Ketahanan pintu rintangan api
UNDERWRITERS Laboratories (UL) adalah sijil pengiktirafan terulung kepada Makmal Ujian Kebakaran Institut Standard dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) milik SIRIM QAS International yang terletak di ibu pejabat SIRIM di Seksyen 2, Shah Alam, Selangor.
SIRIM QAS International merupakan anak syarikat SIRIM Berhad. Pengiktirafan itu menjadikan Malaysia antara negara ketiga di dunia selepas Amerika Syarikat (AS) dan Korea yang mampu menjalankan ujian ke atas keupayaan dan ketahanan pintu rintangan api yang menepati kualiti UL.
Di sebalik kejayaan itu, SIRIM QAS International telah bekerja keras untuk menjalankan kerja-kerja menaik taraf makmal tersebut bermula akhir tahun 2007 dengan menelan kos perbelanjaan sebanyak RM2.3 juta.
Kerja naik taraf itu dibuat semata-mata untuk memenuhi dan menepati syarat-syarat 'ketat' mengikut piawai serta standard kualiti UL daripada badan dunia tersebut.
Namun pada 12 Mac lalu, SIRIM boleh berbangga kerana makmal itu diiktiraf UL setelah sijil pengiktirafannya diserahkan oleh Presiden Antarabangsa UL, Sajeev Jesudas kepada Pengarah Urusan SIRIM QAS International, Datuk Mariani Mohamad.
Apa yang lebih utama adalah dengan kejayaan tersebut pengusaha industri pembuatan pintu rintangan api tempatan kini mempunyai peluang cerah untuk menembusi pasaran global menggunakan logo UL.
Malah, mereka tidak perlu mengeluarkan belanja puluhan ribu ringgit untuk ke AS atau Korea, hanya untuk mendapatkan pengiktirafan tersebut, sebaliknya mereka boleh menjalani ujian itu di sini sahaja.
Ketika ini terdapat sebanyak 25 pengeluar pintu rintangan api di negara ini yang mendapat pensijilan SIRIM QAS International dan dianggarkan hanya 20 peratus pengilang berjaya mengeksport produk mereka ke luar negara.
Pengurus Besar Kanan Jabatan Perkhidmatan Ujian SIRIM QAS International, Abd. Aziz Long berkata, sebelum ini pengusaha industri itu terpaksa ke negara-negara tersebut untuk menjalani ujian UL terhadap produk masing-masing.
Menurutnya, ujian itu penting sebelum produk keselamatan berkenaan dapat dipasarkan ke peringkat antarabangsa terutama Timur Tengah, AS, Australia dan negara-negara lain kerana UL merupakan pengiktirafan yang perlu ada.
"Mulai sekarang, mereka tidak perlu lagi berulang-alik melakukan ujian di negara tersebut sekiranya keputusan didapati gagal, sebaliknya mereka boleh menjalankan ujian itu di sini mengikut kualiti yang ditetapkan oleh UL.
"Jika ada dalam kalangan pengusaha mahu menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) terhadap pintu rintangan api masing-masing, mereka boleh terus melakukannya di sini," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
UL adalah sebuah organisasi bebas pensijilan keselamatan produk yang terlibat dalam ujian dan menyediakan standard keselamatan sejak sedekad lalu dan berpangkalan di AS.
Setakat ini, katanya, organisasi itu telah menjalankan penilaian ke atas lebih 19,000 jenis produk, komponen dan sistem, selain mengeluarkan sebanyak 21 bilion logo UL melibatkan 72,000 produk termasuk produk keselamatan.
Abd. Aziz memberitahu, ujian UL terbahagi kepada dua standard iaitu UL 10B-Fire Test of Door Assemblies dan UL 10C- Positive Pressure Fire Tests of Door Assemblies dengan kedua-dua ujian itu perlu lulus.
Jelasnya, UL 10B adalah ujian ketahanan pintu rintangan api daripada terbakar di bahagian atas pintu, manakala UL 10C pula di bahagian bawah pintu termasuk ketahanan engsel dan kunci dalam tempoh yang tertentu.
"Sebagai contoh, seorang pengusaha menghantar seunit pintu rintangan api yang mampu bertahan selama satu jam untuk diuji di makmal ini. Jika pintu itu terbakar kurang daripada tempoh ini, maka ia dianggap gagal.
"Seandainya, pintu itu dapat bertahan selama satu jam, kita akan uji pula dengan satu kaedah khas iaitu pancutan air pada tekanan yang tinggi terhadap pintu rintangan api tersebut.
"Jika pintu itu didapati roboh atau berkecai ketika pancutan air dilakukan, maka pintu rintangan api tersebut tidak menepati kualiti UL," ujar beliau.
Menurut Abd. Aziz, pengiktirafan itu membuktikan makmal tersebut memiliki keupayaan tinggi dari segi teknologi, peralatan, kepakaran dan sistem dokumentasi untuk melakukan ujian berlandaskan standard UL.
"Kita sudah berjaya mencapai satu standard yang tinggi, malah setanding dengan negara luar terutama kepakaran jurutera tempatan yang kita ada dalam bidang ini sehingga ia diiktiraf oleh badan dunia itu.
"Pelaburan kos sebanyak RM2.3 juta untuk kerja-kerja menaik taraf Makmal Ujian Kebakaran SIRIM nyata berbaloi dengan hasil yang diperoleh hari ini dan masa akan datang," katanya.
Bagaimanapun Abd. Aziz menegaskan, kejayaan itu bukan satu penamat dalam usaha berterusan pihaknya memajukan industri R&D negara, sebaliknya banyak lagi pengiktirafan yang perlu dirangkul selepas ini.
"Pengiktirafan UL bagi keupayaan dan kemampuan kita menguji pintu rintangan api hanyalah salah satu produk sahaja. Banyak lagi produk lain yang belum dapat logo UL ini.
"Oleh itu, kita berhasrat untuk meluaskan beberapa lagi ujian UL melibatkan produk keselamatan di bawah bidang kuasa Jabatan Bomba dan Penyelamat termasuk alat penggera keselamatan dan bahan binaan," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berharap pengusaha tempatan dapat mengambil peluang keemasan ini untuk mencapai kualiti yang ditetapkan UL, selain pengiktirafan Standards Malaysia (MS) yang telah dijalankan sebelum ini.
- KOSMO!


Maklumat yang sangat membantu saya untuk memberi penerangan kepada Safety & Health Committee Members tentang kenapa perlunya pintu rintangan api ini sentiasa ditutup.
Terima kasih.