Pengundi usah lagi tertipu kilauan kaca disangka intan

Tanggal 29 Mac ini bermulalah episod 'peperangan' secara rasmi antara parti atau calon yang bertanding bagi tiga pilihan raya kecil yang diadakan secara serentak pada 7 April nanti.

Pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang di Perak serta dua Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Bukit Selambau di Kedah dan Batang Air di Sarawak pasti menjadi tumpuan ahli dan pemerhati politik, lebih-lebih lagi diadakan setahun selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac 2008 yang menyaksikan rekod Barisan Nasional (BN) tercalar, terutama di Semenanjung.

Biarpun bagi kebanyakan pemerhati politik, kehangatan pasti lebih terasa di Bukit Gantang, DUN Bukit Selambau juga tidak kurang hebatnya, lebih-lebih lagi apabila berlaku peristiwa mengejutkan iaitu penyandangnya, V Arumugam yang pernah memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna, Perpaduan dan Masyarakat India negeri meletak kedua-dua jawatan 9 Februari lalu.

Tindakan Arumugam itu agak mengejutkan kerana melepaskan jawatan dengan dakwaan tidak tahan diganggu ejen BN yang cuba memujuknya dan menawarkan habuan melompat parti, selain pelbagai bentuk ugutan.

Namun sehingga kini, tuduhan itu tidak pula dibuktikan. Walaupun sudah lebih sebulan meletak jawatan bekas Exco itu terus menghilangkan diri. Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang melantik beliau dalam barisan Exco Kedah juga mengakui Arumugam tiada menghubunginya sebelum meletak jawatan.

Sikap Arumugam itu menunjukkan dia tidak matang berpolitik kerana tidak sanggup berdepan sepak terajang politik dan mudah menyerah kalah, sedangkan rakyat bertekad mengundinya, walaupun sedar tiada apa boleh dilakukan seorang yang bertanding atas tiket Bebas.

Pengundi DUN itu mengakui, tindakan Arumugam menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) sehingga dilantik sebagai Exco tidak banyak ruang membantu mereka menyelesaikan masalah. Ramai penduduk Bukit Selambau mengeluh apabila wakil rakyatnya jarang turun padang dan ia sepatutnya memberi peluang kepada BN merampas kembali kerusi itu yang sememangnya kubu kuat BN.

Tinjauan mendapati ramai pengundi yang memangkah Arumugam pada Mac 2008 menyesal dan mengaku tersilap membuat perhitungan kerana terikut-ikut dengan emosi.

Langkah BN menurunkan Timbalan Pengerusi MIC Kedah, Datuk S Ganesan, 49, seperti diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada satu majlis di Sungai Petani, kelmarin, dilihat mendapat sambutan baik di kalangan penyokong BN yang berjanji memberi kemenangan kepada calon itu.

Mereka berpendapat pemilihan itu tepat kerana Ganesan bukan orang asing bagi penduduk Bukit Selambau disebabkan beliau lahir dan dibesarkan di Kampung Sungai Division yang dulunya sebuah estet di Bukit Selambau. Malah, beliau juga mempunyai pejabat firma guaman di Sungai Petani dan sentiasa bergaul dengan penduduk di situ.

Ganesan bukan orang baru dalam politik kerana sudah menyertai MIC sejak 1983 dan pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lunas pada Pilihan Raya Umum 2004, tetapi tidak bertanding pada Mac 2008.

Ketika mengumumkan pemilihan Ganesan itu, Najib berkata, orang Bukit Selambau pastinya 'insaf' apabila wakil rakyat yang mereka pilih sebelum ini rupa-rupanya tidak serius memperjuangkan nasib mereka apabila tidak mempedulikan penduduk dan tidak turun padang.

"Genap setahun Kedah dan Bukit Selambau jatuh ke tangan pembangkang dan rakyat boleh membuat penilaian. Bila kita nilai prestasi mereka baru kita sedar sebenarnya indah khabar dari rupa.

"Janji permata, akhirnya dapat kaca... janji manis, akhirnya terpedaya," katanya.

