empunye ceriter.
bagusla ade tip2 utk persiapan kawin semua ni. nnt sy nk kawin, kene refer blk sini. haha