Dilema wanita bekerja
PADA hari ini ramai wanita yang memiliki kerjaya dan memegang status isteri dan ibu. Situasi ini sering menjadi dilema kepada wanita sam ada menumpukan keluarga atau kerjaya. Mereka sering mengalami rasa serba salah sehingga menganggap ia satu beban. Tanggungjawab ini bukanlah satu bebanan dan wanita perlu bijak membuat keputusan mengutamakan keperluan hidup. Wanita yang berkerja sering berjauhan dengan anak-anak menimbulkan rasa bersalah, risau serta tidak puas hati dengan apa yang dilakukan.
Menurut pelatih pemulihan profesional dan Pengarah Urusan C&P Ventures Sdn. Bhd, Evelyn Ch'ng, wanita yang hanya ingin mengutamakan kerja tanpa mempedulikan hal lain, perlu melupakan tentang niat untuk bersuami dan anak.
Begitu juga sebaliknya, sekiranya wanita tidak bersedia menempuh cabaran alam pekerjaan, keputusan menjadi suri rumah mungkin langkah terbaik.
Dalam menangani dilema wanita bekerja, wanita perlu memahami keputusan yang bakal dibuat tentang keutamaan yang perlu diberi antara kerjaya dan keluarga. Sebagai wanita, peranan sebagai isteri dan ibu amat penting.
"Kita perlu meluangkan masa untuk suami dan mendidik anak-anak. Selain itu, wanita tidak boleh melupakan tanggungjawab melaksanakan kerja-kerja rumah. Sebab itulah, wanita akan meletakkan kerjaya keperluan yang ketiga. Ini tidak bermakna kerjaya tidak penting tetapi wanita boleh memilih kerjaya yang membolehkan mereka turut meluangkan masa menguruskan keluarga," katanya.
Walaupun sibuk dengan tugas di pejabat, wanita harus bijak membahagikan masa bersama anak-anak. Persoalannya, bukan berapa lama kita menghabiskan masa bersama anak-anak tetapi tentang kualiti masa yang terluang.
Oleh itu, apabila seorang ibu berjanji untuk bermain, membeli-belah dan bersiar-siar dengan anak-anak, mereka perlu menunaikannya.
"Sibuk dengan kerja tidak bermakna ibu tidak boleh berkomunikasi dengan anak. Saya sendiri menjadi ibu tunggal ketika anak lelaki saya membesar. Pada ketika itu saya perlu bekerja mencari rezeki dan memastikan keperluan anak tidak terabai. Apa yang berlaku, saya membenarkan anak saya menghubungi pada bila-bila masa jika dia dilanda masalah. Ini bukan bermakna saya seorang yang pemalas sebagai pekerja, malah ia menjadi motivasi untuk saya lebih rajin dan tekun," ujarnya.
Jika ada masa lapang, melakukan aktiviti seperti bersantai, menyediakan menu makanan dan sebagainya bersama keluarga dapat membina hubungan yang erat.
Hubungan ini juga secara tidak langsung memerlukan pemahaman anak tentang erti kekeluargaan yang harmoni.
Bagi Evelyn, membina hubungan keluarga memerlukan kebijaksanaan wanita mengurus masa.
Dilema ini sering membelenggu wanita yang baru bergelar ibu kerana mereka belum dapat menyesuaikan diri memikul tanggungjawab sebagai pekerja dan ibu.
Maka, timbul persoalan, siapa yang menjaga anak dan perlukah berhenti kerja?
"Anda boleh memberi fokus kepada kerja ketika anak anda masih di peringkat bayi. Ini kerana dalam tempoh anak membesar, dia lebih memerlukan perhatian daripada seorang ibu. Namun, seorang ibu perlu menetapkan masa untuk bersama anak. Di luar negara seperti Amerika Syarikat contohnya, syarikat-syarikat besar ada menyediakan kemudahan lengkap pusat penjagaan anak untuk kakitangan. Ia lebih efektif mendorong pekerja wanita lebih fokus dan produktif kerana mereka lebih tenang dan boleh menjenguk anak pada masa rehat," jelasnya.
Selain itu, dalam keadaan ekonomi sekarang, wanita lebih praktikal bekerja untuk membantu ekonomi keluarga.
Evelyn mengakui, pendapatan isteri dapat menyumbangkan kualiti hidup keluarga.
Namun, wanita perlu bijak membahagikan masa untuk mendidik anak-anak tentang nilai murni kehidupan keran tanpa pengawasan ibu bapa, generasi muda pada hari ini banyak dipengaruhi faktor negatif di persekitaran mereka.
Jika suami lebih berkemampuan, wanita boleh menjadi suri rumah sepenuh masa dan menumpukan tugas mengurus keluarga.
Oleh itu, sebagai ibu dan isteri, sekurang-kurangnya luangkan masa beberapa minit untuk menghubungi keluarga dalam sehari untuk bertanya khabar. Secara tidak langsung ia mengeratkan hubungan dan kasih sayang. Ironinya, walau setinggi manapun jawatan yang disandang, kebijaksanaan dalam menguruskan rumah tangga sering menjadi kayu pengukur. Sebagai wanita yang ingin berjaya, keseimbangan antara rumah tangga dan kerjaya perlu diurus dengan bijak.