AF7 hambar tanpa Menuju Puncak

Seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini, Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) bakal 'menghidangkan' suatu transformasi.

Membawa maksud perubahan, ia memberi gambaran bahawa AF7 akan 'disarung' dengan pelbagai elemen segar bagi memastikannya kekal relevan sebagai platform menyediakan barisan pelapis dunia hiburan tanah air.

Masakan tidak, AF yang sudah pun menjangkau usia matang bagai mendapat suntikan baru dengan pelantikan pengetua wanita pertamanya, Datin Seri Tiara Jacquelina.

Bukan itu sahaja, transformasi yang ingin dibawa sudah pun dilakukan sejak awal lagi dengan membawa masuk beberapa tenaga pengajar baru iaitu Ida Nerina yang dilantik menjadi guru seni lakonan.

Aris Kadir pula menggantikan Linda Jasmine sebagai guru tarian manakala Hashridz Murshim Hassim atau lebih dikenali dengan panggilan Acis bertindak sebagai pengarah muzik.

Malah, untuk tahun ini, transformasi lokasi konsert mingguan juga dilakukan namun masih mengekalkan AC Mizal selaku pengacaranya.

Tampil menemui khalayak buat pertama kalinya pada malam Sabtu lalu, AF7 yang bersiaran dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur menterjemahkan apa yang dimaksudkan transformasi tersebut.

Tiga pengkritik tetap yang sebelum ini menjadi tanda tanya diperkenalkan dan mereka terdiri daripada Edrie Hashim, Datuk Khatijah Ibrahim dan Adlin Aman Ramli.

Masih mengekalkan 100 peratus undian penonton melalui talian tetap mahupun khidmat pesanan ringkas (SMS), konsert berjalan seperti biasa.

Bagaimanapun, beberapa perubahan dikesan sepanjang konsert terbabit berlangsung khususnya yang membabitkan 'acara' tradisi AF seperti tanda pengenalan diri dan persembahan akhir semua pelajar menerusi lagu Menuju Puncak.

Paling ketara, ketiadaan persembahan Menuju Puncak untuk transformasi AF kali ini sedikit sebanyak menampakkan kesuraman daya tarikan AF7.

Saat diajukan persoalan mengenai hal tersebut, Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul yang ditemui sejurus tamat konsert pertama AF7 punyai alasannya tersendiri.

Memberi jawapan ketidaksediaan pelajar dalam mempelajari setiap gerak tari Menuju Puncak, Khairul memberitahu bahawa tenaga pengajar kali ini lebih memfokus kepada mutu persembahan pelajar dalam nyanyian masing-masing.

"Mereka (pelajar) masih belum bersedia dengan step. Sebagai perubahan, lagu Menuju Puncak didendangkan secara instrumental pada awal konsert dengan persembahan tarian oleh penari jemputan,'' katanya.

Menurut Khairul, persembahan Menuju Puncak oleh pelajar akan dimulakan pada konsert minggu kedua nanti.

Dalam pada itu, Tiara yang memberi maklum balas terhadap persoalan tersebut menyatakan bahawa AF7 bakal 'melanggar' beberapa tradisi AF sebelum ini.

"Sebenarnya, saya sudah diberitahu awal bahawa tidak akan ada persembahan pelajar dalam Menuju Puncak.

"Untuk AF7, kita akan banyak langgar tradisi untuk bergerak lebih pantas. Kalau tidak langgar tradisi, kita akan hanya duduk di takuk lama dan tidak akan ke mana-mana,'' jelasnya.

Ujar Tiara, transformasi di dalam AF telah pun dilakukan sedikit demi sedikit dan dimulakan dengan perkara-perkara kecil.

"Transformasi kecil yang dilakukan adalah mensyaratkan setiap pelajar dan tenaga pengajar memakai kasut ketika sesi pembelajaran,'' katanya.

Ditanya mengenai persembahan konsert minggu pertama, Tiara berkata, meski berpuas hati, beberapa kelemahan akan diperbaiki terutama membabitkan pelajar.

"Ini detik permulaan dan masih jauh lagi perjalanan. Saya nampak kesungguhan setiap pelajar.

"Pastinya kita akan tumpukan kepada pembentukan personaliti pelajar dan melihat apakah lagu-lagu yang bersesuaian dengan vokal mereka,'' katanya.

Pelajar Sabah, Sarawak kuasai pentas

Sementara itu, pentas sulung AF7, Sabtu lalu, menyaksikan penguasaan pelajar-pelajar dari bumi Sarawak dan Sabah.

Mereka adalah Mohd. Hafiz Mohd. Suip atau Hafiz, Siti Aishah Bujang (Aishah), Claudia Fay Geres (Claudia), Rubisa Tiasin (Rubisa) dan Nur Fazelah @ Zizie Mohd. Tahil (Zizi).

Mempunyai vokal yang baik dan mendapat pujian daripada pengkritik, tidak keterlaluan andai dikatakan akan ada lagi seorang pelajar dari 'tanah Borneo' bakal menjadi juara AF selepas Stacy (AF6).

Walaupun akan ada yang mengatakan tidak adil membuat penilaian awal di konsert minggu pertama kerana perjalanan AF7 masih panjang, namun, tanggapan pertama atau first impression adalah cukup penting.

Sungguhpun begitu, sekalung tahniah diberikan kepada Afiq Hakim Ahmad atau Akim dari Johor Bahru dan jejaka dari Kuala Lumpur, Khairil Azam Pilus (Aril) kerana tampil meyakinkan di atas pentas.

Bagi peserta lain terutamanya Ahmad Sobri Hasmuni (Obri), Mohd. Rashidi Mohamad Isa (Sidi) dan Zuzafrini Zulkifli (Rini), peluang yang diberikan untuk beraksi di konsert minggu kedua, Sabtu ini, harus digunakan sepenuhnya untuk memperbaiki kelemahan.

Bukan hanya kelemahan daripada segi lantunan vokal, ketiga-tiga mereka perlu menggandakan usaha dalam mempelajari teknik penguasaan pentas, mencari apa yang dikatakan faktor 'x' dan penghayatan lagu.

Obri misalnya, meski cuba mencuri perhatian membawa lagu nyanyian seniman agung Allahyarham Tan Sri P.Ramlee berjudul Jeritan Batinku, dirinya dilihat mempunyai masalah dalam menghayati lagu berkenaan.

Sama seperti Sidi apabila diminta oleh Adlin supaya memberikan lebih perasaan terhadap penghayatan lagu.

Konsert minggu pertama AF7 menyaksikan tiada pelajar yang disingkirkan.

Ia umpama berita gembira buat 14 pelajarnya kerana masih mampu beraksi di konsert seterusnya.

Selain Hafiz, Aishah, Claudia, Rubisa, Zizi, Akim, Aril, Obri, Rini dan Sidi, pelajar-pelajar lain adalah

Mohd. Qhauhd Abdul Rashid (Qhaud), Mohd. Yazid Kamal Ibrahim (Yazid), Ismaliza Ismail (Isma) serta Nas Adila Mohd. Dan (Adila).

- UTUSAN
www.utusan.com.my
Next Post Previous Post
1 Comments
  • anak ikan
    anak ikan Isnin, 30 Mac 2009 pada 7:59:00 PG SGT

    AF selepas pengeluaran Aznil sebagai pengacara, memang da hambar. Tak suka cara penyampaian AC. Nak-nak cara dia panggil peserta. Sangatla tak kreatif. Pengkritik selain Adlin Aman Ramley, sume tak best. Abis-abis..Good Job! Da hilang kata-kata ka..? Thoughtless..

Add Comment
comment url