Top Ad 728x90

,

Komentar - ISA perlukan doktrin baru

Oleh ZAINUDIN MAIDIN

Atas desakan pihak pembangkang dan untuk menyesuaikan keadaan, kerajaan akan meminda Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Akta itu telah berjasa besar dalam mematahkan perjuangan komunis dan memerangi anasir pelampau di negara ini.

Berasaskan sejarah negara, pihak yang banyak menjadi tahanan di bawah ISA ialah nasionalis Melayu dan pelampau Islam. Mereka ditahan bertahun-tahun tanpa bicara, tetapi dalam perkembangan politik terkini, ternyata pelampau agama Hindu ditahan hanya beberapa ketika dan kemudian dibebaskan.

Tindakan melepaskan pelampau-pelampau Hindu ini menampakkan kerajaan tidak sanggup menghadapi tekanan pihak yang disokong oleh peguam-peguam India. Tindakan itu juga kerana kepentingan politik BN untuk memenangi semula hati orang India yang telah menyeleweng kerana kebangkitan Hindraf.

Dalam hal ini, kerajaan tidak mempedulikan perasaan pengundi atas pagar yang telah menyeleweng daripada BN - kesan tolak ansur dan kebebasan keterlaluan yang diberikan oleh kerajaan.

Kebebasan hingga tidak lagi menghormati Akta Hasutan telah mendedahkan dengan lebih jelas tentang kesalahan-kesalahan kerajaan dan sebahagian rakyat dalam mentafsirkan anasir subversif setelah ketewasan Parti Komunis Malaya (PKM), kekalahan komunis dunia dan runtuhnya Blok Timur.

Penahanan di bawah ISA ke atas anasir-anasir pelampau Islam yang berlaku di tanah air kita juga adalah kerana dasar negara yang pro-Barat khususnya Amerika Syarikat (AS) demi kepentingan ekonomi dan mengekalkan kemewahan hidup rakyat menerusi dasar pasaran bebas.

Kita tidak mungkin dapat keluar lagi daripada cengkaman ini kerana kita telah berada dalamnya sejak merdeka.

Oleh kerana dasar kita selari dengan dasar Barat maka adalah sukar untuk jentera keselamatan negara yang tidak berpengalaman dan kurang fahaman nasionalisme untuk mengenali musuh negara yang sebenar. Ini kerana, antara kita dengan mereka adalah sama, memakai baju yang sama dan minum Coca-cola bersama.

Kita tidak pernah percaya bahawa rakan yang kita percayai akan menjadi musuh utama kita dan akan menjadi pemeras, pembunuh dan penjajah baru atas nama demokrasi. Maka itu kita telah menyokong mereka dalam Perang Vietnam dan juga memerangi Parti Komunis Indonesia (PKI).

Sekarang kita turut percaya bahawa negara tidak boleh lari daripada globalisasi AS kerana teknologi maklumat, khususnya Internet yang tidak lagi menyekat kebebasan.

Kita sendiri bersungguh-sungguh mengajak rakyat yakin kepada perkara ini. Malahan media kita turut main peranan dalam usaha menghakis keyakinan terhadap media cetak yang terkawal.

Sekalipun kita telah diingatkan oleh Tito, Sukarno, Jawaharlal Nehru, Chou En Lai, Gamal Abdul Nasir dan pemimpin Afro Asia lain terhadap bahaya penjajahan baru, tetapi ketakutan kita kepada komunisme menyebabkan kita tidak begitu mengambil berat akan bahaya mendatang dan kita menerima semua anasir kebebasan ini tanpa tapisan.

Sekarang kita terperangkap bagaikan "lari dari mulut buaya masuk ke mulut naga." Malah dalam beberapa hal, kita sendiri yang meruntuhkan tembok keselamatan yang kita bina sejak era Tun Abdul Razak.

Kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein juga kurang menampakkan keupayaan mengenali musuh sebenar dan yang menjadi ancaman kepada keselamatan negara. Pendekatan amaran demi amaran perlu ditukar.

Yang terkini ialah pemimpin besar MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu dan timbalan-timbalan menteri daripada MIC telah menyatakan sokongan kepada Pertubuhan Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di Sri Lanka, malah telah mengadakan tunjuk perasaan haram.

Jika dalam era pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad, anasir-anasir AS dan British agak berhati-hati tetapi sekarang mereka amat agresif. Media mereka telah memberikan sokongan secara terang-terangan dengan menyiarkan berita-berita palsu mengenai negara kita. Umpamanya yang terbaru dilaporkan kebebasan pergerakan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dibataskan dan dia menghadapi ancaman bunuh.

