Derita paus biru

Jantung sebesar saiz kereta Mini Cooper, mulut boleh memuatkan 100 orang dan mampu mencapai saiz lebih panjang dari gelanggang bola keranjang.
Cuba lihat satu persatu fakta mengenai paus biru yang disenaraikan di atas. Tidakkah terbayang ironis mengapa paus biru yang menjadi haiwan terbesar menghuni planet bumi (malah lebih besar daripada dinasor) seolah-olah tersisih? Mengapa di sebaliknya gahnya ciri-ciri fizikal dimiliki raja laut ini, sebenarnya masih banyak rahsia haiwan ini belum diketahui manusia?
Direnung lagi, mengapa kita seolah-olah tidak mendengar tangisan paus biru sedangkan mamalia ini sebenarnya antara haiwan yang mampu mengeluarkan bunyi paling kuat di dunia.
Apakah populasi paus biru yang ketika ini hanya dianggarkan tidak sampai 2,000 ekor di perairan Antartik akan terus merosot hingga riwayat hidup haiwan ini hanya boleh ditatap dalam jurnal atau buku haiwan pupus?
Banyak misteri melingkari kehidupan paus biru. Hingga hari ini, saintis masih tercari-cari di manakah tempatnya ibu paus biru melahirkan anak biarpun si ibu bersaiz gergasi manakala si kecil menjadi ‘bayi’ terbesar dilahirkan mana-mana spesis haiwan di dunia.
Menurut Saluran National Geographic yang sinonim dengan paparan realiti hidup flora dan fauna penghuni alam, di kebanyakan tempat, paus biru masih dianggap spesis yang jarang ditemui. Maka tidak banyak perkara mengenai haiwan ini diketahui pakar kecuali hakikat paus biru hampir pupus.
Tahukah anda di timur laut Pasifik populasi paus biru pada suatu ketika pernah mencecah 10,000 ekor? Namun selepas seabad, populasi haiwan ini merosot secara drastik akibat aktiviti memburu. Biarpun aktiviti memburu paus biru diharamkan sejak 1960-an, tidak sampai 2,000 ekor paus biru kini menghuni Antartik iaitu satu-satunya kawasan yang diketahui wujudnya populasi besar paus biru.
Dalam usaha mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai paus biru dan lebih penting, melindungi haiwan ini, sekumpulan saintis antarabangsa yang disokong Saluran National Geographic melancarkan ekspedisi bagi menyelami kehidupan haiwan ini. Ekspedisi ini juga mahu mencari punca mengapa lebih banyak paus biru mati pada era moden sekarang.
Ekspedisi ini yang boleh ditonton dalam program Big Blue saluran itu sejak tayangan perdana pada 15 Mac lalu, menyiarkan koleksi visual penuh emosi perjalanan hidup paus biru.
Apa yang menarik, program ini memaparkan adegan ibu paus biru bermain bersama anaknya yang dipercayai berusia sebulan. Inilah kali pertama footage anak paus biru dirakamkan kamera. Adegan ini memaparkan anak paus biru yang sentiasa curious atau ingin tahu persekitaran hidupnya, berenang ke arah bot penyelidik lalu melepasi kumpulan jurugambar yang sedang menyelam.
Tidak cukup itu, program ini menjejaki 15 paus biru yang siap dipasang alat berteknologi satelit ke lokasi haiwan ini berkumpul. Saintis berharap usaha ini akan membawa mereka ke sebuah lokasi berkeluasan lebih 1,000 kilometer dikenali sebagai Costa Rica Dome di Lautan Pasifik. Zon ini dipercayai menjadi nurseri atau tempat pelbagai spesies haiwan laut termasuk paus biru mengawan dan melahirkan anak.
Setibanya kumpulan pengkaji di sini, usaha menjejaki paus biru mula berdepan masalah. Mengapa tidak, hanya tiga daripada 15 paus biru yang ditandakan berenang ke arah zon ini. Usaha mengesan kumpulan paus biru menjadi sukar kerana haiwan ini mampu bergerak sejauh 160 kilometer dalam tempoh 24 jam tanpa mengira arah.