Najib juga mahu parti komponen BN, khususnya Umno yang mewakili majoriti pengundi, iaitu lebih 50 peratus pengundi di Bukit Selambau memastikan kemenangan BN tanpa mempersoalkan daripada parti mana datangnya.

"Prinsip permuafakatan, kerjasama dan setia kawan dalam BN mesti dipegang. Umno tidak mabuk kuasa, kita tidak akan mendesak supaya kerusi ini diserahkan kepada Umno kerana apa yang lebih penting bukan kerusi, tetapi kita mahu BN menang.

"Apa guna jika tuntut kerusi, tetapi kita tidak ada kuasa. Kerusi yang paling bermakna adalah kuasa memerintah," katanya.

Pada pilihan raya umum lalu, Arumugam mendapat 13,225 undi, menewaskan calon BN, S Krishnan yang mendapat 10,863 undi, iaitu majoriti 2,362 undi. Pada pilihan raya itu, DUN berkenaan mempunyai 30,850 pengundi, yang mana Melayu mewakili 50.2 peratus, Cina (19.25 peratus), India (29.53 peratus) dan lain 1.02 peratus.

Pengundi mungkin memilih Arumugam apabila kertas pencalonan Saiful Izham Ramli daripada PKR ditolak kerana tidak mengemukakan penyata kewangan perbelanjaan Pilihan Raya Umum 2004.

Pada Pilihan Raya Umum 2004, kerusi itu dimenangi calon BN, Datuk V Saravanan yang mendapat 14,196 undi, menewaskan Mustafa Khalid Hanafi daripada PKR yang mendapat 6,501 undi dan Gnanaguru Ganisan daripada DAP, 2,120 undi. Saravanan menang besar dengan majoriti 7,695 undi.

Pengumuman calon BN itu dibuat lebih awal, iaitu 16 hari sebelum penamaan calon pada 29 Mac ini mungkin bagi memberi lebih peluang kepada masyarakat mengenali calon BN itu.

Parti lawan sehingga kini masih belum mengumumkan calon mereka kerana menunggu pada saat akhir sebelum penamaan calon.

Biarpun setakat ini sudah ada lapan individu yang menyatakan hasrat untuk bertanding sebagai calon Bebas (mungkin kerana mereka menyangka aliran dialami Arumugam pada pilihan raya lalu masih terpakai), pertarungan sebenarnya lebih tertumpu kepada BN dan PKR.

PKR dijangka meletakkan calon berketurunan India kerana hampir 30 peratus pengundi adalah keturunan itu, selain seperti sudah ada jaminan daripada Azizan jika PKR memenangi kerusi itu wakil rakyat mereka akan dilantik sebagai Exco. PKR juga akan meletakkan calon India di situ.

Mungkin sedar dengan khidmat sambil lewa Arumugam di situ sepanjang hampir setahun menjadi wakil rakyat, tiada apa rekod kerja keras bekas pemimpin itu dicanangkan.

Mereka hanya memainkan lagu yang sudah dijangka, termasuk isu Altantuya, dakwaan kes liwat Anwar, pembelian kapal selam, dakwaan Arumugam cuba dirasuah BN dan masalah politik wang menjelang pemilihan Umno.

Bagi pengundi sekarang yang kritikal, isu dibangkitkan itu tiada kena mengena dengan kehidupan mereka yang kebanyakannya bekerja sebagai petani, pekerja ladang dan pekerja kilang. Pengundi sudah tentunya mahukan pemimpin yang boleh menyelesaikan masalah harian mereka.

Sementara itu, Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid memberi jaminan semua jentera parti komponen BN Kedah akan bekerja keras bagi merampas kembali Bukit Selambau.

Bagi BN biar pun kemenangan di Bukit Selambau tidak akan mengubah kedudukan kerajaan negeri yang diterajui PR, ia amat penting bagi mengukuhkan semula kedudukan mereka di negeri Jelapang Padi ini.

Di pengundi pula, inilah masanya bagi mereka membuat penilaian yang bijak demi masa depan. Mereka tidak harus tertipu lagi oleh kilauan kaca yang disangkakan intan. Jauh sekali memangkah mengikut hati dan perasaan.

- BERITA HARIAN
www.bharian.com.my
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url