Top Ad 728x90

,

RM200 tampung lapan beranak

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itulah pepatah tepat menggambarkan penderitaan keluarga Zaitun Ahmad, 35, dari Kampung Baru Pokok Macang, Bukit Selambau, Sungai Petani, Kedah.

Sejak suaminya, Dali Harun, 50, disahkan menghidap kencing manis kronik dua tahun lalu, kehidupan mereka sekeluarga berubah dan bergantung penuh kepadanya.

Menurut Zaitun, biarpun dalam keadaan serba-serbi kekurangan di rumah sempit itu, dia perlu tabahkan hati dan menguatkan semangat bagi mencari sesuap nasi untuk keluarganya.

Jauh di lubuk hati, Zaitun mengakui, tenaga perempuannya tidak mampu mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga, tetapi apakan daya, anak masih kecil dan belum mengerti apa-apa.

"Sejak suami jatuh sakit, saya mengambil alih tugas menyara keluarga. Setiap hari, saya keluar mengambil upah menoreh di Felda Teloi Kanan kira-kira tujuh kilometer dari rumah.

"Dengan mengambil upah menoreh itu, saya dapat kumpul pendapatan sekitar RM200 sebulan. Saya terpaksa berjimat untuk menyara keluarga dengan pendapatan sebanyak itu.

"Kalau diikutkan, saya memang tidak larat bekerja kerana perlu menjaga makan minum keluarga termasuk suami di rumah, tetapi apakan daya, kami memerlukan wang untuk meneruskan hidup dan membiayai perubatan suami," katanya.

Zaitun berkata, akibat serangan penyakit berkenaan, suaminya bukan saja kehilangan tenaga serta berat badan malah turut meragut penglihatannya.

Penglihatan suaminya semakin kabur dan ada ketikanya, dia langsung tidak dapat melihat.

Katanya, penyakit berkenaan menyebabkan suaminya perlu dipapah untuk ke tandas selain terpaksa disuap ketika makan.

"Selain itu, suami saya perlu menjalani pemeriksaan dan rawatan mingguan di klinik kesihatan Kampung Baru Pokok Macang," katanya.

Jika Zaitun tidak menoreh, dia akan keluar mencari pucuk kayu yang boleh dibuat sayur atau ulam seperti pucuk paku, pucuk putat, pegaga, buah terung ratus dan kangkung untuk dijual kepada peniaga pekan sehari berdekatan bagi menambah pendapatan.

"Saya perlu kerja kuat, jika tidak, tidak berasaplah dapur dan yuran persekolahan anak pun tertunggak.

"Biarpun hidup dalam serba kekurangan, saya bersyukur kerana anak tidak pernah mengeluh dan menerima semua ini dengan penuh reda. Jika saya tidak dapat memberi wang belanja, mereka tidak malu membawa bekal nasi ke sekolah.

"Saya rela bersusah untuk memastikan mereka mendapat pendidikan secukupnya. Hanya dengan pelajaran sajalah mereka dapat mengubah nasib keluarga ini," katanya yang pernah membuat permohonan untuk mendapatkan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tetapi sehingga kini belum ada perkembangan.

Bagi yang ingin membantu keluarga Zaitun, sumbangan berkenaan boleh disalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional Zaitun, 02126-29-00006703-5 atau hubungi talian 017-4564951

- HARIAN METRO

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90