Antara kerjaya & minat
Ketika waktu rehat sewaktu memberi pengisian ceramah di Leeds, United Kingdom (UK) Mac lalu, saya diajukan soalan yang sama dengan soalan beberapa pelajar di Imperial College, London pada 2008 dan beberapa tempat ceramah saya yang lain.
Oleh kerana persoalan itu kerap dibangkitkan, saya kira elok untuk saya kongsikan sedikit manfaat buat pembaca lain.
Mereka bertanya berkenaan kerjaya selepas tamat pengajian iaitu:
1. Bagaimana ingin menjadi pakar sesuatu bidang sedangkan kita mempunyai banyak minat?
2. Saya dalam bidang perakaunan dan undang-undang, yang mana satukah lebih baik untuk saya jadikan kerjaya?
3. Adakah mesti mendahulukan bidang yang diminati saja, sedangkan ada kalanya ia kurang mendapat tempat dalam industri pekerjaan?
Menyusun minat dan peluang
Anda perlu mengatur minat supaya ia boleh diterjemahkan kepada kepakaran dengan kemas dan beransur-ansur. Sememangnya boleh untuk menjadi pakar dalam semua bidang yang diminati, namun senarai panjang minat itu perlu disusun sebaik-baiknya.
Saya nasihatkan anda memilih satu bidang sebagai kerjaya induk. Fokus dan sasarkan untuk diri anda menjadi terkehadapan dalam satu bidang terlebih dulu.
Dalam masa sama, bidang lain yang diminati perlu juga sentiasa dikemaskini dengan maklumat terbaru bidang berkenaan. Jika tidak mendalam sekalipun, perhatian kepadanya perlu ada, khususnya bidang yang menduduki tempat kedua dalam senarai panjang anda.
Malah beberapa pencapaian dalam bidang minat kedua, ketiga dan keempat masih boleh diusahakan serentak ketika anda komited dalam satu bidang yang paling utama.
Saya sememangnya memberikan komitmen kepada bidang muamalat tetapi ia tidaklah sampai menghalang saya menghasilkan karya tulisan, analisis dan ceramah dalam bidang solat, keluarga, isu semasa dan lain-lain isu fiqh.
Namun tumpuan utama dan kebanyakan masa dihabiskan untuk mendalami kajian terkini bidang Fiqh Muamalat.
Ada seorang pelajar memberitahu saya, dia minat menjadi penulis novel, tetapi kini sedang mengambil jurusan kejuruteraan. Dalam masa sama, dia juga minat perbahasan ilmiah berkaitan Islam.
Tatkala itulah dia perlu mengatur minatnya dan apa yang ada di depannya sekarang.
Jika dia benar-benar merasakan minatnya terhadap novel terlalu tinggi, bagi saya ijazah pertamanya mahu tidak mahu perlu diselesaikan terlebih dulu. Ia penting sebagai pelindung bagi segala kemungkinan.
Keperluan menjadi pakar
Selepas kita meletakkan satu keutamaan bidang yang ingin dijadikan asas kerjaya, langkah seterusnya adalah mengkaji dan mengetahui cara serta kaedah bagi mencapai sasaran itu. Setiap bidang punya jalan masing-masing.
Sebagai contoh tadi, seorang pelajar kejuruteraan yang ingin menjadi novelis, maka jalan untuk menjadi pakar dalam penulisan novel tentulah seperti berikut:
# a. Menggunakan waktu terluang dan kosong dengan mengasah bakat penulisan novel dimulakan dengan penulisan mudah di blog sendiri.
# b. Mengenal-pasti majalah untuk menghantar karya bagi menilai kualiti penulisan. Adakah ia mencapai tahap piawai atau sebaliknya.
# c. Menghantar karya ke akhbar.
# d. Menyertai pertandingan
# e. Mula menjalin hubungan dengan persatuan penulis dan berhubung dengan penulis berpengalaman.
# f. Memperbanyakkan bacaan berkaitan teknik penulisan sastera serta kaedah menjadikannya bahan berisi ilmu dan bukan isi biasa.
