Perolehan Telekom Malaysia RM11.3b pada 2008
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Sri Jamaludin Ibrahim, berkata seperti tahun lalu, Celcom mengekalkan prestasi memberangsangkan dan terus mencatat prestasi suku tahun terbaik pada 2008 walaupun berdepan dengan persaingan sengit dalam keadaan makro-ekonomi lemah dan pelancaran Perkhidmatan Portabiliti Nombor Mudah Alih (MNP).
“Penyedia perkhidmatan telefon mudah alih itu mencipta rekod apabila mencatat suku pertumbuhan ke-11 berturut-turut dan meraih hasil kukuh RM5.6 bilion,” katanya ketika mengumumkan pendapatan keputusan kewangan TMI di Kuala Lumpur, semalam.
Hadir sama, Pengarah Eksekutif dan Ketua Kewangan Kumpulan TMI, Datuk Yusof Annuar Yaacob.
Jumlah pelanggan pascabayar Celcom bertambah kepada 8.8 juta manakala bagi segmen prabayar, jumlah pelanggannya berambah kepada 1.1 juta.
Celcom juga mencatat peningkatan pelanggan dalam perkhidmatan jalur lebar dengan pertumbuhan ketara 27 peratus.
Penyumbang kedua terbesar TMI, XL, iaitu rangkaian telekomunikasi di Indonesia, mencatat pendapatan 5,132 bilion rupiah yang disokong pertambahan pelanggan sehingga 68 peratus kepada 26 juta.
Bagaimanapun, pendapatan XL sederhana pada suku keempat 2008 berikutan keadaan ekonomi global yang muram.
TMI adalah syarikat telekomunikasi terbesar di Asia dengan anak syarikat sekutu mudah alihnya adalah Celcom (Malaysia), XL (Indonesia), Dialog (Sri Lanka), AKTEL (Bangladesh), HELLO (Kambodia), Spice (India), M1 (Singapura) dan MTCE (Iran).
Dailog berjaya bertahan sebagai syarikat peneraju dalam industri mudah alih di Sri Lanka, mencatat pertumbuhan pelanggan 29 peratus kepada 5.5 juta, membolehkannya meraih pendapatan Rs36.2 bilion pada 2008.
Mengulas mengenai hutang TMI dengan kumpulan TM berjumlah RM4 bilion, Jamaludin berkata, TMI akan melaksanakan terbitan hak boleh lepas dengan tujuan meraih hasil kasar RM5.25 bilion.
Menurutnya, langkah itu bagi mengurangkan tahap hutang keseluruhan dan mencapai struktur modal optimum.
Katanya, cadangan Terbitan Hak itu di sokong sepenuhnya pemegang saham terbesar TMI, Khazanah Nasional Berhad yang memegang ekuiti 44.5 peratus.
- HARIAN METRO