Menurut majalah New Yorker, Anwar mendakwa dia mengambil langkah yang berbahaya apabila menemui wartawan-wartawan asing. Media AS bukan tidak tahu Anwar berbohong tetapi sengaja menyiarkannya kerana masyarakat AS percaya kepada apa juga yang disiarkan oleh medianya mengenai keburukan negara lain terutamanya negara pimpinan orang Islam.

Siaran berita karut New Yorker ini adalah ekoran kenyataan Menteri Luar, Datuk Anifah Aman mendedahkan semua pembohongan Ketua Pembangkang itu kepada Ketua Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton dan juga kepada wartawan-wartawan Amerika (berita mengenainya hanya disiarkan di Malaysia dan tidak di AS) dalam lawatannya ke Amerika baru-baru ini.

Tindakan balas pantas media AS jelas menunjukkan bahawa Anwar telah pun mempunyai penyokong-penyokongnya di negara itu atau jaringannya yang berbayar atau sukarela.

Tetapi hakikatnya jenteranya lebih berkesan daripada jentera kerajaan yang tidak berinisiatif dan tidak pernah proaktif.

Selain itu, AS juga memberikan hadiah kepada mereka yang bekerja secara sedar atau secara tidak sedar untuk memajukan dasar luar AS di Malaysia sesuai dengan impian globalisasi negara kuasa besar itu.

Terdapat akhbar-akhbar di Malaysia yang secara sukarela memberikan publisiti besar-besaran terhadap anugerah kepada ejen-ejen AS di negara ini. Ini dapat dilihat dalam publisiti kepada anugerah tertinggi kerana perjuangan untuk demokrasi dan kebebasan kepada seorang peguam di Malaysia.

Perpecahan orang Melayu telah menyebabkan ejen-ejen AS menjadi semakin berani dan agresif dan tidak lagi berselindung dalam usaha mereka untuk membebaskan pemikiran rakyat Malaysia dan menanam nilai-nilai baru supaya demokrasi AS diterima sebagai demokrasi mutlak di dunia.

Kerajaan Malaysia seolah-olah tidak mengenali siapa sebenarnya musuh politik negara atau sengaja tidak mahu bertindak kerana takut kepada tangan-tangan kuasa besar yang telah pun berperanan secara berkesan di negara ini.

Ketakutan ini lebih kepada kepentingan ekonomi dan keselamatan negara. Tetapi, apabila sampai kepada peringkat Raja Petra Kamaruddin boleh bermaharajalela dan menunjukkan kuasa 'rajanya' yang tidak berdaulat dengan sewenang-wenang maka kerajaan tidak lagi dilihat bermaruah.

Kalau bukan "raja" mungkin dia telah ditangkap kerana tidak hadir beberapa kali ke mahkamah. Siapakah yang berkuasa "raja," polis atau mahkamah?

Semua ini menampakkan kerajaan cukup berhati-hati dalam menghadapi tekanan daripada anasir-anasir AS yang datang secara langsung dan tidak langsung, sekalipun bahaya daripada anasir ini sebenarnya lebih hebat daripada komunis.

Daripada segi sejarah, komunis membantu memperkuatkan perpaduan orang Melayu dan UMNO tetapi anasir AS telah berjaya meruntuhkan perpaduan yang menjadi kekuatan dan tunggak negara ini.

Anasir komunis mudah dikenali kerana mereka berjuang di dalam hutan dan menyuarakan fahaman yang bersifat asing kepada sebahagian besar orang Malaya dan Malaysia. Tetapi anasir AS sukar untuk dikenali dan dipisahkan daripada masyarakat kerana "kita memakai baju yang sama".

Sejauh ini kerajaan tidak berupaya menunjukkan ketegasan kepada anasir-anasir subversif AS di negara ini.

Amaran demi amaran kepada mereka yang menimbul huru-hara melalui amalan demokrasi AS menimbulkan perasaan mual di kalangan rakyat. Maka itu dalam mengkaji semula ISA atau sebarang pindaan terhadapnya, kerajaan mesti merangka mekanisme yang berkesan dan boleh digunakan dengan tegas terhadap anasir-anasir Barat terutamanya sayap kelima AS dalam politik negara.

Jika kerajaan tidak bertegas dari sekarang, mungkin Anwar juga akan ditonjolkan, dibela dan dipromosi sebagai seorang pejuang kebebasan yang setaraf dengan Pejuang Demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi.

Jentera Keselamatan Negara mesti diberikan doktrin baru bahawa anasir-anasir subversif baru bukan lagi komunis dan bahaya besar bukan sahaja datang daripada pelampau Islam tetapi yang lebih besar bahayanya kepada umat negara ini ialah AS sendiri. Bahaya itu sedang mengugat dan mengancam 1Malaysia dan keselamatan negara.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90