Diana Danielle tak menangis lagi

Gara-gara memohon penangguhan daripada menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), pelakon Diana Danielle,18, dikritik kononnya mendapat layanan istimewa berbanding orang lain.
Ada pihak mempersoalkan kewajaran dia diberi penangguhan tersebut hanya kerana kesibukan tugasnya sebagai seorang pelakon.
Tetapi Diana telah membuktikan dia sebenarnya tidak mahu lari daripada tanggungjawab. Penangguhan itu adalah menghormati kontraknya dengan syarikat produksi yang telah ditandatangani sebelum itu.
Diana yang sepatutnya mendaftarkan diri pada 27 Disember tahun lalu akhirnya meninggalkan bidang seni untuk tempoh kira-kira tiga bulan selepas mendaftarkan diri pada 19 Mac lalu bagi mengikuti latihan di Kem Princess Haliza, Sepang, Selangor.
Dia “dikurung” bersama kira-kira 440 pelatih di kem itu yang kebanyakan mereka datangnya dari Sabah, Sarawak, Selangor dan Kuala Lumpur. Tetapi percaya atau tidak, baru dua minggu berada di kem tersebut, Diana berjaya membuktikan dia seorang yang bersemangat kental.
Manakan tidak, dalam tempoh itu Diana telah dipilih sebagai Timbalan Penghulu Wirawati. Pemakaian pangkat dilakukan oleh Ketua Pengarah PLKN, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil.
Bukan mudah untuk mendapat jawatan kedua tertinggi yang diberikan untuk para pelatih itu jika tidak ada disiplin, semangat dan sifat kerjasama. Dengan kepercayaan itu, Diana bertindak membantu ketuanya yang akan mengawasi para pelatih lain termasuklah soal disiplin dan ketepatan masa. Diana juga nanti akan mengajar rakan-rakannya untuk berkawat.
Penglibatan Diana itu membuktikan walaupun dia seorang artis, tidak ada apa yang istimewa sebaliknya mereka semua adalah sama.
Malah Diana juga pernah didenda sama seperti pelatih lain semasa minggu pertama menyertai latihan di kem itu.
“Tak ada istimewanya walaupun Diana artis. Peraturan mesti kena ikut. Diana pun kena denda juga tetapi semua itu menjadikan Diana lebih berdisiplin sehinggakan terpilih menjadi Timbalan Penghulu Wirawati,” katanya.
Hati sayu
Ketika mendaftarkan diri di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Diana menangis. Hatinya sayu sewaktu menaiki bas untuk meninggalkan kebebasan yang dikecapi selama ini. Diana meninggalkan rakan-rakan, dunia hiburan dan juga ibu tersayang, Norsiah Ramli untuk diajar hidup berdikari.
Ketika itu kata Diana, hatinya sungguh sedih. Dia menangis sepanjang perjalanan dari Bukit Jalil ke Sepang yang memakan masa hampir dua jam itu.
Kenapa menangis? Biasalah, selama ini Diana anak manja. Terlalu bergantung harap dengan ibunya apatah lagi sejak kecil dia tidak pernah merasai kasih sayang bapa. Semasa dalam perjalanan juga macam-macam persepsi bermain di dalam fikirannya.
Sebagai seorang selebriti popular, takut nanti dia dipulaukan oleh semua orang. Bimbang nanti dituduh sombong dan macam-macam lagi. Tetapi selepas beberapa hari berada di kem itu, Diana merasakan persepsi itu sebenarnya hanya ilusinya sahaja.
Sebaliknya Diana merasai satu perubahan yang tidak pernah dialami selama ini apabila mendapat layanan yang baik terutamanya daripada peminat-peminat pelbagai kaum.
“Sekarang saya dah ada sepuluh orang kawan rapat. Ada orang Melayu, ada India dan Cina. Memang seronok. Mereka tak anggap saya artis tetapi seorang sahabat,” katanya.
Kalau hari pertama melangkah ke kem itu Diana pernah menangis, tetapi hari ini tidak lagi. Dia gembira kerana dapat melakukan satu perubahan besar hanya kerana PLKN.
Secara jujur kalau dahulu memang sukar menguruskan masa. Susah nak bangun pagi. Tetapi sekarang tidak lagi. Seawal pukul 5 pagi dia sudah mempersiapkan diri untuk menjalani agenda dan modul yang telah diaturkan sehingga menjadikan Diana seorang yang lebih berdisiplin.
“Dulu memang saya susah nak bangun awal. Semuanya mengharapkan bantuan mama. Tapi sekarang saya dah mampu untuk menguruskan diri sendiri,” ujarnya.
