Isteri Obama paling seksi

Buat kali pertama Wanita Pertama Amerika Syarikat (AS) termasuk dalam senarai 100 'wanita paling seksi di dunia' yang dikeluarkan setiap tahun oleh majalah Maxim.

Isteri Presiden Barack Obama, Michelle berada di tangga ke-93 dalam senarai itu, mengatasi model dan pengacara rancangan Top Chef, Padma Lakshmi (ke-95) dan bintang filem Wrestler, Marisa Tomei (ke-97).

Maxim menggambarkan Michelle sebagai 'pakej rangsangan yang benar-benar diperlukan oleh Amerika.'

Majalah antarabangsa beribu pejabat di Britain itu, yang lazimnya menyiarkan gambar-gambar model dan aktres dalam keadaan terdedah, memaparkan potret rasmi Michelle di White House yang menunjukkan Wanita Pertama itu dengan gaya yang sopan tetapi tetap menawan.

Dalam pengiktirafan yang jarang-jarang diberikan terhadap pasangan tokoh politik, majalah tersebut menyatakan, Presiden Barack Obama 'kini menangani masalah dua peperangan, krisis ekonomi dan rambut yang semakin beruban'.

"Namun, sekurang-kurangnya Panglima Angkatan Bersenjata kita boleh pulang ke rumah dengan disambut oleh Wanita Pertama paling seksi dalam sejarah AS,'' kata majalah itu lagi.

Michelle telah digambarkan sebagai ikon fesyen oleh tokoh fesyen di seluruh dunia sejak suaminya dipilih menjadi Presiden AS.

Aktres siri televisyen House, Olivia Wilde menduduki tangga teratas dalam senarai terbaru Maxim itu, mengetepikan bintang Transformers, Megan Fox yang mendahului senarai tahun lepas.

- AFP
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url