# g. Mencari tema cerpen yang masih kurang dalam pasaran. Elakkan cerpen cinta remaja yang dibuai kelalaian.
# h. Selepas memperolehi keyakinan diri melalui beberapa hasil penulisan yang diterbitkan, bolehlah menjinakkan diri dengan penerbit buku bagi memulakan langkah seterusnya iaitu membukukan novel dan begitulah seterusnya.
Panjang lagi langkahnya, cuma saya ingin memberikan idea, setiap bidang yang ingin anda jadi pakar di dalamnya memerlukan pengetahuan awal berkenaan:
a. Ilmu asas dan lanjutan yang diperlukan
Kita tidak akan menjadi pakar jika ingin terus melompat dan mempelajari ilmu lanjutan dalam sesuatu bidang, sedangkan masih tidak masak berkenaan ilmu asasnya.
Contoh, seorang pakar kewangan Islam, perlu tahu setiap jenis akad, elemen haram dalam kewangan, dalilnya, asas sistem perbankan moden, wang, istilah biasa dalam fiqh muamalat dan kewangan moden.
Juga perlu tahu ilmu Usul Fiqh dan Kaedah Fiqhiyyah selain nas utama al-Quran dan hadis dalam bidang kewangan selain bahasa perantaraan apa yang perlu seperti Bahasa Arab, Inggeris dan sebagainya.
b. Sumber ilmu dan maklumat
Seorang pakar digelar sedemikian kerana mendalam dan jauhnya liputan ilmunya, pengamatan dan pengalamannya dalam bidang berkaitan.
Justeru, perlu dikenal pasti dari awal apakah sumber ilmu dalam bidang itu, adakah di perpustakaan atau di pasaran, di dewan kuliah universiti atau pejabat korporat dan sebagainya.
c. Institusi berkaitan
Pakar mestilah mengenal-pasti institusi berkaitan dalam bidangnya, jangan pula seseorang yang mendakwa pakar dalam bidang kewangan Islam tetapi tidak mengetahui apakah itu AAOIFI dan IFSB Ia hanya akan membuka aibnya.
d. Buku rujukan utama
Pakar pastinya mampu merujuk dengan berkesan apabila timbul permasalahan dalam bidangnya. Tatkala itu, sebarang buku dan rujukan wajib yang paling disahkan dalam bidangnya hasil tulisan pakar silam dan semasa perlu diketahui.
Dalam bidang kewangan dan perbankan Islam contohnya, amat penting diketahui buku al-Ma’ayir As-Syar’iyyah oleh AAOIFI dan begitulah dalam bidang yang lain juga pasti ada buku rujukan utama.
e. Individu contoh
Elok jika anda punya model dalam mencapai sasaran anda sebagai pakar. Dengan demikian, lebih mudah untuk diukur tangga kejayaan anda, sama ada sudah semakin dekat atau sebaliknya.
f. Langkah praktikal
Buatkan perancangan masa dan langkah praktikal satu demi satu. Jangan terlalu ideal dalam merancang kerana walau sehebat manapun sasaran anda, jangan dilupa cabaran kehidupan di sekeliling masih perlu diberi masa, isteri atau suami, anak, urusan teknikal di rumah dan keluarga, masyarakat setempat dan sebagainya.
Itu semua masih punya hak terhadap diri anda. Jangan abaikan mereka. Tanpa memastikan senarai berkenaan sudah selesai, seseorang akan sesat di tengah jalan, menyebabkan sasarannya tidak kesampaian, terhenti di tengah jalan, akhirnya tidak pakar dalam semua bidang walaupun banyak bidang yang diminati dan boleh dikuasai.
Justeru, jika anda mensasarkan diri menjadi pemimpin politik sebagai contoh, anda perlu dari sekarang memahami sistem politik dan terjun dalam bidang politik kepartian, mengasah bakat dan menunjukkan bakat dalam bidang berkenaan.
Bidang politik tidak memerlukan apa-apa sijil rasmi untuk menjadi pakar, oleh itu ramai orang mampu menjadi pakar di dalamnya, termasuk kaki menipu. Demikian juga dalam bidang lain.