Namun, akhirnya pencarian membuahkan hasil apabila saintis mengesan kehadiran ibu paus bersama anaknya di zon ini.
Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut mengenai cerita paus biru, tontonilah Saluran National Geographic atau berkunjung ke pameran multimedia dan replika anak paus biru yang berlangsung di tingkat bawah, East Atrium, Kompleks Beli Belah Mid Valley di Kuala Lumpur hingga lusa.
Sesuatu yang menakjubkan menanti pengunjung pameran ini apabila replika anak paus biru yang direka mengikut saiz sebenar dipertontonkan kepada orang ramai. Anak puas biru ini dalam misi jelajah dunia dan amat bertuah, Kuala Lumpur menjadi bandaraya pertama Asia disinggahi ‘haiwan’ ini untuk berkongsi cerita dan deritanya.
Pameran paus biru yang dibawakan Saluran National Geographic dijayakan bersama Astro dan pengurusan Mid Valley Megamall. Inisiatif ini tentunya bertujuan membolehkan orang ramai mengenali lebih dekat paus biru selain meningkatkan kesedaran mengenai pemuliharaan marin di Malaysia.
Anda boleh dekati anak paus biru yang berukuran sembilan meter panjang, jantina betina dan berusia dua bulan yang dicipta sekumpulan profesional dari Australia di pameran ini. Selain itu, sesi penerangan, pemuliharaan dan aktiviti pendidikan juga menanti pengunjung. Lebih menarik, persembahan multimedia yang memaparkan imej paus biru yang dirakamkan satelit canggih dan footage dari dokumentari Big Blue juga ditayangkan kepada pengunjung.
Pengunjung juga boleh membeli cenderamata dan sebahagian daripada kutipan jualan akan disumbangkan kepada dana National Geograhic Society bagi membiayai ekspedisi saintifiknya di seluruh dunia.
Inilah masanya anda membantu si paus biru!
INFO: Ikan Paus
# Haiwan terbesar pernah menghuni bumi - lebih besar daripada dinasor dan dua kali ganda lebih besar dari ikan paus lain.
# Boleh mencapai berat 200 tan malah lebih berat daripada 40 gajah Asia dewasa.
# Boleh membesar hingga 100 kaki atau bersamaan dua bas ekspres malah lebih panjang dari gelanggang bola keranjang NBA.
# Makan hingga empat tan bahan makanan dalam sehari atau bersamaan 64,000 burger!
# Jantung sebesar kereta Mini Cooper dan mampu mencapai berat 450 kilogram. Manusia boleh merangkak di arteri utama haiwan ini!
# Antara haiwan paling bising di planet malah mampu menghasilkan bunyi sekuat enjin jet (malah bacaan bunyi paus biru mencapai 188 desibel berbanding enjin jet 140 desibel).
# Boleh berkomunikasi antara satu sama lain pada jarak hingga 1,600 kilometer.
# Menyelam bagi tempoh antara 10 hingga 20 minit dan makan pada jarak kedalaman 100 meter.
# Menghabiskan hampir seluruh hayat di bawah laut dan sesekali timbul di permukaan air bagi tempoh beberapa saat bagi mengisi paru-paru dengan udara.
# Melayari lautan pada kelajuan 10 kilometer sejam tetapi boleh meningkatkan kelajuan lebih 32 kilometer jika terancam. Paus biru mampu berenang 160 kilometer sehari.
# Mampu memancutkan air setinggi 10 meter atau bangunan dua tingkat.
# Dilahirkan dengan tanda seperti cap ibu jari manusia yang tidak akan berubah.
INFO: Pameran Paus Biru
# Lokasi : East Atrium (Aras Bawah), Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur.
# Tarikh : Mulai 3 April hingga lusa.
# Masa : 10 pagi hingga 10 malam.
# Bayaran : Percuma.
Dokumentari Big Blue di Saluran National Geograhic
# Saluran : Astro 553
# Tarikh Siaran : 12 April 8 malam, 24 April 6 petang, 25 April 10 malam, 26 April 1 petang.
- BERITA HARIAN