Kata Diana kalau sebelum ini dia mahu ibunya selalu datang menjenguk tetapi sekarang perkara itu bukanlah satu kemestian. Dari tutur katanya memang dia gembira mengikuti latihan di kem itu sehinggakan kerisauan yang dipikulnya sebelum ini sudah terhapus.
“Saya pernah pesan kepada mama kalau boleh setiap hari saya nak dia datang melawat. Tapi bila dah dua minggu berada di kem ini, saya pernah bergurau suruh dia balik saja ke rumah sebab saya dah tak sedih lagi macam dulu,” jelasnya.
Bawa “bantal” busuk
Seperti remaja lain, Diana tidak menafikan dia mempunyai tabiat tersendiri iaitu sukar untuk berpisah dengan bantal busuknya. Apa lagi kalau bukan patung beruang atau teddy bear yang menjadi peneman Diana setiap malam.
Teddy bear itu disimpan di bawah katil dan dikeluarkan setiap kali dia ingin tidur.
“Ini barang paling berharga yang Diana tak boleh tinggalkan. Kalau tak ada teddy bear ini alamatnya tak boleh nak tidurlah,” terang Diana. Selain patung beruang itu, Diana juga turut menyimpan gambar ibunya.
Setiap kali kesunyian dan rindukan ibu, Diana pasti akan menatap gambar tersebut. Yalah... Diana tidak dapat berhubung dengan ibunya kerana telefon bimbit tidak boleh digunakan melainkan pada hujung minggu.
Apa yang penting selama menjadi pelatih PLKN itu, Diana berjaya melupakan terus dunia lakonan yang menjadi pekerjaannya selama ini. Bukan bermakna tidak rindukan dunia glamor itu tetapi Diana sekarang ini sedang melalui proses mematangkan diri yang dia tidak pernah terfikir akan melaluinya hari ini.
Menjadi perhatian lelaki
Menjadi orang yang cantik, tentu sahaja dapat mencuri tumpuan orang ramai terutamanya bagi mereka yang tidak pernah melihat gadis kecil ini secara dekat.
Menurut Diana, hari pertama di kem berkenaan tidak semua peserta mengenalinya seorang pelakon kerana dia tidak bersolek.
Tetapi selepas berita mengenai kemasukannya di kem ini mendapat liputan, barulah ramai yang menyedari gadis berkenaan adalah Diana Danielle, seorang pelakon remaja yang popular.
Ketika ditanya tidak adakah pelatih lelaki yang cuba “menghimpit”, Diana tersenyum malu.
“Tentulah ada. Yalah... mereka mungkin teruja dapat berjumpa dengan artis. Tapi saya melayan mereka seperti orang lain juga dan sekali gus menganggap mereka adalah kawan,” katanya.
Saat ditanya tidak adakah mana-mana lelaki yang kacak di mata Diana terdapat dalam kem itu, Diana sekali lagi tersenyum.
Tanpa mahu berselindung, ujar gadis ini seorang lelaki berambut pendek dan bertubuh agak sasa adalah antara lelaki yang paling kacak di kem itu.
“Tengok tu... nampak tak? Yang tengah duduk minum air tu. Handsome tak dia?” tanya dia sambil menunjukkan tangan ke arah lelaki bertuah itu.
Rasanya jika remaja lelaki itu mengetahui Diana sedang memujinya, tentulah akan membuatkan dia angau tak sudah.
Diana, Alif & Suki di 8TV
Selain Diana, Juara One In A Million musim pertama iaitu Suki,20, (Low Sook Yee) dan pemenang ketiga pertandingan itu Aliff, 19, (Muhammad Aliff Mohd. Satar) turut ditempatkan di kem latihan yang sama.
Berbeza dengan Diana, Alif dan Suki akan melaporkan diri pada 8 April ini selepas mendapat kebenaran untuk menangguhkan latihan berkenaan.
Penempatan mereka di satu kem yang sama membolehkan peminat dapat menyaksikan aktiviti ketiga-tiga artis ini sepanjang menjalani latihan.
Projek N.S terbitan 8TV merupakan kerjasama saluran televisyen itu dengan Jabatan Latihan Khidmat Negara. Projek N.S akan menemui penonton bermula 8 Mei ini pukul 9.30 malam yang bertujuan untuk membolehkan orang ramai melihat sendiri perjalanan latihan untuk pelatih PLKN.
- UTUSAN


Thanks for sharing. I've found her family sites:
1. http://dianadanielle.yuku.com/directory
2. http://nrdanielle.yuku.com/directory